Faizal idam satu piala

Kuala Lumpur: Memenangi sekurang-kurangnya satu piala pada musim baharu Liga Hoki Malaysia menjadi idaman penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari.

Dia yang kembali terpilih membarisi skuad kebangsaan di bawah bimbingan Arul Selvaraj bagaimanapun berkata, semua pasukan yang beraksi pada saingan bermula 14 Januari ini turut mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan liga atau Piala TNB.

“Memang saya harap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu piala untuk musim 2021. Bagi saya semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang. Terutamanya UniKL dan TNB. Dua pasukan ini mempunyai barisan pemain yang bagus. Masing-masing mempunyai peluang untuk memenangi piala,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya, Faizal berkata, dia semakin memperoleh tahap kecergasan sebenar selepas menyertai sesi latihan bersama skuad negara.

Faizal sebelum itu digugurkan daripada skuad kebangsaan ketika di bawah bimbingan Roelant Oltmans yang kemudian meletak jawatan sebelum diganti oleh Arul.

“Alhamdulillah saya dapat kembali semula bersama skuad kebangsaan. Tahap kecergasan saya juga semakin baik. Tapi saya perlu perbaiki lagi beberapa perkara termasuk menurunkan berat badan,” katanya.

Jangan cemburu United dapat lebih penalti

London: Ole Gunnar Solskjaer membidas kenyataan Jurgen Klopp mengenai rekod penalti dimiliki Manchester United dengan pengendali di Old Trafford itu turut mendakwa pengurus pasukan Liga Perdana cuba mempengaruhi pengadil.

Jurulatih Liverpool, Klopp mempertikaikan jumlah penalti yang banyak diberikan kepada United selepas juara bertahan gagal mendapatkannya ketika tewas kepada Southampton semalam.

Klopp mendakwa United mendapat lebih penalti dalam masa hanya dua tahun sejak dikendalikan Solskjaer berbanding Liverpool yang dikendalikannya sepanjang lima setengah tahun di Anfield.

United dianugerahkan enam penalti dalam aksi liga musim ini berbanding lima diperolehi skuad Klopp.

Mereka diberikan 42 penalti dalam semua kejohanan sejak Solskjaer mengambil alih tugas pada Disember 2018 berbanding Liverpool dalam tempoh sama.

Liverpool mendapat 46 penalti sejak Klopp tiba di Merseyside pada 2015.

Komen Klopp itu membuatkan Solskjaer ‘panas telinga’ dengan skuadnya akan menentang pendahulu itu dalam aksi getir pada 17 Januari.

“Itu faktanya, mungkin. Ia mungkin menjadi jawapan saya. Ia fakta kami mendapat lebih daripada mereka.

“Saya tak tahu berapa banyak penalti mereka dapat dan saya pula tak kira jumlah itu. Jadi, jika mereka mahu habiskan masa dengan bimbang apabila kami dikasari dalam petak penalti maka saya tidak akan berbuat begitu.”

Benzema miliki Bugatti Chiron RM13.60j

London: Sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia, Karim Benzema sudah pasti bergaji sangat lumayan dan mempunyai hobi mewah sesuai dengan statusnya.

Bintang Real Madrid itu mempunyai koleksi kereta dengan nilai anggaran £6 juta (RM32.69j) dan baru-baru ini dia menambah sebuah lagi, Bugatti Chiron berharga £2.5 juta (RM13.60j) selain memiliki kereta edisi terhad, Bugatti Veyron bernilai £1.5 juta (RM8.16j) di samping memiliki Ferrari 458 Spider dan beberapa lagi kereta mewah.

Dalam Instagramnya minggu lalu, penyerang Perancis berusia 33 tahun itu menayangkan koleksi terkininya, Bugatti Chiron bernilai £2.5 juta.

Jentera ‘hypercar’ terkini itu mengatasi Veyron dari segi prestasi dengan kelajuan tertinggi 420km sejam dan mampu mencapai 0-99km sejam di bawah 2.5s dan 299km dalam masa 13.6s.

Ia bukan sahaja ‘hypercar’ malah ‘hyper hyper car’.

BENZEMA bersama Mercedes Benz-SLR. FOTO Agensi
BENZEMA bersama Mercedes Benz-SLR. FOTO Agensi

Mercedes Benz-SLR milik Benzema turut terletak dalam garajnya. Dengan harga sekitar £750,000 (RM4.08j) ia adalah edisi istimewa Stirling Moss yang mampu mencapai 0-99km dalam masa hanya 3.5 saat.

Bintang bola sepak meminati Ferrari dan Benzema tidak ketinggalan. Dia kerap memandu di Madrid menggunakan Ferrari 458 Spider yang berharga £200,000 (RM1.08j). Peminat jentera sama yang lain termasuk Mesut Ozil, Frank Lampard dan Theo Walcott.

Selain itu, syarikat korporat turut kerap menaja bintang bola sepak terutamanya jika anda beraksi bersama Real Madrid dan Audi sebahagian daripadanya dengan Benzema memiliki model RS6 Avant C7 bernilai £90,000 (RM489,000) selain SUV, Q5 £40,000 (RM217,000).

Selain itu turut berada dalam koleksi Benzema ialah Rolls Royce yang berharga £250,000 (RM1.36j).

BENZEMA turut meminati Ferrari. FOTO Agensi
BENZEMA turut meminati Ferrari. FOTO Agensi

Bayern cemas sebelum menang

Berlin: Robert Lewandowski meledak dua jaringan ketika Bayern Munich yang ketinggalan dua gol bangkit menewaskan Mainz 5-2 awal pagi tadi dan membolehkan juara Eropah kembali ke puncak Bundesliga.

Mainz yang mendahului 2-0 pada babak pertama gagal bertahan selepas Bayern mendominasi sepenuhnya babak kedua dengan menjaringkan lima gol di Allianz Arena.

Keputusan itu membolehkan Bayern dua mata mengatasi pasukan di tangga kedua, RB Leipzig yang berada di puncak kelmarin selepas menang 1-0 di Stuttgart.

Menurut jurulatih Bayern, Hansi Flick, kebangkitan itu meningkatkan keyakinan mereka berdepan jadual padat selepas ini manakala pengendali sementara Mainz, Jan Siewert menegaskan skuadnya sudah melakukan segalanya, tetapi “anda perlu hormati kualiti dimilliki Bayern.”

AKSI  Sancho menjaringkan  gol Dortmund . FOTO AFP
AKSI Sancho menjaringkan gol Dortmund . FOTO AFP

Joshua Kimmich yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan lutut menjaringkan gol pertama Bayern dengan Leroy Sane dan Niklas Suele turut menggegar gawang manakala Lewandowski menambah dua lagi gol untuk jaringan ke-19nya musim ini.

Lewandowski yang dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Fifa bulan lalu kini menjaringkan 22 gol dalam semua perlawanan buat Bayern musim ini.

“Pada babak pertama kami tampil dengan sikap berbeza sama sekali,” kata Kimmich.

“Kami semua tahu mampu mengubah perlawanan tetapi sudah pasti memerlukan usaha yang gigih.”

Pada perlawanan awal, sayap England, Jadon Sancho meledak gol pertamanya dalam saingan Bundesliga musim ini selepas membantu Borussia Dortmund menewaskan Wolfsburg 2-0 sekaligus menghidupkan peluang pasukannya memburu gelaran liga.

‘Klon’ Hariss Harun sertai Kedah

Alor Setar: Spekulasi pemain kebangsaan Singapura M Anumanthan bakal menyertai pasukan Kedah dalam Liga Malaysia (Liga M) semakin bertiup kencang.

Pemain posisi tengah itu makin hampir bersama Hijau Kuning susulan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga turut mengesahkan bakal mengikat seorang pemain kuota Asean dari Singapura sebelum ini.

Menurut sumber, pemain yang memiliki corak permainan seperti rakan senegaranya, Hariss Harun itu bakal membarisi ruang tengah dan mungkin berganding bersama Baddrol Bakhtiar dan seorang lagi pemain import dari Lebanon, Rabih Ataya yang turut dikaitkan bersama Kedah.

“Jika diberi peluang, beliau mampu menjadi pemain tengah hebat seperti rakan senegaranya Hariss Harun yang pernah beraksi dalam Liga M bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini,” katanya.

Malah terdapat laporan berita antarabangsa sebelum ini yang memetik pemain yang memulakan kariernya bersama skuad Young Lions pada 2012 ini bakal ‘bergabung’ dengan jurulatih Aidil Sharin Sahak di Kedah selepas pernah berada dalam skuad Home United pada 2017 lalu.

Turut dilaporkan, pemain kebangsaan Singapura berusia 26 tahun itu bakal bertolak ke utara hujung minggu ini sebelum bersama skuad Kedah selepas menjalani kuarantin wajib.

Sewaktu bersama Home United, M Anumanthan membantu pasukan itu (kini Lion City Sailors) di kedudukan tiga terbaik carta Liga Premier Singapura termasuk peringkat final Piala AFC zon Asean pada 2017.

Pengikut Instagram JDT lonjak 42%

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan saja membuktikan mereka hebat di atas padang namun turut cemerlang apabila mempunyai peningkatan terpantas pengikut Instagram di dunia.

Menurut Transfermarkt, JDT antara 10 kelab yang memperoleh peningkatan terpantas pengikut di Instagram di dunia pada musim 2020.

Kelab yang berpangkalan di selatan tanah air itu mempunyai 1.1 juta pengikut dengan peningkatan 42 peratus berbanding 2019.

Peningkatan jumlah pengikut itu menyaksikan JDT berada di kedudukan kelima yang mencatatkan peningkatan pengikut Instagram paling cepat.

Selain itu, empat kelab lain yang berada di kedudukan teratas mencatatkan peningkatan pengikut Instagram adalah Simba SC(Tanzania), Transfermarkt, Leverkusen (Jerman) dan Inter Milan (Itali).

Mengikut rekod, JDT pernah dinobatkan sebagai Kelab Terbaik Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sepanjang Dekad selepas menewaskan empat lagi bekas juara lain.

Pasukan itu berjaya mengetepikan empat pasukan lain yang turut dicalonkan iaitu kelab dari Kuwait iaitu Kuwait SC, Qadsia SC, Al Ahed dari Lubnan dan Kelab Air Force dari Iraq.

JDT berjaya mendapat undian 80 peratus manakala Kelab Air Force (12 peratus), Qadsia FC (6 peratus), Kuwait FC (2 peratus) dan Al Ahed satu peratus.

Undian terbabit yang dilaksanakan menerusi atas talian khusus kepada peminat bola sepak mengundi pasukan pilihan masing-masing dan Harimau Selatan, pasukan yang menjuarai edisi 2015 sekali gus menyaksikan penampilan pertama cukup mengagumkan dalam pertandingan, satu-satunya pasukan dari Asia Timur yang dicalonkan untuk anugerah itu.

Neymar gelak dakwaan anjur parti mega

Rio de Janeiro: Neymar hanya ketawa dengan dakwaan kontroversi mengadakan parti mega Tahun Baru tertutup yang dihadiri 500 tetamu. Dia sebaliknya memuatnaik video persiapan makan malam sederhana bersama keluarga dan rakan terdekat.

Superstar bola sepak itu berdepan kritikan hebat di Brazil yang berdepan ancaman Covid-19 sangat serius membabitkan jumlah kematian yang tinggi.

Bagaimanapun, dalam Instagramnya dia menunjukkan perancangan sambutan Tahun Baru yang dianggap berskala kecil.

Penyerang Paris Saint-Germain berusia 28 tahun itu memuatnaik video meja makan malam untuk 40 tetamu yang dihiasi bunga-bungaan dan ruang kosong di antara kerusi.

“Dekorasi menarik untuk acara sederhana tetapi indah di rumah dengan penjarakan fizikal,” katanya.

“Dan ia bukan untuk 500 orang, ok?” katanya sambil ketawa.

“Penjarakan sosial. Setiap orang diuji.” katanya lagi.

Sebelum itu, dia memuatnaik video dan anaknya berusia sembilan tahun yang didakwa ‘ ujian ke-50’ virus baru koronavirus.

Neymar yang tidak beraksi sejak kecederaan buku lali ketika menentang Lyon pada 13 Disember kerap mengelak daripada menjawab laporan mengenai parti tertutup yang sepatutnya diadakan di Mangaratiba.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Brazil menjangkau 195,000 orang, yang kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Rakan senegara halangan pertama

Kuala Lumpur: Undian Yonex Terbuka Thailand dari 12 hingga 17 Januari ini nyata bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Apa tidaknya, seawal pusingan pertama lagi mereka terpaksa berdepan rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekali gus terpaksa mengetepikan sentimen kenegaraan demi memastikan mereka dapat melangkah lebih jauh.

Ia kejohanan pertama yang bakal disertai rata-rata barisan pemain negara selepas 10 bulan tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

“Kejohanan pertama sudah menentang kawan sendiri. Susah mahu cakap macam mana. Masing-masing sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan. Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah buat persiapan yang terbaik,” kata Aaron.

Jika dapat mengatasi V Shem-Wee Kiong, pasangan nombor sembilan dunia itu akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dengan Ben Lane-Sean Vendy dari England di pusingan kedua.

Namun bagi saingan Toyota Terbuka Thailand yang akan berlangsung dari 19 hingga 24 Januari, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan pertama.

“Apabila beraksi dalam kejohanan besar, tiada yang mudah kerana setiap lawan adalah sukar sejak pusingan awal lagi. Jadi, kami akan fokus satu demi satu perlawanan,” kata Aaron.

Shakir tak sangka tercalon

Kuala Lumpur: Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Engku Nur Shakir Engku Yacob tidak menyangka tercalon buat kali pertama dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual memandangkan ini musim pertama dia beraksi penuh dalam Liga Malaysia (Liga M).

Shakir yang tercalon dalam kategori Penyerang Terbaik menyifatkan pencalonan pada tahun ini memberi seribu satu makna apabila musim 2020 permulaan cemerlang untuknya di pentas Liga M di mana sebelum ini dia beraksi dalam saingan Piala Presiden bersama TFC III dan hanya beberapa kali dipinjamkan ke TFC II.

Justeru, pemain muda berusia 22 tahun ini tidak menduga aksinya bersama TFC II untuk meledak empat gol secara keseluruhan saingan Liga Perdana meletakkan Shakir sebaris dengan calon-calon lain yang nyata lebih berpengalaman bagi merebut trofi ABK20 Virtual.

Bagaimanapun, Shakir melihat penyerang Perak, Shahrel Fikri calon paling layak untuk mengungguli kategori itu berdasarkan statusnya selaku penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan.

“Ini baru tahun pertama saya beraksi dalam saingan Liga Perdana dan semestinya saya agak terkejut apabila tahu dicalonkan untuk ABK20, apatah lagi hanya tiga calon tempatan yang ada, manakala yang lain penyerang import.

“Sememangnya pencalonan ini memberi saya semangat dan motivasi lebih tinggi untuk melakukan lebih baik pada tahun hadapan kerana saya bakal beraksi dalam Liga Super bersama skuad utama (TFC), dan harap lebih banyak gol dapat dijaringkan.

“Apa-apa pun, saya tidak letak harapan tinggi sangat, sebab secara peribadi, saya rasa Shahrel layak untuk menang dan kalau boleh mana tahu rezeki saya pada tahun depan untuk cuba menjadi sepertinya pula,” jelasnya.

Antara calon lain yang turut tersenarai bagi kategori Penyerang Terbaik adalah Ramadhan Saifullah Usman (JDT), Diogo Luis Santo (JDT), Ifedayo Omosuyi (Selangor), Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Fernando Rodriguez (JDTI II), Francis Kone (Kuala Lumpur), dan Tchetche Kipre (Kedah).

McGregor mahu balas dendam ke atas Khabib

London: Conor McGregor dilaporkan sedia berentap sekali lagi dengan Khabib Nurmagomedov dan mahu merealisasikannya dengan bantuan presiden UFC, Dana White dan pengurus musuh ketatnya itu, Ali Abdelaziz.

McGregor, 32, dalam ciapannya berkata: “MeDanaAliGonnaGetcha.”

Sebelum ini, White mendedahkan dia akan bertemu Khabib pada minggu McGregor kembali ke oktagon.

Pertarungan ulangan jaguh dari Ireland itu dengan Dustin Poirier yang ditewaskan pada 2014 berlangsung di Abu Dhabi pada 23 Januari.

Khabib, 32, akan menyertai McGregor di Timur Tengah dengan rakan pelatih, Omari Akhmedov turut tampil di Fight Island.

Dan di situ bos UFC, White akan berusaha membawa Khabib keluar daripada persaraan.

Ciapan McGregor dalam Twitternya turut memberi bayangan mereka akan berusaha memaksa pertarungan semula kedua-dua jaguh itu.

McGregor begitu terdesak membalas dendam di atas kekalahan pada 2018. Tetapi dengan Khabib mengambil keputusan bersara pada Oktober lalu, peluang McGregor tampak tipis.

Rakan rapat Khabib, Daniel Cormier yang juga rakan pelatihnya percaya, raja lightweight itu hanya mampu dipujuk oleh legenda UFC, GSP.

Cormier, 41, berkata kepada MMA Fighting: “Ia mungkin Georges St-Pierre. Saya percaya dia mahukan pertarungan besar dalam usaha membuktikan dirinya.

“Seperti anda katakan, Khabib Nurmagomedov cuba mencipta sejarah dan kemenangan ke atas Georges St-Pierre pasti menepati hasratnya.

“Apabila kehadiran semula menjadi sangat besar, tiada banyak perkara boleh menambah nilai. Jika dia bersetuju bertarung dan mengalahkan GSP, akan menjadi penambah nilai.”

Khabib bersara selepas tamat pertarungan pertama sejak kematian bapanya, Abdulmanap yang berusia 57 tahun susulan komplikasi koronavirus.

Bagaimanapun, Khabib mengesahkan perancangan mereka sebelum ini yang mahu dia bersara dengan rekod 30-0 sekali gus menyalakan harapan White untuk menyaksikan superstar itu kembali bertarung sekali lagi.