JDT perit, Kedah dan TFC ada peluang

Kuala Lumpur: Nasib berbeza bakal ditempuhi tiga wakil negara di pentas Asia apabila kedudukan balang menjelang undian Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang akan ditentukan esok tampak sengit.

Sudah pasti, laluan berliku bakal dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam penampilan ketiganya di ACL musim ini apabila dijangka berhadapan wakil dari Korea Selatan dan Jepun dalam peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Kedah dan Terengganu FC yang akan beraksi di Piala AFC dilihat berpeluang untuk mara lebih jauh sekurang-kurangnya ke pentas final Zon Asean.

JDT yang dibimbing Benjamin Mora diletakkan dalam balang 3 bersama kelab dari Vietnam, Viettel FC diikuti United City FC (Filipina), Kitchee FC (Hong Kong) dan Tampines Rovers FC (Singapura).

Kedudukan kelab di balang 1 dan 2 pula dimonopoli kelab dari Korea Selatan, Jepun, China dan Thailand yang akan menjadi lawan skuad Harimau Selatan nanti.

Manakala, balang 4 pula menyaksikan kelab dari Australia, Sydney FC mungkin boleh ditakdirkan untuk sekumpulan dengan JDT, atau empat lagi kelab lain yang belum diketahui di mana mereka perlu melalui peringkat kelayakan terlebih dulu.

Jika rekod dua edisi lalu diambil kira, peluang juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu mungkin sukar terutama untuk melepasi peringkat kumpulan dengan JDT sering gagal menamatkan kedudukan di tangga pertama atau kedua.

Namun saingan Piala AFC mungkin boleh menghadirkan berita gembira buat peminat tempatan apabila Kedah diletakkan dalam balang 1 bersama Hanoi FC dari Vietnam dan Kaya-Iloilo kelab yang berpengkalan di Filipina.

Terengganu FC pula, berada dalam balang 2 dengan wakil pasukan Singapura, Lion City Sailors serta Saigon FC dari Vietnam.

Malah, pasukan-pasukan lain dari balang 3 dan 4 juga dilihat mampu diatasi oleh dua kelab dari Malaysia itu dengan baki adalah pasukan dari Myanmar, Indonesia dan Kemboja yang jarang mencatatkan keputusan baik apabila bertemu dengan wakil negara di saingan itu sebelum ini.

Tidak mustahil pencapaian JDT muncul juara Piala AFC pada 2015 lalu mampu diikuti oleh Kedah mahupun Terengganu FC yang kini sudah bergerak secara profesional selepas diswastakan hujung musim lalu.

Dinesvaran tak patah semangat

Kuala Lumpur: Tiga kali terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas rakan sepasukan disahkan positif Covid-19 tidak mematahkan semangat pemain ragbi negara K Dinesvaran untuk terus mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan pertama saingan liga utama ragbi Jepun baru-baru ini.

Dinesvaran atau turut dikenali sebagai Duke Krishnan memaklumkan ketika ini dia menjalani latihan bersama pasukan seperti biasa namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, kali pertama dia perlu kuarantin beberapa bulan lalu sebaik tiba di Jepun apabila seorang rakan sepasukan disahkan positif Covid-19 sekali gus latihan terpaksa dihentikan seketika.

“Saya menjalani latihan secara individu di rumah sebaik menerima arahan berkenaan (kuarantin) berikutan disenaraikan sebagai antara kontak rapat. Setakat ini, sudah tiga kali perlu menjalani sesi kuarantin di rumah dan bernasib baik tidak dijangkiti Covid-19 kerana ia boleh menjejaskan prestasi dan sesi latihan saya.

“Apa yang saya lakukan ketika ini adalah mematuhi SOP yang ditetapkan dan hanya keluar rumah apabila perlu saja selain kurang bergaul dengan orang ramai bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Dinesvaran berhasrat untuk terus kekal beraksi di Liga Utama Jepun bersama pasukan Hino Reds Dolphins bagi membolehkan prestasinya meningkat ke tahap lebih tinggi.

“Saya tidak berdepan sebarang masalah sepanjang berkelana di Jepun malah dapat menimba pengalaman bermakna sekali gus boleh dimanfaatkan ketika mewakili negara. Malah, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan juga banyak membantu mempertingkatkan prestasi saya dan kekal optimis mampu memberikan persembahan terbaik pada saingan liga,” katanya.

Rodgers tak bimbang tanpa Vardy

London: Pengurus Leicester, Brendan Rodgers berharap Jamie Vardy akan pulih segera selepas menjalani pembedahan pangkal paha tetapi tetap yakin skuadnya mampu mengekalkan momentum tanpanya.

Penyerang England itu menjalani pembedahan susulan masalah hernia dan minggu lalu Rogers berkata dia akan diketepikan beberapa minggu.

Leicester kini di tangga ketiga Liga Perdana dengan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester United selepas tiga kemenangan berturut-turut.

Vardy gagal menjaringkan gol dalam lima aksi terakhir sebelum terpaksa berehat tetapi Leicester masih mampu menang tiga dan seri dua kali.

Juara Liga Perdana 2016 itu menewaskan kelab Liga Dua, Brentford 3-1 dalam saingan peringkat keempat Piala FA Ahad lalu tanpa Vardy dalam pasukan.

“Dia agak kecewa seperti anda jangka tetapi kami berharap dia segera sembuh dan kembali secepat mungkin,” kata Rodgers.

“Bagaimanapun, kami tidak terjejas tanpa Jamie. Dia salah seorang terbaik dalam liga tetapi kemajuan kami adalah mengenai kerjasama berpasukan.

“Kami meledak 53 gol musim ini. Jamie menjaringkan 13 gol dan 40 gol lagi daripada pemain lain.”

Leicester akan berkunjung ke Everton dalam aksi liga pada pagi Khamis ini.

Crouser catat rekod baharu dunia

Los Angeles: Ryan Crouser mencipta permulaan sensasi 2021 dengan memecahkan rekod dunia acara lontar peluru dalam dewan dan kemudiannya melakukan lontaran kedua terjauh dalam sejarah di Kejohanan Liga Trek Amerika Syarikat di Fayetteville awal pagi tadi.

Juara Olimpik Rio 2016 itu mencipta rekod baharu dengan lontaran sejauh 22.82 meter pada pusingan pertama kejohanan. Catatan itu 16 sentimeter mengatasi rekod dalam dewan sebelum itu milik atlet senegara, Randy Barnes 32 tahun lalu.

”Saya boleh katakan ini permulaan sangat baik untuk 2021,’ kata Crouser selepas lontaran pertamanya, ”tetapi saya ada lima lagi percubaan, jadi saya akan terus mencuba.”

Jaguh dari Amerika Syarikat berusia 28 tahun itu kemudiannya mencatat lontaran 22.70m pada pusingan ketiga untuk sekali lagi mengatasi rekod milik Barnes iaitu 22.66 meter yang dilakukan pada 1989.

Crouser turut mencipta beberapa lontaran hebat pada pusingan akhir termasuk melakukan 22.48m. Hanya dua atlet yang mengatasi catatan itu dalam sejarah kejohanan selain dia turut mencatat 21.03 meter di pusingan kedua.

Kami pasti bangkit – Klopp

London: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menegaskan kemerosotan prestasi skuadnya sejak akhir-akhir ini tidak akan berlarutan sebaliknya akan ditebus apabila berdepan Manchester United dalam saingan Piala FA awal pagi esok.

Skuad Klopp berkunjung ke Old Trafford selepas dikejutkan Burnley yang mengakhiri rekod 68 perlawanan tanpa kalah Reds dalam aksi liga di tempat sendiri.

Perlawanan itu yang keempat berturut-turut tanpa sebarang gol buat juara Liga Perdana dan kini enam mata di belakang pendahulu dan musuh tradisi, United.

“Kami tewas dengan Burnley dan ia benar-benar mengecewakan,” kata Klopp. “Apabila saya fikir semula saya tak nampak kenapa boleh tewas tapi kami tewas. Ia berlaku dan kadang-kadang anda perlu bangkit daripada kekecewaan untuk mengubah keadaan seperti biasa dan itu sudah pasti.”

”Kami akan melakukannya. Jika kami menang dalam aksi buruk, dunia akan berkata, ‘Ok, ia bukan bola sepak yang biasa dipamerkan tetapi mereka kembali mendapat keputusan, tetapi dari segi jangka panjang ia tidak membantu.

“Ia benar-benar membantu jika kami memanfaatkannya. Saya boleh bayangkan apa yang difikirkan kebanyakan orang mengenai kami ketika ini.

“Tetapi orang ramai tidak berubah dalam masa sehari. Mereka kadang-kadang berdepan cabaran yang mereka belum sedia hadapinya dan mungkin anda tak tahu apa cabaran akan datang.

“Tetapi ia cabaran yang anda tak mahu hadapi. Apatah lagi dalam situasi kami hadapi sekarang. Mereka (pemain) masih lagi cemerlang dengan karakter hebat. Semua sekali. Merekalah yang membawa kejayaan sejak beberapa tahun lalu dan mereka tidak berubah semalaman.”

Jurulatih luar ‘disusukan’

 

Kuala Lumpur: Jurulatih asing sememangnya cukup beruntung apabila diberi banyak kelebihan termasuk cukai dibayar oleh pasukan dan bayaran bulanan rumah sewa juga diuruskan majikan.

Pendek kata, gaji puluhan ribu yang diperolehi setiap bulan tidak terusik dan senario itu nyata berbeza buat pengendali tempatan.

Sebaliknya tenaga tempatan yang ditawarkan gaji kecil perlu menjelaskan sendiri kesemua komitmen terbabit walaupun sebenarnya dari segi kelayakan jurulatih import dan tempatan memiliki sijil dan tahap tidak jauh beza.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, perkara berkenaan bukan lagi rahsia di mana kepakaran asing sering kali dilihat hebat di mata kebanyakan pasukan.

Jelasnya, disebabkan banyak kelebihan dan kemudahan yang disediakan menyebabkan pengendali luar berlumba-lumba mahu ke Malaysia.

“Banyak kelebihan jurulatih luar daripada jurulatih tempatan. Kalau nak tahu, mereka (jurulatih import) tak bayar cukai. Pasukan biasanya akan tampung cukai mereka dan pasukan yang akan bayar. Tapi kalau anak tempatan, kita kena bayar sendiri bermakna dari duit gaji kita itu, kita akan bayar cukai.

“Rumah sewa pun begitu juga, kita kena bayar sendiri bayaran rumah dan bil eletrik dan sebagainya. Tapi kalau jurulatih luar, bil mereka pasukan bayar. Terlalu banyak kesenangan kepada jurulatih luar, kalau betul-betul mereka berkelayakan tak mengapa, tapi jika yang diambil itu biasa-biasa, baik tolong jurulatih kita sendiri,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, saingan Liga Malaysia musim 2021 menyaksikan hanya tiga jurulatih tempatan diberi kepercayaan membimbing pasukan dalam Liga Super.

Selebihnya sembilan pasukan lagi memilih kepakaran luar sekali gus menutup pintu pengendali tempatan yang turut mempunyai kualiti terutama selepas ramai yang berjaya meraih Lesen Pro Diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Tiga jurulatih tempatan itu adalah Nafuzi Zain yang melatih Terengganu FC diikuti Zainal Abidin Hassan dengan Melaka United serta P Maniam bersama Petaling Jaya City (PJ City).

Pemain TFC timba ilmu Jepun

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berpeluang menghantar pemainnya berguru di Jepun selepas menjalin kerjasama dengan pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd di pejabat TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berita gembira itu dinyatakan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang bersedia menawarkan tempat buat pemain muda TFC menimba ilmu di negara Matahari Terbit itu.

“Selepas perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, mereka ada menyatakan keinginan dan minat untuk membangunkan pasukan bermula daripada akar umbi.

“Antara sebab itu juga kami bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka dan memberi peluang kepada pemain muda berlatih di Jepun. Ini juga merupakan salah satu misi syarikat kami untuk menyumbang apa yang mampu untuk industri bola sepak di Malaysia terutama dalam mencungkil bakat baharu bermula dari bawah lagi.

“Kami berharap wabak pandemik Covid-19 ini akan berakhir dan dapat sama ada membawa sekurang-kurangnya seorang pemain Terengganu ke Jepun ataupun membawa seorang jurulatih Jepun ke Terengganu,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama kedua-dua syarikat itu hari ini.

Terdahulu melalui kerjasama itu, TFC yang diwakili CEO, Ab Rasid Jusoh manakala Yakult diwakili Hamada menaja skuad Penyu sebanyak RM380,000 selain program pembangunan bola sepak akar umbi bersama pasukan itu.

Sementara itu Ab Rasid menyifatkan kerjasama itu permulaan yang baik untuk musim ini.

“Ia satu petanda positif untuk kerjasama jangka panjang dalam pembangunan bola sepak bermula daripada akar umbi lagi di negeri ini selain Liga M musim ini dan berharap membawa faedah yang besar kepada sukan bola sepak negeri melalui program yang bakal dilaksanakan nanti,” katanya.

Fasiliti lengkap kelab sandaran persiapan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Kemudahan latihan serba lengkap dengan corak latihan sistematik membabitkan pemain Harimau Malaya bersama kelab masing-masing menjadi harapan mempersiapkan skuad mantap menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Namun, sejauh mana perkara terbabit dapat membantu ketika musim pandemik Covid-19 masih lagi samar apabila hanya ada beberapa kelab saja memiliki fasiliti serba lengkap dengan sistem latihan sistematik.

Ketika ini, dilihat Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki segalanya merangkumi pusat latihan, rawatan dan pemulihan selain memiliki tenaga pakar mencukupi dalam memastikan pemain mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

JDT dilihat lebih ke depan dalam merangka strategi membabitkan fasiliti dengan sentiasa mengguna pakai teknologi terkini untuk pemainnya kekal cergas walaupun tiada sebarang kejohanan kompetitif.

Selain JDT, Selangor juga boleh dikategorikan memiliki infrastruktur lengkap dalam memperkasakan pemainnya sekali gus memberi kelegaan kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memastikan anak buahnya mampu mengekalkan kecergasan.

Cheng Hoe ketika dihubungi Arena Metro mengakui fasiliti dan corak latihan sistematik yang ditetapkan oleh kelab membantu dalam persiapan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Beliau berkata, situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ini menyebabkan kem latihan skuad Harimau Malaya terpaksa ditunda, malah dilaksanakan dalam keadaan agak terbatas.

Oleh itu, sesi latihan bersama kelab masing-masing menerusi penggunaan fasiliti optimum dapat membantu memastikan anak buahnya tidak ‘tempang’ atau kurang menyengat apabila menyertai kem latihan pusat kelak.

“Saya akui dalam situasi yang agak singkat ketika ini dalam mempersiapkan barisan pemain Harimau Malaya banyak kekangan terpaksa dihadapi termasuk pergerakan agak terbatas berikutan penularan Covid-19.

“Latihan secara sistematik dan kemudahan lengkap yang terdapat di kelab Liga Malaysia membantu kita mempersiapkan pemain berkenaan apabila mereka boleh mengekalkan momentum masing-masing.

“Saya tidak mahu mengatakan mengenai kekurangan atau kelebihan kelab Liga Malaysia, namun saya akui pemain yang sentiasa menjalani latihan sistematik menerusi penggunaan fasiliti lengkap membantu barisan pemain Harimau Malaya supaya lebih bersedia,” katanya.

Murray positif Covid-19

London: Andy Murray belum pasti dapat menyertai Terbuka Australia selepas ujian mendapati dia positif Covid-19.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sepatutnya terbang ke Australia menaiki pesawat khas disewa penganjur kejohanan tetapi sebaliknya masih menjalani kuarantin di rumahnya di London.

Menurut akhbar Britain, kesihatan Murray dalam keadaan baik dan dia berharap dapat tiba di Australia selepas tamat tempoh kuarantin ditetapkan.

Pemain berusia 33 tahun itu adalah naib juara lima kali di Melbourne.

Lebih daripada 1,200 pemain dan staf sokongan mula tiba di Australia hari ini sebelum menjalani kuarantin 14 hari menjelang kejohanan itu yang bermula 8 Februari.

Pengarah Kejohanan, Craig Tiley sebelum ini gigih menangani masalah logistik menjelang penganjuran Grand Slam ketika pandemik.

Tenis Australia berkata pemain hanya dibenarkan datang ke Australia bersama bukti mereka negatif Covid-19 atau mendapat kelulusan daripada kerajaan negara itu.

Kejohanan kelayakan ke Grand Slam pula berlangsung di Qatar.

Pelumba pelapis negara tetap Eropah

Kuala Lumpur: Perancangan untuk menghantar pelumba pelapis negara menyertai Kejuaraan CEV Repsol di Eropah akan tetap diteruskan biarpun kebanyakan penganjuran sukan permotoran di negara ini terpaksa dibatalkan.

Pelumba pelapis negara yang kini giat menjalani latihan fizikal dijadualkan berlepas ke Sepanyol Mac ini dan ia sudah pun dibincangkan dengan Kementerian Belia dan Sukan bersama pihak imigresen berhubung kebenaran untuk mereka ke luar negara.

Ia dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif dalam satu sidang media secara maya hari ini.

Tahun lalu seramai tiga pelumba pembangunan negara terbabit dalam saingan CEV iaitu Adam Norrodin yang beraksi dalam saingan Moto2, Syarifuddin Azman di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia manakala Muhammad Sharul Ezwan Sharil mewakili negara dalam saingan European Talent Cup (ETC).

Mengakui terkesan dengan pandemik Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri yang mana segala program terpaksa ditangguhkan, Shafriman mengakui ia satu kerugian buat SIC namun tidak mempunyai pilihan.

“Dari segi kewangan memang ia satu kerugian buat SIC kerana kami sudahpun bekerjasama dengan KBS, MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) membentangkan SOP untuk gelembung sukan.

“Tapi kita tidak mempunyai pilihan. Termasuk membatalkan sesi ujian rasmi musim sejuk MotoGP. “Namun jika negara sudah kembali ke PKPB atau PKPP mungkin semua yang dirancangkan boleh dilangsungkan semula mengikut SOP yang dibenarkan,” katanya. Terdahulu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, sesi ujian rasmi musim sejuk MotoGP yang dijadualkan di SIC dari 19 hingga 21 Februari ini dibatalkan.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan Dorna Sports bahawa keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Dalam perkembangan sama, Shafriman turut tidak mampu memberi jaminan sama ada saingan MotoGP di SIC akan tetap berlangsung mengikut jadual atau sebaliknya.