Khairul Idham Pawi terlepas peluang beraksi GP Sepanyol kerana kecederaan jari

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi terlepas peluang untuk beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini selepas jari kelingking tangan kanannya retak.

Khairul Idham dari Petronas Sprinta Racing kemalangan ketika melalui Selekoh 5 dengan berbaki tiga belas minit pada sesi latihan bebas di Litar Jerez-Angel Nieto pada Jumaat.

Dia digegaskan ke Pusat Perubatan di litar sebelum disahkan tidak cergas untuk meneruskan perlumbaan.

Pelumba kelahiran Perak berusia 20 tahun itu kemudian segera dipindahkan ke Hospital Virgen del Rocio di Seville sebelum diterbangkan ke Barcelona untuk menjalani pembedahan.

Pengarah Petronas Sprinta Racing Team, Johan Stigefelt menyifatkan Khairul Idham dirundung malang apabila dia bermula dengan garang dan untuk berada di posisi keenam pada satu ketika semasa sesi latihan bebas.

“Nasib Khairul Idham amat malang hari ini. Dia memulakan saingan dengan baik – catatannya selepas menamatkan pusingan pertama adalah lebih pantas daripada yang pernah dicatatkannya pada perlumbaan hujung minggu di sini.

“Beliau beraksi dengan baik di atas trek dan bersedia untuk pusingan keenam apabila terlibat dalam kemalangan.

“Malangnya, jari kelingking tangan kanannya, jadi dia perlu dipindahkan ke hospital di Seville untuk menerima rawatan lanjut.

“Dia akan menjalani pembedahan pagi esok di Barcelona, kami akan memaklumkan perkembangannya kemudian.

“Saya bersimpati dengan keadaannya dan juga pasukan tetapi kami sentiasa memberi sokongan kepadanya dan mendoakan semoga dia segera sembuh.” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Fabio Quartararo yang mewakili Petronas Yamaha SRT membuat permulaan yang baik pada hari pembukaan MotoGP Sepanyol pada Jumaat selepas menduduki tempat 10 teratas.

Quartararo menduduki tangga kelapan dengan catatan 1 minit 38.209 saat sementara rakan sepasukannya Fraanco Morbidelli berada di tempat kesebelas dengan masa 1:38.478s.

Dua wakil negara mara ke separuh akhir Terbuka New Zealand

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu profesional lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mencipta kejutan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand selepas menundukkan pilihan keempat kejohanan, Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun, pada Jumaat.

Tewas dalam dua pertemuan terakhir, V Shem-Wee Kiong dipaksa bekerja keras pada aksi suku akhir sebelum mencatat kemenangan 21-18, 22-24, 21-12 ke atas pasangan di ranking ke-13 dunia itu dalam tempoh 69 minit di Stadium Eventfinda, Auckland.

V Shem-Wee Kiong akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang mengetepikan cabaran beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 18-21, 21-19, 21-14.

Turut mara ke kelompok empat terbaik adalah pasangan beregu campuran profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan membuat perhitungan berdepan pilihan keempat dari Indonesia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mudah menundukkan ‘rakan lama’ yang juga pasangan negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jin apabila hanya memerlukan 35 minit untuk melakar kemenangan 21-16, 21-11.

Sementara itu, perjalanan empat lagi wakil negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas kecundang kepada lawan masing-masing.

Pasangan beregu campuran yang diletakkan selaku pilihan ketiga, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas mengejut kepada pasangan pilihan kelima dari Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 14-21, 19-21.

Dalam acara beregu lelaki pula menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pilihan pertama, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun apabila tewas 21-17, 15-21, 10-21 sementara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 7-21, 18-21 kepada satu lagi pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut terkandas selepas gagal menyaingi ketangkasan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan kekalahan 17-21, 21-11, 19-21.

Cowboy tumpaskan Al Iaquinta, buka cabaran kepada McGregor pula

PETARUNG UFC berpengalaman, Donald ‘Cowboy’ Cerrone sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dalam acara utama di UFC Ottawa, Ontario, Kanada.

Cerrone, 36 tahun bertarung menentang ‘Raging’ Al Iaquinta, 32 tahun dalam perlawanan divisyen lightweight pada Ahad.

Walaupun berusia 4 tahun lebih tua, Cerrone nampak lebih bertenaga dan menyerlah dari pusingan pertama hingga pusingan kelima, sekali gus mendominasi pertarungan tersebut.

Iaquinta yang menduduki tangga keempat di ranking divisyen lightweight, gagal mencari jawapan kepada beberapa kombinasi tumbukan dari Cerrone yang menduduki tangga kelapan pada ranking divisyen sama.

Akibatnya, Iaquinta beberapa kali berjaya dijatuhkan Cerrone pada pusingan ketiga dan keempat.

Kecederaan pada Iaquinta juga nampak semakin jelas bermula pada akhir pusingan kedua.

Susulan itu, pengadil perlawanan memangil pengawai perubatan untuk memeriksa keadaan Iaquinta pada akhirnya pusingan keempat.

Bagaimanapun disebabkan penglihatannya masih jelas, dia dibenarkan untuk meneruskan pertarungan ke pusingan kelima.

Pusingan terakhir tidak menunjukkan banyak perbezaan kerana Cerrone masih mendominasi pertarungan.

Pada sepuluh saat terakhir, Cerrone cuba untuk mendapatkan kemenangan dengan cara TKO dengan melepaskan beberapa kombinasi tumbukan.

Namun loceng berbunyi terlebih dahulu menandakan pertarungan tamat.

Dengan kemenangan ini, Cerrone kini berjaya menang tiga pertarungan berturut-turut dan dijangka akan menduduki tangga 5 terbaik di ranking divisyen lightweight.

Selain itu, dia turut memperolehi jumlah kemenangan tertinggi di UFC dengan 23 kemenangan.

Pada sesi wawancara selepas perlawanan, Cerrone ditanya siapakah yang dia ingin berlawan selepas ni?

Dengan bersahaja, Cerrone memanggil nama Conor McGregor dan memberi gambaran pertarungan itu boleh berlaku seawal bulan July 2019.

Sebagai rekod, ini bukan pertama kali Cerrone memanggil McGregor untuk bertarung.

Pada akhir tahun 2018, mereka berdua saling memberi gambaran untuk bertemu di Octagon.

Namun pertarungan mereka tidak dapat direalisasikan kerana mengikut laporan, McGregor tidak bersetuju untuk bertarung pada slot ‘co-main event’.

McGregor meletakkan syarat dia hanya akan bertarung pada slot acara utama sahaja dan ini tidak dapat dipersetujui oleh pihak UFC sendiri.

Colleen raih emas untuk Malaysia di Kejohanan MMA Terbuka Asia

KUALA LUMPUR: Atlet seni bela diri campuran (MMA) wanita Malaysia, Colleen Augustin berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Petarung berusia 21 tahun itu menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk divisyen strawweight menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.

“Saya menangis atas podium semasa mendengar lagu kebangsaan dimainkan, sementara penyokong Malaysia yang hadir turut menyanyikannya dengan kuat dan penuh bangga.

“Ia betul-betul menyentuh hati saya, kerana saya menjadi sebab lagu kebangsaan dimainkan untuk seluruh Asia mendengarnya,” kata Colleen menerusi catatan di laman Instagramnya.

Selain MMA, anak jati Pulau Pinang itu turut aktif dalam sukan Muay Thai, kickboxing, Brazilian Jiu-jitsu dan Spartan Race.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara Brandon Tang, berjaya meraih pingat gangsa bagi pertandingan divisyen strawweight lelaki.

Tang menewaskan Ebrahim Darwish dari Bahrain di peringkat separuh akhir, namun tumpas kepada Bagdat Zhubanysh dari Kazakhstan di peringkat akhir.

Hoki: Malaysia kalah kepada Kanada 2-3 dalam perlawanan akhir

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki Malaysia terpaksa akur apabila tewas kepada Kanada, lawan yang lebih handal, dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di sini malam tadi.

Pasukan negara, yang juga dikenali sebagai ‘The Speedy Tigers’ kalah 2-3 kepada pasukan nombor 10 dunia itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah turut berangkat menyaksikan perlawanan akhir yang mendebarkan itu.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Meskipun kalah, Malaysia akan menyertai Kanada sebagai dua pasukan pertama melangkah ke Kelayakan Olimpik pada penghujung tahun ini.

Kedua-dua pasukan itu akan mengambil tempat masing-masing bersama-sama pasukan teratas daripada dua lagi Siri Final Lelaki FIH yang akan diadakan di Bhubaneswar, India dan Le Touquet, Perancis, pada Jun ini.

“Kami memperoleh banyak peluang. Saya kurang gembira dengan cara anak buah saya bermain hari ini. Bagaimanapun, saya tetap beri pujian kepada pemain saya, mereka terus berjuang sehingga minit terakhir.

“Kami mendapat dua peluang pukulan penalti tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Peluang ini bukan selalu datang, tetapi namun kami gagal memanfaatkannya,” kata ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

The Speedy Tigers memulakan jaringan menerusi gol padang Firhan Ashari dalam minit kelapan perlawanan dan aksi semakin rancak pada suku kedua apabila Malaysia mendapat pukulan penalti namun Fitri Saari mensia-siakan peluang itu setelah pukulannya gagal menepati gawang.

Pasukan Kanada terus menyerang dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Scott Tupper pada minit ke-20 dan melebarkan jurang gol dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Brenden Bissett.

Permainan bertambah rancak selepas waktu rehat namun Malaysia, yang bekerja keras untuk menyamakan kedudukan, terus terlepas peluang untuk menjaring gol.

Jaringan gol padang James Kirkpatrick pada minit ke-43 terus melebarkan jurang penguasaan Kanada, bagaimanapun Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil memberi sedikit kelegaan kepada pasukan negara pada minit ke-53 menerusi jaringan gol padang.

Seminit kemudian Malaysia memperoleh peluang pukulan penalti kedua namun percubaan Faizal Saari itu digagalkan penjaga gol Kanada, Antoni Kindler.

Pasukan negara kembali bersemangat dengan sokongan padu peminat namun sudah terlambat untuk menyamakan kedudukan dan mengheret Kanada sehingga penentuan pukulan penalti.

Terdahulu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Itali mengalahkan Austria 2-1.

ISN mahu bertemu atlet pecut Muhammad Azeem

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan pertemuan empat mata, dengan atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi, bagi mengenal pasti keperluan atlet berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata pihaknya sedang mencari masa yang sesuai, memandangkan Muhammad Azeem masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, di Perak.

“Kita akan buat ujian untuk mengenal pasti karakter beliau dahulu, kerana kami perlukan maklumat asas seperti ketinggian, kepanjangan kaki dan beberapa hal berkaitan fizikal beliau.

“Daripada situ kita akan berikan maklumat kepada jurulatih sekarang untuk ‘fine tune’ dan buat penambahbaikan terhadap kaedah latihan, kerana kami berpendapat kita harus biarkan beliau dalam ‘setting’ semasa,” katanya.

Muhammad Azeem, 15 tahun, diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lepas.

Ia adalah berdasarkan kajian terperinci dilakukan oleh ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

Ditanya mengenai latihan serta penyertaan kejohanan di luar negara, Ahmad Faedzal berkata beberapa faktor perlu diambil kira, selain perlu mendapatkan pandangan daripada tuan punya badan sendiri.

“Untuk bertanding di luar negara, ia bukan perkara baharu buat Muhammad Azeem. Untuk latihan, kita kena bincang kerana perlu lihat faktor seperti kesesuaian, kesediaan, psikologi dan persekitaran atlet berkenaan.

“ISN juga mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim demi masa depan permata baharu negara itu,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika ditemui pada Jumaat berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih menunggu jawapan daripada Muhammad Azeem, berhubung tiga tawaran yang dikemukakan kepada atlet berkenaan.

Tiga tawaran daripada KBS adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil untuk diberikan segala kemudahan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN, atau kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut keperluan.

“Saya bersama Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) berkesempatan berjumpa dengannya dan jurulatih. Apabila bertanyakan kepada jurulatihnya tentang usaha KBS untuk bawa dia (Muhammad Azeem) ke luar negara ataupun ke Bukit Jalil, jurulatihnya menyatakan persetujuan kerana keutamaan adalah buat Azeem dan juga keluarganya.

“Kita beri pilihan ini adalah kerana kita mahu berikan masa kepadanya, memandangkan ketika itu dia belum berbincang lagi dengan ibu bapanya serta jurulatih. Seminggu daripada sekarang, saya akan dapat maklumat balas daripadanya,” katanya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata keistimewaan wajar juga diberikan kepada jurulatih yang melatih Muhammad Azeem termasuk mendapat faedah sama, sekiranya pelari pecut muda itu memilih salah satu daripada tawaran KBS.

“Setiap pagi jurulatihnya mengharungi perjalanan dua jam setengah untuk ke tempat latihan daripada rumahnya dan itu menunjukkan beliau ikhlas serta begitu komited melatih Azeem.

“Jasa jurulatih begitu besar dan apa yang dilakukan dalam mencungkil bakat itu adalah rahsianya. Kami pun sudah berikan tawaran kepada jurulatih sekiranya dia mahu ikut sekali,” katanya.

Pada ketika ini, Muhammad Azeem dibimbing di bawah jurulatih Amir Izwan Tan. — Bernama

Saya janji tidak tinggalkan kamu – Janji Chong Wei buat siapa?

JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui bersyukur dipertemukan dengan isterinya, Datin Wong Mew Choo dalam hidupnya.

Memetik status di Instagram peribadinya, Chong Wei berkata semalam merupakan hari paling bermakna buat isteri beliau apabila menyambut ulang tahun ke-36.

Perkenalan sejak zaman remaja, membuatkan beliau yakin wanita itu insan yang tepat untuknya dan merupakan sumber inspirasi untuk terus berjaya sehingga kini.

“Dia menjadikan saya seperti hari ini, saya terhutang budi kepadanya,” katanya.

Pengorbanan Mew Choo melahirkan dua zuriat comel, menjaganya ketika sakit membuatkan ikatan kasih sayang antara mereka bertambah erat.

“Saya berjanji tidak akan meninggalkan kamu malah akan menyambut setiap ulang tahun kelahiran bersama,” katanya.

Sementara itu, rata-rata netizen terharu dan mengambil peluang menyampaikan ucapan selamat ulang tahun kelahiran buat isterinya dan mendoakan mereka kekal bahagia selamanya.

Terlampau benci, Paulie Malignaggi ludah muka Conor McGregor

PERSENGKETAAN antara bekas petinju professional Paulie Malignaggi dan bintang seni bela diri campuran (MMA) dari UFC Conor McGregor memang tidak dapat dibendung lagi.

Terbaharu, Malignaggi dilihat menyatakan perasan tidak puas hatinya terhadap McGregor dalam postingnya di laman sosial Instagram pada Rabu.

Dalam video tersebut, Malignaggi dilihat sedang berjalan di hadapan sebuah mural berupa gambar McGregor.

Malignaggi kemudian ditanya tentang pendapatnya terhadap McGregor, di mana secara spontan dia melihat mural tersebut dan meludah ke arahnya.

Persengketaan mereka berdua bermula ketika persiapan McGregor menentang petinju lagenda, Floyd Mayweather pada Ogos 2017.

Malignaggi pada mulanya berada di dalam pasukan McGregor dan mereka berlatih bersama semasa kem latihan.

Namun perbalahan tercetus apabila McGregor menuat naik sedutan video daripada sesi latihan tinju mereka di laman sosial milik McGregor.

Dalam sedutan video tersebut Malignaggi kelihatan dibelasah dan McGregor juga berjaya menjatuhkan Malignaggi.

Ekoran tersebarnya sedutan video tersebut, Malignaggi mencabar McGregor untuk memuat naik versi penuh sesi latihan mereka.

Namun permintaan itu tidak dilayan McGregor.

Akhir Siri Hoki FIH: Kematangan pemain selamatkan Malaysia

KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menganggap kematangan pemain dalam menghadapi keputusan pengadil menyelamatkan Malaysia daripada diheret ke penentuan penalti ketika menewaskan Wales 2-1 dalam perlawanan ‘cross-over’ Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Bukit Jalil, semalam.

Keputusan pengadil yang kerap tidak memihak Malaysia dalam suku keempat hampir meragut peluang skuad negara ke separuh akhir.

Malaysia melancarkan serangan bertali-arus ketika Wales mengeluarkan penjaga gol untuk bermain secara ‘kicking fullback’.

Namun, pengadil mendakwa pemain negara banyak melakukan kesalahan dalam kawasan D.

Beberapa gerakan yang sepatutnya menghasilkan pukulan sudut penalti dinafikan, namun pemain negara mengkekalkan fokus hingga siren penamat dibunyikan.

“Kami hanya perlu meneruskan serangan untuk mungkin memperoleh lebih banyak gol dalam perlawanan ini.

“Apabila anda kerap melakukan serangan tetapi barisan pertahanan dalam keadaan bahaya, anda perlu membantu mereka seperti yang kami lakukan hari ini.

“Kami mempamerkan aksi yang lebih sabar hari ini dan itulah yang diperlukan walaupun masih terdapat ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Malaysia membuka jaringan menerusi penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, pada minit ke-27 sebelum Faizal Saari melebarkan kedudukan pada minit ke-39.

Wales cuba bangkit menerusi gol daripada Luke Hawker pada minit ke-56, namun sudah terlewat untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

“Kami tidak memanfaatkan setiap peluang yang tiba.

“Kami tidak memanfaatkan pukulan sudut penalti dan bermain dalam keadaan yang tidak teratur.

“Ia perlawanan yang penuh dengan serangan balas, namun Malaysia memanfaatkan peluang dengan lebih baik,” kata kapten Wales, Lewis Prosser.

Liga Juara-Juara: Dua gol Messi bantu Barcelona benam Liverpool

BARCELONA: Lionel Messi meletakkan Barcelona di ambang perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 pasukan itu mengatasi pasukan Inggeris, Liverpool dalam perlawanan separuh akhir pertama kejohanan.

Beraksi di Nou Camp, persembahan cemerlang Messi turut membantu penyerang dari Argentina itu mencatatkan gol peribadi ke 600 buat pasukan Catalan itu.

Bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez pula meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan apabila membuka tirai jaringan dengan gol cantik pada minit ke 26 meskipun pasukan pelawat pimpinan jurulatih Juergen Klopp yang terlebih dahulu mencipta beberapa peluang.

Beraksi di Nou Camp, persembahan cemerlang Messi turut membantu penyerang dari Argentina itu mencatatkan gol peribadi ke 600 buat pasukan Catalan itu. - Foto Reuters

Messi selaku ketua pasukan Barca, menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke 75, mengambil kesempatan dari peluang terbuka selepas cubaan Suarez terlebih dahulu terkena palang.

Messi kemudiannya menambah kelebihan gol sebagai bekalan ke gelanggang lawan di Anfield pada Selasa depan dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke 82.

Barcelona 3, Liverpool 0.