McGregor bikin Khabib panas

London: Conor McGregor membidas Khabib Nurmagomedov yang didakwa mengelakkan diri daripada pertarungan ulangan dengan mengumumkan persaraan.

McGregor dan Khabib bertarung pada 2018 di UFC 229 yang dimenangi bintang Russia itu pada pusingan keempat.

Dia kemudiannya bersara daripada sukan itu selepas mempertahankan tali pinggang lightweight dua kali dengan menewaskan Dustin Poirier dan Justin Gaethje.

McGregor dan Khabib berpeluang bertentang mata di Fight Island apabila The Notorious menentang Poirier dalam penampilan pertamanya di oktagon dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, dengan pertarungan sepupu Khabib, Umar diubah tarikh, ia mungkin tidak menjadi kenyataan tetapi tidak menghalang McGregor daripada melepaskan geram kepada seteru lamanya itu.

”Dia nampak seperti gajah, dia seperti gajah kecil yang gemuk,” katanya kepada saluran Youtube The MacLife.

”Saya tak faham bagaimana dia boleh bersara pada peringkat ini, banyak lagi pertarungan hebat di luar sana.

”Malah pertarungan dengan Tony [Ferguson]…saya tak peduli apa-apa pun, anda sepatutnya bertarung dan tak kira apa, ia mesti dilangsungkan.

”Anda jangan mengelak daripada berlawan tetapi dia sudah berada pada kemuncaknya. Jadi saya tak terkejut jika dia ‘melarikan’ diri.”

Dengan menentang Poirier, McGregor hanya selangkah untuk merampas kembali tali pinggang lightweight yang terlepas kepada Khabib pada 2018.

Petarung dari Dagestan itu masih lagi pemegang tali pinggang UFC secara rasmi walaupun telah mengumumkan persaraan dan jaguh Ireland itu akui dia perlu kerja keras sebelum boleh merampasnya.