Julian Nagelsmann jurulatih baru Bayern Munich musim depan

BERLIN: Julian Nagelsmann akan mengambil alih jawatan jurulatih Bayern Munich mulai musim depan bagi menggantikan Hansi Flick, umum juara Liga Bola Sepak Jerman dan Liga Juara-Juara Eropah itu pada Selasa (27 Apr).

Nagelsmann, 33 tahun, akan berpindah dari RB Leipzig ke Bayern Munich menerusi kontrak selama lima tahun selepas Flick, yang hubungannya tegang dengan pengarah kelab itu, Hasan Salihamidzic, meminta dilepaskan daripada kontraknya.

“FC Bayern bersetuju dengan permintaan jurulatih sekarang, Hansi Flick bagi menamatkan kontraknya pada 30 Jun 2021, dua tahun lebih awal berbanding tarikh asal,” menurut kelab itu dalam kenyataannya.

Nagelsmann pula tidak pernah merahsiakan hasratnya untuk menjadi jurulatih Bayern memandangkan beliau berasal dari wilayah Bavaria.

Musim lalu, beliau membawa Leipzig ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dan pada musim ini pula, pasukannya menggantikan Borussia Dortmund sebagai pencabar utama yang akan bersaing dengan Bayern Munich untuk menjuarai Liga Bola Sepak Jerman musim ini.