FAM sambut baik idea Stadium Nasional sebagai Wembley Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik idea Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil ke arah ‘Pengalaman di Wembley’ yang mampu mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Perkara itu dicapai selepas perbincangan antara kedua-dua pihak di Wisma FAM, Kelana Jaya yang turut dihadiri Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, manakala PSM diwakili pengerusinya, Tan Sri Tony Fernandes dengan diiringi ahli lembaga pengarah PSM, Radzi Tajuddin.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak itu juga tertumpu kepada dasar bersepadu berhubung keselamatan dan penjualan tiket, peningkatan perkhidmatan pelanggan korporat dan pengalaman menonton yang selesa untuk penyokong.

“Idea Fernandes untuk menjadikan stadium berkapasiti 85,000 tempat duduk ke arah ‘Pengalaman di Wembley’ itu mampu mendatangkan manfaat kepada kedua-kedua pihak. Kami menyokong sepenuhnya cadangan PSM untuk menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua.

“Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai klien, FAM gembira dapat bekerjasama dengan PSM,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fernandes turut berbesar hati dengan peluang berkongsi idea bersama Hamidin dan FAM.

“Kami gembira bertemu dengan Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini,” katanya..

Chelsea mara ke final Liga Europa, tundukkan Eintracht Frankfurt 4-3

CHELSEA melengkapkan dominasi kelab Liga Perdana Inggeris di pentas Eropah selepas mara ke perlawanan akhir Liga Europa.

Skuad bimbingan Maurizio Sarri mara selepas menundukkan Eintracht Frankfurt 4-3 dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung awal pagi tadi.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Chelsea dipaksa berhempas pulas selepas seri 1-1 dalam tempoh permainan yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Selepas seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Ruben Loftus Cheek membuka jaringan buat Chelsea pada minit ke-28.

Jaringan Luka Jovic pada minit ke-49 buat Eintracht Frankfurt menjadikan perlawanan bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Eden Hazard menyempurnakan sepakan terakhir buat Chelsea selepas penjaga golnya Kepa Arrizabalaga berjaya menyelamatkan dua sepakan lawan sebelum itu.

2 pemain Ajax ini sempat buka puasa di padang ketika aksi Liga Juara-Juara

MESKIPUN sedang beraksi dalam pertandingan berprestij Liga Juara-Juara Eropah, dua pemain Ajax yang beragama Islam, Hakim Ziyech dan Noussair Mazraoui, tetap menjalani ibadah puasa seperti biasa.

Kedua-dua pemain itu memberikan aksi terbaik semasa melayani kunjungan Tottenham Hotspur ketika aksi timbal balik di Amsterdam.

Ketika permainan sedang rancak berjalan, pada minit ke-22, Ziyech dan Mazraoui dilihat menuju ke luar padang untuk mengambil sebuah paket penambah tenaga sekali gus berbuka puasa.

Selepas berbuka, Ziyech berjaya menjaringkan gol kedua untuk Ajax sekali gus membolehkan tuan rumah mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bagaimanapun gol berkenaan tidak bertahan lama apabila Spurs melakukan kebangkitan dengan jaringan hatrik Lucas Moura untuk mara ke final Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.

Tottenham mara ke final Liga Juara-Juara

LUCAS MOURA muncul wira pasukan Tottenham Hotspur apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir permainan untuk melengkapkan kebangkitan pasukan itu menentang Ajax Amsterdam, awal pagi Khamis.

Dalam perlawanan penuh drama itu, Spurs turun ke Amsterdam ketinggalan 1-0 selepas tumpas dalam separuh akhir pertama di London minggu lepas.

Perlawanan malam di Amsterdam itu seakan tidak menyebelahi Spurs apabila Ajax membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi kapten pasukan pemain berusia 19 tahun, Matthijs de Ligt.

Hakim Ziyech kemudian menggandakan jaringan Ajax apabila menyudahkan hantaran Dusan Tadic, menjadi kedudukan agregat 3-0 untuk pasukan tuan rumah, pada minit ke-35.

Bagaimanapun, Spurs bimbingan Mauricio Pochettino tidak mengalah dan memulakan kebangkitan pada minit ke-55, menerusi rembatan Moura.

Kurang empat minit kemudian, kekecohan dalam kawasan gol Ajax dimanfaatkan penyerang Brazil itu apabila menjaringkan gol kedua Spurs.

Spurs yang memerlukan satu gol untuk mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan berjuang sehingga saat akhir dan mendapat gol pada minit ke-6 masa kecederaan.

Moura melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran cantik Dele Alli untuk melengkapkan kebangkitan pasukan itu.

Spurs akan bertemu Liverpool di final pada 1 Jun, yang merupakan perlawanan akhir kedua melibatkan dua wakil England selepas Manchester United menewaskan Chelsea pada 2008.

UCL: Siapa yang lauk sebenarnya?

LAUK.

Itu perkataan yang digunakan penyokong-penyokong bola sepak yang menyindir peminat Liverpool selepas mereka kecundang 3-0 di Nou Camp dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lepas.

Semua ‘group’ Whatsapp mahupun Facebook dikongsi ‘meme’ kononnya Liverpool sudah menjadi makanan Barcelona apabila kalah dengan gagal mendapatkan sebarang gol ditempat lawan.

Perkara itu diulang semula pagi ini, selepas Liverpool berjaya mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan untuk menewaskan Barcelona 4-0, sekali gus mara ke final UCL, cuma kini penyokong Liverpool pula menggunakannya untuk membalas ‘meme’ yang digunakan untuk mempersendakan the Reds.

Puas, amat puas, penyokong-penyokong yang lebih neutral, memuji kebangkitan yang dipamerkan Liverpool, tatkala ada juga yang menyatakan ia semua diatur oleh ‘bookie’ kerana tidak mungkin kelab yang dianggap tidak kuat mampu membelasah Barcelona, kelab bola sepak nombor satu dunia yang turut dibarisi bintang bola sepak dunia yang juga pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi.

Penyokong Liverpool sudah pasti gembira, ada yang menangis tanda kegembiraan.

Kita lihat apa kata penyokong Barcelona pula.

Ada penyokong Barcelona di Malaysia ternyata kecewa dengan pengendali Barcelona, Ernesto Valverde.

Dalam laman Facebook FC Barcelona Fans (Malaysia), ramai yang mahu Valverde dipecat, walaupun berjaya membimbing pasukan itu mempertahankan kejuaraan LaLiga Sepanyol musim ini.

Antaranya Amir Abd Aziz, yang menganggap tiada perubahan yang dibuat dari segi taktikal oleh Valverde, menyebabkan pergerakan mereka mudah dibaca.

Formasi yang digunakan dengan meletakkan bekas pemain Liverpool, Philippe Coutinho di bahagian sayap, tidak memberi impak kepada bahagian serangan.

Amir memberi cadangan bahawa Velverde sepatutnya bermain formasi 4-4-2 dengan ketiadaan Ousmane Dembele yang cedera.

Komen penyokong Barcelona di Facebook Kelab Penyokong Barcelona Malaysia.

Kehebatan ‘comeback’ yang dibuat Liverpool ke atas Barcelona turut menyebabkan kelab bola sepak lain mengimbau kembali sejarah kelab masing-masing.

Antaranya di Facebook Kelab Penyokong Chelsea FC Malaysia, yang mengimbau musim ‘comeback’ terhebat kelab itu pada 2012, yang menyaksikan Chelsea muncul juara UCL.

Lawan Liverpool di final adalah pemenang separuh akhir kedua antara Tottenham Hotspur dan Ajax.

Penyokong Tottenham turut memuji kebangkitan Liverpool yang kemungkinan jadi lawan mereka di final nanti.

Semangat juang Liverpool turut digunakan dalam kempen pilihan raya di Afrika Selatan oleh parti Kongres Nasional Afrika (ANC).

Mabalan Mfundisi merupakan penyokong Barcelona menyifatkan kejayaan Liverpool membuktikan tiada apa yang mustahil jika ada semangat, kemahuan dan keberanian semangat juang yang tinggi.

Impian ratu baharu kuak dada Malaysia ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Alicia Li Ann Soosai menjadi pujaan ramai selepas beliau berjaya menewaskan perenang Hong Kong Natalie Kan Cheuk Tung untuk meraih pingat emas dalam acara 50m kuak dada di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Perenang berusia 15 tahun itu mencatat masa 32.83 saat dalam 50m kuak dada wanita, 0.02s di hadapan perenang Hong Kong yang memperoleh perak dalam acara itu.

Perenang dari Johor itu sebelum ini telah menyapu bersih acara kuak dada dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, dan memenangi acara 100m dan 200m kuak dada pada hari pertama dan kedua kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, perjalanan beliau tidak berakhir di sini. Atlet muda ini akan mengambil langkah seterusnya dalam Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura Ke-15, Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara dan Piala Dunia Renang FINA di Singapura tahun ini.

“Menyertai Sukan SEA adalah matlamat utama saya tahun ini, ia boleh menjadi sebagai pencapaian terbesar saya,” kata Alicia.

Bercakap mengenai impian hidupnya, perenang yang sedang meningkat itu berkata impian beliau tidak lain daripada menyertai Sukan Olimpik seperti idolanya Katie Ledecky dari Amerika Syarikat yang memenangi lima pingat emas Olimpik dan 14 gelaran kejohanan dunia.

Alicia mendapat inspirasi daripada kata-kata Ledecky bahawa “Anda boleh gagal dalam latihan tetapi anda boleh beraksi dengan baik dalam pertandingan,” yang menjadikan beliau insan yang lebih baik.

“Ia memberitahu saya adalah tidak mengapa jika gagal dalam latihan, buat terbaik dalam apa sahaja yang diceburi. Tetapi bila masanya tiba, anda tinggalkan semuanya di dalam kolam,” katanya kepada Bernama sambil menambah keluarga menjadi penyokong utama semasa beliau berhadapan “gelombang pergelutan mental” di kolam renang.

Alicia mengakui beliau bergelut dengan keterbatasan yang dihadapinya selama beberapa tahun, iaitu beliau menjadi perlahan ketika di hujung kolam, satu lagi selepas menerjah dinding kolam dan akhirnya tewas biarpun mendahului pada awalnya.

“Saya juga agak lemah untuk mengekalkan kelajuan di penghujung perlumbaan, beberapa lap awal selalunya lebih baik. Sebagai contoh, dalam acara 200m, saya pantas dalam 100m pertama tetapi dalam 100m kedua adalah di bawah purata kebiasaan,” katanya merendah diri.

Bagaimanapun, beliau telah giat berlatih khususnya untuk jarak jauh seperti 400m rampaian individu untuk mencapai kejayaan kerana ini akan meningkatkan keupayaan dirinya sebagai seorang perenang.

“Jika saya berlatih untuk acara yang lebih lama dan lebih sukar, acara yang singkat menjadi mudah. Itu strategi saya ketika saya balik untuk berlatih,” katanya.

Ia adalah motivasi utama kepada saya. Sejak itu, saya terus meningkat dan kekal mengamalkannya,” kata Alicia yang mula menyertai pertandingan renang di usia sembilan tahun dan mendapat latihan pertamanya di sebuah kelab tempatan Singapura sebelum menyertai Swimfast Aquatic Club pada 2013.

Alicia, yang tidak pernah berhenti untuk meningkatkan dirinya, menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas dalam Sukma Johor 2020 dalam acara kegemarannya — 50m, 100m, 200m kuak dada, 200m rampaian individu, juga 200m gaya bebas.

“Saya menanti Sukma Johor, ia bakal menjadi suasana yang hidup dan menyenangkan apabila saya di berada di negeri sendiri. Ia sesuatu yang saya akan usahakan dan memenangi lebih banyak pingat. Renang adalah sebahagian besar daripada kehidupan saya sejak berumur sembilan tahun, saya mahu memastikan ianya berbaloi buat saya dan keluarga dengan kegembiraan dan keperitan yang dialami.

Ia adalah perjalanan yang akan dikenang jadi saya mahukan ia menjadi sesuatu yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan hidup saya,” katanya.

Terjemah e-Sukan sebagai simbol perkongsian aspirasi negara

BIDANG e-Sukan jangan sekadar dilihat sebagai terjemahan aspirasi golongan belia semata-mata, sebaliknya, aktiviti berkenaan wajar diterjemahkan dalam konsep simbol perkongsian antara negara di dunia.

Inilah yang cuba dibuktikan oleh Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) yang berhasrat mengajak atlet e-Sukan Malaysia untuk  melahirkan bakat baharu dan memberi pengalaman kepada atlet negara.

Menurut Perwakilan Ekonomi dan Budaya Taiwan di Malaysia, Anne Hung, kerajaan negara itu berbangga dapat melibatkan diri dengan atlet Malaysia dalam usaha mengetengahkan sukan berkenaan ke peringkat global.

“Kami mensasarkan bahawa e-Sukan bukan sahaja mewakili semangat belia masa kini, bahkan ia juga boleh menjadi simbol negara untuk bekerjasama mencapai inovasi dan daya saing yang tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Taiwan Excellence Esports Cup (TEEC) 2019 di pusat e-Sukan terkemuka negara, Pantheon, One City, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pelancaran TEEC 2019 di Pantheon merupakan inisiatif awal untuk atlet negara mempersiapkan diri mereka menyambut E-sukan sebagai sukan pertama yang akan diadakan pada Sukan SEA Games 2019 di Filipina.

Bahkan, pelancaran TEEC juga secara tidak langsung berupaya mengekalkan momentum hubungan baik di antara atlet E-sukan dari Malaysia dan Taiwan.

TEEC turut menjadikan Pantheon sebagai hub kepada atlet E-sukan negara untuk bertanding dan melayakkan diri ke pusingan akhir pada Mei hingga Oktober ini.

Sempena TEEC juga, beberapa jenama besar dalam industri perkomputeran menyatakan sokongan antaranya Acer, Asus, MSI, dan beberapa lagi jenama yang berteknologi tinggi.

Komitmen sokongan ini secara tidak langsung menyuntik semangat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang E-sukan serta sebagai persiapan untuk menghasilkan atlet ini ke peringkat antarabangsa.

Yang menjadi keunikan TEEC 2019 ialah jumlah penyertaan dari seluruh negara telah mencecah seramai 10,000 orang dan setiap peserta mempunyai misi yang sama iaitu mahu memenangi hadiah berharga RM113,000 yang ditawarkan.

Pantheon yang menjadi pusat E-sukan pertama di Malaysia bukan sahaja dapat menjadi tempat latihan kepada atlet ini malah ia juga dijadikan pusat bagi atlet untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.

Taiwan yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia dijangka melahirkan daya saing yang sihat dan juga dapat menjadi simbol negara untuk bekerjasama dalam memajukan E-sukan ini.

Ramadan waktu berehat, Khabib kembali aktif September nanti

WALAUPUN masih digantung, juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov merancang untuk kekal aktif selepas ini, menurut ejen petarung dari Rusia itu, Ali Abdelaziz.

Khabib, 30 tahun yang juga seorang penganut Islam, kini sedang menjalani ibadah puasa, sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan seni bela diri campuran (MMA).

Memetik laporan ESPN, Khabib ingin mempertahankan kejuaraannya pada September ini.

Dia juga menyatakan hasratnya untuk bertarung sekali lagi pada Disember tahun ini dan sekali lagi pada April 2020.

“Khabib memberikan arahan yang spesifik. Dia ingin bertarung pada 7 September dan bertarung sekali lagi pada bulan Disember.

“Dan jika Georges St-Pierre dapat persetujuan daripada UFC, dia ingin bertarung dengannya pada April 2019,” kata Abdelziz.

St-Pierre, 37 tahun merupakan bekas juara UFC bagi divisyen walterweight dan middleweight.

Dia yang dianggap lagenda bagi sukan MMA, telah bersara secara rasmi pada Disember lepas.

Namun hasrat Khabib dan St-Pierre untuk bertarung bukanlah sesuatu yang baharu.

Apabila ditanya tentang perlawanan semula menentang Conor McGregor, Abdelaziz berpendapat McGregor perlu membuktikan dirinya adalah pasaing nombor satu bagi divisyen lightweight.

“Secara jujurnya, Conor perlu kembali dan bertarung dengan petarung seperti Justin Gaethje, Tony Ferguson atau Cowboy (Donald Cerrone),” kata Abdelaziz.

“Dia bukanlah pesaing yang layak untuk mencabar kejuaraan. Itu pandangan kami, sebagai sebuah pasukan.”

Khabib dijangka mempertahankan kejuaraannya menentang juara interim divisyen lightweight, Dustin Poirier pada acara UFC 242 yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi.

“MMA menjadi begitu popular di Timur Tengah dan Afrika Utara selepas Khabib menewaskan Conor,” kata Abdelaziz.

“Untuk pergi ke Abu Dhabi dan bertarung dihadapan mereka, serta menunjukkan kepada anak-anak muda di sana yang beragama Islam, tentang kewujudan UFC dan memberi inspirasi kepada mereka bahawa mereka boleh menjadi juara UFC tanpa mengira bangsa, agama dan dari mana mereka datang, ia sesuatu yang sangat istimewa bagi Khabib.

“Dia adalah duta besar MMA bagi rantau itu,” tambah Abdelaziz.

Jika pertarungan ini menjadi kenyataan, bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov yang juga jurulatihnya, dijangka akan berada di ‘corner‘ Khabib.

Abdulmanap sebelum ini tidak berkesempatan berada di sisi Khabib ketika pertarungannya di Amerika Syarikat kerana masalah visa.

Anuar Abu Bakar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan dan lagenda bola sepak, Anuar Abu Bakar meninggal dunia pada malam Isnin, akibat menghidap kanser hati tahap empat.

Perkara itu disahkan menerusi satu posting di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Anuar Abu Bakar, 48, bekas pemain kebangsaan era 90-an yang telah menghembuskan nafas terakhirnya, malam ini.

“Allahyarham yang merupakan ketua jurulatih skuad Piala Presiden UiTM FC, sebelum ini telah disahkan menghidap kanser hati tahap empat.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni dosanya. Al-Fatihah,” kata kenyataan tersebut.

Anuar, 48 tahun pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Liga Premier dan Piala Malaysia.

Selain Selangor, Allahyarham juga pernah menyarung jersi Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ.

Jawatan terakhir Anuar ialah sebagai jurulatih kelab bolasepak T-Team FC, dan sebelum itu pernah menjadi Penolong Jurulatih di PKNS FC.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan berada di Hospital Shah Alam sehingga 7 pagi Selasa, dan dimandikan pada jam 8 pagi.

Solat jenazah akan dilangsungkan di Masjid Shah Alam jam 9.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.

UFC: Brock Lesnar bersara, DC sah menentang Miocic

JUARA Heavyweight UFC, Daniel Cormier akan kembali mempertahankan kejuaraannya menentang pesaing utama divisyen tersebut, Stipe Miocic.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh pihak UFC melalui laman Twitter mereka.

Cormier, 41 tahun sebelum ini merampas kejuaraan heavyweight UFC dari Miocic ketika acara UFC 226 pada July 2018. Cormier menang dengan cara KO pada pusingan pertama sekali gus bergelar juara dua divisyen iaitu heavyweight dan light heavyweight.

Sejak perlawanan itu, Miocic yang juga bekas juara empat kali heavyweight UFC tidak pernah bertarung walau sekali kerana sering melobi untuk mendapatkan perlawanan semula dengan Cormier.

Cormier pula sudah sekali mempertahankan kejuaraan untuk divisyen heavyweight ketika menentang Derrick Lewis pada acara UFC 230 Disember lepas. Dia menang mudah dengan cara ‘submission’ pada pusingan kedua.

Sebelum ini khabar angin bertiup kencang di mana Cormier akan mempertahankan kejuaraannya menentang bintang gusti WWE, Brock Lesnar.

Namun selepas Presiden UFC, Dana White mengesahkan Lesnar akan bersara dari sukan seni bela diri campuran (MMA), pihak UFC terpaksa mencari alternatif bagi perlawanan seterusnya untuk Cormier.

Kedua-dua Cormier dan Miocic terus bersetuju untuk perlawanan semula dan mereka sah akan bertarung di acara UFC 241 pada 17 Ogos di Anaheim, California.