SINGAPURA: Khas buat Hari Raya ini, pendekar dan srikandi negara akan turun ‘gelanggang’ menghantar kuih-muih ke rumah anda.
Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) untuk mengumpul dana melalui penjualan kuih Raya yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh persekutuan tersebut.
Sebanyak 18 jenis kuih Raya dan tiga macam rempeyek yang berharga antara S$12 hingga S$18 ditawarkan sempena acara Hari Raya Bake Sale Fundraising anjuran PERSISI itu.
Tempahan akan dibuka sehingga jam 2.00 petang pada Jumaat (30 Apr).
Menurut PERSISI, hasil penjualan itu akan disalurkan kepada pembangunan program latihan skuad belianya, termasuk latihan di dalam dan luar negara.
Selain itu, dana yang dikumpul itu juga akan membantu atlit negara di bawah naungan Program Silat with A Heart menampung keperluan makanan dan kewangan mereka.
“Sila sokong kami agar generasi pelapis dan bakal juara kita boleh mencapai kecemerlangan dalam pencak silat,” menurut PERSISI dalam kenyataannya kepada BERITAmediacorp.
Persekutuan tersebut menetapkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya 200 botol kuih-muih yang akan dihantar ke rumah para pelanggan pada 6 dan 7 Mei kelak, antara 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Penghantaran ke pelbagai lokasi merata Singapura hanya berharga S$10. Malah mereka yang membuat tempahan bernilai S$100 dan ke atas akan menikmati penghantaran percuma!
Dalam pada itu, jaguh dunia, Sheik Farhan Sheik Alau’ddin Yacoob Marican turut mengalu-alukan sokongan terhadap inisiatif itu.
Anak muda tersebut mengajak orang ramai membeli kuih-muih daripada PERSISI sebagai persiapan Lebaran masing-masing.
“Sokonglah para atlit kami dalam perjalanan mereka meraih keunggulan dengan membeli kuih-muih kami,” kata beliau sambil mengucapkan Selamat Hari Raya.