‘Memalukan’: Jerman alami kekalahan pertama kelayakan Piala Dunia dalam 20 tahun

DUISBURG: Kelakonan pasukan Jerman disebut sebagai “memalukan” setelah mereka mengalami kekalahan peringkat kelayakan Piala Dunia yang pertama dalam 20 tahun, apabila tewas 2-1 di padang sendiri kepada Macedonia Utara.

Jurulatih Joachim Loew pada Rabu (31 Mac) berkata di akhir perlawanan: “Kekecewaan ini besar.”

Pemain tengah Napoli, Eljif Elmas menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan, selepas Jerman menyamakan kedudukan melalui tendangan penalti Ilkay Gundogan setelah penyerang berusia 37 tahun, Goran Pandev menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Akhbar Jerman dengan pantas melontarkan kritikan.

“Amat memalukan!” kata akhbar harian Bild di laman web mereka.

“Kejutan Teruk” kata majalah bola sepak Kicker dan akhbar FAZ yang berpangkalan di Frankfurt.

Juara dunia empat kali itu tidak pernah gagal melayakkan diri ke kejohanan terbesar bola sepak itu, tetapi tidak menyertai pertandingan sulung pada 1930 dan dilarang pada 1950.

“Hakikatnya adalah, keadaan ini seharusnya tidak dibiarkan berlaku,” akui kapten pengganti Gundogan selepas kekalahan pertama kelayakan Piala Dunia Jerman sejak ditewaskan 5-1 oleh England pada 2001.

“Lebih menyakitkan lagi kerana tidak banyak yang akan berlaku untuk dua bulan,” tambahnya kerana Jerman tidak akan bermain lagi sehingga perlawanan pra musim Euro 2020 pada Jun.

“Kami perlu berada dalam prestasi terbaik sebelum hujung Mei dan bersiap sedia untuk pertandingan (kejuaraan Eropah).”

Jerman berhadapan dengan juara dunia, Perancis dan juara bertahan Portugal dalam kumpulan kejohanan Eropah mereka.

Kekalahan itu satu hambatan terbaru yang dialami Jerman, setelah mereka ditewaskan 6-0 oleh Sepanyol November lalu dan penyingkiran peringkat kumpulan yang mengejutkan semasa Piala Dunia 2018 di Rusia.