Aksi Villa menentang Everton ditunda

London: Aston Villa berdepan jadual Liga Perdana lebih memeningkan selepas aksi menentang Everton pada Ahad ini ditangguhkan susulan beberapa pemain masih lagi menjalani kuarantin selepas kem mereka dijangkiti wabak koronavirus.

Villa terpaksa membariskan skuad muda ketika menentang Liverpool dalam aksi Piala FA minggu lalu selepas sembilan pemain dan lima staf dijangkiti Covid-19.

Aksi menentang Everton ditunda daripada Sabtu ke Ahad bagi membolehkan kelab mendapat lebih rehat tetapi dengan beberapa pemain masih lagi dikuarantin, Liga Perdana setuju menjadualkan semula perlawanan.

“Perlawanan Aston Villa menentang Everton di tempat sendiri pada Ahad ini ditangguhkan,” menurut Liga Perdana dalam satu kenyataan.

“Susulan penjadualan semula aksi Villa menentang Tottenham Hotspur yang sepatutnya berlangsung malam tadi (Rabu), beberapa pemain dan staf masih lagi kuarantin.”

Skuad Dean Smith, Villa kini berkelebihan tiga perlawanan dalam tangan berbanding kebanyakan pencabar lain selepas tamat pusingan perlawanan seterusnya minggu ini.

Kembali beraksi selepas 983 hari

London: Pemain Chelsea yang dilupakan, Marco van Ginkel akhirnya kembali beraksi selepas berehat 983 hari susulan mengalami kecederaan serius.

Pemain tengah Blues berusia 28 tahun itu yang beraksi secara pinjaman bersama PSV Eindhoven masuk daripada bangku simpanan pada minit ke-86 ketika menentang AZ Alkmaar semalam sekaligus menamatkan penantian dua setengah tahun akibat kecederaan lutut yang serius.

Kali terakhir kelibat pemain antarabangsa Belanda itu di atas padang pada Mei 2018.

Van Ginkel salah seorang pemain muda berbakat di Eropah ketika Chelsea membelinya daripada Vitesse lapan tahun lalu dengan harga £8 juta (RM44 juta).

Malangnya, dia hanya tampil empat kali bersama skuad senior dengan kali terakhir pada 2014 ketika Jose Mourinho masih menjadi pengendali di Stamford Bridge.

Van Ginkel dibelenggu beberapa kecederaan serius di Chelsea yang kemudiannya dipinjamkan ke AC Milan, Stoke City dan PSV dengan harapan perubahan persekitaran dapat membantu mempercepatkan pemulihannya.

Dia yang kontraknya bersama Blues tamat penghujung musim ini akhirnya menamatkan penantian sekian lama dengan tampil sebagai pemain gantian ketika PSV tewas 1-3 kepada AZ di tempat sendiri.

Van Ginkel menzahirkan kegembiraan selepas tamat perlawanan kepada NOS: “Ia tempoh sangat panjang, jadi saya bangga sejak minit pertama lagi saya masuk ke padang. Saya tidak jejak ke padang sekian lama, berdepan banyak pembedahan. Jadi saya sangat gembira akhirnya dapat kembali.”

Dia mungkin diturunkan sekali lagi apabila PSV berkunjung ke Sparta Rotterdam pada Sabtu ini. Skuad Roger Schmidt kini menduduki tangga keempat Eredivisie.

Tujuh atlet negara kembali ke MSN

Kuala Lumpur: Tujuh atlet negara dan seorang pegawai pengiring sukan boccia yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 sudah dibenarkan keluar daripada Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Hospital Sungai Buloh dan MAEPS Serdang pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan kesemua individu berkenaan kini berada di Casa MSN untuk tujuan pemulihan kecergasan yang akan dilaksana Institut Sukan Negara (ISN) sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan seperti biasa.

Beliau turut mengesahkan lima pegawai MSN yang sebelum ini dikesan positif Covid-19 dibenarkan keluar daripada kedua-dua pusat kuarantin berkenaan hari ini.

Dua pegawai MSN yang dikesan positif Covid-19, masing-masing pada 8 dan 10 Jan lepas masih menjalani kuarantin di MAEPS Serdang manakala seorang atlet wushu negara yang disahkan positif pandemik itu pada 9 Jan masih menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet negara dengan masing-masing dua atlet dari sukan olahraga, tenis berkerusi roda dan bola keranjang kerusi roda, selain masing-masing seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran dan pegawai pengiring sukan boccia, disahkan positif

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memaklumkan kem latihan berpusat secara kuarantin melibatkan 632 atlet podium, podium para, pelapis kebangsaan dan jurulatih negara daripada 28 jenis sukan akan diteruskan seperti biasa.

Kem latihan berpusat berkenaan melibatkan lima venue iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar di Langkawi dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

McGregor bikin Khabib panas

London: Conor McGregor membidas Khabib Nurmagomedov yang didakwa mengelakkan diri daripada pertarungan ulangan dengan mengumumkan persaraan.

McGregor dan Khabib bertarung pada 2018 di UFC 229 yang dimenangi bintang Russia itu pada pusingan keempat.

Dia kemudiannya bersara daripada sukan itu selepas mempertahankan tali pinggang lightweight dua kali dengan menewaskan Dustin Poirier dan Justin Gaethje.

McGregor dan Khabib berpeluang bertentang mata di Fight Island apabila The Notorious menentang Poirier dalam penampilan pertamanya di oktagon dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, dengan pertarungan sepupu Khabib, Umar diubah tarikh, ia mungkin tidak menjadi kenyataan tetapi tidak menghalang McGregor daripada melepaskan geram kepada seteru lamanya itu.

”Dia nampak seperti gajah, dia seperti gajah kecil yang gemuk,” katanya kepada saluran Youtube The MacLife.

”Saya tak faham bagaimana dia boleh bersara pada peringkat ini, banyak lagi pertarungan hebat di luar sana.

”Malah pertarungan dengan Tony [Ferguson]…saya tak peduli apa-apa pun, anda sepatutnya bertarung dan tak kira apa, ia mesti dilangsungkan.

”Anda jangan mengelak daripada berlawan tetapi dia sudah berada pada kemuncaknya. Jadi saya tak terkejut jika dia ‘melarikan’ diri.”

Dengan menentang Poirier, McGregor hanya selangkah untuk merampas kembali tali pinggang lightweight yang terlepas kepada Khabib pada 2018.

Petarung dari Dagestan itu masih lagi pemegang tali pinggang UFC secara rasmi walaupun telah mengumumkan persaraan dan jaguh Ireland itu akui dia perlu kerja keras sebelum boleh merampasnya.

McGregor, Pacquiao berentap tahun ini

London: Pertarungan Conor McGregor dan Manny Pacquiao pada 2021 tampak tidak dapat dielakkan dengan jaguh Ireland itu sedia berdepan legenda Filipina selepas menentang Dustin Poirier, menurut pengurus kedua-dua bintang itu.

McGregor akan kembali beraksi pada 23 Januari dalam pertarungan ulangan dengan Poirier yang ditewaskannya pada 2014.

Tetapi sebelum dia kembali ke UFC, McGregor memberi bayangan sedia menentang Pacquiao dengan pengurus, Audi Attar yang mewakili kedua-duanya yakin mereka akan bertarung dalam gelanggang tahun ini.

Attar berkata kepada Dubai Eye 103.8 Sport: “Saya yakin ia tidak dapat dielakkan pada 2021.

“Kedua-dua jaguh ini mahukannya, itu kunci utama.

“Jika satu pihak mahu dan satu lagi tidak, ia tidak akan berlaku tetapi apabila kedua-duanya mahukan pertarungan, mengapa ia tidak boleh berlaku?”

“Jika penyokong mahu menyaksikannya, ia dijamin akan berlaku kerana ada minat mendalam di situ.”

McGregor, 32, mengumumkan melalui Twitter pada September lalu yang dia akan menentang Pacquiao, 42, pada pertarungan seterusnya.

Tetapi selepas UFC menggesa dia kembali ke oktagon dan bertarung kali kedua dengan Poirier, 31, dia mengalih perhatian kepada MMA sekali lagi.

Sekarang, McGregor berhasrat berunding kembali dengan juara lapan divisyen, PacMan selepas ‘urusannya’ di Fight Island tamat.

Sementara itu bekas juara ‘light heavyweight’ Evander Holyfield percaya McGregor mempunyai peluang menewaskan Pacquiao di gelanggang tinju.

“Dia mempunyai lengan lebih panjang, jadi dia memiliki kelebihan. McGregor perlu mengasak Pacquiao dan melepaskan tumbukan terus tetapi agak sukar. Anda bercakap mengenai pertarungan dengan seseorang yang bertinju keseluruhan hidupnya.”

Walaupun percaya McGregor mampu menewaskan Pacquiao, Holyfield, 58, akui The Notorious berdepan tugas sukar untuk menjadi lebih baik berbanding bekas juara dunia lapan kategori itu.

Jaringan Salah terbaik Disember

London: Rembatan lencong daripada Mohamed Salah ketika menentang Crystal Palace dipilih Jaringan Terbaik Liverpool untuk Disember.

Bintang Mesir itu dinobatkan pemenang untuk kali keempat berturut-turut pada 2020-21 ketika membantu Liverpool berpesta gol 7-0 di Selhurst Park.

Bola rembatan Salah tepat menuju ke penjuru gawang Palace daripada jarak 18 meter dan jaringan itu mendapat undian tertinggi daripada penyokong sebagai jaringan terbaik Disember.

Roberto Firmino menduduki tempat kedua dan ketiga menerusi jaringan minit akhir ketika menewaskan Tottenham Hotspur dan gol pertamanya ketika menentang Palace.

Rembatan jarak jauh Georginio Wijnaldum ketika menentang Wolverhampton Wanderers di Anfield menduduki tempat keempat manakala jaringan kedua Firmino ketika menentang Palace tempat kelima.

Guardiola keliru SOP perlawanan

London: Pep Guardiola berkata dia keliru dengan sebahagian peraturan koronavirus membabitkan perlawanan dan mengakui tidak faham mengapa sesetengah aksi ditunda manakala yang lain diteruskan.

Empat aksi Liga Perdana dibatalkan termasuk kunjungan City ke Everton bulan lalu tetapi pendekatan berbeza dilakukan ke atas Piala FA kelmarin.

Kedua-dua Aston Villa dan Derby menurunkan barisan muda untuk aksi pusingan ketiga selepas hampir keseluruhan skuad utama menjalani kuarantin.

Liga Perdana minggu lalu menggesa pemain mengurangkan sambutan jaringan gol selaras dengan protokol Covid-19 yang melarang berjabat tangan dan menukar jersi.

City telah pun kehilangan lapan pemain City selepas diuji positif sejak Krismas lalu.

Guardiola berkata kelab akan mematuhi protokol baharu tetapi tidak realistik untuk menjangkakan pemain tak meraikan jaringan.

“Semua dari kami (terbabit perlawanan) diuji negatif, setiap dua hari. Saya tak tahu apa yang berlaku tetapi apabila pemain menjaringkan, mereka pasti meraikannya. Saya tak tahu jika dia akan berfikir ‘saya tidak boleh memeluk rakan sepasukan untuk dua, tiga saat.” katanya.

“Terdapat pasukan dengan empat atau lima kes menurunkan sepuluh pemain dari skuad B-23 pada Piala FA. Kami ada empat atau lima, situasi sama dan kami ada di sini.

“Seorang pemain jalani kuarantin dan kumpulan itu perlu meneruskannya. Jadi saya tak tahu. Kami turuti apa yang diperkatakan di kelab, Liga Perdana. Kami patuhi peraturan. Itulah hakikatnya.”

Crawley aibkan Leeds

London: Leeds mengalami kekalahan memalukan selepas tewas 0-3 kepada kelab Liga Dua, Crawley Town pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Broadfield, sebentar tadi.

Skuad Marcelo Bielsa bermula cemerlang selepas 16 tahun tersingkir daripada liga utama dengan menampilkan corak serangan yang menarik minat ramai penyokong.

Tetapi Bielsa masih lagi gagal memenangi Piala FA sepanjang tiga musim mengendalikan pasukan dan dihukum selepas merehatkan beberapa pemain utama.

Illan Meslier, Stuart Dallas, Luke Ayling, Mateusz Klich dan Patrick Bamford tidak beraksi dan Crawley mengambil kesempatan untuk melanjutkan kemenangan kepada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.

Bielsa melakukan tiga pertukaran selepas babak pertama yang berakhir tanpa jaringan tetapi sebaliknya Crawley yang menguasai perlawanan.

Larian kencang Nick Tsaroulla dan mengakhirinya dengan cemerlang untuk gol pembukaan pada minit ke-50.

Hanya tiga minit selepas itu keputusan menjadi 2-0 selepas Ashley Nadesan melepasi jangkauan penjaga gol, Kiko Casilla.

Jordan Tunnicliffe melengkapkan kemenangan bersejarah kelab tahap empat itu menerusi tolakan ke gawang selepas Casilla gagal menahan kemas percubaan Nadesan.

Player, Annika terima anugerah dari Trump

Washington: Pemain golf Gary Player dan Annika Sorenstam menerima Pingat Kebebasan daripada Presiden Donald Trump dalam satu majlis tertutup semalam sehari selepas penyokong Trump menyerang bangunan Capitol AS.

Trump turut menganugerahkan anugerah penghormatan tertinggi kepada pemenang pingat emas Olimpik dan pelopor golf wanita Babe Didrikson Zaharias.

Majlis itu berlangsung di Rumah Putih sehari selepas kekacauan meletus di ibu negara AS ketika kumpulan penyokong melancarkan serangan untuk menghentikan sementara pengesahan kemenangan Joe Biden.

Kemenangan Biden kemudiannya disahkan oleh penggubal undang-undang dan Trump dikatakan dalam pemerhatian kerana mencetuskan insiden berkenan sewaktu upacara penganugerahan berlangsung.

“Hari ini, Presiden Donald Trump menganugerahkan Pingat Kebebasan Presiden kepada Babe Zaharias.

“Presiden juga menyampaikan penghargaan kepada penerima yang diumumkan lain iaitu Annika Sorenstam dan Gary J. Player.

Kontrak atlet podium disambung

Kuala Lumpur: Atlet negara yang berada dalam Program Podium tidak perlu bimbang memandangkan kontrak mereka dalam program berkenaan akan terus disambung untuk menghadapi beberapa temasya sukan antarabangsa pada tahun ini dan 2022.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, kontrak atlet negara yang tamat pada Disember lalu akan disambung hingga 2022 sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam selain Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Sukan Sea 2021 dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis, Sukan Komanwel 2022 (28 Julai-8 Ogos) manakala Sukan Asia 2022 bakal diadakan dari 10 hingga 25 September.

“Semua kontrak mereka dalam Program Podium akan terus disambung. Kita minta mereka fokus kepada latihan masing-masing, namun kita juga sentiasa membuat penilaian semasa bagi memastikan mereka yang layak sahaja kekal dalam program berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jefri memaklumkan jumlah sebenar atlet yang berada dalam program berkenaan hanya akan dapat diketahui selepas MSN mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama dengan kesemua persatuan sukan kebangsaan pada bulan depan.

Program Podium adalah inisiatif Pelan Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan bermula 2016 dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain muncul 10 pasukan terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Pada awal pelaksanaannya, Program Podium diletakkan di bawah seliaan Institut Sukan Negara sebelum dipindahkan pengurusannya kepada MSN pada Oktober 2018.