Saingan domestik atau pentas Asia?

ITU dilema yang sedang dialami pasukan handalan Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menetapkan September hingga November depan sebagai tempoh baru untuk menyambung semula saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

JDT muncul wakil tunggal Malaysia yang membawa cabaran dalam ACL.

Diletakkan harapan untuk membanggakan negara, skuad Harimau Selatan itu, bagaimanapun, berdepan situasi berbelah-bahagi.

Ia susulan jadual ACL berisiko untuk bertembung dengan perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia, yang akan disambung semula September depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, berkata: “Perlu diingatkan di sini bahawa AFC terpaksa menghabiskan liga ini (ACL) sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab.

“Kami perlu mencari juara, jadi Disember depan tidak boleh digunakan tetapi liga domestik boleh dijalankan sehingga 31 Disember depan.

“Setakat ini, belum ada sebarang pasukan yang ingin menarik diri.

“Kita perlu lihat perancangan dan pelaburan mereka.

“Siapa yang melakukan pelaburan yang lebih besar tidak akan menarik diri,” katanya.

Situasi itu berlaku disebabkan perjalanan bola sepak domestik dan antarabangsa terhenti sejak Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi melancarkan semula perjalanan ACL, AFC turut merombak format kejohanan itu, antaranya menerusi format satu tuan rumah bagi setiap kumpulan.

“Kami perlu mencari tuan rumah yang dapat memberikan sedikit kebebasan tetapi perlu diingat, segala aspek kesihatan perlu diambil kira. Itu yang penting.

“Yang kedua, ia melibatkan infrastruktur kesihatan negara tuan rumah itu sendiri.

“Mereka mesti mempunyai satu infrastruktur seperti hospital yang terbaik dan juga mempunyai satu protokol untuk merawat ataupun memberikan sokongan kesihatan kepada pasukan-pasukan dan sebagainya,” tambahnya.