Harimau Malaya melonjak ke ranking 159 dunia FIFA

HARIMAU MALAYA berjaya melonjak sebanyak sembilan anak tangga ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk berada di tangga ke-159 dunia, berdasarkan kemas kini terkini ranking FIFA pada 14 Jun.

Kedudukan itu lebih baik berbanding negara jiran, Indonesia yang berada di tangga ke-160, diikuti Singapura (162), manakala Vietnam yang terbaik bagi rantau Asia Tenggara dengan ranking ke-96.

Pada kemas kini ranking FIFA pada 4 April, Malaysia jatuh satu anak tangga kepada 168.

Peningkatan ini menyaksikan Harimau Malaya berada di kedudukan ke-31 dalam pasukan-pasukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Peningkatan ini selaras dengan sasaran strategik peta hala tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) F-30 yang mahu mencabar pasukan terbaik Asia di samping meletakkan Harimau Malaya dalam kelompok 100 terbaik dunia menjelang 2026.

Ranking keseluruhan FIFA menyaksiakan Belgium kekal di kedudukan nombor satu dunia diikuti Perancis, Brazil dan England.

Juara Liga Negara Eropah UEFA (UNL), Portugal naik dua anak tangga ke tempat kelima dunia.

Hoki: Malaysia lakar kejutan ke separuh akhir pusingan akhir siri FIH

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara melakukan kejutan apabila menyingkirkan Perancis 3-2 pada perlawanan ‘play-off’ untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Siri Akhir FIH di Kelab Hoki Banbridge, Ireland Utara, malam tadi.

Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia menentang Korea Selatan, selaku juara Kumpulan B, pada aksi separuh akhir, Sabtu ini.

Biarpun Perancis menguasai sebahagian besar perlawanan tersebut, namun skuad bimbingan Dhaarma Raj Abdullah enggan menyerah apabila mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraini Rashid.

Gol pembukaan tersebut menyuntik semangat skuad Malaysian Tigress untuk terus melakukan serangan sehingga berjaya menggandakan jaringan pada minit kelapan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Fatin Sukri.

Bagaimanapun, Perancis merapatkan jaringan melalui jaringan padang Delfina Gaspari pada minit kesembilan sebelum Hanis Onn meletakkan Malaysia pada kedudukan 3-1 dengan jaringan padang pada minit ke-15 pada suku pertama perlawanan.

Pada suku kedua perlawanan, Perancis sekali lagi merapatkan jaringan dengan gol pukulan sudut penalti oleh Guusje Van Bolhuis pada minit ke-26.

Bagaimanapun, skuad Malaysia Tigress berjaya memberi tentangan sengit pada dua suku terakhir perlawanan untuk mengekalkan kedudukan serta mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Pada satu lagi aksi separuh akhir Sabtu ini akan menyaksikan tuan rumah, Ireland akan berdepan dengan pemenang perlawanan antara Scotland dan Republik Czech yang akan berlangsung lewat hari ini.

Dua pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.

Chong Wei bakal umum persaraan?

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung spekulasi mengenai persaraan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bakal terjawab esok.

Menerusi satu jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 37 tahun itu akan mengadakan satu sidang media khas di Menara KBS, Putrajaya pada 12.30 tengah hari.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Jumaat lepas, media melaporkan Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia dijangka membuat pengumuman berhubung masa depan kerjayanya, minggu ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu menegaskan pengumuman hanya akan dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan BAM dan barisan jurulatih.

Beliau sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lepas bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

BAM persiapkan barisan pemain perseorangan lelaki isi slot Chong Wei

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang mempersiapkan barisan pemain muda jika jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara dari arena badminton tidak lama lagi.

Pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann berkata, selain tiga pemain senior – Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei dan Soong Joo Ven – mereka juga menampilkan beberapa pemain baharu yang berbakat seperti Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King yang diserapkan ke skuad senior awal tahun ini.

Turut disenaraikan dalam barisan yang bakal ditampilkan ialah Leong Jun Hao, Muhammad Ziyad Md Tah, Tan Jia Wei dan Lim Chi Wing.

Spekulasi mengenai persaraan Chong Wei bertiup kencang selepas pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu dilaporkan telah bertemu presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan para jurulatih untuk membincangkan masa depannya.

“Zii Jia menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Bagi Cheam dan Soong, kami telah menyaksikan beberapa peningkatan tetapi belum mencukupi berbanding apa yang telah dicapai oleh Zii Jia sejak enam bulan terakhir hingga satu tahun,” kata Choong Hann.

“Bagi pemain muda, mereka berpotensi. Mereka berusaha keras untuk membina penampilan, berat badan dan meningkatkan kekuatan. Dan mereka dapat menyesuaikan dalam slot senior dan intensiti latihan sekarang. Kami akan meneruskan usaha untuk membina kekuatan mereka,” kata beliau kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara pada Selasa.

Choong Hann menarik perhatian bahawa jabatan kejurulatihan sedang menyesuaikan perancangan pertandingan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain-pemain berkenaan untuk beraksi pada kejohanan bagi meningkatkan prestasi mereka.

Tetapi, beliau mengaku bahawa ia agak sukar untuk beraksi pada International Series (IS) atau Cabaran Antarabangsa (IC) tanpa platform atau ranking yang tinggi.

“Kami mendapati sukar untuk menimba pengalaman tanpa dapat beraksi. Kami menyesuaikan perancangan pertandingan agar mereka diberi peluang beraksi untuk memperbaiki diri mereka. Mereka telah giat menjalani latihan dan memperoleh slot untuk beraksi pada pertandingan.

“Kami sedang mengenal pasti kira-kira enam hingga lapan pertandingan dalam tempoh enam bulan ini. Menjelang akhir tahun ini, banyak persaingan serantau adalah seperti kejohanan utama. Kami sedang menyesuaikannya untuk mengasah bakat mereka, ” katanya.

Choong Hann berkata sudah tiba masanya bagi pemain-pemain berkenaan mula untuk mempamerkan pencapaian yang membanggakan atau memberi cabaran kepada beberapa pemain ranking lebih tinggi.

Beliau berkata jika pemain mengekalkan pencapaian cemerlang mereka, mereka bakal menjadi pemain yang berkaliber dalam masa satu atau dua tahun.

“Sekiranya mereka beraksi di peringkat akhir, atau mungkin memenangi IC atau IS, itu boleh menjadi ukuran bagi menuilai pencapaian mereka. Mereka harus mula menunjukkan pretasi yang baik berdasarkan pemerhatian pasukan kejurulatihan kami, dalam tempoh satu setengah tahun, ” kata beliau.

Kelayakan Euro 2020: Amukan dalam babak kedua kekal rekod bersih Sepanyol

MADRID: Sepanyol melakarkan rekod empat kemenangan berturut-turut dalam pusingan kelayakan Euro 2020 dengan menewaskan Sweden 3-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi walaupun tanpa dihadiri ketua jurulatih, Luis Enrique.

Enrique masih diberikan waktu rehat ekoran masalah keluarga yang dialaminya sejak Mac lalu, namun pembantunya, Robert Moreno, kekal membawa pasukan itu ke landasan tepat dengan Serio Ramos, Alvaro Morata dan Alvaro Oyarzabal menjaringkan gol dalam 26 minit terakhir untuk meletakkan Sepanyol berkelebihan lima mata di puncak Kumpulan F.

Sweden boleh menganggap diri mereka amat bernasib baik untuk mengikat kedudukan sepanjang babak pertama apabila penjaga golnya, Robin Olsen, dipaksa bekerja keras untuk beberapa kali menyelamatkan keadaan dan jaringan Dani Parejo pulan dibatalkan secara kontroversi.

Bagaimanapun, Sepanyol menemui cara untuk menundukkan Olsen menerusi sepakan penalti Sergio Ramos sebelum Morata menjaringkan gol sepakan penalti kedua dan Oyarzabal melengkapkan kemenangan itu bagi mengekalkan rekod bersih pasukannya.

Sepanyol tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan dan mereka hanya memerlukan 14 minit untuk memberikan ancaman apabila percubaan jarak jauh Fabian Ruiz diselamatkan oleh gerakan akrobatik Olsen.

Ia merupakan aksi menyelamat menakjubkan pertama daripada empat yang dilakukan penjaga gol itu dengan dia turut terpaksa menepis keluar percubaan voli Parejo, menolak keluar tandukan Ramos dan memastikan percubaan Isco digagalkan.

Tidak berapa lama selepas itu, hasrat Sepanyol untuk memecah kebuntuan dalam babak pertama dinafikan pengadil selepas Parejo terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menyudahkan hantaran Rodrigo Moreno.

Semangat itu dikekalkan La Roja dalam babak kedua, namun mereka hanya memecah kebuntuan itu selepas sejam perlawanan dengan Ramos mudah menyudahkan sepakan penalti yang diberikan selepas Sebastion Larsson didapati menggunakan tangan ketika menghalang hantaran lintang Marco Asensio.

Morata — yang masuk menggantikan Assensio — mengikuti jejak Ramos lima minit kemudian dengan menyudahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh terjahan keras Mikael Lustig.

Kemenangan itu dilengkapkan dengan gol ketiga, tidak lama selepas itu apabila Oyarzabal menghasilkan sepakan lencong gemilang dengan kaki kirinya bagi menyudahkan hantaran Fabian.

Bekas pemain Red Sox David Ortiz cedera ditembak

SANTO DOMINGO: Bekas pemain Boston Red Sox, David Ortiz dilaporkan cedera akibat ditembak di kampung halamannya di Santo Domingo, Republik Dominica.

Memetik laporan Reuters, Ortiz, 43, ditembak dari jarak dekat di bahagian belakang dalam satu serangan hendap di sebuah bar, pada Ahad lalu.

Menurut polis tempatan, dua lagi individu turut cedera dalam kejadian tersebut, di mana salah seorangnya merupakan pengacara TV yang dikenali sebagai Jhoel López.

Polis memaklumkan, suspek telah ditangkap dan dipukul oleh orang ramai sebelum disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Bintang besbol itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan dan sedang dirawat di sebuah hospital di ibu kota berkenaan.

Ortiz bermain untuk Red Sox selama 14 musim sebelum bersara pada 2016.

Rafael Nadal raih gelaran ke-12 Terbuka Perancis

RAFAEL Nadal meraih gelaran ke-12 kejohanan tenis Terbuka Perancis selepas menewaskan Dominic Thiem 6-3 5-7 6-1 6-1 di Stade Roland-Garros, Paris, sebentar tadi.

Pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu kini memegang sebanyak 18 gelaran Grand Slam.

Dia turut menjadi pemain pertama yang memenangi kejuaraan Grand Slam yang sama sebanyak 12 kali, melepasi 11 gelaran Terbuka Australia oleh Margaret Court.

Dalam aksi pada Ahad itu, Nadal mendahului dengan memenangi set pertama, namun Thiem, berjaya menyamakan kedudukan dengan memenangi set kedua.

Dia kemudian mengatasi kedudukan dengan kemenangan besar pada set ketiga dan keempat, sekali gus menghadiahkan kemenangan ke-12 untuknya di Roland Garros.

Nadal mara ke final selepas menyingkirkan seteru utamanya, Roger Federer menerusi kemenangan straight set dalam aksi separuh akhir, Jumaat lalu.

Penjaga gol terkenal Syria, Abdel Basset Sarout gugur dalam pertempuran

PEMAIN bola sepak terkenal dari Syria, Abdel Basset Sarout dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran kumpulan pemberontak dengan tentera rejim Presiden  Bashar Al Assad.

Abdel Basset merupakan penjaga gol pasukan Homs dan beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Singer of the Revolution’ kerana menyanyikan lagu permbakar semangat sewaktu perhimpunan yang menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan tentera Bashar yang tercetus pada 2011.

Dia juga merupakan komander kumpulan pemberontak Jaish Al Izza meninggal dunia selepas cedera ketika bertempur di utara Hama.

Jurucakap kumpulan itu berkata semangat Abdul Basset akan kekal bersama mereka dalam perjuangan menentang rejim Bashar.

Sementara itu ketegangan terus memuncak di wilayah utara Syria selepas pihak tentera menyerang kubu kuat terakhir pemberontak.

Pertempuran di Idlib dan Hama juga merupakan kemaraan tentera kerajaan terbesar dalam siri pertempuran bersama puak pemberontak.

Bintang Chelsea, Eden Hazard sah milik Real Madrid

EDEN Hazard disahkan  menyertai kelab bola sepak Sepanyol, Real Madrid dengan yuran perpindahan dipercayai melebihi 150 juta pound (RM793 juta)

Perpindahan pemain antarabangsa Belgium itu ke Galacticos membabitkan kontrak lima tahun dan ketika ini  Hazard hanya perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum boleh beraksi di Liga Sepanyol.

Bekas bintang Chelsea itu dijangka dipersembahkan kepada umum sebagai pemain Real Madrid pada 13 Jun ini.

Sepanjang tujuh musim bersama Chelsea, Hazard telah menjaringkan 110 gol dengan 352 penampilan.

Hazard juga telah membantu Chelsea memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga Europa sebanyak dua kali, Piala FA serta Piala Liga Inggeris.