Man City kembali catat kemenangan

MANCHESTER City kembali mencatatkan kemenangan selepas membenam Newcastle United 5-0 dalam aksi di Stadium Emirates.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi Gabriel Jesus sekaligus menamatkan kemarau gol dalam sembilan perlawanan baginya.

Ini diikuti satu lagi gol menerusi Riyad Mahrez pada minit ke-21.

Masuk babak kedua, Newcastle terus ditimpa malang selepas Federico Fernandez tertampan bola Matt Ritchie dan memberikan Man City gol ketiga pada minit ke-58.

David Silva dan Raheem Sterling terus menghukum Newcastle dengan menjaringkan gol pada minit ke-65 dan ke-91.

Dengan baki empat perlawanan, Man City terus kukuh di tempat kedua, sembilan mata di hadapan Chelsea.

Saingan domestik atau pentas Asia?

ITU dilema yang sedang dialami pasukan handalan Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menetapkan September hingga November depan sebagai tempoh baru untuk menyambung semula saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

JDT muncul wakil tunggal Malaysia yang membawa cabaran dalam ACL.

Diletakkan harapan untuk membanggakan negara, skuad Harimau Selatan itu, bagaimanapun, berdepan situasi berbelah-bahagi.

Ia susulan jadual ACL berisiko untuk bertembung dengan perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia, yang akan disambung semula September depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, berkata: “Perlu diingatkan di sini bahawa AFC terpaksa menghabiskan liga ini (ACL) sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab.

“Kami perlu mencari juara, jadi Disember depan tidak boleh digunakan tetapi liga domestik boleh dijalankan sehingga 31 Disember depan.

“Setakat ini, belum ada sebarang pasukan yang ingin menarik diri.

“Kita perlu lihat perancangan dan pelaburan mereka.

“Siapa yang melakukan pelaburan yang lebih besar tidak akan menarik diri,” katanya.

Situasi itu berlaku disebabkan perjalanan bola sepak domestik dan antarabangsa terhenti sejak Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi melancarkan semula perjalanan ACL, AFC turut merombak format kejohanan itu, antaranya menerusi format satu tuan rumah bagi setiap kumpulan.

“Kami perlu mencari tuan rumah yang dapat memberikan sedikit kebebasan tetapi perlu diingat, segala aspek kesihatan perlu diambil kira. Itu yang penting.

“Yang kedua, ia melibatkan infrastruktur kesihatan negara tuan rumah itu sendiri.

“Mereka mesti mempunyai satu infrastruktur seperti hospital yang terbaik dan juga mempunyai satu protokol untuk merawat ataupun memberikan sokongan kesihatan kepada pasukan-pasukan dan sebagainya,” tambahnya.

Lelong kasut emas: Mak, ayah tak sihat, saya lakukan demi keluarga – Khalid Jamlus

KUALA LUMPUR: “Tindakan saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang kerana saya cuba buat apa yang saya rasa bersesuaian dan sepatutnya saya lakukan, dengan keadaan hidup saya ketika ini.”

Demikian luahan bekas bintang bola sepak Perak, Muhamad Khalid Jamlus, yang bertindak melelong beberapa barangan peribadi termasuk kasut emas, jersi dan pingat yang dimenanginya sebelum ini.

Tegasnya, apa yang dilakukan itu adalah berlandaskan situasi kehidupan yang dilaluinya sekarang dan ia tidak salah di sisi undang-undang.

“Secara jujurnya, benda ini berlaku berpunca daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 ini.

“Sebelum ini, memang saya ada terlibat menjadi duta produk, yang mana, abang ipar saya sendiri banyak membantu.

“Namun, sampai bila saya ingin mengharapkan bantuan orang? Barang-barang itu (yang dilelong) hak milik saya, bukan saya jual barangan orang lain,” katanya ketika ditemu bual Astro ARENA pada Isnin.

Jelas Khalid, 43 tahun, apa yang dilakukannya adalah satu faktor kehidupan, memandangkan beliau tidak mempunyai punca pendapatan dan berasa terdesak dengan situasi yang dilalui ketika ini.

“Apa yang boleh kita jangkakan kalau tiga tahun tidak bekerja? Saya juga ketua keluarga, saya rasa terdesak.

“Saya bukan hanya berdiam diri, saya sudah menyuarakan hasrat saya untuk menjadi jurulatih di Perak, begitu juga di Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Tetapi, saya tidak nampak peluang itu,” jelasnya lagi dalam keadaan yang sebak.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga dalam membuat keputusan melepaskan kesemua barangan yang cukup berharga dan mempunyai ‘sentimental value‘ itu, ini penjelasan beliau.

“Apa yang saya buat ini adalah untuk menampung perbelanjaan saya. Saya masih lagi mempunyai emak dan ayah. Ayah dan emak saya pun tidak sihat.

“Jadi, kepada siapa lagi saya ingin mengadu perkara ini? Apa yang saya lakukan ini adalah untuk masa depan keluarga saya, untuk kelangsungan hidup,” tambah Khalid.

Khalid Jumaat lalu melelong kasut emas yang dimenanginya selepas menjuarai Liga Perdana pada 2002 dengan harga bidaan RM10,500 menerusi sesi Facebook Live yang berjaya menarik lebih 1,000 penonton.

EPL: Liverpool lebar rekod kemenangan di gelanggang sendiri

LIVERPOOL kembali bangkit daripada kekalahan kepada Manchester City dengan membenam Aston Villa 2-0.

Dua gol Liverpool dijaringkan di babak kedua, masing-masing menerusi Sadio Mane dan Curtis Jones.

The Reds kini memburu 12 mata lagi untuk meleburkan rekod mengumpul mata tertinggi yang kini dipegang Manchester City.

The Reds kini mengumpul 89 mata dengan baki lima perlawanan.

Sementara itu, Burnley dan Sheffield United mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Turf Moor.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mendahului permainan, namun tuan rumah memecah kebuntuan pada minit ke-43 menerusi sepakan percuma Dwight Mcneil.

John Egan, bagaimanapun, menyelamatkan pelawat apabila menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan.

Keputusan menyaksikan kedua-dua pasukan kini berada dalam tujuh pasukan utama liga.

Turut mencatat keputusan seri adalah Newcastle dan West Ham United.

Aksi dua kelab ini berakhir dengan terikat dua sama. Pelawat, West Ham terdahulu membuka jaringan seawal minit ke empat.

Jaringan penyamaan Newcastle hadir pada minit ke-17.

Babak kedua menyaksikan dua pasukan bersaing dengan seimbang.

West Ham menjarakkan kedudukan dengan satu gol pada minit ke 65.

Namun tuan rumah berjaya mengikat kedudukan seri dua minit kemudian.

Keputusan itu meletakkan Newcastle di tangga ke-12 sementara West Ham menghampiri zon penyingkiran.

Dalam pada itu, aksi Southampton dan Manchester City pula menjadi medan buat Che Adams meledakkan gol pertamanya dalam EPL.

Adams menyertai Saints dari Birmingham City dengan nilai 15 juta pound Julai lalu. Gol Adams nyata mengejutkan pelawat.

Pengendali City, Pep Guardiola membuat enam pertukaran untuk mengembalikan prestasi pasukannya.

Namun, tiada sebarang jaringan terhasil sehingga wisel penamat.

City kekal di tangga kedua dengan 66 mata.

Super KIP bersemangat walau pelepasan ke Sepanyol ditunda

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tetap bersemangat untuk beraksi di Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) walaupun terpaksa menunda perjalanannya ke Sepanyol.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan Super KIP itu mengakui teruja untuk beraksi di Litar Jerez, Sepanyol dan berharap keputusan mengenai status pelepasan mereka ke negara itu dapat diketahui secepat mungkin.

“Daripada pihak MotoGP, Dorna Sports (pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP) dan kerajaan Malaysia semua sudah pun lulus, hanya satu pihak iaitu kerajaan Sepanyol yang tidak beri kebenaran.

“Saya dan juga pelumba Malaysia lain terpaksa tunggu surat kebenaran daripada Kesatuan Eropah untuk membenarkan kami masuk ke Sepanyol. Saya sendiri tidak pasti bila akan berlepas, mungkin hari Isnin atau Selasa depan. Saya harap dapat terima keputusan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Pelumba berusia 21 tahun itu dijadual berlepas ke Sepanyol pada pagi Jumaat namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan peraturan baharu Kesatuan Eropah hanya membenarkan warga 15 negara memasuki kesatuan itu, dengan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Selain Khairul Idham, wakil Malaysia yang dijadual menyertai saingan GP Sepanyol adalah Hafizh Syahrin Abdullah dari Aspar Team dan Kasma Daniel Kasmayudin dari ONEXOX TKKR SAG Team, yang akan bersaing dalam kategori Moto2.

GP Sepanyol di Litar Jerez berlangsung dari 17 hingga 19 Julai menjadi pusingan kedua musim 2020 selepas saingan pembukaan di GP Qatar pada Mac lepas.

Bagaimanapun, selepas perlumbaan di Qatar, Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Grand Prix di Brazil, AS mungkin dibatalkan

GRAND PRIX Amerika Syarikat dan Brazil mungkin tidak dapat berlangsung susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di kedua-dua negara itu.

Peneraju Mercedes F1 Toto Wolff berkata perlumbaan di Amerika, Mexico dan Brazil dijadual berlangsung secara berturut-turut pada penghujung Oktober dan November.

“Melihat kepada keadaan di negara-negara tersebut ketika ini, tak mungkin kita akan pergi ke sana,” katanya, menurut laporan BBC pada Jumaat.

Formula One masih berharap agar dapat melangsungkan antara 15 dan 18 perlumbaan sepanjang tahun ini.

Perlumbaan berkenaan bakal berlangsung di Austin, Texas dan Sao Paolo, Brazil.

Kalender Formula One kini menyaksikan hanya lapan perlumbaan tersenarai – kesemuanya di Eropah yang berlangsung dalam tempoh 10 minggu akan datang.

Kini, Formula One sedang giat bekerja untuk menyenaraikan fasa berikutnya.

Grand Prix Kanada di Montreal berlangsung pada bulan September.

Shanghai pula bakal melangsungkan dua perlumbaan.

Di Asia Barat pula, Formula One mempunyai cadangan untuk menyelesaikan perlumbaan di Bahrain dan Abu Dhabi.

Manchester City belasah juara liga Liverpool 4-0

JUARA Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool ditundukkan pencabar Manchester City 0-4 dalam perlawanan awal pagi tadi.

Meskipun baru sahaja menjulang gelaran juara liga selepas penantian 30 tahun, anak buah Jurgen Klopp kelihatan seperti tidak bersedia.

City yang juga juara musim lalu terpaksa memberi tunduk hormat kepada The Reds sebelum bermulanya perlawanan.

Rekod buruk Liverpool di tempat lawan terus menghantui mereka selepas gagal menang dalam away game bagi semua perlawanan sejak 15 Februari lalu.

City menggegar gawang Liverpool seawal minit ke 25 menerusi penalti Kevin de Bruyne.

Sepuluh minit berselang, Raheem Sterling menambah duka Liverpool dengan menyumbat gol kedua diikuti jaringan pemain tengah Phil Foden sebelum tamat babak pertama.

City mendapat gol keempat pada minit ke-66 selepas Alex Oxlade-Chamberlain tertampan bola ke gawang sendiri.

Tiga lagi trofi masih menjadi rebutan iaitu Piala Liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Arsenal ikat Bukayo Saka untuk kontrak jangka panjang

AKHIRNYA, Arsenal berjaya mengikat Bukayo Saka apabila pemain remaja tersebut bersetuju menandatangani kontrak jangka panjang

Ia sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan Saka, 18 tahun, yang sebelum ini diintai beberapa kelab Eropah seperti Liverpool dan Chelsea.

Menerusi laman Twitter rasminya, Saka meluahkan rasa gembira selepas kelab utara London berkenaan mengumumkan sambungan kontraknya dengan kelab itu.

“London ialah rumah saya. Arsenal ialah pasukan saya. Saya sangat gembira untuk mengumumkan lanjutan kontrak saya.

“Saya suka bermain untuk kelab ini dan saya tidak sabar menanti apa yang akan berlaku pada masa depan. Saya akan terus bekerja keras supaya saya boleh mencapai impian saya,” katanya.

Kontrak sedia ada Saka dilaporkan bakal tamat tahun depan dan rundingan bagi mengekalkannya bersama-sama The Gunners sudah bermula sejak beberapa bulan lalu.

Saka membuat penampilan dalam 33 aksi utama bersama Arsenal pada musim ini, dengan menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan.

Beliau jadi antara pemain kesebelasan utama sejak Mikel Arteta menjadi Pengendali Arsenal Disember lalu.

COVID-19: FAM akui status kewangan terkesan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hilang keuntungan maksimum sebanyak RM9 juta apabila tiada perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya dari Mac hingga September depan.

Wabak COVID-19 menyebabkan badan induk bola sepak negara itu terpaksa menggunakan jalan alternatif bagi memastikan kerjasama dengan penaja kekal terjalin.

Struktur aliran kewangan badan induk itu terjejas sejak penularan pandemik berkenaan yang mendorong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ini kerana pendapatan utama FAM adalah melalui aksi skuad kebangsaan berdasarkan aspek penajaan, hak penyiaran dan kutipan tiket perlawanan.

Namun, keuntungan yang dianggarkan berjumlah RM3 hingga RM9 juta yang sepatutnya diraih organisasi bola sepak negara itu sepanjang tempoh berkenaan tidak dapat direalisasikan.

“Itu anggaran realistik berdasarkan tiga jendela (sebelum ini).

“Ia sememangnya sasaran penjanaan dana buat FAM,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, ketika memberi reaksi kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Justeru, dana bantuan COVID-19 daripada Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan baru-baru ini ibarat bonus buat FAM bagi meneruskan kelangsungan operasi mereka menerusi peruntukan $1.5 juta (RM6.42 juta).

Selain FAM, pasukan kelab seperti Felda United juga terkena tempiasnya apabila kehilangan hampir RM1 juta.

“Ia memberi kesan yang sangat besar kepada kami.

“Kami terpaksa merangka semula perancangan kewangan kami .

“Setakat ini, Felda masih memberi dana kepada Felda United mengikut bulan,” kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

TWMR beri jaminan keputusan adil

KUALA LUMPUR: Penganjur Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC), Two Wheel Motor Racing (TWMR), sudah mempunyai pelan sokongan untuk meneruskan perlumbaan kembali dan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenangnya menamakan sebarang juara musim ini.

Hala tuju untuk ARRC kini bergantung kepada polisi pintu sempadan setiap negara yang terlibat kerana rata-ratanya ditutup untuk mengekang pandemik COVID-19.

Pelan sokongan yang dirangka TWMR kini adalah cuba menganjurkan empat pusingan sahaja daripada enam saingan yang berbaki dengan dua pusingan dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang dan dua  lagi di Litar Chang Buriram, Thailand.

Namun, jika kesemuanya tetap tidak dapat dijalankan, penganjur berjanji tiada pemenang akan diumumkan bagi semua kategori.

“Kami juga membuat keputusan untuk menjalankan perlumbaan secara berturut-turut dalam tempoh dua minggu agar dapat mempercepatkan musim ini.

“Namun, kami masih menunggu kerana di dalam Asia, masih ada negara yang terlibat,” ujar Pengarah Urusan TWMR, Ron Hogg.

Bagaimanapun, mereka memberi bayangan terdapat sinar positif untuk saingan tempatan, Cub Prix, untuk kembali dianjurkan.

“Saya rasa kami telah membuat satu ujia prosedur operasi standard (SOP) pada minggu lalu di Sepang, di mana saya rasa ia memastikan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan barisan pelumba untuk faham cara perlumbaan akan dianjurkan selepas ini.

“Saya yakin sukan tanpa kontak akan diberi kebenaran oleh kerajaan dalam masa terdekat.”