Laporan agensi berita Itali, AGI, semalam mendakwa Juve sudah pun mencapai kata sepakat dengan Guardiola untuk menggantikan Massimiliano Allegri yang mengumumkan perpisahannya minggu lalu.
Menurut saluran berita itu, pengurus berbangsa Catalan itu bersedia menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai €24 juta (RM112.48j) setiap musim bersama Bianconeri pada 4 Jun ini sebelum diperkenalkan kepada media, 10 hari kemudian.
Bagaimanapun, Pegawai Eksekutif Kumpulan Bola Sepak City, Alberto Galassi, menolak khabar angin tersebut sambil menyatakan Guardiola ingin terus berada di Stadium Etihad dan ia hasrat yang disampaikan sendiri oleh pengurus itu sebelum perlawanan akhir Piala FA menentang Watford, minggu lalu.
“Sebagai ahli lembaga pengarah Manchester City, saya sangat terkejut apabila membaca banyak berita yang yang tidak masuk akal,” kata Galassi kepada Sky Sport Italia.
“Yang pertama, pengurus kami mahu kekal dan kontraknya masih ada dua tahun lagi. Yang kedua, mana-mana kelab seperti Juventus tidak akan mengeluarkan berita-berita seumpama itu.
“Adalah mustahil City tidak dimaklumkan dan Juve tidak menghubungi kami beberapa hari sebelum majlis pengenalan itu diadakan. Ia satu berita yang tidak berasas dan palsu sama sekali.
“Dia tidak mahu pergi, sebab itulah masalah tidak wujud kerana ia satu berita yang tidak wujud.”
Galassi mengesahkan beliau sempat berjumpa dengan Naib Pengerusi Juve, Pavel Nedved, mengenai khabar angin tersebut.
Beliau menambah: “Kami sama-sama tertawa, kami sedar isu tersebut adalah tidak masuk akal.
“Saya minta maaf kepada peminat Juventus tetapi mereka perlu mencari calon yang lain.
“Berilah ruang kepada Pep untuk menikmati percutiannya.”