London: Chelsea tidak boleh leka dan perlu bekerja keras ketika melayan kunjungan Atletico Madrid dalam saingan peringkat kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stamford Bridge, Khamis ini.
Jaringan menarik Olivier Giroud memisahkan kedua-dua pasukan di Bucharest dan memberi Chelsea kelebihan satu gol tetapi skuad Diego Simeone adalah pendahulu La Liga yang kerap mencemaskan kelab Inggeris di tempat lawan seperti berlaku kepada juara Liga Perdana, Liverpool tahun lalu.
Chelsea mungkin beraksi sekali lagi tanpa Tammy Abraham dan Thiago Silva akibat kecederaan tetapi masalah lebih besar bagi Thomas Tuchel ialah ketiadaan dua tonggak tengahnya.
Mason Mount dan Jorginho menerima kad kuning pada aksi pertama dan tidak boleh beraksi di Stamford Bridge. Bermakna Chelsea akan bergantung kepada N’Golo Kante dan Mateo Kovacic.
Atletico pula yang beraksi tanpa pemain tonggak seperti Jose Gimenez dan Yannick Carrasco pada saingan pertama akibat kecederaan menarik nafas lega selepas kedua-duanya kembali pulih dan sedia diturunkan.
Tuchel masih belum tewas sejak mengendalikan Chelsea pada lewat Januari lalu. Malah pasukannya belum dibolosi sejak saingan peringkat pertama Liga Juara-Juara termasuk menewaskan Liverpool di Anfield dalam tempoh itu.
Atletico turut belum kalah tetapi mereka kurang meyakinkan akhir-akhir ini. Mereka melepaskan gol saat akhir pada pertembungan ‘derby’ Madrid dan seri tanpa jaringan menentang Getafe pada Ahad lalu sekaligus mengendurkan cengkaman di puncak La Liga.