Perjuangan Malaysia dimulakan oleh beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, yang lebih baik berbanding dua pertemuan terdahulu dengan pasangan china, Liu Yuchen/Li Junhui.
Lawan yang berada di ranking kedua dunia itu dikejutkan dengan aksi kemas pasangan negara seawal set pertama yang membuahkan kemenangan 21-18 tetapi beraksi di depan penyokong sendiri membuatkan Yuchen dan Junhui menyamakan kedudukan menerusi kemenangan set kedua 21-14.
Saingan getir dalam set kedua diakhiri menerusi dua servis akhir sekali gus membolehkan wakil tuan rumah menang 24-22 untuk meletakkan China di depan.
“Memang kami ada berbincang dengan jurulatih dan pernah bertemu lawan sama dua kali tetapi kalah. Namun, kali ini menyaksikan saingan paling getir,” kata Aaron.
“Memang kecewa kerana berpeluang untuk menang. Kami bermula set pertama dengan baik dan kecewa kerana telah mendahului,” tambah Wooi Yik.
Skrip hampir sama terlakar buat perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, yang berdepan Chen Yufei apabila terlebih dahulu tewas dalam set pertama 21-15 tatkala wakil negara berusia 25 tahun itu mengheret perlawanan ke set penentuan menerusi kemenangan set kedua 23-21.
Bagaimanapun, kebangkitan Soniia tidak mampu diteruskan apabila akhirnya tunduk 21-14 untuk terus memberikan kelebihan 2-0 buat China.
“Sebenarnya, untuk aksi hari ini, saya hanya mahu turun berjuang sepenuh kudrat untuk perlawanan. Saya cuba elakkan untuk fikir bahawa Yufei merupakan pemain ketiga terbaik dunia dan hanyalah pemain biasa. Itu strategi saya,” kata Soniia.
Ketinggalan 2-0 menyaksikan harapan Malaysia terletak di bahu Lee Zii Jia yang turun bagi aksi perseorangan lelaki berdepan Shi Yuqi.
Pertemuan ketiga antara dua pemain tersebut menyaksikan Zii Jia dapat mengimbangi serangan dan corak permainan lawan tetapi tetap tunduk 21-12 dalam set pertama.
Yuqi semakin menampakkan penguasaan secara menyeluruh dalam set kedua dengan pukulan smash yang ternyata menjadi senjata utama untuk dia menamatkan saingan dengan keputusan 21-11.
“Macam saya cakap, kalau kalah tetapi kami perlu cuba yang terbaik. Sasaran utama kami bukan China dan masih perlu berdepan India. Jadi, kami akan persiapkan diri untuk berdepan India dan berfikir positif,” ujar Zii Jia.
Perlawanan keempat di antara pasangan tuan rumah yang berada di ranking kelapan dunia, Du Yue/Li Yinhui, dan wakil negara, Vivian Hoo dan Yap Cheng Yen, menyaksikan moral pemain negara jelas berada di tahap bawah apabila tewas mudah 21-18 dan walaupun mendahului 3-1 dalam babak awal set kedua, ia tetap gagal mengekang tuan rumah untuk mencipta kemenangan 21-14.
Segalanya jelas tidak berada di pihak Malaysia apabila aksi terakhir melibatkan beregu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing, menyaksikan mereka tewas 21-16, 21-12 di tangan Huang Yaqiong/Zhang Xiwei sekali gus meleburkan hasrat wakil kebangsaan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam aksi pembukaan.
Malaysia bakal meneruskan aksi Kumpulan 1D Piala Sudirman pada Selasa depan berdepan India.