Zhafri impi KL kembali digeruni

Kuala Lumpur: Penampilan untuk tahun keenam bersama Kuala Lumpur pada musim depan buat Zhafri Yahya, pasti mahu dilihat dari sudut berbeza buat pemain berusia 26 tahun itu yang mahu mencipta lebih banyak sejarah gemilang bersama skuad warga kota.

Penampilan semula di Liga Super selepas pernah merasainya selama dua musim pada 2018 dan 2019, menjadi azimat terbaik buat Zhafri dan rakan-rakan yang berharap Kuala Lumpur lebih bersedia memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan elit.

Dia mengakui tidak rela melihat Kuala Lumpur sekali lagi perlu bergelut dalam mempertahankan slot mereka di Liga Super seperti mana dialami sebelum ini dan mempertaruhkan kepercayaan kepada pihak kejurulatihan serta pengurusan dalam mendapatkan pemain-pemain yang boleh membantu pasukan.

”Sejak bersama Kuala Lumpur dari 2016, pelbagai cabaran serta pengalaman pahit manis yang saya telah lalui dan musim depan, saya sekali lagi dapat berpeluang membantu Kuala Lumpur di Liga Super.

”Pengalaman selama dua musim di Liga Super pada 2018 dan 2019 mungkin dapat membantu saya selain tahu apa diperlukan bagi membantu Kuala Lumpur berikan saingan.

”Selain itu, saya harap pasukan juga akan dibantu pemain-pemain yang boleh memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan kerana cabaran di Liga Super sangat berbeza memandangkan semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang,” katanya.

Zhafri adalah produk Piala Presiden Selangor dibawa oleh bekas jurulatih, Ismail Zakaria pada musim 2016 ketika Kuala Lumpur di saingan Liga Premier sebelum skuad warga kota itu muncul juara pada 2017.

Sudah mengumpul 110 kaps dengan 94 bermula di kesebelasan utama, Zhafri yang beraksi di posisi tengah adalah pemain paling senior di dalam pasukan Kuala Lumpur buat masa ini. Pada musim ini, Zhafri bermula dalam tujuh daripada sebelas perlawanan Liga Premier dan secara keseluruhan, dia telah menjaringkan lapan gol buat Kuala Lumpur sejak bersama pasukan dari 2016.

Dalam pada itu, Zhafri memberikan penghargaan kepada Kuala Lumpur yang menjadi medan buatnya meneruskan karier selaku pemain bola sepak profesional malah dia sendiri tidak menyangka terus kekal bersama pasukan sehingga hari ini.

”Kalau memang diikutkan, Kuala Lumpur ini diibaratkan seperti tempat saya merasai bola sepak sebenar dan banyak perkara yang saya pelajari sehingga mematangkan saya sebagai pemain,” katanya.

Rashford, Coady kempunan aksi England

London: England terpaksa melupakan khidmat penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan pertahanan Wolves, Conor Coady dalam saingan Liga Negara-Negara menentang Belgium dan Iceland.

Rashford masih lagi bergelut dengan kecederaan bahu dialami ketika menewaskan Everton minggu lalu manakala Coady menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan seseorang yang dijangkiti koronavirus.

Pertahanan tengah itu dua kali diuji negatif tetapi bakal diketepikan daripada skuad Gareth Southgate untuk aksi di Belgium pada Ahad ini dan menentang Iceland di tempat sendiri Rabu depan.

Dalam satu kenyataan selepas England menewaskan Republik Ireland dalam aksi persahabatan awal pagi tadi, Persatuan Bolasepak (FA) berkata: “Coady wajib menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan seseorang yang positif Covid-19. Pertahanan Wolverhampton Wanderers itu dua kali diuji negatif sebagai memenuhi protokol FA dan Uefa tetapi perlu mematuhi garis panduan kerajaan berkaitan tempoh masa kuarantin.

“Manakala, Rashford belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.”

United buka langkah menangi hati Ronaldo

London: Manchester United membuat ‘tawaran rasmi’ untuk menandatangani semula legenda kelab Cristiano Ronaldo, menurut laporan di Portugal.

Akhbar Portugal, Record mendakwa Red Devils menghubungi ejen superstar itu, Jorge Mendes dengan tawaran lumayan yang sedia dipertimbangkan Ronaldo.

Bagaimanapun, pemenang lima kali Ballon d’Or yang berusia 36 tahun pada Februari lalu mahu kekal fokus bersama Juventus buat masa sekarang.

Ia memerlukan sesuatu yang istimewa jika United mahu membawa semula Ronaldo ke Theatre of Dreams, selepas 12 tahun menjualnya dengan harga rekod dunia £80 juta (RM434.444 juta) ketika itu kepada Real Madrid.

Ronaldo menyertai Red Devils daripada Sporting Lisbon pada 2003 dan meledak 118 gol dalam 292 perlawanan.

Dia membantu United menjuarai tiga gelaran Liga Perdana berturut-turut selain membantu kelab menjuarai Liga Juara-Juara pada 2008 dan Ronaldo meraih anugerah Ballon d’Or pertamanya tahun itu.

RONALDO ketika beraksi bersama United. FOTO Agensi
RONALDO ketika beraksi bersama United. FOTO Agensi

Tetapi dia mencapai kemuncak kegemilangan karier ketika sembilan musim di Real dengan menambah empat lagi koleksi anugerah berprestij itu selain meledak 450 gol dalam hanya 438 perlawanan.

Di atas padang, Ronaldo meraih dua gelaran LaLiga dan empat trofi Liga Juara-Juara termasuk tiga kejuaraan berturut-turut di antara 2015 dan 2018.

Dia kemudiannya membuat keputusan mengejut dengan berpindah ke juara Itali, Juventus pada 2018 dengan gaji lumayan £28 juta (RM152 juta) semusim.

Bersama Juventus, Ronaldo menjuarai dua gelaran Serie A dan menjaringkan 71 gol dalam 94 perlawanan.

Bagaimanapun, laporan mendakwa gergasi Itali itu mahu melepaskan Ronaldo bagi mendapatkan wang tunai sebelum kontrak pemain Portugal itu tamat pada hujung musim 2021/2022 sekali gus tidak lagi menanggung beban membayar gajinya sebanyak £540,000 (RM2.9 juta) seminggu.

Jika menjadi kenyataan, dia berpeluang menjulang kembali United ke persada Liga Perdana dengan bergandingan bersama ikon baru seperti rakan senegara, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford.

Bagaimanapun, Paris Saint-Germain dikatakan kelab pilihan dalam mendapatkan Ronaldo.

Mereka telah pun memiliki dua pemain handalan dunia di bahagian serangan – Kylian Mbappe dan Neymar.

Gandingan itu masing-masing beraksi di bahagian kiri dan kanan yang boleh membuka ruang untuk Ronaldo beraksi di bahagian tengah.

Sebuah lagi kelab yang boleh mencipta kejutan ialah Wolves yang mempunyai beberapa pemain Portugal hasil hubungan rapat dengan ejen Ronaldo, Mendes.

Kolumnis SunSport dan bintang Watford, Troy Deeney percaya penyerang itu bakal mencipta impak besar di Molineux jika dia berpindah ke sana.

Jijoe kongsi pengalaman dengan pelumba SRT

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal nombor satu negara, Azizulhasni Awang tidak kekok berkongsi pengalamannya bagaimana menakluk dunia apabila mengadakan sesi video secara maya bersama barisan pelumba pembangunan Sepang Racing Team (SRT).

Azizul yang pernah bergelar juara dunia pada 2017 dan kini berada di ranking nombor satu dunia dalam acara keirin berkata, sesi yang berlangsung secara dalam talian itu lebih kepada berkongsi pengalamannya dalam dunia sukan dan sepanjang bergelar atlet negara.

“Saya berkongsi pengalaman bagaimana untuk berurusan dan menyesuaikan diri apabila tinggal di luar negara sebab kebanyakan pelumba kelak akan tinggal di Eropah untuk beberapa ketika.

“Mereka banyak bertanyakan soalan. Saya percaya apa dikongsikan itu boleh diguna pakai dalam sukan permotoran mereka,” katanya.

Pada sesi yang berlangsung semalam, Azizul pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga menasihat pelumba negara untuk menjadikan disiplin sebagai kunci kejayaan dan terus komited dalam bidang yang mereka ceburi jika ingin melangkah lebih jauh.

“Untuk berjaya, banyak yang perlu dikorbankan. Kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai ujian dan halangan.

“Saya juga sempat menggalakkan mereka menimba ilmu kerana itu dapat membantu mereka dalam karier selepas bersara,” katanya.

Antara pelumba SRT yang terbabit adalah Adam Norrodin, Danial Syahmi Ahmad Shahril, Sharul Ezwan Sharil, Syarifuddin Azman, Zulfahmi Khairuddin dan Faz Adhili.

Untuk rekod Azizul kini kembali menguasai kedudukan ranking nombor satu dunia dalam acara keirin selepas mengumpul 2,195 mata.

Azizul menguasai kedudukan berdasarkan pencapaian merangkul gangsa di Kejohanan Berbasikal Dunia di Berlin, perak di Kejohanan Asia, Korea Selatan tahun lalu dan emas di Kejohanan Piala Dunia di New Zealand.

Yuta Wakimoto yang juga juara Asia di kedudukan kedua dengan 2,055 mata manakala juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen ketika 1,950 mata.

Manakala seorang lagi pelumba negara Mohd Shah Firdaus Sahrom di tempat ke-35.

‘Kejar impian, usah putus asa’

Kuala Lumpur: Pencapaian atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli begitu jauh meninggalkan atlet remaja biarpun dia beraksi bersama atlet normal yang lain.

Pencapaiannya kini sukar dikejar dan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu semakin selesa bergelar atlet lontar peluru nombor satu Malaysia.

Malah dia membuktikan mampu mencipta sejarah apabila meraih pingat emas acara lontar peluru pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand di Kompleks Sukan Universiti Thammasat di Bangkok pada 2017 malah turut meraih pingat perak di Sukan Sea Filipina dengan catatan 17.03m.

Namun atlet berusia 30 tahun itu menasihatkan atlet muda untuk tidak berputus asa dan terus mencuba.

Katanya, dia berharap atlet negara terus bermotivasi untuk berusaha mengejar impian dan jangan sesekali berputus asa sama seperti dirinya yang mahu terbaik untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

”Biarpun jarak antara atlet junior sekarang ini jauh, tapi saya harap mereka terus berusaha. Teruskan impian jangan pernah putus asa. Disiplinkan diri untuk kejar impian sampai ke satu tahap yang anda semua inginkan,” katanya.

Untuk rekod, Ziyad adalah pemegang rekod para dunia yang dilakukan ketika Kejohanan Para Dunia di London pada 2017 dengan catatan 17.29m mengatasi pencapaian yang direkodkan ketika meraih emas di Olimpik Rio 16.84m pada 2016.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan masih kekal milik bekas atlet negara Adi Alifuddin Hussin yang melakukan lontaran 17.54m pada Sukan Sea Palembang Indonesia 2011.

Kualiti persis awang import

Kuala Lumpur: Jika pemain lain berhempas pulas memburu tempat dalam pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim depan, lain pula terjadi kepada pemain berstatus kacukan apabila mereka dikatakan kini laku keras dengan mendapat perhatian untuk diserapkan dalam kesebelasan utama.

Keupayaan pemain kacukan yang dikatakan hampir sama dengan awang import menyebabkan pasukan Liga M melihat kehadiran mereka dapat membantu menguatkan lagi pasukan sekali gus membantu kelab mencapai objektif ditetapkan.

Malah, tidak hairan ada antara beberapa pasukan Liga M mengambil langkah susulan dengan memantau dan mencari pemain berdarah kacukan di luar negara untuk diserapkan dalam kesebelasan utama mereka.

Antara pasukan yang berbuat demikian adalah Kuala Lumpur apabila dikhabarkan dalam usaha membawa masuk bekas pemain kebangsaan Junior Eldstal untuk bersama mereka musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan sememangnya mereka dalam usaha rundingan untuk menyerap pemain berkenaan bersama skuad Ibu Kota.

Malah, Nokman turut mengakui mereka sememangnya sedang memantau beberapa pemain kacukan lain termasuk yang berada di luar untuk diserap bersama pasukan.

”Kita mengetahui keupayaan pemain kacukan seperti awang import dan kehadiran mereka dapat membantu pasukan meraih lebih banyak kejayaan. KLFA sedang berunding dengan Junior dan jika perbincangan mengenai soal pembayaran gaji serta beberapa perkara lain dipersetujui, kemungkinan kita akan melihat dia kembali
ke kancah Liga M.

”Selain itu, KLFA juga memantau perkembangan beberapa pemain kacukan lain namun perkara terbabit akan diputuskan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain Kuala Lumpur, skuad Pulau Pinang yang akan bertanding dalam kancah Liga Super musim depan juga dikatakan mengintai bekas pemain Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) Darren Lok untuk menguatkan lagi bahagian serangan.

Pulau Pinang yang kini memiliki seorang pemain kacukan di posisi penjaga iaitu Samuel Somerville berhasrat menambah koleksi individu berdarah kacukan dengan mengambil Darren. Selain itu, beberapa pemain kacukan lain seperti pemain JDT Matthew Davies, Natxo Insa, Corbin-Ong serta tonggak Selangor Brendan Gan manakala Khair Jones (Melaka) masih lagi kekal bersama pasukan masing-masing ketika rakan masing-masing tidak lagi disambung kontrak.

MSN Melaka sedia khidmat kaunseling

Melaka: Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka sentiasa memantau perkembangan semasa atlet negeri di samping memberi sokongan moral menerusi pegawai sukan masing-masing bagi khidmat kaunseling dan nasihat melalui pelbagai medium susulan pembatalan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Pengarah MSN Melaka, Tan Gek Chu berkata, kedua-dua pekara itu memberi kesan kepada emosi para atlet yang telah giat melakukan persiapan sejak sekian lama.

“Atlet kita sudah biasa berlatih, namun pada Mac latihan mereka terpaksa dihentikan sehingga kembali diberi kebenaran untuk berlatih semula pada Julai, jadi tentunya keadaan ini menganggu tumpuan serta memberi kesan kepada emosi dan mental mereka.

“Bagaimanapun, jika kita melihat kepada perspektif lebih positif, jurulatih mempunyai masa lebih panjang bagi pelan perancangan Periodisasi Sukma 2021 dan 2022 untuk temasya akan datang,” katanya.

Tan berkata pembatalan itu sedikit sebanyak menjejaskan program persiapan atlet, namun beliau percaya prestasi atlet kontinjen Melaka tetap berada di landasan terbaik untuk edisi 2022 nanti.

“Kita ada perancangan tersendiri bagi meneruskan program latihan atlet dan MSN Melaka masih menunggu keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma, sama ada mereka akan memuktamadkan isu had umur kelayakan untuk bertanding Sukma 2022.

”Sekiranya had umur bawah 21 tahun dikekalkan maka kita perlu mencari atlet baharu. Jika sebaliknya, atlet yang sedang berlatih kini boleh dikekalkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan kebajikan atlet-atlet Sukma selain komited membantu membayar elaun atlet dan juga bagi mereka yang terjejas ekonomi, antara inisiatif lain ialah menyenaraikan nama mereka bagi mendapatkan pekerjaan.

Heung-min pemain terbaik Oktober

London: Son Heung-min dipilih Pemain Bulanan Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Oktober, kali pertama dia meraih anugerah itu dalam masa tiga setengah tahun.

Penyerang Tottenham, Heung-min bermula cemerlang pada musim 2020-21 dengan meledak lapan gol dan dua bantuan jaringan dalam lapan aksi Liga Perdana.

Empat daripada jaringannya pada Oktober lalu termasuk ketika Spurs membelasah Manchester United 6-1 di Old Trafford dengan bintang Korea Selatan itu meledak dua gol dan membantu satu lagi jaringan.

Dia turut menggegar gawang ketika menewaskan West Ham dan Burnley untuk dinobatkan Pemain Terbaik Bulanan buat kali ketiga dalam kariernya selepas September 2016 dan April 2017.

Kali terakhir Spurs meraih anugerah itu menerusi Lucas Moura pada Ogos 2018.

Heung-min menewaskan tujuh calon lain dengan rakan sepasukan, Harry Kane salah seorang yang tersenarai untuk anugerah itu.

Samba Brazil hambar tanpa Neymar?

London: Neymar dijangka tidak sempat pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan getir menentang Uruguay dalam aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022.

Bintang Brazil yang memakai jersi nombor 10 disenaraikan negaranya walaupun pemain Paris Saint-Germain itu sebelum ini tidak beraksi tiga perlawanan susulan kecederaan pangkal paha.

Brazil berdepan Venezuela pagi esok dengan Neymar disahkan tidak dapat beraksi dan dijangka turut tersisih menentang Uruguay di tempat lawan pada Selasa depan.

Doktor pasukan, Rodrigo Lasmar menjelaskan, mereka sekali lagi bakal beraksi tanpa penyerang berbisa itu.

“Kami berharap dia dapat beraksi. Itu sebabnya kami membawanya ke Brazil. Kecederaannya semakin menunjukkan petanda positif tetapi dia dijangka tidak cukup cergas untuk aksi menentang Uruguay. Jadi kami membuat keputusan untuk merehatkannya.”

Brazil menang kedua-dua perlawanan kelayakan setakat ini dengan Neymar meledak hatrik ketika menentang Peru.

Nadal tekad akhiri badi ATP Finals

London: Rafael Nadal berkata dia bertekad memperbaiki rekod buruknya dalam gelanggang tertutup dengan mahu menjuarai ATP Finals buat kali pertama dalam karier gemilangnya.

Hanya satu daripada 86 gelaran perseorangan pemain Sepanyol itu hasil kemenangan di gelanggang tertutup iaitu di Madrid pada 2005.

Sejak itu Nadal menempah tiket kejohanan penutup musim, ATP Finals setiap tahun tetapi terpaksa menarik diri sebanyak enam kali.

Bercakap menjelang kejohanan di London O2 Arena, dia berkata terdapat beberapa faktor kegagalannya menyinar di gelanggang tertutup antaranya keletihan di penghujung musim selain pilihan gelanggang lain.

“Kita boleh mencari banyak alasan tetapi akhirnya, nombor tetap nombor,” kata Nadal.

“Saya rasa saya kurang beraksi di kejohanan tertutup berbanding terbuka, tiada keraguan mengenainya. ”

Pilihan kedua itu yang menyamai pencapaian Roger Federer dengan 20 Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu berkata, corak permainannya tidak sesuai dengan gelanggang yang laju.

“Permukaan gelanggang tertutup tidak sesuai dengan permainan saya sejak permulaan karier saya,” katanya yang berusia 34 tahun.

“Saya rasa saya beraksi dengan sedikit baik sejak beberapa tahun lalu dan saya berharap dapat mengubahnya minggu ini.”

Minggu lalu, Nadal mara ke separuh akhir Paris Masters sebelum dikalahkan Alexander Zverev.

Menurut Nadal, empat aksinya di gelanggang tertutup di Paris berjaya memperbaiki permainannya tetapi dia tidak pasti adakah itu persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan di London yang bermula Ahad ini.