Cabaran getir pelumba TSG di Turki

Kuala Terengganu: Cuaca sejuk serta laluan berbukit bakal menjadi cabaran getir buat sembilan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dalam misi memburu podium sepanjang enam kejohanan di Turki bermula Sabtu ini.

Demikian reaksi kapten baharu TSG, Harrif Saleh, 32 yang enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi tapi tetap menyasarkan podium dalam kalendar pertama pasukannya musim ini.

“Ketiadaan perlumbaan kompetitif hampir setahun lalu membuatkan secara peribadi saya perlu realistik untuk memburu sebarang podium lebih-lebih lagi kita tahu cuaca di sana sejuk dan berbukit.

“Perlumbaan terakhir saya adalah Le Tour de Langkawi (LTdL) musim lalu, jadi untuk perlumbaan pertama pada Sabtu ini iaitu Grand Prix (GP) Alanya, saya lebih cenderung untuk mendapatkan semula rentak sebelum memburu podium dalam perlumbaan kedua hingga keenam.

“Bagi saya untuk zon pecutan mungkin tidak ada masalah besar dan apabila mendapat rentak saya harap boleh memberi sumbangan kepada pasukan untuk memburu kedudukan terbaik dalam perlumbaan berstatus 1.2 itu.

“Namun saya harapkan pelumba lain termasuk Nur Aiman Zariff, Irwandie Lakasek, Wan Abdul Rahman Hamdan dan lima pelumba import mampu memahat nama bermula perlumbaan pertama,” kata pelumba berpengalaman itu ketika ditemui sebelum berlepas ke Kuala Lumpur kelmarin.

Ketika ditanya ketiadaan empat lagi pelumba tempatan mungkin akan menjejaskan misi pasukan, Raja Pecut itu yang mengetuai kem pasukan selepas kapten sebelum ini yang juga abangnya, Zamri tidak menyertai rombongan ke Turki berikutan Jelajah Rwanda ditunda pada Mac depan akui semua pelumba ada kekuatan masing-masing.

“Ini percaturan pasukan kerana selepas ini akan ada siri perlumbaan di Thailand yang dijangka berlangsung pada April,” katanya.

Selain GP Alanya, pelumba TSG yang ‘berkampung’ selama 40 hari di Turki turut akan bersaing dalam GP Gazipasa (7 Februari), GP Velo Manavgat (20 Februari), GP Velo Alanya (21 Februari), GP Mediterranean (6 Mac) dan terakhir GP Gundogmus pada 7 Mac sebelum bertolak ke Malaysia sehari selepas itu.

BAM lebih arif isu Zii Jia

Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek menyifatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih arif dalam menentukan hala tuju perseorangan utama negara Lee Zii Jia selepas pemain itu mempamerkan aksi hambar sepanjang tiga kejohanan di Thailand.

Bagi Rashid, BAM tidak perlu terburu-buru membuat keputusan sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan dalam misi kembali meningkatkan reputasi Zii Jia di pentas kompetitif.

“Memang perlu kaji dulu, tidak boleh tiba-tiba nak tukar jurulatih lain. Seperti sekarang BAM ada jawatankuasa mereka sendiri iaitu C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). Saya rasa baik mereka (BAM) sendiri tentukan sama ada okay atau tidak jurulatih sekarang atau (Zii Jia) perlu balik ke (berlatih di bawah) Datuk Misbun Sidek.

“Yang penting kena bawa berbincang dulu sebab Misbun pun masih dalam BAM. Saya rasa BAM sendiri boleh bagi rumusan sama ada perlu ditukar jurulatih ataupun tidak,” katanya.

Rashid berkata demikian mengulas gesaan beberapa pihak terhadap BAM untuk mengambil tindakan drastik termasuk melantik Misbun untuk membimbing semula jaguh perseorangan negara itu dalam usaha mengembalikan prestasinya.

Prestasi buruk Zii Jia dalam tiga kejohanan di Thailand bulan lepas telah menimbulkan pelbagai kritikan terhadapnya, termasuk ada yang mempersoalkan kredibiliti Hendrawan yang seakan tidak memberi impak besar dalam corak permainan pemain itu.

“Kalau nak tukar jurulatih bukannya senang. Jadi buat masa sekarang tumpukan latihan, dapatkan input kenapa Zii Jia tidak menunjukkan prestasi baik (seperti) sebelum ini,” katanya yang turut meminta semua pihak untuk tidak cepat melatah sebaliknya memberi ruang kepada Zii Jia untuk memulihkan prestasinya.

Petinju Pakistan maut KO

Karachi: Petinju Pakistan, Muhammad Aslam Khan maut pada usia 27 tahun selepas tewas menerusi KO dalam pertarungan, semalam.

Aslam Khan rebah di gelanggang selepas dibelasah Wali Khan Tareen dan mati di hospital di Karachi, Pakistan, akibat kecederaan dalaman.

Menurut laporan media tempatan, petinju malang itu dikejarkan ke hospital swasta untuk rawatan lanjut tetapi gagal diselamatkan.

Dia berasal dari wilayah Pishin, Balochistan dan bertarung dalam kategori berat 80kg. Difahamkan pertarungan itu berlangsung untuk kebajikan dan laporan BOL News menyebut tiada petugas perubatan di lokasi pertandingan.

Menurut laporan itu lagi: “Dia tidak mati di gelanggang, dia mengalami kecederaan teruk di muka dan tiada siapa melihat keadaannya.”

Marca pula melaporkan Aslam Khan yang bekerja di Suruhanjaya Pilihanraya Pakistan mula terbabit dengan sukan tinju pada 2007 dan memenangi gelaran kebangsaan dan beberapa kejohanan lain sejak sedekad lalu.

Mundo pula menyebut kematian Aslam Khan kini disiasat pihak berkuasa dan pertarungan itu tidak memenuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Pada 2019, terdapat empat kematian membabitkan petinju, yang paling banyak sejak 1991, menurut Wikipedia.

Patrick Day, Boris Stanchov, Hugo Alfredo Santillan dan Maxim Dadashev semuanya kehilangan nyawa di gelanggang tinju.

PSG atasi Nimes, Marseille seri

Paris: Paris Saint-Germain yang beraksi tanpa Neymar menewaskan Nimes 3-0 dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi manakala Marseille seri 2-2 menentang Lens.

Angel di Maria memanfaatkan kesilapan hantaran pemain lawan pada minit ke-17 di Parc des Princes dan Pablo Sarabia menggandakan jaringan selepas mendapat hantaran bintang Argentina itu.

Kylian Mbappe meledak gol ketiga pada babak kedua menerusi rembatan lencung dari jarak 18 meter untuk jaringan ke-15nya musim ini.

PSG gagal bertahan di puncak selepas tewas mengejut 2-3 di Lorient Ahad lalu yang juga kekalahan pertama Mauricio Pochettino sejak dilantik pengendali baharu dan kekal tiga mata di belakang pendahulu Lille.

“Reaksi sangat bagus selepas kecewa akibat kekalahan di Lorient,” kata Pochettino. “Pasukan mencipta peluang dan mengawal perlawanan.”

“Kami tidak bermain dengan intensiti sama pada kedua-dua babak, perlawanan pada Ahad lalu mungkin masih bermain di fikiran pemain,” katanya lagi.

“Kami perlu berada dalam keadaan terbaik sepanjang 90 minit seperti di Liga Juara-Juara.”

Selepas tiga kekalahan berturut-turut, Marseille mendahului 2-0 di Lens hasil jaringan Florian Thauvin dan Arkadiusz Milik tetapi kedudukan itu gagal dipertahankan selepas tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Florian Sotoca dan Facundo Medina untuk keputusan seri 2-2 sekaligus menyebabkan Marseille hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.

Sharbinee tunggu tawaran sesuai

Kuantan: Bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli belum terlintas mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak.

Sebaliknya, pemain kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu masih cergas dan mampu untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Saya masih lagi boleh beraksi dan tidak langsung memikirkan untuk bersara biarpun belum lagi menandatangani kontrak bersama pasukan baharu musim ini. Ketika ini, saya masih lagi mencari pasukan untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain.

”Sebelum ini memang ada tawaran yang diterima daripada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana. Namun, atas beberapa faktor saya terpaksa menolaknya dan kini sedang mencari pasukan kerana pendaftaran pemain sehingga Mac depan,” katanya.

Seperti pemain lain, Sharbinee tetap menjalani latihan terutama mengekalkan kecergasan untuk memastikan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, sebagai pemain profesional, tahap kecergasan adalah keutamaan jika ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.

“Saya harap sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir, ada pasukan yang berminat dan sebagai pemain, komitmen dan prestasi terbaik akan dipersembahkan. Saya percaya rezeki bermain masih lagi terbuka luas,” kata penjaga gol berpengalaman itu.

Musim lalu, Sharbinee beraksi bersama Pahang tetapi kontraknya tidak disambung musim ini.

Pemain tak dapat gaji, penyokong yang merusuh

Algiers: Penyokong kelab MC Alger yang beraksi di divisyen satu Algeria menyerbu ibupejabat pemilik pasukan, syarikat minyak Sonatrach selepas jurulatih mendedahkan pemain tidak dibayar gaji punca keputusan buruk perlawanan sejak akhir-akhir ini.

Beberapa video dalam media sosial menunjukkan hampir seratus penyokong merosakkan pagar pejabat dan memecahkan pintu selain membaling suar ke dalam lobi, menurut laporan media negara itu.

Selepas juara tujuh kali Algeria itu seri di tempat sendiri menentang Biskra kelmarin untuk merosot ke tangga keempat, pengendali Nabil Naghiz berkata, pemain tidak dibayar gaji.

Akhbar harian, Liberte melaporkan pengurusan kelab membidas kenyataan jurulatih itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menggesa dia memperkatakan hanya isu bola sepak tanpa membabitkan masalah pentadbiran.

Selepas kelab mara ke peringkat kumpulan Liga Juara Afrika, CEO Sonatrach, Toufik Hakkar berjanji pada bulan lalu mereka akan menerima sokongan diperlukan untuk memulihkan reputasi kelab di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada Julai lalu, penyokong mereka berdemonstrasi di ibupejabat Persekutuan Bola Sepak Algeria apabila CR Belouizdad dinobatkan juara susulan liga ditamatkan lebih awal akibat pandemik koronavirus.

Florida sedia ganti Tokyo anjur Olimpik

Miami: Ketua Pegawai Kewangan Florida berkata kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bahawa negeri itu gembira jika dapat menganjurkan Sukan Olimpik ketika spekulasi tuan rumah Jepun mungkin menarik diri.

Jimmy Patronis menghantar surat kepada ketua IOC, Thomas Bach dengan harapan besar dapat mempertimbangkan penukaran lokasi Olimpik 2021 dari Tokyo, Jepun ke Amerika Syarikat khususnya ke Florida.

“Dengan media melaporkan beberapa pemimpin di Jepun bimbang dengan peningkatan pandemik, masih ada masa untuk pasukan penilai ke Florida,” katanya.

Surat itu yang ditandatangani oleh Patronis disiarkan dalam talian hari ini menekankan kelebihan mereka dari segi pengedaran vaksin, pembukaan semula ekonomi dan acara sukan dianjurkan ketika pandemik selain taman tema terutamanya Disney World yang mula dibuka kepada umum.

Tetapi Florida berdepan 25,000 kematian setakat ini dengan jumlah keseluruhan 420,000 orang maut di Amerika Syarikat.

“Apa sahaja langkah keselamatan dan kesihatan akan diselesaikan secepat mungkin,” kata Patronis.

Ozil bahagia di Fenerbahce

London: Kegembiraan jelas terpancar di wajah Mesut Ozil ketika sesi latihan pertama bersama Fenerbahce selepas berpindah dari Arsenal.

Pemain Jerman itu secara rasmi menandatangani kontrak dengan kelab Turki itu minggu lalu selepas tujuh setengah tahun di Utara London.

Ia perpindahan diharapkan Ozil sejak permulaan musim selepas disisihkan daripada skuad 25 pemain Mike Arteta.

Fenerbahce yang kini menduduki tangga ketiga Super Lig menaruh kepercayaan tinggi ketika mendapatkan Ozil.

Presiden kelab, Ali Koc menggesa penyokong membantu membayar gaji Ozil yang dianggarkan £67,000 (RM370,000) seminggu dengan menderma kepada kelab.

Koc yang berusia 53 tahun berkata: “Kami ada permintaan kepada penyokong. Teruskan sokongan anda, kami juga bergantung kepada sokongan kewangan anda.

“Pada hari tandatangannya, saya harap anda dapat memecahkan rekod. Dengan kempen SMS. Mungkin 300,000, 500,000 atau jutaan teks mesej dihantar bersama dan sokongan ini sangat membantu kami.”

OZIL (kanan) mendapat perhatian media Turki. FOTO Agensi
OZIL (kanan) mendapat perhatian media Turki. FOTO Agensi

Ozil ketika di Arsenal tidak dipandang langsung Arteta malah disisihkan daripada skuad. Tetapi bekas pemain tengah Gunners, Jack Wilshere yang beraksi di kelab itu sehingga 2018 mendedahkan dia mempunyai hubungan baik dengan Ozil.

Ketika ditanya sama ada dia bercakap dengan Ozil mengenai nasib pemain itu di Arsenal: “Tidak. Saya berkawan dengan Mesut ketika di Arsenal dan hubungan kami sangat baik sama ada di atas mahupun di luar padang.

“Tetapi saya tak bercakap dengan dia. Saya yakin ia situasi sukar kepadanya (tidak beraksi) sama seperti saya. Pemain mungkin beraksi tidak bagus dalam sesuatu perlawanan dan tidak beraksi seterusnya tetapi langsung tidak diberi peluang amat sukar diterima.

“Jadi, saya teruja dia temui semula kegembiraan dan berharap dia berjaya di Turki.”

Garcia teruja lawan Pacquiao

London: Sensasi tinju, Ryan Garcia mengumumkan pertarungannya dengan juara welterweight WBA Manny Pacquiao.

Rundingan awal mengenai pertarungan mengejut itu bermula sebaik sahaja Conor McGregor tewas di UFC 257 Ahad lalu dan Garcia, 22, mengesahkannya dalam Instagram semalam.

Bersama foto kedua-dua jaguh itu, Garcia menulis: “Mimpi jadi nyata. Satu penghormatan berkongsi gelanggang dengan @mannypacquiao.

“Saya selalu hormati apa yang anda lakukan sama ada di dalam atau di luar gelanggang. Di sini kita tentukan siapa terbaik.”

Namun belum dapat dipastikan kategori berat kerana Garcia dalam kelas lightweight dan Pacquiao welterweight.

Berdasarkan umur Pacquiao, 42, Garcia tampak memiliki kelebihan daripada segi berat badan berbanding petinju veteran itu yang mungkin merosot sedikit.

Pertarungan itu bakal menyusul selepas bintang UFC, McGregor tewas mudah menerusi TKO pada pusingan kedua Dustin Poirier di Abu Dhabi, kelmarin.

Bagaimanapun, tarikh pertembungan Garcia-Pacquiao belum ditentukan dengan legenda tinju Filipina itu akan kembali bertarung selepas lama berehat.

Bekas juara dunia lapan kategori itu tidak beraksi sejak menewaskan Keith Thurman pada Januari 2019 yang membolehkannya merangkul gelaran WBA.

Manakala Garcia bertarung awal bulan ini apabila menewaskan pemenang pingat emas Olimpik dari Britain, Luke Campbell untuk gelaran lightweight WBA.

Detik terburuk dalam karier Paula

Melbourne: Pemain nombor 67 dunia dari Sepanyol, Paula Badosa mendakwa dia disisihkan oleh penganjur Terbuka Australia dan kunjungan ke Down Under adalah yang paling buruk dalam kariernya.

Paula menjadi perhatian media selepas merungut mengenai protokol kuarantin ketat dan menjadi pemain pertama positif Covid-19.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata dia tidak diberitahu sama dijangkiti salah satu mutasi koronavirus UK, Afrika Selatan atau Brazil, sekaligus tidak pasti sama ada dia boleh meninggalkan kuarantin di hotel seperti dijadualkan pada 31 Januari atau sebaliknya sehinggalah 5 Februari.

Katanya, persiapan menghadapi Terbuka Australia terjejas akibat kuarantin di mana dia berkongsi bilik dengan jurulatih, Javier Marti.

“Saya rasa tersisih dan tidak dipedulikan kerana saya tidak mendapat peralatan latihan yang saya minta lima hari lalu, saya tidak diberitahu jenis virus yang dijangkiti dan saya tidak mendapat maklumat mengenai kejohanan,” kata Paula kepada akhbar Sepanyol, Marca.

“Pengalaman kali ini yang terburuk dalam karier saya. Keadaan di sini teruk, saya tak jangkakannya. Ramai berkata perkara pertama apabila anda dijangkiti, tingkap perlu dibuka untuk pengaliran udara tetapi tiada tingkap di bilik hotel saya dan ia sebesar 15m persegi.

“Saya hilang banyak tahap kecergasan terutamanya kekuatan saya. Jika saya dapat keluar pada 31 Januari, saya ada seminggu untuk memulihkan kecergasan dan jika 5 Februari, mustahil untuk saya pulih hadapi kejohanan.”

Paula tiba di Australia menaiki pesawat yang terjejas dengan Covid-19 dari Abu Dhabi dan menjadi salah seorang daripada 72 pemain yang diwajibkan kuarantin. Dia kemudiannya diuji positif Covid-19 pada hari ketujuh dan perlu menjalani protokol kesihatan yang ketat.