Stadium Sultan Ibrahim dipilih tuan rumah Spartan Stadion

stadium

(Gambar: Bernama)

JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat sejarah baru apabila Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai tuan rumah acara Spartan Stadion yang pertama di Malaysia.

Kelab itu dalam satu kenyataan memaklumkan acara itu melibatkan perlumbaan sejauh lima kilometer dengan 20 rintangan dan akan berlangsung pada 3 dan 4 Sep tahun ini.

Menurut kenyataan itu, pemilihan stadium ikonik yang mendapat anugerah “Stadium of the Year” oleh StadiumDB.com membuktikan kemampuan JDT dalam menarik minat dan kolaborasi dengan pelbagai lagi jenama antarabangsa.

Sebelum ini, beberapa jenama antarabangsa sudah menjalin kerjasama dengan kelab berkenaan, termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Nike, Hublot, Swag Electric Vehicle dan Subway.

“Kerjasama dengan jenama antarabangsa memperluaskan lagi nilai dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global dan ini menjana pendapatan diperoleh melalui penajaan kerana semakin besar jenama JDT, semakin besar pulangan pelaburan bagi penaja,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JDT juga percaya bahawa acara Spartan Stadion itu akan memperkukuhkan lokasi Stadium Sultan Ibrahim di peta dunia memandangkan ia dijangka menarik perhatian peminat dari dalam dan luar negara.

Spartan Stadion merupakan satu daripada sembilan acara sukan dianjurkan oleh Spartan Race – sebuah platfrom sukan ekstrem yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada tahun 2007 sebelum berkembang ke lebih 30 negara.

Sukarelawan jalani sesi latihan secara maya jelang Olimpik Tokyo

tokyo olympic volunteers

(Gambar: Reuters)

TOKYO: Ahli Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020 mengadakan sesi latihan secara maya buat sukarelawan yang bakal terlibat dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Sukarelawan tersebut akan ditugaskan mengiringi atlet sepanjang acara itu berlangsung, termasuk ketika menjalani proses ujian doping dan acara Paralimpik Tokyo.

Ini membuktikan pihak penganjur tidak memandang ringan situasi pandemik ketika ini dan tetap mencari alternatif terbaik dalam memastikan keselamatan semua pihak.

Sesi latihan secara dalam talian pada Sabtu itu (11 Apr) adalah sesi awal sebelum bengkel secara bertemu muka diadakan pada akhir bulan ini.

Pada Sabtu, Tokyo mencatatkan 570 kes baru COVID-19.

Program suntikan vaksin di Jepun tetap diteruskan, meskipun dalam fasa yang perlahan berbanding negara lain.

Sebelum ini, Presiden Olimpik Tokyo 2020 Seiko Hashimoto menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan atlet negara itu bakal menerima vaksin lebih awal menjelang temasya sukan itu.

Man Utd benam Spurs; West Ham kekal di tangga keempat EPL

LONDON: Manchester United membuktikan keupayaannya untuk bangkit semula walaupun ketinggalan satu gol untuk menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 pada Ahad (11 Apr).

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan United dalam kalangan empat pasukan teratas Liga Perdana England (EPL).

Dengan kemenangan yang diraih oleh Chelsea dan Liverpool pada Sabtu dan kemudian West Ham United pada awal Ahad, ini bermakna United semakin tertekan untuk mencatatkan kemenangan di padang Spurs.

Namun United berjaya bangkit dari gol Son Heung-min untuk mencatatkan kemenangan 3-1 dengan gol-gol United dijaringkan oleh Fred, Edinson Cavani dan Mason Greenwood.

Kemenangan itu sekali gus ‘merapatkan’ jurang dengan pendahulu liga Manchester City kepada 11 mata dan lebih penting bagi United, mereka kini berada sembilan mata di hadapan Chelsea yang menduduki tangga kelima dengan baki tujuh perlawanan sebelum musim ini berakhir.

West Ham mengekalkan persaingan untuk merebut tempat bagi Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan dengan menewaskan Leicester City 3-2 setelah mendahului 3-0 untuk tiga perlawanan berturut-turut.

Dua gol dari Jesse Lingard, yang semakin menyerlah prestasinya sejak dipinjamkan kepada West Ham oleh Manchester United bagi musim ini, dan jaringan Jarrod Bowen sejurus selepas waktu rehat separuh masa pertama, menjadikan kedudukan 3-0.

Namun, sama seperti apa yang berlaku ketika menentang Arsenal, yang bangkit untuk seri 3-3 pada bulan lalu dan kemudian Wolverhampton Wanderers pada pertengahan minggu lalu di mana mereka menang 3-2, pengurus West Ham David Moyes amat prihatin terhadap kerapuhan benteng pertahanannya.

Kelechi Iheanacho menjaringkan dua gol untuk Leicester tetapi West Ham terus bertahan untuk merampas tangga keempat dengan pungutan 55 mata daripada 31 perlawanan, dua mata di hadapan Chelsea dan tiga mata melebihi Liverpool.

Tottenham ketinggalan enam mata di belakang West Ham dengan peluangnya untuk menyambar empat tangga teratas kini semakin pudar.

Slavia Prague seri 1-1 dengan Arsenal

soccer (3)

(Gambar: AFP)

LONDON: Slavia Prague berhasil menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Europa pada Jumaat (9 Apr).

Pemain gantian, Nicolas Pepe memecah kebuntuan Arsenal pada minit ke-86 pada malam yang menyaksikan banyak peluang disia-siakan oleh pasukan tuan rumah itu.

Namun Tomas Holes berjaya menanduk bola sehingga membolosi gawang Arsenal untuk memastikan pasukannya mempunyai peluang yang seimbang di Prague.

“Perlawanan ini masih dalam genggaman kami, kami berhasil mendapatkan gol yang kami mahukan, tapi malangnya kami menyulitkan keadaan,” kata pengurus Arsenal Mikel Arteta kepada BT Sport.

“Kami menghadiahkan mereka dengan tendangan sudut, mereka meletakkan ramai pemain dalam petak penalti dan apa sahaja boleh berlaku. Sudah tentu ia mengubah perasaan kami selepas perlawanan berakhir.”

Kata Arteta lagi, para pemain gantian Arsenal berhasil mengubah corak permainan tetapi pasukannya gagal memanfaatkan peluang gol.

“Mereka adalah lawan yang baik dan sukar untuk dilenturkan,” kata Arteta. “Kini kami perlu ke sana dan menang. Kami pernah melakukannya sebelum ini dan kami yakin boleh melakukannya sekali lagi.”

M’sia belum putuskan jumlah atlit sukan bina badan bagi Sukan SEA 2021

sea

Encik Kamaruzaman Kadir.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) akan melaksanakan sesi pemilihan awal atlit bagi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Ahad ini.

Setiausaha Kehormat MBBF Kamaruzaman Kadir berkata pihaknya tidak menetapkan jumlah atlit untuk menyertai pemilihan awal itu sebaliknya berharap ramai akan turun memperagakan tubuh ‘sado’ mereka pada sesi berkenaan.

“Jemputan telah diedarkan kepada semua persatuan negeri dan atlit, jadi saya harap mereka yang berminat mewakili negara ke Sukan SEA 2021 boleh hadir ke sesi pemilihan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Encik Kamaruzaman pada masa yang sama sedikit terkilan dengan tindakan pihak penganjur temasya sukan dwitahunan itu yang sehingga kini masih belum mengemukakan maklumat lanjut mengenai acara berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya memerlukan maklumat, khususnya had jumlah peserta, yang boleh dihantar bagi setiap kategori dipertandingkan untuk membolehkan mereka membuat perancangan rapi bagi menghadapi cabaran di Vietnam nanti.

Sebanyak 10 kategori dijangka dipertandingkan termasuk tujuh bagi lelaki dan satu terbuka wanita pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, yang dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis depan.

Acara bina badan membuat kemunculan semula pada Sukan SEA 2021 selepas kali terakhir dipertandingkan pada edisi 2013 di Myanmar yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Olimpik: Pusingan kelayakan terjun cantik, renang artistik, renang maraton dibatalkan

olimpik tokyo

(Gambar: Reuters)

TOKYO: Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) membatalkan pusingan kelayakan acara terjun cantik, renang artistik dan renang maraton yang dijadualkan untuk bulan ini dan Mei di Jepun.

Demikian menurut bahagian kalendar di laman webnya.

FINA pada Jumaat (2 Apr) menyatakan pihaknya sedang meneliti semua pusingan kelayakan yang dirancang diadakan di Jepun dan bahawa ia akan membuat pengumuman minggu ini.

Ia bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan baru.

Minggu lalu, BBC melaporkan bahawa FINA akan membatalkan pusingan kelayakan bagi acara terjun cantik kerana ia tidak berpuas hati dengan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang dirancang oleh pihak penganjur.

Extreme E: Pasukan Hamilton X44 mendahului Rosberg dalam pusingan kelayakan

hamilton

ARAB SAUDI: Pasukan Lewis Hamilton X44 mengatasi pasukan bekas pesaingnya dalam Formula One, Nico Rosberg X Racing, dalam pusingan kelayakan perlumbaan pertama Formula E SUV di luar litar.

Ia adalah perlumbaan sulung Extreme E yang diadakan di Arab Saudi.

Juara sembilan kali perlumbaan rali dunia, Sebastien Loeb dan rakan sepasukannya Cristina Gutierrez, dari X44, berada di hadapan pasukan-pasukan lain dalam perlumbaan di Al Ula.

Dalam perlumbaan itu, setiap pasukan mempunyai hanya satu kereta lumba dengan para pelumba lelaki dan wanita menyempurnakan hanya satu pusingan sejauh 8.8 kilometer.

Akhirnya, hanya enam daripada sembilan pasukan yang bertanding, melayakkan diri ke pusingan kedua.

Pusingan akhir bakal diadakan, lewat hari ini (4 Apr).

Perlumbaan Extreme E bertujuan mengenengahkan isu perubahan iklim selain menggalakkan amalan lebih mesra alam dengan perlumbaan bakal diadakan di tapak-tapak terpencil yang terjejas oleh masalah pemanasan suhu bumi dan kemusnahan alam sekitar.

Olimpik: Tokyo akan bincang dengan FINA minggu ini

TOKYO: Penganjur sukan Olimpik Tokyo 2020 merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) minggu ini.

Demikian menurut seorang pegawai kanan badan tersebut setelah persekutuan itu menyatakan ia sedang menimbangkan semula sama ada untuk menganjurkan pusingan kelayakan bagi acara terjun cantik pada bulan ini.

“Kami sedar bahawa mereka berniat untuk membatalkannya. Dalam masa yang sama, kami masih cuba untuk mengesahkan perinciannya dan kami perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif Biro Operasi Sukan Tokyo 2020, Yasuo Mori, hari ini (4 Apr).

“Kami mahu mengadakan perbincangan dengan mereka tentang perincian sedemikian,” kata beliau semasa satu taklimat online menyusuli pusingan ujian bagi acara ragbi berkerusi roda pada hujung minggu ini.

Pembatalannya akan menjejas penganjur Tokyo setelah mereka memulakan semula acara-acara ujian buat pertama kali dalam tempoh setahun dan perlu menguji langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 bagi para peserta di lokasi pertandingan.

Laporan-laporan media menyatakan FINA sudah memutuskan untuk membatalkan pusingan kelayakan yang dijadual pada 18 hingga 23 April, yang juga acara rasmi ujian bagi sukan Olimpik, yang ditangguhkan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19.

BBC, yang memetik surat daripada FINA kepada persekutuan kebangsaan, menyatakan acara itu dibatalkan kerana langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang dirancang pihak penganjur “tidak akan memastikan” dengan baik keselamatan atlit.

Menurut FINA, ia akan membuat pengumumannya pada minggu akan datang.

Keadaan diburukkan lagi, dengan Osaka, yang merupakan sebahagian daripada metropolis kedua terbesar Jepun, mahu membatalkan penyertaannya dalam acara larian obor pada 14 April disebabkan penularan semula kes COVID-19 di sana.

Encik Mori berkata FINA dan persekutuan kebangsaan akan membuat keputusan tentang pusingan kelayakan bagi acaraterjun cantik. Namun penganjur Tokyo masih menekankan pentingnya acara-acara ujian diteruskan sedang mereka bersiap sedia bagi perasmian temasya Olimpik pada 23 Julai.

“Tidak kira apa formatnya, kami masih mahu meneruskan acara ujian. Jadi dengan niat itu kami mahu terus bekerjasama dengan mereka,” kata Encik Mori.

Punca kemalangan Tiger Woods dikenal pasti

NEW YORK: Laporan terperinci mengenai kemalangan membabitkan pemain golf terkemuka Tiger Woods hanya akan didedahkan jika bekas pemain Nombor Satu dunia itu memberi kebenaran kepada polis untuk berbuat demikian.

Punca kemalangan sudah dikenal pasti dan siasatan juga sudah ditamatkan, kata pegawai polis daerah Los Angeles, Alex Villanueva.

Woods, 45 tahun, memerlukan pembedahan pada kaki kanan dan pergelangan kaki menyusuli nahas pada 23 Februari lalu.

“Kami telah meneliti kandungan kotak hitam kereta terbabit dan siasatan telah ditamatkan.

“Namun kami tidak boleh mendedahkan laporan tersebut tanpa persetujuan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan,” kata Villanueva kepada portal berita BBC.

Dalam kejadian itu, Woods ditemui tidak sedarkan diri dan muka serta dagunya berlumuran darah.

Polis Los Angeles berkata, tiada bukti Woods di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika itu.

Tambah Villanueva, pihak polis sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Woods dan pembantu peribadinya namun mereka masih menunggu jawapan.

“Kami akan meminta beliau memberi kebenaran untuk mendedahkan laporan tersebut,” jelasnya lagi.

‘Memalukan’: Jerman alami kekalahan pertama kelayakan Piala Dunia dalam 20 tahun

DUISBURG: Kelakonan pasukan Jerman disebut sebagai “memalukan” setelah mereka mengalami kekalahan peringkat kelayakan Piala Dunia yang pertama dalam 20 tahun, apabila tewas 2-1 di padang sendiri kepada Macedonia Utara.

Jurulatih Joachim Loew pada Rabu (31 Mac) berkata di akhir perlawanan: “Kekecewaan ini besar.”

Pemain tengah Napoli, Eljif Elmas menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan, selepas Jerman menyamakan kedudukan melalui tendangan penalti Ilkay Gundogan setelah penyerang berusia 37 tahun, Goran Pandev menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Akhbar Jerman dengan pantas melontarkan kritikan.

“Amat memalukan!” kata akhbar harian Bild di laman web mereka.

“Kejutan Teruk” kata majalah bola sepak Kicker dan akhbar FAZ yang berpangkalan di Frankfurt.

Juara dunia empat kali itu tidak pernah gagal melayakkan diri ke kejohanan terbesar bola sepak itu, tetapi tidak menyertai pertandingan sulung pada 1930 dan dilarang pada 1950.

“Hakikatnya adalah, keadaan ini seharusnya tidak dibiarkan berlaku,” akui kapten pengganti Gundogan selepas kekalahan pertama kelayakan Piala Dunia Jerman sejak ditewaskan 5-1 oleh England pada 2001.

“Lebih menyakitkan lagi kerana tidak banyak yang akan berlaku untuk dua bulan,” tambahnya kerana Jerman tidak akan bermain lagi sehingga perlawanan pra musim Euro 2020 pada Jun.

“Kami perlu berada dalam prestasi terbaik sebelum hujung Mei dan bersiap sedia untuk pertandingan (kejuaraan Eropah).”

Jerman berhadapan dengan juara dunia, Perancis dan juara bertahan Portugal dalam kumpulan kejohanan Eropah mereka.

Kekalahan itu satu hambatan terbaru yang dialami Jerman, setelah mereka ditewaskan 6-0 oleh Sepanyol November lalu dan penyingkiran peringkat kumpulan yang mengejutkan semasa Piala Dunia 2018 di Rusia.