Olimpik Tokyo mesti ‘dipertimbang semula’ akibat kegagalan Jepun kawal pandemik: Laporan

TOKYO: Kegagalan Jepun mengawal pandemik COVID-19 bermakna bahawa rancangan untuk mengadakan Olimpik di Tokyo patut dipertimbangkan semula, menurut para pakar kesihatan dalam satu komentar.

Sukan Olimpik 2020, yang sudah pun ditangguhkan setahun, bakal bermula dalam kurang 100 hari lagi, meskipun Jepun sedang meluaskan sebahagian langkah-langkah darurat bagi menghentikan gelombang jangkitan keempat.

Jepun sudah menunjukkan “prestasi tidak baik” dalam mengawal penularan virus selain keupayaan ujian yang terhad dan proses pemvaksinan yang perlahan, menurut komentar yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Britain pada Rabu.

“Rancangan untuk mengadakan sukan Olimpik dan Paralimpik pada musim panas ini mesti dipertimbangkan semula sebagai satu hal yang mendesak,” menurut penulis utama Kazuki Shimizu dari London School of Economics.

“Mengadakan Tokyo 2020 atas sebab politik dan ekonomi tempatan yang sekali gus tidak mengendahkan kepentingan saintik dan moral – bercanggah dengan komitmen Jepun terhadap kesihatan global dan keselamatan manusia.”

Komentar tersebut menambah lagi keraguan dalam kalangan para karyawan perubatan yang tidak yakin bahawa Olimpik boleh dijalankan dalam keadaan selamat semasa musim panas ini. Satu tinjauan melibatkan lebih 1,000 doktor Jepun bulan lalu menunjukkan bahawa 75 peratus percaya keputusan menangguhkan Sukan itu adalah lebih baik, menurut syarikat perubatan Ishinotomo.

Profesor Universiti Kyoto Hiroshi Nishiura, seorang penasihat kepada tindak balas pemerintah terhadap pandemik, menggesa dalam satu komentar majalah minggu ini agar pihak berkuasa menangguhkan Olimpik untuk setahun bagi memberi lebih masa untuk vaksinasi orang awam.

Para pegawai Olimpik dan kerajaan berkata bahawa penangguhan lanjut Sukan itu adalah mustahil.