Berbaloi Chelsea beli Pulisic

PELABURAN Chelsea terhadap Christian Pulisic disifatkan berbaloi dalam memperkasa cabaran The Blues pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Penyerang muda Chelsea, Tammy Abraham menyifatkan kehadiran Pulisic yang menyumbang satu gol ketika membantu The Blues menewaskan Watford 3-1 di Vicarage Road sebelum ini sebagai satu petanda positif kepada kelab berkenaan.

“Secara peribadi saya senang dengan kehadiran Pulisic yang diturunkan dalam kesebelasan utama beberapa perlawanan baru-baru ini dan dia sudah pun membuktikan prestasi sebenarnya apabila mula menjaringkan gol.

“Saya berharap dapat terus digandingkan bersama Pulisic kerana kami mudah membentuk keserasian ketika beraksi bersama di padang.

“Kami mudah bekerjasama ketika latihan untuk mengetahui pergerakan masing-masing, bila masa sesuai dia mengumpan atau saya memberikan umpan. Kami juga tahu bila masa sesuai untuk berada dalam kawasan penalti,” katanya.

Pulisic yang menyertai Chelsea dari Borussia Dortmund pada Januari dengan nilai £58 juta (RM298.85 juta) sebelum menghabiskan baki musim lalu secara pinjaman di Jerman dilihat berjaya menyisihkan segala keraguan mengenai potensi dirinya setakat ini.

Pada awal musim ini, pemain Amerika Syarikat itu diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama Chelsea, namun sejak Pedro dan Willian pulih daripada kecederaan menyebabkan peluangnya semakin terhad.

Namun, Pulisic yang kali terakhir membarisi kesebelasan utama ketika bertemu Sheffield United 31 Ogos lalu membalas kepercayaan pengendali Chelsea, Frank Lampard apabila meledak hatrik ketika membantu The Blues mengatasi Burnley 4-2 di Turf Moor pada 27 Oktober lalu.

Chelsea kini berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila menang dalam lima perlawanan terakhir mereka, sekali gus berada pada kedudukan keempat liga dengan 23 mata selepas 11 perlawanan.