Manchester City hendak beli atau tidak?

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak di Malaysia binggung sama ada pemilik juara Liga Perdana Inggeris Manchester City berminat membeli salah satu kelab tempatan atau sebaliknya seperti yang disiarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Khamis lepas, delegasi City yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan City Ferran Soriano bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Syed Saddiq mengumumkan bahawa minat membeli sebuah kelab adalah salah satu daripada dua pelan awal yang dibincangkan di samping kerjasama pembangunan belia menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) serta Akademi Mokhtar Dahari (MDA) di Gambang.

Tetapi menurut teks yang diterima Tunku Ismail dari Soriano semalam, rakyat Sepanyol berusia 51 tahun itu menyebut bahawa dia berada di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan salah seorang penaja komersial mereka dan mempelajari tentang bola sepak Malaysia.

“Tuanku TMJ… Ini Ferran Soriano – City Gootball Group. Joan Laporta (bekas presiden Barcelona) memberikan saya nombor telefon tuan. Saya berlepas dari Kuala Lumpur menuju New York. Saya akan memaklumkan bila saya akan kembali ke Malaysia dan berharap dapat berjumpa dengan tuan.

“Saya berada di sini untuk bertemu dengan salah satu penaja komersial kami dan mengambil peluang untuk mempelajari lebih lanjut mengenai bola sepak Malaysia.

“Saya tahu tuan meninjau tempat latihan kami dan Pep Guardiola baru-baru ini. Saya harap kami dapat membantu atau memberitahu saya jika ada sesuatu yang boleh kami lakukan untuk tuan,” tulis Soriano.

Terdahulu, Jumaat lepas TMJ yang juga pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia menyiarkan teks yang beliau terima daripada seseorang yang bernama Tincho 2 dalam berita Instagram yang memberitahu bahawa menurut Laporta, Soriano memberitahunya bahawa mereka tidak membeli mana-mana kelab.

“Ferran memberitahu saya ia adalah keterlaluan. Dia berada di Kuala Lumpur menemui penaja. Mereka mempunyai kepentingan di Malaysia seperti di mana-mana negara lain tetapi mereka tidak membeli mana-mana kelab,” menurut teks Laporta yang Tincho 2 hantar kepada Tunku Ismail.

City Football Group diasaskan pada 2014 dan kelab yang sama telah ditubuhkan in New York.

Selain Manchester City, kumpulan itu juga memilik dan mempunyai saham dalam New York City FC (Amerika Syarikat), Melbourne City (Australia), Yokohama F Marinos (Jepin), Atletico Torque (Uruguay) and di Sepanyol Girona FC.

Mereka kemudian memperluaskan pengarah dalam dunia bola sepak dengan meningkatkan portfolio dengan membeli Sichuan Jiuniu February lepas yang merupakan kelab pertama mereka di China.

Liverpool mahu ikut dominasi City – Henderson

JORDAN HENDERSON mahu melihat Liverpool menyamai dominasi Manchester City dan mula menjulang trofi setiap musim.

Liverpool berdepan Tottenham Hotspur dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Madrid Sabtu depan dalam usaha menjulang trofi pertama sejak 2012.

City mengesahkan kejuaraan ‘treble’ musim ini, termasuk Liga Perdana Inggeris, semusim selepas menjulang dua trofi musim lalu.

Henderson, yang turut membarisi skuad yang tewas dalam final Liga Juara-Juara musim lalu, mahu melihat anak buah Jurgen Klopp itu turut berjaya seperti skuad kendalian Pep Guardiola itu.

“City memenangi tiga trofi musim ini dan kami mahu jadi begitu,” katanya.

“Kami tidak mahu mengejar satu trofi tetapi menyasarkan lebih banyak kejayaan setiap tahun.

“Jika anda melihat City, mereka tidak berhenti dengan satu piala, mereka menjulang dua atau tiga trofi semusim dan itu yang perlu kelab ini lakukan. Itu sasarannya.”

City menafikan Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun The Reds meraih 97 mata.

Henderson menegaskan pasukannya meneruskan kemaraan dan berharap dapat menggunakan kesempatan terbaik di peringkat Eropah ketika aksi di Wanda Metropolitano nanti.

“Kami tidak boleh mengubah apa yang berlaku dalam liga tetapi berpeluang dalam final Liga Juara-Juara,” tambahnya.

“Saya rasa kami agak kecewa beberapa hari tetapi bola sepak berubah dengan pantas, sama seperti fokus anda. Tiada apa yang lebih baik berbanding memberi fokus kepada final Liga Juara-Juara.

“Ini jelas sekali satu peluang keemasan buat kami dan kami mengakhiri musim ini dengan trofi.

“Jika ia tidak berlaku, sukar untuk menerimanya tetapi dalam masa sama, kami memandang ke depan menjelang musim akan datang.”

Enam individu dicalonkan rebut jawatan exco FAM

PETALING JAYA: Enam individu telah dicalonkan untuk merebut satu jawatan exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2019-2021 pada Kongres Tahunan FAM ke-55 pada 13 Julai ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata enam individu berkenaan yang memegang jawatan dalam persatuan bola sepak dan kelab, bagaimanapun, boleh menolak pencalonan berkenaan sekiranya mereka tidak berminat untuk bertanding jawatan berkenaan.

Beliau memaklumkan pemilihan exco baharu itu adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Salleh yang meletakkan jawatan pada November lepas.

“Pihak sekretariat FAM akan mengeluarkan surat kepada keenam-enam calon berkenaan, dan pada 13 Jun ini, kita akan memaklumkan (kepada pihak media) sama ada kesemua enam calon berkenaan akan bertanding ataupun tidak, kerana kesemua mereka dicalonkan oleh persatuan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelapan bagi penggal 2018-2021 di sini, pada Sabtu.

Enam individu berkenaan adalah pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar; Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Khamal Idris Ali; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah.

Tiga individu lain adalah exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar; Exco Persatuan Bola Sepak Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor; dan Timbalan Presiden 2 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong.

Dalam pada itu, Hamidin memaklumkan ahli exco FAM yang menghadiri mesyuarat pada hari ini turut bersetuju dengan beberapa pindaan Perlembagaan FAM yang akan dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan selanjutnya.

Antara pindaan berkenaan, jelas Hamidin adalah berkaitan pencalonan dan kriteria untuk pemilihan jawatan exco FAM.

Guardiola ke Juventus berita mengarut

LAPORAN yang memetik pengurus Manchester City, Pep Guardiola, telah bersetuju untuk mengambil alih Juventus adalah sesuatu “yang amat mengarut”, ulas salah seorang ahli lembaga pengarah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Laporan agensi berita Itali, AGI, semalam mendakwa Juve sudah pun mencapai kata sepakat dengan Guardiola untuk menggantikan Massimiliano Allegri yang mengumumkan perpisahannya minggu lalu.

Menurut saluran berita itu, pengurus berbangsa Catalan itu bersedia menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai €24 juta (RM112.48j) setiap musim bersama Bianconeri pada 4 Jun ini sebelum diperkenalkan kepada media, 10 hari kemudian.

Bagaimanapun, Pegawai Eksekutif Kumpulan Bola Sepak City, Alberto Galassi, menolak khabar angin tersebut sambil menyatakan Guardiola ingin terus berada di Stadium Etihad dan ia hasrat yang disampaikan sendiri oleh pengurus itu sebelum perlawanan akhir Piala FA menentang Watford, minggu lalu.

“Sebagai ahli lembaga pengarah Manchester City, saya sangat terkejut apabila membaca banyak berita yang yang tidak masuk akal,” kata Galassi kepada Sky Sport Italia.

“Yang pertama, pengurus kami mahu kekal dan kontraknya masih ada dua tahun lagi. Yang kedua, mana-mana kelab seperti Juventus tidak akan mengeluarkan berita-berita seumpama itu.

“Adalah mustahil City tidak dimaklumkan dan Juve tidak menghubungi kami beberapa hari sebelum majlis pengenalan itu diadakan. Ia satu berita yang tidak berasas dan palsu sama sekali.

“Dia tidak mahu pergi, sebab itulah masalah tidak wujud kerana ia satu berita yang tidak wujud.”

Galassi mengesahkan beliau sempat berjumpa dengan Naib Pengerusi Juve, Pavel Nedved, mengenai khabar angin tersebut.

Beliau menambah: “Kami sama-sama tertawa, kami sedar isu tersebut adalah tidak masuk akal.

“Saya minta maaf kepada peminat Juventus tetapi mereka perlu mencari calon yang lain.

“Berilah ruang kepada Pep untuk menikmati percutiannya.”

Malaysia berdepan Jepun di suku akhir Piala Sudirman 2019

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berdepan pilihan kedua, Jepun pada perlawanan suku akhir kejohanan badminton Piala Sudirman 2019 di Nanning, China.

Undian perlawanan berlangsung sejurus tamat semua perlawanan peringkat kumpulan malam tadi.

Skuad negara sah mara ke peringkat suku akhir selepas China menewaskan India 5-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan D pada Rabu.

Kemenangan kedua tuan rumah itu sekaligus membolehkan juara 10 kali itu mara ke kelompok lapan terbaik selaku juara kumpulan.

Pada Selasa, skuad negara yang tewas 5-0 pada perlawanan pertama di tangan China, bangkit menewaskan India 3-2.

Jepun muncul juara kumpulan A selepas melakar dua kemenangan mengalahkan Thailand 4-1 pada perlawanan terkakhir peringkat kumpulan.

Pada perlawanan pertama, Jepun menewaskan Rusia 3-2 pada Isnin lepas.

Sementara itu, perlawanan suku akhir lain menyaksikan tuan rumah akan berdepan Denmark, manakala juara bertahan Korea Selatan pula akan berdepan Thailand diikuti Indonesia yang akan menentang Taiwan.

MFL tidak ada agenda tertentu dalam isu lambat serah geran tahunan – TMJ

JOHOR BAHRU: Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pihaknya tidak mempunyai agenda tertentu berhubung isu geran tahunan lambat diserahkan kepada semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).

Baginda bertitah apa yang diketahuinya, MFL hanya memiliki satu sahaja agenda iaitu memajukan industri bola sepak tanah air dan oleh itu, tidak timbul soal ia mempunyai agenda lain seperti didakwa pihak tertentu.

“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri bola sepak tanah air berhak untuk bertanya (mengenai isu geran) tetapi apabila bertanya jangan pula ada buat spekulasi, macam contoh mengatakan ada ke agenda lain di dalam MFL?

“MFL ada satu sahaja agenda iaitu untuk memajukan bola sepak tanah air. Itu satu-satunya agenda MFL ada,” titahnya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Titah baginda MFL tidak bermaksud untuk lambat dalam pembayaran kerana ia sedikit ‘tergugat’ selepas berdepan dengan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia.

Tunku Ismail bertitah bagaimanapun perkara itu tidak akan digunakan sebagai alasan kelewatan itu dan MFL akan memastikan geran tahunan itu diserahkan kepada pasukan bertanding.

“Macam mana pun, kami kena serahkan tahun ini… Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada MFL,” katanya.

Baginda mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan MFL selaku pengendali Liga M mempunyai agenda tersendiri apabila melambatkan penyerahan geran tahunan kepada semua pasukan.

Tunku Ismail bertitah melihat keadaan semasa itu, terdapat keperluan untuk MFL mencari penaja daripada luar negara jika mahu melihat industri bola sepak tanah air terus berkembang.

“Kita kena cari penaja daripada luar negara supaya MFL boleh terus memberikan geran kepada pasukan-pasukan lain dan MFL sedang bekerja keras dalam hal ini,” katanya.

Ganti Irfan Bakti: Ratusan permohonan diterima – Presiden PBSNT

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui menerima ratusan permohonan bagi mengisi ‘kerusi panas’ yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau yang juga Presiden Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata permohonan tersebut bukan sahaja datang daripada jurulatih itu sendiri, malahan ejen jurulatih yang berminat untuk mengendali pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu.

“Setakat ini kita terima beratus permohonan daripada jurulatih tempatan dan luar yang berminat membimbing TFC. Bagaimanapun, kita sedang pertimbangkan daripada pelbagai sudut termasuk kemampuan kewangan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Beyond The Moon:50th Anniversary Of Moon Landing, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) petang Selasa.

Kerusi ketua jurulatih TFC kosong selepas Irfan Bakti yang pernah membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 2001 meletak jawatan secara mengejut dalam satu mesyuarat khas PBSNT, Rabu lalu.

Ahmad Samsuri berkata PBSNT memberi jaminan bahawa jawatan penting itu akan diisi dan pihaknya sedang memerhati serta mencari calon sesuai sehingga bertemu yang benar-benar layak mengembalikan kegemilangan bola sepak Terengganu.

MMA: Sage Northcutt tidak serik selepas di-KO teruk Cosmo Alexandre

PERLAWANAN pertama Sage Northcutt pada acara ‘ONE: Enter The Dragon’ di Singapura, Jumaat lalu tidak mendapat keputusan yang diharapkannya.

Petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Amerika Syarikat itu ditundukkan oleh Cosmo Alexandre yang hanya memerlukan 29 saat untuk meraih kemenangan menerusi ‘knockout’.

Akibat tumbukan padu Alexandre, Northcutt terpaksa dikejarkan ke hospital di Singapura sebaik habis perlawanan.

Memuat naik posting di akuan Instagramnya pada Ahad, bekas petarung UFC itu memaklumkan keadaan terkininya kepada umum.

Northcutt mengesahkan dia mengalami keretakan tulang pada lapan bahagian serta terpaksa menjalani pembedahan yang berlangsung selama 9 jam.

Meskipun mengalami kecederaan teruk, Northcutt sempat mengucapkan terima kasih pada ONE Championship, keluarga, rakan dan peminatnya yang sentiasa memberikan penjagaan dan sokongan yang luar biasa kepada dirinya.

Northcutt turut memetik ayat popular dari filem The Terminator, “I’ll be back” (saya akan kembali), memberikan gambaran dia akan kembali di arena MMA bersama ONE Championship.

Sebagai rekod, ini adalah kekalahan pertama Northcutt dalam masa hampir tiga tahun, menjadikan rekod terkini 11-3.

Kekalahan terakhirnya adalah ditangan Mickey Gall pada December 2016 pada acara UFC on.

Piala Sudirman: China terlalu ampuh buat Malaysia

WALAUPUN memberi tentangan kepada China, skuad badminton negara jelas tidak mampu melawan saingan tuan rumah yang terlalu ampuh untuk diruntuhkan apabila tewas 5-0 dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2019 di Nanning.

Perjuangan Malaysia dimulakan oleh beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, yang lebih baik berbanding dua pertemuan terdahulu dengan pasangan china, Liu Yuchen/Li Junhui.

Lawan yang berada di ranking kedua dunia itu dikejutkan dengan aksi kemas pasangan negara seawal set pertama yang membuahkan kemenangan 21-18 tetapi beraksi di depan penyokong sendiri membuatkan Yuchen dan Junhui menyamakan kedudukan menerusi kemenangan set kedua 21-14.

Saingan getir dalam set kedua diakhiri menerusi dua servis akhir sekali gus membolehkan wakil tuan rumah menang 24-22 untuk meletakkan China di depan.

“Memang kami ada berbincang dengan jurulatih dan pernah bertemu lawan sama dua kali tetapi kalah. Namun, kali ini menyaksikan saingan paling getir,” kata Aaron.

“Memang kecewa kerana berpeluang untuk menang. Kami bermula set pertama dengan baik dan kecewa kerana telah mendahului,” tambah Wooi Yik.

Skrip hampir sama terlakar buat perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, yang berdepan Chen Yufei apabila terlebih dahulu tewas dalam set pertama 21-15 tatkala wakil negara berusia 25 tahun itu mengheret perlawanan ke set penentuan menerusi kemenangan set kedua 23-21.

Bagaimanapun, kebangkitan Soniia tidak mampu diteruskan apabila akhirnya tunduk 21-14 untuk terus memberikan kelebihan 2-0 buat China.

“Sebenarnya, untuk aksi hari ini, saya hanya mahu turun berjuang sepenuh kudrat untuk perlawanan. Saya cuba elakkan untuk fikir bahawa Yufei merupakan pemain ketiga terbaik dunia dan hanyalah pemain biasa. Itu strategi saya,” kata Soniia.

Ketinggalan 2-0 menyaksikan harapan Malaysia terletak di bahu Lee Zii Jia yang turun bagi aksi perseorangan lelaki berdepan Shi Yuqi.

Pertemuan ketiga antara dua pemain tersebut menyaksikan Zii Jia dapat mengimbangi serangan dan corak permainan lawan tetapi tetap tunduk 21-12 dalam set pertama.

Yuqi semakin menampakkan penguasaan secara menyeluruh dalam set kedua dengan pukulan smash yang ternyata menjadi senjata utama untuk dia menamatkan saingan dengan keputusan 21-11.

“Macam saya cakap, kalau kalah tetapi kami perlu cuba yang terbaik. Sasaran utama kami bukan China dan masih perlu berdepan India. Jadi, kami akan persiapkan diri untuk berdepan India dan berfikir positif,” ujar Zii Jia.

Perlawanan keempat di antara pasangan tuan rumah yang berada di ranking kelapan dunia, Du Yue/Li Yinhui, dan wakil negara, Vivian Hoo dan Yap Cheng Yen, menyaksikan moral pemain negara jelas berada di tahap bawah apabila tewas mudah 21-18 dan walaupun mendahului 3-1 dalam babak awal set kedua, ia tetap gagal mengekang tuan rumah untuk mencipta kemenangan 21-14.

Segalanya jelas tidak berada di pihak Malaysia apabila aksi terakhir melibatkan beregu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing, menyaksikan mereka tewas 21-16, 21-12 di tangan Huang Yaqiong/Zhang Xiwei sekali gus meleburkan hasrat wakil kebangsaan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam aksi pembukaan.

Malaysia bakal meneruskan aksi Kumpulan 1D Piala Sudirman pada Selasa depan berdepan India.

Melaka nafi perpindahan Safiq ke pasukan lain

MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menafikan terdapatnya perbincangan mengenai desas-desus perpindahan Safiq Rahim ke pasukan lain.

Setiausaha agungnya, Farhan Ibrahim berkata tiada sebarang rundingan atau perbincangan antara pihak persatuan dengan pasukan lain, yang dikatakan berminat menawarkan tempat, buat pemain tengah Melaka United itu.

Beliau berkata, pihak MUSA juga tidak bercadang meminjamkan bekas kapten skuad kebangsaan itu, kepada mana-mana pasukan biarpun terdapat ‘khabar angin’ mengenai perkara berkenaan.

“Pihak persatuan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu, dan saya mengesahkan Safiq akan terus bersama skuad Hang Tuah sepanjang musim ini.

“Beliau memainkan peranan besar dalam perjalanan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, dan pastinya kemantapan pasukan akan terjejas tanpanya, terutama di barisan tengah, tambahan pula keserasiannya bersama rakan sepasukan kian menyerlah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini terdapat khabar angin mengenai Safiq, yang dikatakan bakal menyarung jersi Kedah pada jendela perpindahan liga musim ini.

Farhan berkata, setakat ini hanya empat pemain dipinjamkan kepada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana, mereka termasuk R Gopinathan ke pasukan PDRM, Wan Shukri Wan Ahmad dan Anselmo Casagrande (Pulau Pinang), Nurshamil Abd Ghani (Selangor United) serta Darko Markovic (Kuala lumpur).

Dalam pada itu, Zainal berkata beberapa pemain baharu dijangka dibawa masuk, bagi memperkuatkan barisan Melaka United pada perpindahan kedua musim ini, dan perbincangan mengenainya sedang dimuktamadkan pihak pengurusan.

“Sememangnya akan ada sedikit perubahan, dan kita sedang berurusan, kita jangka minggu hadapan ada pemain baharu untuk beberapa posisi, selain kemasukan semula pemain import dari Serbia, Luka Milunovic ke dalam pasukan ini,” katanya. — Bernama