Jaringan Salah terbaik Disember

London: Rembatan lencong daripada Mohamed Salah ketika menentang Crystal Palace dipilih Jaringan Terbaik Liverpool untuk Disember.

Bintang Mesir itu dinobatkan pemenang untuk kali keempat berturut-turut pada 2020-21 ketika membantu Liverpool berpesta gol 7-0 di Selhurst Park.

Bola rembatan Salah tepat menuju ke penjuru gawang Palace daripada jarak 18 meter dan jaringan itu mendapat undian tertinggi daripada penyokong sebagai jaringan terbaik Disember.

Roberto Firmino menduduki tempat kedua dan ketiga menerusi jaringan minit akhir ketika menewaskan Tottenham Hotspur dan gol pertamanya ketika menentang Palace.

Rembatan jarak jauh Georginio Wijnaldum ketika menentang Wolverhampton Wanderers di Anfield menduduki tempat keempat manakala jaringan kedua Firmino ketika menentang Palace tempat kelima.