Zhafri impi KL kembali digeruni

Kuala Lumpur: Penampilan untuk tahun keenam bersama Kuala Lumpur pada musim depan buat Zhafri Yahya, pasti mahu dilihat dari sudut berbeza buat pemain berusia 26 tahun itu yang mahu mencipta lebih banyak sejarah gemilang bersama skuad warga kota.

Penampilan semula di Liga Super selepas pernah merasainya selama dua musim pada 2018 dan 2019, menjadi azimat terbaik buat Zhafri dan rakan-rakan yang berharap Kuala Lumpur lebih bersedia memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan elit.

Dia mengakui tidak rela melihat Kuala Lumpur sekali lagi perlu bergelut dalam mempertahankan slot mereka di Liga Super seperti mana dialami sebelum ini dan mempertaruhkan kepercayaan kepada pihak kejurulatihan serta pengurusan dalam mendapatkan pemain-pemain yang boleh membantu pasukan.

”Sejak bersama Kuala Lumpur dari 2016, pelbagai cabaran serta pengalaman pahit manis yang saya telah lalui dan musim depan, saya sekali lagi dapat berpeluang membantu Kuala Lumpur di Liga Super.

”Pengalaman selama dua musim di Liga Super pada 2018 dan 2019 mungkin dapat membantu saya selain tahu apa diperlukan bagi membantu Kuala Lumpur berikan saingan.

”Selain itu, saya harap pasukan juga akan dibantu pemain-pemain yang boleh memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan kerana cabaran di Liga Super sangat berbeza memandangkan semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang,” katanya.

Zhafri adalah produk Piala Presiden Selangor dibawa oleh bekas jurulatih, Ismail Zakaria pada musim 2016 ketika Kuala Lumpur di saingan Liga Premier sebelum skuad warga kota itu muncul juara pada 2017.

Sudah mengumpul 110 kaps dengan 94 bermula di kesebelasan utama, Zhafri yang beraksi di posisi tengah adalah pemain paling senior di dalam pasukan Kuala Lumpur buat masa ini. Pada musim ini, Zhafri bermula dalam tujuh daripada sebelas perlawanan Liga Premier dan secara keseluruhan, dia telah menjaringkan lapan gol buat Kuala Lumpur sejak bersama pasukan dari 2016.

Dalam pada itu, Zhafri memberikan penghargaan kepada Kuala Lumpur yang menjadi medan buatnya meneruskan karier selaku pemain bola sepak profesional malah dia sendiri tidak menyangka terus kekal bersama pasukan sehingga hari ini.

”Kalau memang diikutkan, Kuala Lumpur ini diibaratkan seperti tempat saya merasai bola sepak sebenar dan banyak perkara yang saya pelajari sehingga mematangkan saya sebagai pemain,” katanya.