Nadal: Ini aksi terburuk saya dalam tempoh 14 tahun 

RAFAEL Nadal menyifatkan penampilannya berdepan Fabio Fognini sebagai salah satu yang terburuk di gelanggang tanah liatnya dalam tempoh 14 tahun selepas dikejutkan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Monte Carlo Masters, malam tadi.

Pemain Sepanyol itu mengalami kekalahan sulungnya dalam kejohanan itu sejak 2015 apabila disingkirkan Fognini dalam aksi straight set untuk menempah pertemuan dengan Dusan Lajovic bagi aksi penentuan gelaran, hari ini.

Nadal mengetuai pertarungan itu 3-1 pada awal set pertama sebelum kehilangan 11 daripada 14 game berikutnya.

Pemain kelahiran Itali, Fognini, kemudiaannya melakukan beberapa gerakan menarik untuk mengejutkan juara 11 kali itu dalam aksi selama satu jam dan 36 minit.

Kekalahan itu mengakhiri rekod 18 kemenangan berturut-turut pilihan kedua kejohanan itu di Monte Carlo — Nadal tidak pernah melepaskan satu set pun di sana sejak pertembungannya dengan Kyle Edmund dalam pusingan kedua, dua tahun lalu.

Selepas kekalahannya yang jarang berlaku di gelanggang tanah liat, Nadal secara jujurnya ​​memuji Fognini sambil mengakui “segala-galanya” serba tidak menjadi buatnya.

“Jelas sekali, saya menampilkan aksi yang sangat buruk ketika menghadapi pemain yang bagus jadi dalam situasi itu, anda harus kalah,” katanya kepada media.

“Itulah yang saya lakukan hari ini. Ia hari yang sukar dan dia adalah lawan yang sukar.

“Semuanya tidak berjalan lancar buat saya hari ini. Saya mungkin telah memperagakan salah satu permainan terburuk di gelanggang tanah liat dalam tempoh 14 tahun. Hari ini saya memang patut kalah kerana saya menentang seorang pemain yang lebih baik daripada saya.”

Nadal kembali terbabit dalam Jelajah ATP di Monte Carlo selepas menarik diri dalam aksi separuh akhir Indian Wells ketika menentang Roger Federer, pertengahan bulan lalu, akibat isu lutut.

Sungguhpun kecewa ditewaskan Fognini, pemain kidal itu mengakui masalah kecederaan menjejaskannya, baik daripada segi mental dan fizikal.

“Saya baru pulih daripada kecederaan dan daripada segi mental, ia bukan mudah untuk menelan semua perkara yang sedang berlaku,” katanya.

“Masalahnya ialah, kadang-kadang kami sudah terbiasa untuk berada dalam keadaan yang sangat mantap sepanjang masa termasuk ketika baru kembali daripada kecederaan dengan kemenangan, kemenangan dan kemenangan. Ia tidak semudah itu.

“Bahkan, ia bertambah sukar untuk mengekalkan tahap yang sama pada setiap hari apabila anda tidak mempunyai keyakinan dalam kejohanan atau perlawanan secara berturut-turut dan itulah yang saya perlukan.”

Valencia umum tinggalkan Manchester United

KETUA pasukan Manchester United, Antonio Valencia, mengesahkan akan meninggalkan Old Trafford melalui satu pengumuman di Instagramnya.

 

Pemain Ecuador itu menghampiri tempoh sedekad sebagai pemain United dengan meraih enam gelaran utama di kelab berkenaan, termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Walaupun sudah pulih daripada kecederaan lutut, Valencia hanya diturunkan sekali untuk memperkuatkan The Red Devils musim ini dan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, bulan ini mencadangkan pemain sayap bertahan itu tidak akan ditawarkan kontrak baru.

Valencia, yang sebelum ini kekal tenang mengenai masa depannya di United, muncul untuk mengesahkan bahawa dia akan angkat kaki pada akhir musim ini dengan memuat naik gambar Sir Alex Ferguson Stand di laman sosialnya sambil disertai kapsyen “Terima Kasih”.

Jose Mourinho menamakan Valencia sebagai ketua pasukan menjelang musim 2018-19 tetapi dia dikritik oleh pengendali Portugis itu ekoran kurang cergas ketika lawatan pra-musim di Amerika Syarikat (AS) dan hanya diketengahkan sebanyak lapan kali sejak dilanda kecederaan.

Valencia, yang disambar dengan nilai kontrak £16 juta (RM85.9j) dari Wigan Athletic pada Jun 2009, telah melakukan 338 penampilan bersama United dan mengumpulkan 25 gol.

Perak dipukul badai kecederaan pemain

PERAK akan berdepan tragedi dalam perlawanan Liga Super menentang Pahang di Ipoh, malam esok selepas kehilangan lapan hingga sembilan pemain utama ekoran kecederaan, termasuk dua tonggak import yang menjalani penggantungan, Zach Anderson dan Lendro Dos Santos.

Firdaus Saiyadi mengalami masalah kesihatan manakala Wander Luiz, Gilmar da Silva, Shahrel Fikri Md Fauzi, Nazirul Naim Che Hashim dan Nor Hakim Hassan masih berada dalam senarai kecederaan.

Bagi ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, kehilangan sebilangan besar pemain utama itu memaksanya untuk membariskan pemain muda dan pilihan kedua untuk berdepan pasukan di tangga kedua Liga Super itu.

“Gilmar cedera, begitu juga dengan Fi (Firdaus), Fikri, Naim dan ramai lagi.

“Bagaimanapun, inilah bola sepak dan kami perlu melaluinya.

“Harap-harap kami akan beraksi baik esok,” katanya.

20 tahun MotoGP bertapak di Sepang

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjadi pemangkin pembangunan permotoran di Malaysia seiringi dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang menandakan genap 20 tahun di Sepang pada Khamis yang membangkitkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran.

“Secara semulajadi, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Tetapi secara jujur, saya tidak melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran di Malaysia. Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang juga Team Principal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Razlan dalam satu kenyataan berkata bahawa detik-detik bersejarah dilakar oleh Malaysia dalam MotoGP apabila SuperKIP (Khairul Idham Pawi) mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin Abdullah menduduki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama dalam sejarah beraksi dalam kelas MotoGP.

“Akan ada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang jika kita terus berusaha membina kejayaan dan minat MotoGP yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.

Razlan mengakui bahawa Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda Zulfahmi pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.

“Dia ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi beliau mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semain ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalami kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata ketika Sepang meraikan 20 tahun dalam MotoGP, mungkin secara kebetulan Petronas Yamaha Sepang Racing Team memiliki nombor 20 sebagai nombor persaingan dalam kelas MotoGP utama dengan penyertaan Fabio Quartararo berusia 19 tahun.

“Musim 2019 diharap akan menjadi istimewa untuk Malaysia, yang akan menganjurkan Shell Malaysia MotoGP dari 1 hingga 3 Nov,” katanya.

Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau MotoGP seperti dikenali sekarang, telah diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.

Selepas perasmian SIC, kejohanan dunia menemukan venue baharu yang menyaksikan peningkatan populariti di Malaysia, terutama selepas memperkenalkan Program Wildcard kebangsaan oleh SIC pada 2009.

MotoGP sulung di SIC adalah pembuka tirai bagi musim 1999, dan ia bermula pada 17 April dengan sesi latihan bebas untuk semua ketiga-tiga kategori 125cc, 250cc dan 500cc.

Kenny Roberts Jr dari Suzuki Grand Prix Team dinobatkan sebagai pemenang pertama kelas 500cc pada April 1999. Kelas 250cc dimenangi oleh pelumba Itali, Loris Capirossi sementara pelumba Jepun, Masao Azuma mengungguli perlumbaan 125cc.

MFL dalam fasa akhir meterai perjanjian kontrak Liga M

KUALA LUMPUR: Pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka membayar geran tahunan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam berkata selepas penamatan kontrak bersama Telekom Malaysia Bhd (TM), MFL kini berada dalam fasa rundingan terakhir bagi menandatangani kontrak penajaan baharu bersama beberapa entiti demi kelangsungan pasukan bertanding dalam Liga M.

Katanya, MFL menjangkakan segala urusan berkaitan kontrak penajaan baharu itu dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira empat minggu sebelum menyalurkan geran tahunan kepada setiap pasukan.

“Sebelum ini proses rundingan adalah dalam tahap tunjuk minat tetapi sekarang kita telah memasuki fasa rundingan serius di mana ia mungkin boleh ditandatangani dan saya berharap dalam masa empat minggu akan datang semua kontrak dapat ditandatangani.

“MFL komited dalam mencari pengganti yang akan lebih menyokong kita untuk jangka masa panjang. Kita turut berjumpa dengan pasukan-pasukan untuk menerangkan status terkini berkaitan rundingan,” katanya ketika ditemui pada majlis undian pusingan suku akhir Piala FA di sini, pada Khamis.

Menurut Kevin, sehingga kini jumlah geran tahunan kekal RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Premier, namun nilai itu mungkin berubah bergantung kepada jumlah penajaan diterima.

“Sasaran masih sama, kita cuba mendapatkan jumlah sama macam kita pernah lakukan dulu tetapi semuanya bergantung kepada kontrak-kontrak yang kita boleh tandatangani nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan setiap pasukan perlu mempunyai perancangan kewangan jangka masa panjang untuk mengelakkan daripada berdepan masalah kewangan.

Sebagai rekod, MFL sebelum ini menandatangani perjanjian selama lapan tahun bermula Januari 2017 dengan jumlah difahamkan sekitar RM480 juta untuk menguruskan Liga M.

Chelsea mara ke separuh akhir Liga Eropah

CHELSEA mara ke separuh akhir Liga Eropah selepas mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas Slavia Prague di Stamford Bridge pagi tadi.

Kemenangan suku akhir kedua itu menyaksikan Chelsea unggul dengan agregat 5-3.

Skuad bimbingan Maurizio Sarri yang berada dalam kedudukan selesa dengan berbekalkan agregat empat gol sebelum rehat dipaksa berhempas pulas apabila pasukan pelawat mula merapatkan jurang.

Bagaimanapun tiga gol yang diperolehi Slavia Praha pada separuh masa kedua tidak cukup untuk mencetuskan kejutan pasukan dari Republik Czech.

Empat gol Chelsea dijaringkan Pedro pada minit ke-5 serta 27, jaringan sendiri deli minit ke-9 dan dan Olivier Giroud minit ke-17.

Bagi Slavia Prague gol disumbang Tomas Soucek minit ke-25 dan Petr Sevcik minit ke- 51 serta 54.

Chelsea dijadualkan bertemu Eintracht Frankfurt di Jerman pada 2 Mei depan bagi separuh akhir pertama.

“Kita perlu ubah cara kita layan kaum wanita” – Mohamed Salah

PEMAIN bola sepak sensasi Liverpool, Mohamed Salah menyeru kaum lelaki Muslim seluruh dunia supaya melayan wanita dengan lebih rasa hormat.

Dalam satu temuramah dengan majalah TIME, Salah meluahkan pandangan jujur dan ikhlasnya bahawa tiada pilihan selain menyokong kepentingan hak wanita dalam masyarakat.

“Saya rasa kita perlu ubah cara kita melayani wanita dalam budaya kita.

“Ia bukan satu pilihan,” katanya.

Penyerang berusia 26 tahun kelahiran Mesir itu berkata, melihat bagaimana wanita didepani ‘dalam budaya orang Timur Tengahnya’ telah mengubah caranya memandang hal perhubungan antara jantina.

“Saya menyokong wanita lebih dari sebelum ini, kerana saya fikir mereka berhak mendapat lebih daripada apa yang dinikmati mereka hari ini.”

Namanya menjadi sanjungan rakyat Mesir selepas memimpin pasukan negara itu layak ke Piala Dunia 2018 Rusia buat pertama kali sejak 28 tahun, dan merasakan dirinya seperti ‘anak’ kepada setiap mereka.

Mengakui sedikit tertekan oleh kemasyhuran itu kerana mengetahui bahawa setiap orang meletakkan harapan tinggi di bahunya, namun itulah yang menjadi dorongan buatnya untuk terus menjadi contoh yang terbaik.

Menceritakan ringkas tentang perjalanannya sebagai seorang pemain dari Nagrig berhijrah ke Switzerland untuk beraksi bersama FC Basel, Salah berkongsi kisah mengharung kehidupan penuh liku demi mengejar impiannya.

“Pada awalnya saya amat menderita kerana bahasa, kerana budaya, kerana kerja keras.

“Tetapi, anda tahu saya gembira dapat berada di sini hari ini,” ujarnya.

Beliau menjalani musim hebat hebat di Anfield selepas berhijrah ke Liverpool dua tahun lepas, pantas menjadi sanjungan bukan sahaja para penyokong Liverpool tapi setiap mata yang memerhatikan peribadi luhurnya.

Salah dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh 2019 oleh majalah TIME, dan menjadi salah satu daripada enam muka depan bagi isu April/Mei.

Salah dilapor bergaduh dengan Klopp, mahu tinggalkan Liverpool hujung musim ini

PERTEGANGAN urat dan pertikaman lidah dikhabarkan berlaku antara penyerang ikonik Liverpool, Mohamed Salah dengan pengurus kelab, Jurgen Klopp.

Lapor sebuah akhbar Sepanyol, AS, pertelingkahan yang berlaku itu cukup membara sehingga pemain berusia 26 tahun itu dikatakan akan menyerahkan surat permohonan berpindah atau transfer request kepada pengurusan kelab supaya dilepaskan selesai musim ini.

Sejak tiba ke Anfield dua tahun lepas, Salah pantas menjadi pujaan Kopites apabila mengukir musim pertama dengan penuh gemilang selepas meledak 32 gol saingan liga, tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dalam satu kempen.

Beliau diangkat sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA, malah membawa The Reds ke final Liga Juara-Juara Eropah di Kiev yang berakhir singkat apabila bahunya terkehel selepas bertembung dengan Sergio Ramos.

Real Madrid juga menjadi sebutan sebagai antara sebilangan kecil kelab yang sedang memburu penyerang berbisa serta kemampuan kewangan mereka untuk menerbangkan Salah ke Santiago Bernabeu.

Kini, beliau berkongsi takhta dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero selaku penjaring terbanyak Liga musim ini dengan ledakan 19 gol setakat ini.

Tiga mata berjaya dikutip selepas Salah membedil Chelsea dengan roket untuk gol kedua Liverpool ketika menerima kunjungan Chelsea, terus memberikan tekanan kepada Manchester City yang berada di bawah dengan kelebihan yang satu mata dan kurang satu perlawanan.

Salah tidak terlepas untuk berkongsi maksud di sebalik gayanya meraikan gol pada perlawanan hujung minggu lepas itu yang menjadi perbualan hangat.

“Saya orang yoga! Saya amalkan yoga dan ianya terlintas dalam fikiran saya (ketika itu).”

Rentak cemerlang diteruskan apabila sekali lagi meledak untuk membantu Liverpool membaham Porto di laman mereka sendiri 1-4, melangkah penuh bergaya untuk bertemu Barcelona di pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Di sebalik persembahannya yang kian menyenangkan, berita tentang pertelingkahan yang semakin menular itu hadir sebagai sesuatu yang tidak enak khususnya buat penyokong Liverpool.

Bagaimanapun, ejen Salah, Ramy Abbas tampil menafikan perkara tersebut di Twitter, mengatakan bahawa ia satu lagi ‘laporan’ oleh AS.

The Citizens gigit jari, Spurs mara ke separuh akhir

Aksi penuh dramatik di Stadium Etihad menyaksikan Tottenham Hotspur mara ke separuh akhir Liga Juara-juara Eropah selepas mencatatkan agregat 4-4.

Walaupun tewas 3-4 dalam suku akhir kedua di tangan Manchester City pagi tadi, kemaraan Spurs disumbang kelebihan gol yang dicatatkan ditempat lawan.

Jaringan ketiga Fernando Llorente pada minit ke-73 membuatkan ‘The Citizens’ gigit jari selepas bintang Korea Selatan Son Heung-min menjaringkan dua gol awal pada minit ke-4 dan 10.

Empat gol The Citizens dijaringkan Raheem Sterling pada minit ke-4 serta minit ke-21; Bernando Silva dan Sergio Aguero masing-masing minit ke-11 dan 59.

Aksi pagi tadi turut menyumbang kontroversi selepas jaringan Raheem Sterling pada minit terakhir perlawanan dibatalkan selepas keputusan VAR mengesahkan Sergio Aguero berada di kedudukan ofsaid.

Spurs akan bertemu Ajax dalam perlawanan separuh akhir yang dijadualkan pada 30 April dan 7 Mei depan.

Liverpool mara ke separuh akhir

LIVERPOOL menepati ramalan mara ke separuh akhir Liga Juara-juara Eropah selepas menundukkan Porto 4-1 di Estádio do Dragão pagi tadi.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp mara selepas mencatatkan agregat 6-1.

Gol Liverpool dijaringkan Sadio Mane, Mohamed Salah, Roberto Firminho dan Virgil Van Dijk masing-masing pada minit ke-26, 65, 77 dan 84.

Manakala Porto memperolehi gol saguhati hasil jaringan Eder Militão pada minit ke-68

Liverpool akan bertemu Barcelona dalam saingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 30 April dan 7 Mei depan.