Dalam satu temuramah dengan majalah TIME, Salah meluahkan pandangan jujur dan ikhlasnya bahawa tiada pilihan selain menyokong kepentingan hak wanita dalam masyarakat.
“Saya rasa kita perlu ubah cara kita melayani wanita dalam budaya kita.
“Ia bukan satu pilihan,” katanya.
Penyerang berusia 26 tahun kelahiran Mesir itu berkata, melihat bagaimana wanita didepani ‘dalam budaya orang Timur Tengahnya’ telah mengubah caranya memandang hal perhubungan antara jantina.
“Saya menyokong wanita lebih dari sebelum ini, kerana saya fikir mereka berhak mendapat lebih daripada apa yang dinikmati mereka hari ini.”
Namanya menjadi sanjungan rakyat Mesir selepas memimpin pasukan negara itu layak ke Piala Dunia 2018 Rusia buat pertama kali sejak 28 tahun, dan merasakan dirinya seperti ‘anak’ kepada setiap mereka.
Mengakui sedikit tertekan oleh kemasyhuran itu kerana mengetahui bahawa setiap orang meletakkan harapan tinggi di bahunya, namun itulah yang menjadi dorongan buatnya untuk terus menjadi contoh yang terbaik.
Menceritakan ringkas tentang perjalanannya sebagai seorang pemain dari Nagrig berhijrah ke Switzerland untuk beraksi bersama FC Basel, Salah berkongsi kisah mengharung kehidupan penuh liku demi mengejar impiannya.
“Pada awalnya saya amat menderita kerana bahasa, kerana budaya, kerana kerja keras.
“Tetapi, anda tahu saya gembira dapat berada di sini hari ini,” ujarnya.
Beliau menjalani musim hebat hebat di Anfield selepas berhijrah ke Liverpool dua tahun lepas, pantas menjadi sanjungan bukan sahaja para penyokong Liverpool tapi setiap mata yang memerhatikan peribadi luhurnya.
Salah dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh 2019 oleh majalah TIME, dan menjadi salah satu daripada enam muka depan bagi isu April/Mei.