Faizal idam satu piala

Kuala Lumpur: Memenangi sekurang-kurangnya satu piala pada musim baharu Liga Hoki Malaysia menjadi idaman penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari.

Dia yang kembali terpilih membarisi skuad kebangsaan di bawah bimbingan Arul Selvaraj bagaimanapun berkata, semua pasukan yang beraksi pada saingan bermula 14 Januari ini turut mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan liga atau Piala TNB.

“Memang saya harap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu piala untuk musim 2021. Bagi saya semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang. Terutamanya UniKL dan TNB. Dua pasukan ini mempunyai barisan pemain yang bagus. Masing-masing mempunyai peluang untuk memenangi piala,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya, Faizal berkata, dia semakin memperoleh tahap kecergasan sebenar selepas menyertai sesi latihan bersama skuad negara.

Faizal sebelum itu digugurkan daripada skuad kebangsaan ketika di bawah bimbingan Roelant Oltmans yang kemudian meletak jawatan sebelum diganti oleh Arul.

“Alhamdulillah saya dapat kembali semula bersama skuad kebangsaan. Tahap kecergasan saya juga semakin baik. Tapi saya perlu perbaiki lagi beberapa perkara termasuk menurunkan berat badan,” katanya.