Ajax buat Cristiano Ronaldo gigit jari

TANDUKAN kapten ketua pasukan Ajax, Matthijs de Ligt memusnahkan impian Juventus untuk mara ke saingan empat terbaik Liga Juara-Juara Eropah selepas menang 2-1 di Turin pagi tadi.

Perlawanan penuh dramatik itu menyaksikan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo meletakkan Juventus di hadapan pada minit ke-28.

Enggan menyerah kalah, Ajax bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-3 menerusi jaringan Donny van de Beek.

Keputusan itu menyaksikan Ajax mara dengan agregat 3-2 selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama suku akhir sebelum ini.

Ajax bakal bertemu pemenang perlawanan suku akhir antara Manchester City dan Tottenham Hotspur.

Kejutan Man United di Nou Camp tidak menjadi

SAINGAN Manchester United dalam pertandingan Liga Juara-Juara Eropah berakhir di Nou Camp selepas tewas 0-3 di tangan Barcelona.

Barisan serangan The Catalans yang dikemudi Lionel Messi merobek gawang lawan seawal minit ke-16.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer umpama dihantui mimpi buruk apabila ketua pasukan Barcelona sekali lagi menggegarkan gawang empat kemudian.

Hasrat The Red Devils untuk bangkit pada separuh masa kedua tidak kesampaian apabila bintang Brazil, Philippe Coutinho menambah jaringan pada minit ke-61.

Keputusan kekal 3-0 sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan anak didik Ernesti Valverde mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara eropah dengan agregat 4-0.

Moga Harimau Malaya tidak perlu bertandang jauh

JURULATIH, Tan Cheng Hoe, mengakui faktor siapa lawan yang akan dihadapi menjadi penentu kepada nasib skuad Harimau Malaya sama ada mampu atau sebaliknya untuk melepasi pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022, Jun ini.

Cheng Hoe menanti penuh debaran hasil undian aksi play-off di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, esok (Rabu).

Menghuni ranking ke-168 dunia dan 35 Asia, pasukan yang dijangka menjadi lawan skuad negara ialah Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Ia dilihat mudah buat Harimau Malaya, namun perlawanan yang akan diadakan ketika Hari Raya Aidilfitri itu mengundang kerisauan Cheng Hoe.

Lantas, tiada lain Cheng Hoe hanya mengharapkan tuah dalam undian kelak supaya pasukannya tidak diundi menentang pasukan yang memerlukan perjalanan jauh.

“Faktor berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri selalu mengganggu fokus dan mental pemain.

“Ini kerana sudah menjadi budaya kita untuk menyambut Hari Raya di samping keluarga.

“Nampaknya tahun ini, kami terpaksa berkorban demi negara,” ujarnya.

Skuad negara perlu memastikan tempat ke pusingan kedua bagi mengelak daripada menjejaskan misi peta hala tuju jangka panjang F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Skuad Harimau Malaya terpaksa menempuhi aksi play-off berkenaan setelah gagal menempatkan diri dalam kelompok 34 terbaik Asia susulan kegagalan dalam kempen Piala Airmarine, bulan lalu.

“Pemain juga ingin menebus kehampaan dalam Piala Airmarine dan kami mahukan kemenangan kerana ia boleh menyuntik keyakinan sekiranya kami layak ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2022,” katanya lagi.

UFC 236: Poirier, Adesanya juara baharu Interim UFC

AKSI kejohanan seni bela diri campuran (MMA) UFC 236 di Atlanta, Georgia pada Ahad menyaksikan dua jaguh dikurniakan gelaran Juara Interim UFC (UFC Interim Champion).

Dalam pertarungan ‘co-main event’, petarung New Zealand, Israel Adesanya berjaya menewaskan Kelvin Gastelum dari Australia menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Kedua-dua petinju dilihat memberikan persembahan terbaik mereka pada perlawanan tersebut.

Pada pusingan kelima, kedudukan mata mereka terikat 38-38, namun Adesanya bangkit melepaskan tumbukan padu ke arah Gastelum — merebahkan lawannya ke kanvas Octagon.

Serangan demi serangan dilancarkan oleh petarung berusia 29 tahun itu hinggalah ke saat akhir pertarungan.

Ketiga-tiga juri kemudiannya memberikan mata 48-46, yang jelas memihak kepada Adesanya, sekali gus mengisytiharkannya sebagai pemenang dan juara baharu UFC Interim Middleweight.

Dengan kemenangan itu, Adesanya akan bertemu dengan jaguh Australia, Robert Whittaker bagi menentukan juara sebenar bagi divisyen middleweight.

Ia turut melebarkan lagi rekod kemenangan Adesanya kepada 17-0.

Sementara itu, bagi acara utama (main event) pula, petarung ‘favourite’ Max Holloway tumpas kepada petarung Amerika Syarikat, Dustin Poirier.

Juara featherweight UFC dari Hawaii itu naik ke divisyen lightweight bagi merebut gelaran Juara Interim UFC Lightweight.

Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila dia menerima tentangan hebat dari Poirier sejak awal pusingan pertama dan kedua lagi.

Serangan daripada Poirer pada awal pertarungan ternyata memberi kesan kepada persembahan Holloway.

Sungguh pun dapat melakukan serangan balas dan bertahan hingga ke pusingan kelima, namun markah yang diberikan juri memihak kepada Poirier dengan keputusan sebulat suara, 49-46.

Dengan keputusan ini, Poirer, 30 tahun, akan bertemu dengan juara lightweight UFC sebenar iaitu Khabib Nurmagomedov, yang dijangka berlangsung pada September nanti.

Pertarungan antara Holloway dan Poirier ini merupakan pertarungan ‘rematch’, di mana kali pertama mereka bertemu adalah pada tujuh tahun dahulu yang menyaksikan Poirier menang menerusi kuncian ‘armbar’ pada pusingan pertama.

Human Voyage sangkal dakwaan PKBM

KETUA Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa, menafikan pihaknya membelakangkan penglibatan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) seperti yang didakwa presiden badan induk itu, Datuk Abu Samah Wahab.

Ahmad menjelaskan setakat lapan peringkat saingan yang berakhir Sabtu, tiada sebarang aduan kedengaran daripada pihak komisar dan wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sebaliknya, pihak penganjur mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak melanggar sebarang protokol yang didakwa PKBM.

Human Voyage juga tidak mengetepikan pihak PKBM ketika perlepasan peringkat terakhir di Pulau Langkawi pada Sabtu apabila kelibat Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, turut kelihatan mewakili badan induk itu sejak beberapa peringkat sebelum ini.

“Datuk Amarjit kelihatan dalam beberapa peringkat saingan LTdL. Kami tidak menerima sebarang aduan daripada UCI dan kami tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata Ahmad lagi.

Bagaimanapun, Human Voyage menghormati pandangan PKBM dan akan membuat perbincangan bersama badan induk itu ketika sesi pascanilai untuk penambaikan saingan untuk tahun hadapan.

Human Voyage menandatangani kontrak dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan LtDL selama tiga tahun sehingga 2021.

“Kami mengetahui peraturan yang telah ditetapkan. Usaha kami adalah untuk menganjurkan LTdL dengan lebih baik lagi tahun depan,” katanya lagi.

Kebangkitan Tiger Woods satu keajaiban!

Sepuluh tahun selepas skandal seks yang menjatuhkan kerjayanya, bintang golf Tiger Woods kembali menemui sentuhan juara untuk merangkul Augusta Masters pada Ahad, sekali gus kembali menyarung jaket hijau yang menjadi rebutan ramai pemain golf dunia.

Ia merupakan gelaran Masters kelima buat Woods, 43, yang kali terakhir memenanginya pada 2008.

Kemenangan tersebut adalah yang ke-15 bagi kejohanan utama golf selepas menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Dustin Johnson, Xander Schauffele dan Brooks Koepka dengan satu pukulan.

Woods menyambut kejayaan tersebut dengan dua anaknya yang berada di lapangan mengimbau kejayaannya memenangi gelaran sama pada 1997 bersama ayahnya.

Kenapa ‘comeback’ Woods dianggap satu kejaiban?

Ramai pakar dan bekas pemain profesional memberi pelbagai komen bahawa Woods tidak mampu kembali kepada prestasi terbaiknya sebelum skandal seks tersebut sehingga tahun lepas.

Namun, kejayaan Jelajah PGA di East Lake menutup mulut pengkritik terhadapnya selepas berjaya menamatkan kemarau lima tahun tanpa sebarang kejuaraan pada September tahun lalu.

Secara fizikalnya, Woods dilihat tidak mampu melakukannya, kerana 10 tahun lalu, dia bergelut dengan pelbagai masalah termasuk kecederaan.

Pada 2017, Woods termasuk menjalani beberapa pembedahan akibat kesakitan yang dialami pada bahagian belakang yang menyebabkannya tidak mampu berjalan tanpa bantuan.

Pada tahun yang sama, Woods didakwa atas kesalahan memandu mabuk selepas ditemui tertidur dalam keretanya di mana enjinnya belum dimatikan.

Ranking beliau juga jatuh kepada 1,199 selepas gagal melepasi pusingan kedua dalam tempoh 18 bulan.

Walaupun kemenangannya sebelum ini disambut meriah oleh peminat, kejayaannya kali ini amat berbeza sekali, membuktikan dia kembali disegani dan dihormati oleh semua generasi pemain golf.

Bekas seteru dan pemain dari pelbagai generasi seperti Benhard Langer, Ricky Fowler serta Bubba Watson datang menjabat tangannya dan mereka inilah pemain yang menjalin hubungan baik sejak sekian lama bersama Woods.

Kejayaan ini dianggap salah satu daripada kebangkitan semula yang terhebat dalam sejarah sukan.

Barca ambil iktibar kejadian PSG – Pique

GERARD Pique berkata Barcelona akan menjadikan penyingkiran Paris Saint-Germain (PSG) sebagai iktibar apabila dia menegaskan pertembungan menentang Manchester United dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) belum berakhir biarpun pasukannya melakar kemenangan, awal pagi tadi.

Barca akan mengetuai aksi timbal balik di Camp Nou minggu depan dengan bekalan tipis 1-0 ekoran kejayaan mereka di Old Trafford selepas jaringan sendiri Luke Shaw memberikan kelebihan kepada gergasi LaLiga tersebut.

Ia adalah kemenangan pertama Barca ke atas United di tempat lawan, sebaliknya Pique melontarkan amaran terhadap sikap mudah berpuas hati dengan menyorot kekalahan PSG, yang menang 2-0 di Manchester sebelum rebah 1-3 di kandang sendiri dalam pusingan 16.

“Selepas melihat apa yang mereka lakukan terhadap PSG, tiada alasan untuk mempercayai perjuangan United sudah pun berakhir,” kata Pique kepada pemberita.

“Jelas sekali ketika itu PSG merupakan pilihan untuk mara atas apa yang berlaku.

“Apa jua boleh berlaku dalam bola sepak, jadi kami perlu memberikan tumpuan yang sangat berat.”

Selepas membuka jaringan pada minit ke-12, Barca kelihatan sudah berpuas hati dengan jaringan berkenaan sehingga memberikan United ruang untuk mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, Barca begitu ampuh bertahan dengan Pique memberikan aksi jitu ketika berdepan bekas kelabnya itu.

Pique menambah: “Kami memberikan prestasi cemerlang di pertahanan, barisan pertahanan kami berada dalam prestasi terbaik musim ini.

“Jaringan awal melegakan kami dan kami tahu bagaimana untuk menangani situasi ini. Faktor tidak dibolosi sering membantu kami musim ini.

“Sangat sukar untuk bertandang ke sini, gelanggang ini merupakan tempat bersejarah, ada aura sensasi dan anda berdepan tekanan berat.”

Terbuka Malaysia: Momota tidak rela berputih mata lagi 

KETIADAAN juara bertahan, Datuk Lee Chong Wei, untuk turun mempertahankan gelaran perseorangan lelaki dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 membuka peluang buat finalis edisi lalu, Kento Momota, memburu kejuaraan ketiganya dalam tempoh dua bulan.

Tahun lalu, Momota dinafikan gelaran juara Terbuka Malaysia setelah tumpas dalam aksi final kepada Chong Wei yang menyaksikan jaguh perseorangan itu mencatat rekod menjadi perseorangan lelaki paling berjaya dalam kejohanan itu dengan 12 kejuaraan.

Ketiadaan Chong Wei yang terpaksa menarik diri berikutan masih belum cergas memberi kelegaan buat Momota yang menyifatkan pemain kebanggaan Malaysia itu sebagai lawan yang liat untuk ditumpaskan meskipun sudah berusia.

“Saya akui ketiadaan Datuk Lee Chong Wei memberi kelegaan memandangkan kurang seorang lagi pencabar sengit dalam kejohanan ini.

“Saya mengidamkan untuk memenangi gelaran Terbuka Malaysia tahun ini selepas kalah kepada Chong Wei tahun lalu,” kata pemain dari Jepun itu.

Momota dalam momentum terbaik apabila sudah menjuarai dua gelaran, iaitu Terbuka Jerman dan gelaran sulung Seluruh England, bulan lalu.

Selepas muncul rakyat Jepun pertama yang meraih gelaran di Birmingham, England, Momota bertekad untuk melakar satu lagi sejarah, menjadi rakyat Jepun pertama yang menjuarai Terbuka Malaysia dalam tempoh 82 tahun sejak kejohanan itu diwujudkan.

“Saya sudah persiapkan diri saya sebaik mungkin selepas berakhirnya Seluruh England kerana ini juga antara kejohanan yang penting buat saya.

“Saya harap kali ini mampu pulang sebagai juara,” katanya.

Olahraga GP Malaysia: Pagar terakhir sebabkan Rayzam Shah patah tangan 

JAGUH 110m kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, ditimpa kecederaan serius patah tangan kanan selepas tersandung dalam acara akhir Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, malam tadi.

Rayzam Shah, yang sedang mendahului selesa di depan tiga pelari menuju garisan penamat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, terkandas di pagar terakhir sebelum terjatuh di atas balapan hingga mendatangkan kecederaan serius.

Rayzam Shah kemudian bangun untuk menamatkan perlumbaan tetapi jelas menahan kesakitan sambil memegang tangan kanannya.

Acara itu dimenangi Benedict Ian Gawok dari Sabah dengan catatan 14.46s.

“Jelas kelihatan tangan beliau mungkin terkehel di pergelangan tangannya.

“Kami akan mengenal pasti adakah dia mengalami keretakan tulang selepas ke hospital.

“Memang malang buat Rayzam Shah kerana terjatuh di pagar terakhir.

“Kami berharap dia dapat segera pulih kerana dia diletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar.

“Nampaknya, kami perlu mengenal pasti sejauh mana tahap kecederaannya dan berapa lamakah dia akan pulih terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut,” kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.

Kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket pelawat hanya penanda aras – FAM

KEPUTUSAN sama ada untuk melaksanakan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat bergantung kepada negeri masing-masing, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Mohd Yusoff yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata kenaikan maksimum 20 peratus itu adalah sebagai penanda aras kepada negeri-negeri yang akan melaksanakannya.

“Terpulang kepada negeri masing-masing jika mahu kenakan atau tidak. Dengan adanya penanda aras ini, pasukan tuan rumah tidak boleh sesuka hati meletakkan harga melebihi paras yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-7 bagi penggal 2017-2021 di Pulau Pinang, pada Sabtu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang bersidang pada 15 Mac lalu, membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah supaya memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.

Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, 500 tiket (kapasiti di antara 20,000 sehingga 40,000) dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih daripada 40,000 tempat duduk.

Mohd Yusoff berkata pihaknya berharap isu itu tidak mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai mahupun penyokong bola sepak tempatan kerana keputusan itu bertujuan untuk mengawal harga tiket daripada terus naik mendadak.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang turut hadir dalam sidang media itu menjelaskan status jurulatih skuad bawah 18 tahun negara, Bojan Hodak, akan dimuktamadkan selepas selesai mesyuarat anggota jawatankuasa pasukan kebangsaan yang dijadualkan pada 17 April ini.

Beliau berkata buat masa ini tiada perbincangan mengenai kedudukan jurulatih itu dibuat dalam mesyuarat teknikal mahupun kebangsaan.

“Dalam mesyuarat itu juga akan diadakan undian bagi perlawanan AFC,” katanya.

Hodak sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam arena bola sepak negara berhubung kritikannya mengenai pembangunan sistem bola sepak negara.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kegagalan pasukannya untuk mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun, bulan ini.