Piala Dunia FIFA 2034: Tak mungkin jadi tuan rumah jika bersendiri – Tun M

BANGKOK: Penganjuran kejohanan bola sepak bertaraf dunia mungkin bakal direalisasikan selepas negara-negara anggota ASEAN bersetuju untuk membida penganjurannya pada tahun 2034.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agak mustahil untuk kejohanan itu direalisasikan sekiranya tiada kesepakatan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Ia hadir dari lima negara. Tidak mungkin jika satu negara (jadi tuan rumah) akan dapat peluang untuk menganjurkannya.

“Tapi jika ASEAN bersama, kita mungkin boleh menjadi tuan rumah bersama. Pastinya, kejohanan boleh dilangsungkan di negara-negara ASEAN seperti apa yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan sebelum ini,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia pasca Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini, pada Ahad.

Pada sebelah petang Ahad, Pengerusi ASEAN 2019 yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen. Prayuth Chan-o-cha mengumumkan bahawa para pemimpin ASEAN telah menyatakan sokongan supaya bidaan dilakukan dalam merealisasikan ASEAN sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat ASEAN yang hari ini, para pemimpin menyokong hasrat untuk membangunkan satu usaha bersama untuk menjadi ASEAN sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2034.

“Dalam hal ini, saya ingin menjemput semua rakyat ASEAN untuk bersama-sama menyokong Persatuan Bola Sepak Negara-Negara Anggota ASEAN dengan tujuan untuk merealisasikan impian ini bersama-sama,” katanya.

Perkara itu diusulkan kepada 10 pemimpin negara anggota ASEAN itu pada sesi pemukikan sidang kemuncak tersebut yang berlangsung pagi tadi.

Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sewaktu menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, berkata badan induk dari tiga negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menyatakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun berkenaan.

Baginda yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak terbesar itu.

Ragbi ARC: Malaysia kalah teruk kepada Hong Kong

KUALA LUMPUR: Pasukan ragbi lelaki negara mengalami kekalahan teruk 71-0 di tangan pasukan di tangga ke-24 dunia, Hong Kong dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Asia 2019 Divisyen Premier di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Selepas mempamerkan persembahan baik di samping memperolehi mata bonus pertama dalam tempat teratas ARC sebelum ini, pasukan negara bagaimanapun gagal menyaingi kekuatan pasukan lawan sepanjang perlawanan.

Dalam perlawanan malam tadi, Ketua Jurulatih Kebangsaan yang juga bekas pemain All Black, Brad Mika terpaksa membuat satu pertukaran dengan Ketua Pasukan K. Dinvesvaran kembali ke kelabnya di Jepun, dan diganti dengan Timoci Vunimoku di barisan kedua.

Selepas menewaskan Malaysia 20-24 di gelanggang sendiri, Hong Kong mempamerkan aksi mantap di separuh masa pertama dan kedua permainan semasa mereka mendahului 33-0 dengan empat try, tiga menerusi conversion yang berjaya dan satu penalty try sebelum rehat.

Pasukan juara bertahan itu kemudiannya memperoleh 38 mata lagi menerusi enam try dan empat conversions yang berjaya dalam tempoh masa perlawanan berbaki 40 minit untuk memperoleh kejayaan memenangi mata bonus ketiga mereka berturut-turut.

Hong Kong akan menjadi tuan rumah kepada pasukan lawan dari Korea Selatan Sabtu nanti dalam perlawanan akhir liga, dalam merintis laluan mereka untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai juara.

Nasib pasukan ragbi negara sama ada akan kekal dalam Divisyen Premier ARC tahun depan akan hanya diketahui selepas Piala Dunia Ragbi 2019 (RWC) di Jepun September ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, ketua pasukan negara Marc Le berkata ia adalah perlawanan yang sukar, namun pasukan negara telah memberikan yang terbaik.

“Ia perlawanan yang sukar hari ini. Hong Kong membawa pasukan yang berbeza kali ini, membuat persiapan mantap, dan bermain dengan baik, tapi apapun saya amat berbangga dengan pemain-pemain kita.

MMA: Edilah kekal bersemangat selepas tewas, mahu kembali lebih kuat

SINGAPURA: Satu acara seni bela diri campuran (MMA), iaitu ONE Warrior Series 6 anjuran ONE Championship telah berlangsung pada Khamis lalu.

Acara yang diadakan di Singapura itu menampilkan dua petarung MMA dari Malaysia iaitu Jace Law dan Edilah Johany.

Jace Law berjaya membawa pulang kemenangan menerusi TKO seawal saat ke enam pada pusingan pertama.

Namun bagi Edilah pula, nasib tidak menyebelahi petarung dari Sabah ini.

Edilah terkandas di pusingan ketiga di mana dia tewas di tangan Ji Yeon Seo yang berasal dari Korea Selatan menerusi TKO.

Walaupun tidak berjaya memperolehi kemenangan, Edilah menerusi laman Instagramnya tetap positif dan kekal bersemangat dalam meneruskan kerjayanya sebagai petarung MMA.

“Saya tidak berjaya memperolehi kemenangan. Tetapi saya mendapat satu lagi perkara yang paling penting untuk menjadikan saya seorang artis bela diri iaitu kecekalan,” kata Edilah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada jurulatih, rakan sepasukan, rakan-rakan dan ahli keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu saya ketika kem latihan. Terima kasih juga kepada penaja atas tajaan dan kepercayaan.

“Saya akan kembali dengan lebih kuat dan akan kembali untuk menang,” kata Edilah lagi, mengakhiri mesejnya dengan kata-kata semangat.

Dengan kekalahan ini, Edilah yang berusia 26 tahun kini memegang rekod MMA 2-3.

Mari kita bersama-sama memberi kata semangat dan sokongan padu pada Edilah.

MMA: Eddie Alvarez sudah move on, mahu fokus kepada Eduard Folayang

BEKAS juara dunia lightweight di UFC dan Bellator MMA, Eddie Alvarez telah pun melupakan kekalahannya di pentas ONE Championship pada Mac lalu.

Walaupun tewas pada perlawanan pertamanya, misi ‘The Underground King’ untuk bergelar juara lightweight di ONE Championship masih menjadi keutamaan.

“Saya tewas, tidak ada masalah. Saya melakukan perkara yang sama di UFC (tewas pada pertarungan pertama UFC di tangan Donald Cerrone) and secara jujurnya saya hampir tewas juga pada pertarungan pertama untuk Bellator (ketika menentang Greg Loughran)” kata Alvarez kepada BJPenn.com Radio.

Alveraz mempunyai sejarah yang kurang baik pada setiap pertarungan pertamanya. “Saya hanya perlu melepasi cabaran ini dan selepas ini saya terus menang dan akan menjadi juara”, tambah Alvarez.

Petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Amerika Syarikat itu telah pun mengalihkan fokus kepada pertarungan seterusnya.

Alvarez bakal menentang bekas juara dunia dua kali di ONE Championship bagi divisyen lightweight, Eduard Folayang.

Pertarungan itu dijadualkan berlangsung pada acara ONE: Dawn of Hereos di Manila, Filipina pada 2 Ogos nanti.

“Dia lawan yang sukar, petarung yang boleh bertahan lama”, kata Alvarez yang tidak mahu memandang rendah pada lawannya.

“Saya tahu tentang kekuatan Wushu kerana saya berlatih dengan Zabit (Magomedsharipov) dan beberapa petarung lain dari Rusia yang datang ke (New) Jersey untuk berlatih bersama, mereka semua ada latar belakang Wushu.

“Jadi ia satu seni yang baik apabila digunakan pada MMA,” kata Alvarez lagi.

Sebagai rekod, Folayang mempunyai latar belakang Wushu yang sangat baik.

Dia pernah memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Asia tahun 2006 dan 2002, pingat gangsa pada Kejohanan Dunia Wushu 2005.

Alvarez sedar pertarungannya menentang Folayang bukanlah mudah, lebih-lebih lagi pertarungan itu dijadualkan berlangsung di negara kelahiran Folayang, Filipina.

“Saya tidak pernah mahukan pertarungan yang mudah. Keinginan saya hanyalah untuk memenangi kejuaraan di ONE Championship.

“Dan lelaki ini (Folayang) telah memenanginya bukan sekali, tetapi dua kali,” tegas Alvarez yang yakin akan membawa pulang kemenangan nanti.

Kedua-kedua Alvarez dan Folayang gagal pada pertarungan terakhir mereka. Alvareas tewas di tangan Timofey Nastyukhin manakala Folayang pula tewas kepada Shinya Aoki.

UFC tentukan nasib Tony Ferguson selepas Khabib bertemu Poirier

DIVISYEN lightweight di UFC merupakan salah satu divisyen yang sarat dengan petarung hebat dan mempunyai nama besar dalam arena seni bela diri campuran (MMA) dunia.

Khabib Nurmagomedov (juara), Dustin Poirier (juara interim), Conor McGregor, Donald Cerrone dan Justin Gaethje antara nama-nama besar yang mewarnai divisyen lightweight di UFC.

Mungkin itu merupakan salah satu sebab mengapa petarung dari Amerika Syarikat, Tony ‘El Cucuy’ Ferguson masih belum mendapat peluang bertarung dalam perlawanan bagi merebut kejuaraan lightweight.

Walaupun telah memenangi 12 perlawanan berturut-turut, pihak UFC masih belum boleh memberikan sebarang kepastian sama ada Ferguson bakal bertemu dengan pemenang perlawanan antara Khabib dan Dustin Poirier.

Keadaan ini telah mengundang kecaman hebat dari peminat MMA serata dunia.

Pertama kali dilaporkan oleh MMAFighting.com, Presiden UFC, Dana White menyangkal dakwaan bahawa dia mengatakan Ferguson tidak layak bertarung untuk kejuaraan UFC.

“Bila saya katakan dia tidak layak? Jika kamu tahu pasal Tony Ferguson, berapa kali Ferguson dan Khabib dijadualkan untuk bertarung? Ia tidak menjadi kenyataan,” kata White ketika menjawab persoalan peminat ketika sesi ‘Instagram live’ pada Selasa.

“Dia (Tony Ferguson) pernah menjadi juara interim, kemudian lututnya cedera dan memerlukan pembedahan ACL dan terpaksa berehat. Kemudian dia ditawarkan untuk bertarung dengan (Dustin) Poirier dan pemenang pertarungan itu akan bertemu Khabib, tetapi dia menolak tawaran itu. Kemudian beberapa minggu kemudian dia kembali dan bersedia untuk bertarung.”

Sebagai rekod, UFC telah cuba menganjurkan pertarungan antara Ferguson dan Khabib sebanyak empat kali sebelum ini. Namun kedua-kedua Ferguson dan Khabib terpaksa menarik diri sebanyak dua kali kerana kecederaan.

“Semua orang mengatakan saya menafikan pertarungan Tony untuk merebut kejuaraan. Tapi sebenarnya dia hanya tidak bernasib baik dan beberapa perkara tidak memihak kepadanya”, kata White.

“Tetapi semua orang mengatakan saya tidak memberikan apa yang sepatutnya kepada dia (Tony Ferguson). Jika anda peminat sukan ini, anda lihat semua yang telah berlaku. Itu adalah sebab kita berada dimana kita sekarang,” tegas White lagi.

White memilih untuk menunggu sehingga perlawanan antara Khabib dan Poirier sebelum menentukan siapalah lawan Ferguson yang seterusnya.

Khabib dijadualkan untuk mempertahankan kejuaraan lightweight miliknya pada acara UFC 242 yang bakal berlangsung pada 8 September di Abu Dhabi, UAE.

Dari Kajang ke Jerman, Diniz sedia sahut cabaran baharu

DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalan.

Mendapatkan kontrak untuk bermain bola sepak di Eropah adalah impian setiap pemain remaja namun ia bukan satu perkara yang mudah.

Salah seorang yang bertuah adalah Muhammad Diniz Irwan, 18 tahun.

Apabila mendapat tawaran daripada bekas jurulatihnya, Alex Kuschman untuk bermain dengan kelab TuS Hornau di Jerman, Diniz tidak perlu berfikir panjang dan menerima tawaran itu.

Diniz pernah bersama-sama dengan Kuschman, yang merupakan bekas jurulatih Borussia Dortmund bawah 15 tahun semasa jurulatih Jerman itu berada di Malaysia.

Bersama Kuschman, Diniz mengharungi beberapa karnival bola sepak dan kejohanan di Singapura dan Malaysia selama setahun.

Berbekalkan pengalaman berlatih di Cardiff City di England dan juga sebulan di Valencia, Sepanyol, sudah pasti pemain bola sepak remaja dari Kajang ini bersedia untuk berkelana di Jerman.

Sebelum ini, Diniz mendapat pendedahan awal di Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda dari tahun 2012-2016, sebelum dipilih untuk mewakili salah sebuah kelab bola sepak di negara ini.

Diniz Irwan (kiri) bersama Ian Johan Ariff selepas latihan bola sepak di Arena Universiti Malaya - Foto Limite Art

“Saya rasa saya sudah bersedia untuk mengharungi cabaran seterusnya, dan saya rasa untuk berjaya  semestinya kita perlu ambil risiko dan ibu bapa menyokong saya punya keputusan,” kata Diniz.

“Dekat Jerman, pemain remaja yang mahu bermain di sana perlu melalui proses pembelajaran di sana, saya tidak akan bermain bola sahaja di sana tetapi akan belajar sekali.”

Diniz yang pernah memenangi pertandingan bakat bola sepak Million Dollar Feet pada 2017 akan melanjutkan pelajarannya di European School, sebuah institusi pendidikan swasta antarabangsa.

Menurut Diniz, segala perbelanjaan pendidikannya akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab tersebut.

Kenapa pilih membina kerjaya di Jerman, tidak di Malaysia?

Bagi Diniz, jurulaltih di Jerman mempunyai perancangan untuk anak didik mereka dalam tempoh jangka masa panjang.

“Mereka (jurulatih di Jerman) mempunyai perancangan untuk masa akan datang, bukan setakat untuk beberapa bulan atau beberapa musim, mereka mempunyai perancangan untuk tahun akan datang,” jelas Diniz.

Diniz berpendapat perancangan masa depan pemain bola sepak remaja amat penting supaya mereka tidak membuang masa dalam usaha menjadi seorang pemain profesional.

Pengalaman beraksi dengan Diniz

Ini merupakan kali kedua saya dapat beraksi dengan Diniz.

Kali ini, kami menjalani beberapa sesi latihan ringkas bola sepak anjuran Adidas Malaysia, yang dikendalikan penolong jurulatih Harimau Malaya, Aminuddin Hussin.

Latihan tersebut diadakan untuk menguji keberkesanan but bola sepak terbaharu Adidas, Nemeziz 19, 302 REDIRECT Pack bersama pemain-pemain profesional, media dan juga selebriti di Arena Universiti Malaya.

Saya mengharungi tiga cabaran berbeza untuk menguji kelincahan pemain di atas padang yang sedikit lecak akibat hujan lebat pada awal petang, iaitu Suicide, Messi Dribbling Drill dan Straight Cone Weave menggunakan but bola tersebut.

Ternyata latihan dan dapat bermain bola sepak tujuh sebelah bersama Diniz dan pemain bola sepak lain seperti Shivan Pillay Asokan, Azri Ghani, Wan Zaharulnizam, Khairil Anuar Beto, serta Luqman Hakim membuahkan skil baru untuk saya beraksi di padang nanti.

Latihan kelincahan bersama pemain-pemain bola sepak profesional, media dan selebriti di Arena Universiti Malaya - Foto Limite Art

Jangan sertai Manchester United

RUUD GULLIT berpandangan bintang Ajax, Matthijs de Ligt, harus mengelak daripada menyertai Manchester United.

Pertahanan berusia 19 tahun itu telah dikaitkan dengan beberapa gergasi Eropah, termasuk United, Liverpool dan Barcelona, walaupun Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan menjadi pasukan pilihan menandatanganinya.

Legenda Belanda, Gullit, berasakan rakan senegaranya itu seharusnya mengelak daripada berhijrah ke Old Trafford selepas United terlepas kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL).

“Saya tidak berasakan Man United, mereka tidak bermain dalam UCL,” kata Gullit.

“Saya berasakan dia mahu bermain dalam UCL. Jadi, ia sesuatu yang kurang bernasib baik buat United.

“Bagaimanapun, segalanya terletak kepada pemain itu dan saya berharap dia melakukan keputusan yang tepat.”

De Ligt mengetuai Ajax menjuarai dua gelaran musim lalu di samping melangkah ke separuh akhir UCL.

Bibi Ramjani sedia letak jawatan secara sukarela

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan sedia melepaskan jawatan yang disandangnya secara sukarela untuk memberi laluan kepada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan tersebut untuk memilih peneraju baharu.

Menurutnya, beliau ketika ini sedang menunggu calon presiden baharu yang akan diangkat oleh beberapa Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk menggantinya.

“Saya tunggu presiden baharu sebab bila dah ada, saya secara sukarela akan letak jawatan kerana ketika ini urusan kewangan di bahu saya seorang.

“Kalau saya tinggal (letak jawatan) KAFA sekarang, persatuan ini akan ‘mati’ kerana jika EGM mengambil masa lama untuk diadakan, tunggakkan hutang semakin banyak.

“Hal ini berlaku ketika Tan Sri Annuar Musa meletak jawatan kerana EGM mengambil masa lama untuk diadakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan PBJ telah menyenarai pendek nama individu untuk diangkat sebagai presiden baharu antaranya seorang tokoh politik.

Bibi Ramjani berkata bermungkinan PBJ mempunyai calon yang terbaik bagi menggantikan beliau untuk memimpin persatuan itu.

“Ia akan mengambil masa dan saya harus bertenang dalam menangani kata-kata yang tidak sesuai telah diperkatakan terhadap diri saya.

Sementara itu, berhubung tuntutan bekas ketua pasukan itu, Mohd Badhri Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, Bibi Ramjani berkata pemain terbabit tidak berhak menuntut gaji bagi bulan Mac dan April kerana pada masa itu beliau bermain dengan pasukan Red Warrior Kelantan.

“Berpandukan kontrak, gaji pemain terbabit akan dibayar oleh syarikat Kelantan Red Warrior (KRW) Sdn. Bhd dengan jaminan MyInsparation Sdn.Bhd.

“Dia (Mohd Badhri) tidak seharusnya meletakan kesalahan kepada KAFA dan sepatutnya memahami segala isi kandungan kontrak sebelum menurunkan tandatangan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan syarat yang diberikan KAFA kepada pemain terbabit supaya tidak menuntut tunggakan gaji selama dua bulan untuk musim 2019 sekiranya mahu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Hoki: Malaysia di tempat ketiga Siri Final Wanita FIH

KUALA LUMPUR: Skuad Hoki Wanita negara mengakhiri kempen Kejohanan Siri Final Wanita FIH di tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 di Kelab Hoki Banbridge, Ireland, pada Ahad.

Dalam perlawanan play off tempat ketiga dan keempat, penyerang Hanis Nadiah Onn meletakkan Malaysia di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-11, sebelum Fazilla Sylvester Silin menggandakan jaringan pada minit ke-34 ke atas Republik Czech yang menduduki ranking ke-19 dunia.

Malaysia yang di kedudukan ke-22 dunia, mendapat gol ketiga setelah Nur Amirah Shakirah Zulkifli menerima hantaran Nor Faizah Sayuti dan melepasi penjaga gawang Barbora Cechakova sebelum memukul bola menerjah jaring pada minit ke-60.

Impian skuad wanita Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama, tidak kesampaian selepas pasukan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah tewas 0-3 kepada pasukan nombor 11 dunia, Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Republik Czech pula tersingkir selepas tumpas 0-4 di tangan pasukan nombor lapan dunia, Ireland dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Hanya pasukan yang mara ke final, Ireland dan Korea Selatan melangkah ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Oktober dan November tahun ini.

Impian ke Olimpik buat pertama kali berkecai

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat pertama kali apabila peluang ke temasya edisi 2020 di Tokyo tertutup selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, pada Sabtu malam.

Kekalahan itu menyebabkan skuad bimbingan Muhamad Dharma Raj Abdullah gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu dengan Republik Czech pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tuan rumah Ireland akan menentang Korea Selatan di pentas final, pada Ahad.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Korea Selatan, yang memiliki ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow.