10 bintang bola sepak dunia bakal beraksi dalam Perlawanan Amal Pilihan JDT

KUALA LUMPUR: Berita gembira buat peminat bola sepak!

Anda bakal menyaksikan satu perlawanan amal bola sepak yang akan berlangsung di Larkin pada 30 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook dan Twitter rasmi beliau, pada Khamis.

Menurut Tunku Ismail, Perlawanan Amal ‘All-Star’ antara ‘Rest of the World XI’ dan Pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menampilkan lebih 10 bekas pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia.
Bintang bola sepak itu termasuklah lagenda Portugal, Luis Figo, bekas pemain kebangsaan Brazil, Roberto Carlos dan Bebeto, bekas penyerang Argentina, Claudio Caniggia, bekas pemain bola sepak Itali, Marco Materazzi serta bekas pemain sayap Arsenal, Robert Pires.

“Sesi bersama penyokong untuk bagi mendapatkan autograf dan bergambar turut diadakan.

“Semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation,” demikian menurut Tunku Ismail.

Khabib dan keluarga pilih Mekah sambut kedatangan Syawal

JUARA lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov memilih untuk menghabiskan penghujung Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal di tanah suci Mekah, Arab Saudi.

Khabib, 30 tahun dipercayai tiba di Mekah untuk menunaikan ibadah umrah beberapa hari lepas selepas memuat naik gambarnya yang lengkap berihram di laman Instagram miliknya.

Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov juga dilihat berada di sana bersama Khabib.

Selain Khabib dan bapanya, beberapa petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Dagestan, Rusia turut berada Mekah ketika ini – antaranya Islam Makhachev, Zabit Magomedsharipov, Usman Nurmagomedov, Umar Nurmagomedov dan Tagir Ulanbekov.

Khabib kini sedang menjalani ibadah puasa, dan sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.

Dia didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.

Malaysia tewaskan Nepal 2-0 dalam perlawanan persahabatan

KUALA LUMPUR: Malaysia memenangi dua perlawanan menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi selepas menundukkan Nepal 2-0 dalam perlawanan persahabatan Tahap 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dua gol masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid dan Shahrul Mohd Saad dalam separuh masa kedua melengkapkan kemenangan Harimau Malaya dengan pasukan di ranking 161 dunia selepas kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan (ranking ke-149) dalam perlawanan “play-off” menentukan tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine, Mac lepas.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang merupakan ketua jurulatih negara bermula positif dengan menguasai perlawanan dengan usaha Syazwan Zainon dalam minit kelima terkena palang gol sebelum Muhammad Safawi merembat beberapa percubaan tetapi semuanya terus menuju penjaga gawang pelawat, Kiran Kumar Limbu.

Selepas ketandusan gol, pada separuh masa pertama, Harimau Malaya akhirnya mendapat gol sulung hasil sepakan penalti Muhammad Safawi pada minit ke-50, selepas Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan pihak lawan.

Malaysia meneruskan asakan untuk menambah jaringan sebelum Shahrul menanduk masuk bola ke dalam gawang Nepal pada minit ke-82 dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk menentang Timor Leste dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA, Jumaat ini.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Cheng Hoe menjelaskan kemenangan malam ini adalah penting untuk membina keyakinan dalam perlawanan menentang Timor Leste.

Beliau memuji keinginan dan iltizam pasukan bimbingannya biarpun dengan keadaan padang yang tidak baik mereka tetap mengasak untuk mendapatkan gol.

“Berhadapan Nepal, ia adalah motivasi yang baik buat kami…perlawanan pemanas badan yang baik yang saya lihat pilihan terbaik yang kami ada sebelum bertemu Timor Leste.

Kami perlu meningkatkan lagi prestasi terutamanya di bahagian serangan,” katanya.

Pasukan Khabib sudah mula kem latihan untuk UFC 242?

MESKIPUN pertarungan di antara Khabib Nurmagomedov dan Dustin Poirer belum diumumkan secara rasmi, tetapi nampaknya salah satu pihak telah pun memulakan persediaan bagi menghadapi kejuaraan tersebut.

Jurulatih Khabib, Javier Mendez dalam satu posting di laman Instagramnya baru-baru ini memberi bayangan seolah-olah pasukannya sudah pun memulakan kem latihan untuk UFC 242.

“Saya teruja untuk memulakan kem dengan ‘The Eagle’ Khabib Nurmagomedov jika ia menjadi kenyataan pada 7 September nanti di UFC Abu Dhabi menentang pencabar yang amat sukar iaitu Dustin Poirier,” tulis Mendez dalam postinya itu.

Khabib, 30 tahun, dijangka mempertahankan kejuaraannya lightweight yang disandangnya menentang juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Poirier meraih gelaran juara lightweight interim UFC selepas menewaskan petarung ‘favourite’ Max Holloway pada aksi UFC 236 di Atlanta, Georgia, April lalu.

Khabib kini sedang menjalani ibadah puasa, dan sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan seni bela diri campuran (MMA) selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.

Liverpool julang piala Liga Juara-Juara Eropah kali keenam

MADRID: Dua gol di awal dan penghujung perlawanan membawa Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali keenam, dalam aksi di Stadium Wanda Metropolitano pada Ahad.

Penyokong The Reds tidak perlu menunggu lama untuk berpesta apabila bintang mereka Mohamed Salah menyempurnakan penalti pada minit kedua perlawanan selepas bola terkena tangan pemain tengah Tottenham Hotspur, Moussa Sissoko.

Tiga minit sebelum masa perlawanan tamat, stadium sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong apabila pemain gantian, Divock Origi menyumbat masuk gol kedua, sekaligus memastikan kejuaraan milik Liverpool.

Kali skuad kendalian Jurgen Klopp itu memenangi Liga Juara-Juara Eropah adalah pada 2005, dan pernah menjulang trofi yang sama pada 1977, 1978, 1981 dan 1984.

FinalUCL: Firmino sedia untuk diturunkan

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan penyerang pasukan itu, Roberto Firmino cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan menentang Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Ahad.

Penyerang antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan otot dan kali terakhir membuat penampilan untuk Liverpool adalah semasa masuk sebagai pemain gantian menentang Barcelona di separuh akhir, Mei lalu.

Namun seperti pengurus bola sepak yang lain, Klopp tidak akan mengumumkan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan itu.

“Ya dia (Firmino) bersedia, jika Poch (pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino) memberitahu senarai nama kesebelasan utamanya kepada kamu (media) sila telefon saya dan saya akan beritahu kamu semua barisan pemain saya juga,” kata Klopp kepada wartawan pada sidang media di venue final, Estadio Metropolitano di Madrid.

Hanya Naby Keita masih belum pulih daripada kecederaan paha bagi skuad Liverpool.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Liverpool layak ke final UCL, selepas tewas 3-1 kepada Real Madrid di Kiev Mei tahun lepas.

Selepas tewas tiga final sebagai pengendali Liverpool sejak menjadi pengurus the Reds pada 2015, Klopp menganggap tahun ini dia mempunyai skuad yang amat berbeza.

“Tahun lepas kami tewas sebab satu gol ajaib dan dua gol pelik yang biasanya tidak masuk ke dalam gawang.

“Setakat ini, bukan nasib yang menentukan kerjaya saya. Saya tidak mempunyai masalah dengan kerjaya saya. Isteri saya sentiasa bertanya kepada saya bila perlawanan terakhir setiap musim sejak 2012, kecuali pada 2017, pasukan yang saya bimbing semua layak ke final,” kata Klopp.

Liverpool pernah memenangi kejuaraan Eropah ini sebanyak lima kali, manakala Tottenham mara ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Dalam sembilan pertemuan Liverpool di bawah bimbingan Klopp  dengan Tottenham, the Reds hanya tewas sekali dengan keputusan lain menyaskikan empat kemenangan dan empat seri.

Liverpool akan menentang Tottenham di Madrid pada 2 Jun, 3 pagi dan anda boleh saksikan perlawanan itu secara langsung di Astro, saluran 841 beIN Sports Max.

New and improved Agilan ready to face whatever challenge

KUALA LUMPUR: Malaysian mixed martial arts (MMA) sensation Agilan Thani is ready to face whatever challenges that awaits him upon his return to the ONE Championship Circle, next month.

The 23-year-old Kuala Lumpur lad will be co-headlining the ONE: LEGENDARY QUEST this June 15 in Shanghai, China against Japanese veteran Yoshihiro ‘Sexyama’ Akiyama.

Agilan, who has fought quite a number of the world’s toughest opponents seemed calmer, stronger, more composed and more mentally-prepared than ever when met at a training session at Monarchy MMA Gym on Thursday.

“I have prepared very well and made some adjustments to my camp. Right now, I feel at a hundred percent and very healthy. I’m coming back stronger than ever before.

“I want to make my fans in Malaysia and all over the world proud, so I’ve worked very hard to improve all aspects of my game. Most importantly, my confidence right now is extremely high,” he said.

The former ONE Welterweight world title challenger has gone through weeks of vigorous training at Bali MMA in Indonesia, and Monarchy MMA in preparation for this upcoming bout.

“I know I’m going to take on a legend in Yoshihiro Akiyama, but I’m ready to face whatever challenges he brings to the table.

“I don’t expect his fight to be easy, but I promise I’m going to be the best version of Agilan Thani possible on fight night,” he said.

With a MMA record of 9-3, Agilan captured the Malaysia Invasion (MIMMA) amateur championship title before turning professional, winning six bouts in a row on the global stage of ONE Championship to earn a shot at Ben Askren’s coveted title.

However, this time Agilan revealed he would not be rushing for a second title shot, and prefers to wait when the opportunity comes.

FAM tidak lanjutkan khidmat Bojan Hodak

KUALA LUMPUR: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, itu nasib jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali dari Croatia itu hujung Julai ini.

Mac lalu, Hodak mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sistem bola sepak negara sejurus selepas anak buahnya tewas buat kali kedua dalam Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun.

Kritikan bekas jurulatih Kelantan itu mengundang rasa kurang senang FAM yang menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak bertanggungjawab terhadap keputusan kurang baik yang diraih pasukan.

Ketika nasibnya ibarat telur di hujung tanduk, FAM dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kelapan di ibu negara baru-baru ini telah memutuskan kedudukan jurulatih itu.

“Kami telah mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Bojan selaku ketua jurulatih skuad B-19 negara,” katanya.

Stuart, bagaimanapun, menafikan keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan Hodak berkenaan, sebaliknya badan induk itu mahu mahu menyuntik falsafah baru dalam skuad pelapis kebangsaan.

“Luahan perasaan tiada kaitan dengan keputusan ini. Kami hanya memberikan keutamaan kepada pembangunan skuad ini,” ujarnya.

Difahamkan, penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, akan dilantik untuk menggantikan tempat Hodak sebagai jurulatih skuad B-19 negara.

“Kami sedang berbincang dalam usaha untuk menggunakan jurulatih dalam FAM dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Kolaborasi dengan Manchester City pasti jadi kenyataan – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan kolaborasinya dengan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, menjadi kenyataan.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata mesyuarat mengenainya diadakan di bangunan Kementerian itu Khamis lepas, melibatkan kehadiran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Dalam mesyuarat itu bukan hanya saya seorang. Pegawai saya dan pegawai Manchester City juga ada, mereka dengar (berkaitan pembelian kelab) dan sebelum sidang media juga saya telah maklumkan untuk bercakap mengenai dua perkara berkenaan. Ia dipersetujui.

“Sesetengah orang langsung tidak boleh menerimanya (berita ini) tapi tak apalah, ia bermakna kita perlu bekerja keras untuk melaksanakannya, bukan itu sahaja, tapi juga dari segi kolaborasi masa hadapan dengan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (MDA).

“Apa yang saya mahu ialah semua orang, tidak kira siapa, untuk datang dan bersama kita bina bola sepak negara,” katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa disebabkan perancangan dalam tempoh yang terlalu singkat, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak dapat menghadiri mesyuarat dengan CEO Manchester City Ferran Soriano itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul dari CIMB kerana menghadiri mesyuarat itu. Kami akan memaklumkan FAM mengenainya,” tambahnya.

Berhubung perbincangannya dengan pemilik Manchester City Khamis lepas, Syed Saddiq berkata pemilik kelab itu sedang menimbang kemungkinan membeli salah satu daripada kelab bola sepak di Malaysia.

Menurutnya ia adalah satu daripada dua pelan awal yang dibincangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan delegasi Manchester City yang diketuai oleh CEO Ferran Soriano dalam pertemuan di Menara KBS minggu lepas.

Dari perspektif kementerian, Syed Saddiq berkata beliau berharap kolaborasi itu juga akan memberikan impak positif kepada pembangunan belia menerusi NFDP dan juga Akademi Mokhtar Dahari di Gambang.

Nyjah Huston & Pamela Rosa juara SLS London

KEJOHANAN kelayakan Olimpik Tokyo 2020 bagi sukan papan selaju yang pertama, Street League Skateboarding (SLS) di London menyaksikan Nyjah Huston dari Amerika Syarikat memenangi kategori lelaki manakala Pamela Rosa dari Brazil muncul juara kategori wanita.

SLS London merupakan hentian pertama bagi atlet papan selaju dari seluruh dunia untuk memungut mata ranking ke Olimpik, dimana kesemua empat benua ahli gabungan Olimpik berhak menghantar wakil.

Juara dunia tahun lalu, Nyjah mengatasi pencabar terdekatnya, Gustavo Ribeiro dari Portugal apabila memungut 36.7 mata keseluruhan daripada 2 run dan 2 best trick.

Ribeiro yang diberi peluang mengulangi run pertamanya selepas terjatuh apabila papan selajunya tersangkut pada sebutir batu di gelanggang, mengutip 8.1 dan 8.8 pada run pertama dan kedua.

Pada pusingan best trick, Ribeiro melengkapkan tiga daripada lima percubaan best trick, namun tidak mampu mengatasi kutipan mata Huston dan terpaksa berpuas hati dengan menamatkan saingan di tempat kedua dengan 35.9 mata.

Wakil Australia, Shane O’Neill melengkapkan podium dengan 34.8 mata.

Dalam saingan wanita, Rosa mengutip 26.3 mata untuk mengatasi wakil Australia, Hayley Wilson dengan hanya 0.01 mata.

Rakan senegara Rosa, Jhulia Rayssa Mendes Leal pula mendapat tempat ketiga dengan 26 mata.

SLS London menyaksikan 12 atlet wanita yang terbaik dari Kelayakan Terbuka Global mara ke separuh akhir di London untuk bersaing dengan 18 atlet wanita terbaik dari Kejohanan Dunia SLS World Skate 2018.

Manakala 10 atlet lelaki terbaik dari Kelayakan Terbuka Global mara ke suku akhir SLS London untuk bertemu dengan atlet ranking ke-21 hingga ke-38 dari kejohanan dunia tahun lepas.

10 yang terbaik dari suku akhir mara ke separuh akhir untuk bersaing dengan 20 atlet lelaki terbaik dari Kejohanan Dunia SLS World Skate 2018.