Guardiola keliru SOP perlawanan

London: Pep Guardiola berkata dia keliru dengan sebahagian peraturan koronavirus membabitkan perlawanan dan mengakui tidak faham mengapa sesetengah aksi ditunda manakala yang lain diteruskan.

Empat aksi Liga Perdana dibatalkan termasuk kunjungan City ke Everton bulan lalu tetapi pendekatan berbeza dilakukan ke atas Piala FA kelmarin.

Kedua-dua Aston Villa dan Derby menurunkan barisan muda untuk aksi pusingan ketiga selepas hampir keseluruhan skuad utama menjalani kuarantin.

Liga Perdana minggu lalu menggesa pemain mengurangkan sambutan jaringan gol selaras dengan protokol Covid-19 yang melarang berjabat tangan dan menukar jersi.

City telah pun kehilangan lapan pemain City selepas diuji positif sejak Krismas lalu.

Guardiola berkata kelab akan mematuhi protokol baharu tetapi tidak realistik untuk menjangkakan pemain tak meraikan jaringan.

“Semua dari kami (terbabit perlawanan) diuji negatif, setiap dua hari. Saya tak tahu apa yang berlaku tetapi apabila pemain menjaringkan, mereka pasti meraikannya. Saya tak tahu jika dia akan berfikir ‘saya tidak boleh memeluk rakan sepasukan untuk dua, tiga saat.” katanya.

“Terdapat pasukan dengan empat atau lima kes menurunkan sepuluh pemain dari skuad B-23 pada Piala FA. Kami ada empat atau lima, situasi sama dan kami ada di sini.

“Seorang pemain jalani kuarantin dan kumpulan itu perlu meneruskannya. Jadi saya tak tahu. Kami turuti apa yang diperkatakan di kelab, Liga Perdana. Kami patuhi peraturan. Itulah hakikatnya.”