Crawley aibkan Leeds

London: Leeds mengalami kekalahan memalukan selepas tewas 0-3 kepada kelab Liga Dua, Crawley Town pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Broadfield, sebentar tadi.

Skuad Marcelo Bielsa bermula cemerlang selepas 16 tahun tersingkir daripada liga utama dengan menampilkan corak serangan yang menarik minat ramai penyokong.

Tetapi Bielsa masih lagi gagal memenangi Piala FA sepanjang tiga musim mengendalikan pasukan dan dihukum selepas merehatkan beberapa pemain utama.

Illan Meslier, Stuart Dallas, Luke Ayling, Mateusz Klich dan Patrick Bamford tidak beraksi dan Crawley mengambil kesempatan untuk melanjutkan kemenangan kepada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.

Bielsa melakukan tiga pertukaran selepas babak pertama yang berakhir tanpa jaringan tetapi sebaliknya Crawley yang menguasai perlawanan.

Larian kencang Nick Tsaroulla dan mengakhirinya dengan cemerlang untuk gol pembukaan pada minit ke-50.

Hanya tiga minit selepas itu keputusan menjadi 2-0 selepas Ashley Nadesan melepasi jangkauan penjaga gol, Kiko Casilla.

Jordan Tunnicliffe melengkapkan kemenangan bersejarah kelab tahap empat itu menerusi tolakan ke gawang selepas Casilla gagal menahan kemas percubaan Nadesan.