Tanpa gelaran juara Piala FA sepanjang karier sebagai pemain dan jurulatih, kini ketua jurulatih skuad ‘The Bos Gaurus’, Mehmet Durakovic, memasang tekad untuk menamatkan penantian dengan membawa pulang piala tersebut.
Jurulatih berusia 53 tahun, yang pernah beraksi dalam 82 perlawanan bersama Selangor dari 1995 hingga 1998 dan kemudian menjadi jurulatih selama dua tahun dengan skuad tersebut pada 2013, yakin anak buahnya dapat mengatasi Kedah susulan latihan intensif sejak beberapa minggu lalu.
“Sudah 15 tahun Perak tidak menang Piala FA sejak 2004 dan saya gembira dengan tahap persediaan yang dilakukan serta kita dapat menampilkan persembahan yang menarik untuk semua,” katanya pada sidang media praperlawanan di stadium berkenaan hari ini.
Beliau berkata beberapa pemain mengalami kecederaan ringan serta pemain tengah D. Kenny Pallraj tidak dapat diturunkan selepas mengutip tiga kad kuning pada tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.
Bagaimanapun, Durakovic memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak mengambil mudah skuad Kedah selepas benteng pertahanan meloloskan beberapa gol pada perlawanan Liga Super sebelum ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak turut yakin pengganti pemain import Renan Alves, yang menjalani hukuman gantung satu perlawanan, akan menampil persembahan terbaik bagi memburu jaringan.
“Persediaan kami berjalan lancar tetapi perlu mengakui kehilangan Alves di pentas final turut terasa namun perlu menghormati hukuman penggantungan yang dihadapinya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau terlalu yakin anak buahnya akan mempamerkan persembahan terbaik masing-masing, sambil mengakui perlawanan di pentas final adalah berbeza walaupun Kedah mengalahkan Perak 4-2 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 13 Julai lalu.
Sebagai rekod, Kedah memenangi Piala FA sebanyak empat kali iaitu pada 1996, 2007, 2008 dan 2017 manakala Perak dua kali iaitu pada 1990 dan 2004.