Ronaldo bantu Portugal menang ke atas Luxembourg

ronaldo

PARIS: Cristiano Ronaldo membantu Portugal mencipta kemenangan 3-1 ke atas Luxembourg pada Rabu (31 Mac) menerusi jaringan pertamanya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Penyerang Juventus, Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-103 dalam perlawanan antarabangsa lima minit selepas waktu rehat bagi memastikan pasukannya tidak dihambat Luxembourg yang menampilkan persembahan baik akhir-akhir ini meskipun dengan kedudukan tidak tinggi dan jumlah penduduk yang kecil.

Dalam satu keputusan berkontroversi, Ronaldo dinafikan apa yang kelihatan seperti jaringan kemenangan pada masa tambahan ketika seri berdepan Serbia di Belgrade Ahad lalu tetapi beliau tidak dapat disekat apabila menyempurnakan hantaran lintang Joao Cancelo.

Luxembourg menewaskan Republik Ireland pada perlawanan terakhirnya dan satu lagi keputusan mengejutkan seperti boleh berlaku apabila Gerson Rodrigues meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan pada setengah jam pertama saingan Kumpulan A dekat Stade Josy Barthel.

Ronaldo meletakkan Portugal di depan sebelum Joao Palhinha menambah gol ketiga yang menyelamatkan Portugal seterusnya meletakkan mereka di kedudukan teratas, bersama Serbia, yang menang 2-1 berdepan Azerbaijan.

Ronaldo, 36 tahun kini enam gol kurang daripada rekod sepanjang masa milik pemain Iran, Ali Daei yang menjaringkan 109 gol antarabangsa.