MANCHESTER: Manchester City, Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur pada Selasa (20 Apr) menarik diri daripada usulan untuk menubuhkan Liga Super Eropah (ESL) sedang pelan itu terpalit dengan kontroversi dan dikritik hebat.
Chelsea dilaporkan juga akan berbuat demikian, meninggalkan hanya enam pasukan – Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus – yang masih terlibat dalam projek itu.
Reaksi terhadap pelan itu semakin lantang, dengan tokoh-tokoh politik dan pihak berkuasa bola sepak mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab-kelab terlibat, yang turut dimaklumkan bahawa mereka mungkin akan diharamkan daripada pertandingan domestik dan peringkat Eropah.
“Manchester United tidak akan mengambil bahagian dalam Liga Super Eropah,” umum juara Liga Perdana England (EPL) sebanyak 20 kali itu dalam kenyataannya.
“Kami telah mendengar dengan teliti reaksi dari para penyokong kami, pemerintah United Kingdom dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Kami tetap komited untuk bekerjasama dengan seluruh masyarakat bola sepak untuk mencapai huraian-huraian yang mampan bagi menangani cabaran-cabaran jangka panjang yang dihadapi oleh sukan ini.”
Kapten Liverpool Jordan Henderson turut menyuarakan bantahannya terhadap pelan tersebut bagi pihak pasukannya di Twitter.
Dalam kenyataannya, Liverpool menyatakan: “Kelab Bola Sepak Liverpool mengesahkan bahawa pelibatan kami dalam pelan yang diusulkan untuk menubuhkan Liga Super Eropah sudah dihentikan.
“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kelab ini telah menerima perwakilan daripada pelbagai pihak berkepentingan, baik dari dalam mahupun dari luar dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan berharga mereka.”
Arsenal melangkah lebih jauh dengan meminta maaf kepada para penyokongnya kerana salah menilai langkah untuk menyertai usulan tersebut.
“Bukan niat kami untuk mencetuskan kegelisahan seperti itu, namun ketika menerima undangan untuk menyertai Liga Super, walaupun mengetahui tidak ada jaminan, kami tidak mahu ketinggalan bagi memastikan kami dapat melindungi Arsenal dan masa depannya,” menurut The Gunners. dalam kenyataannya.
“Hasil daripada mendengar maklum balas anda dan masyarakat bola sepak yang lebih luas sejak beberapa hari kebelakangan ini, kami memutuskan untuk menarik diri dari Liga Super yang diusulkan itu. Kami melakukan kesilapan, dan kami meminta maaf atas kesilapan ini.”
Pada awal Selasa, Manchester City menyatakan dalam kenyataannya bahawa ia “secara rasmi sudah memulakan prosedur untuk menarik diri dari kumpulan yang mengusulan pelan bagi Liga Super Eropah”.
Sebanyak 12 kelab bola sepak terkemuka Eropah mengumumkan pada Ahad bahawa mereka akan melancarkan Liga Super meskipun menghadapi tentangan yang meluas dari dalam dan luar sukan tersebut.
ESL dengan 20 pasukan itu dirancang oleh gergasi-gergasi bola sepak Eropah untuk menjamin pendapatan dari perlawanan antara satu sama lain tanpa risiko gagal melayakkan diri bagi 12 anggota pengasasnya.
Pelan itu bagaimanapun dikritik hebat oleh para pemain dan juga pengurus mereka sendiri kerana dianggap elitis.
Badan-badan pentadbir sukan, pasukan-pasukan lain dan kelab-kelab penyokong berpendapat langkah itu akan mengukuhkan pengaruh dan kemewahan kelab-kelab elit dan struktur sedemikian bertentangan dengan model bola sepak Eropah yang sudah sekian lama ditubuhkan.
Liga Super bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas tentang komen-komen tersebut.