Piala Dunia Wanita: Morgan bawa AS ke final

LYON: Steph Houghton gagal menyempurnakan sepakan penalti kontroversi pada penghujung perlawanan untuk Amerika Syarikat (AS) menewaskan England 2-1 di Lyon, sekali gus mara ke final Piala Dunia Wanita buat kali ketiga berturut-turut, awal pagi tadi.

The Lionesses berpeluang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-84, namun sepakan Houghton diselamatkan manakala Milie Bright dilayangkan kad merah untuk mengesahkan kemaraan AS ke final bagi mempertahankan kejuaraan yang diraih dalam edisi terdahulu.

Tanpa salah seorang kapten, Megan Rapinoe, yang dilaporkan mengalami kecederaan paha, ia memberikan tamparan besar buat kem AS, namun penggantinya, Christen Press, memberikan impak besar apabila menanduk masuk gol pembukaan sebelum Morgan memadam jaringan penyamaan Ellen White menerusi tandukkan cantik pada 30 minit pertama perlawanan pada hari jadinya.

England memberikan respons yang baik dalam babak kedua, namun jaringan kedua White dibatalkan pengadil selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum Alyssa Naeher mudah menyelamatkan sepakan penalti Houghton.

Bright kemudian diarahkan keluar padang menerusi layangan kad kuning kedua bagi menamatkan kempen skuad kendalian Phil Neville itu dengan penuh kekecewaan.

Aksi mendebarkan bermula sejak awal permainan apabila AS membuka jaringan pada minit ke-10 dengan Press menyudahkan hantaran ke dalam Kelley O’Hara menerusi tandukan ke penjuru kiri atas gawang lawan.

Namun, England — yang kelihatan bergelut — menyamakan kedudukan sembilan minit berselang apabila White, menerusi percubaan pertamanya, menanduk masuk bola hantaran lintang Beth Mead dari sebelah kiri ke penjuru kanan atas gawang lawan.

Morgan, bagaimanapun, memastikan AS kembali di depan sebelum ke bilik persalinan selepas meluru ke arah bola hantaran tinggi Lindsey Horan untuk menanduknya melepasi kawalan penjaga gol England, Carly Telford, sebelum dilihat seakan-akan mengejek pemain England menerusi gaya keraian menghirup secawan teh.

The Lionesses memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan pada 23 minit terakhir apabila White menolak masuk hantaran Jill Scott, namun video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang itu terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Satu lagi keputusan VAR memberikan England sepakan penalti selepas Becky Sauerbrunn didapati mengasari White, namun sepakan lemah Houghton mudah diselamatkan.

Bright kemudian dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan gegabah ke atas Morgan untuk USA mempertahankan kelebihan hingga ke penghujung aksi

Zainal letak jawatan ketua jurulatih olahraga kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Zainal Abas melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta, selepas diberi kepercayaan menyandang jawatan itu lebih tiga tahun lepas.

Dalam surat kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang bertarikh 1 Julai, Zainal berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya, kepada jawatan hakiki selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk S.M Muthu atas pelantikan selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia yang baharu. Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama lebih tiga tahun untuk menyandang jawatan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan.

“Adalah dengan ini saya ingin memaklumkan pihak Yang Berbahagia Datuk dan Kesatuan Olahraga Malaysia bahawa saya dengan ini meletak jawatan, selaku Ketua Jurulatih Kebangsaan berkuatkuasa 1 Julai 2019,” katanya dalam surat tersebut.

Sepanjang lebih tiga tahun menjawat jawatan itu sejak 2015, beliau berjaya membantu memulihkan imej sukan olahraga di persada antarabangsa, apabila atlet di bawah jagaannya berjaya memperbaharui catatan rekod kebangsaan sebanyak 37 kali dengan membabitkan 17 acara olahraga yang berbeza, diikuti tiga rekod Sukan SEA turut berjaya diperbaharui dan satu rekod disamai oleh empat orang atlet di temasya Sukan SEA yang lepas.

Kecemerlangan atlet diteruskan dengan menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkefli menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke separuh akhir Sukan Komanwel 2018 dan layak ke akhir Sukan Asia 2018 selepas G. Shanti melakukannya pada 1998 dalam acara 100m.

Selain itu, kuartet 4x100m lelaki turut menyerlah di Gold Coast, Australia apabila mencipta sejarah menjadi kuartet lelaki pertama negara berjaya ke acara akhir di temasya itu.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atlet yang telah menunjukkan kesungguhan dan kecekalan dalam menggapai impian mereka. Teruskan usaha anda dan saya pasti kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada rakan-rakan jurulatih yang telah banyak memberikan kerjasama dalam merangka dan mengendali program latihan atlet tanpa mengenal erti penat. Hanya Allah yang mampu membalas jasa anda,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu.

Dalam pada itu, Zainal berkata beliau akan meneruskan khidmatnya bersama ‘World Athletics’ sebagai pensyarah kejurulatihan dan sentiasa bersedia membantu atlet dan jurulatih selagi berupaya dan diperlukan.

PSM diminta perjelas isu gugur dua tekong negara

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa pemilihan atlet Sukan SEA 2019 akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhubung pengguguran dua tekong utama daripada skuad negara.

Timbalan Chef-de-Mission Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli, yang juga anggota jawatankuasa itu, berkata jawatankuasa berkenaan juga mahu mendengar perancangan PSM selepas menggugurkan Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak yang dikatakan terbabit dengan masalah disiplin.

“Kami akan berbincang dengan PSM mengenai perancangan mereka kerana perkara ini masih dalam proses pemilihan.

“Saya akan dapatkan maklumat secara terperinci apa yang telah diputuskan dan rasional (keputusan dibuat),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Sains Sukan Tahap 1 anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di sini, pada Isnin.

Baru-baru ini, kem sepak takraw negara bergolak apabila dua tekong utama digugurkan dengan alasan disiplin.

Untuk rekod, kedua-dua pemain berkenaan sudah membuktikan kemampuan menyumbang bakti kepada negara apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.

Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas milik Malaysia pada Sukan Asia 2018, sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara pada temasya itu.

Sementara itu, Ahmad Faedzal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ISN berkata penganjuran julung kali Kursus Sains Sukan Tahap 1 bersama warga pekak itu mendapat sambutan melalui penyertaan 71 peserta.

Kursus dianjurkan dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) dan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (PSOPM) itu bertujuan meningkatkan semangat ‘inclusivity’ dalam kalangan masyarakat pekak kerana jarang dilakukan oleh mana-mana agensi kerajaan sebelum ini.

“Saya lihat peserta menunjukkan semangat dalam mengambil tahu tentang elemen-elemen sains sukan dan kami akan terus mempromosi semangat ‘inclusivity’ supaya mereka tidak ketinggalan di dalam masyarakat kita,” katanya.

Kursus berlangsung selama lima hari itu memberi pendedahan awal kepada golongan pekak terhadap aspek sains perubatan dan teknologi sukan, sebagai elemen teras dalam persiapan atlet selain membantu meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam perancangan program latihan lebih sistematik.

Euro B-21: Sepanyol juara buat kali kelima

SEPANYOL 2 JERMAN 1

Fabian Ruiz dan Dani Ceballos beraksi cemerlang tatkala Sepanyol mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Jerman dalam aksi final Euro B-21 awal pagi tadi.

Jerman menundukkan Sepanyol dalam saingan dua tahun lalu tetapi ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi rembatan jarak jauh daripada bintang Napoli, Fabian, di Udine.

Kapten Sepanyol, Jesus Vallejo, bernasib baik tidak dilayangkan kad merah seperti yang didakwa Jerman tetapi Dani Olmo menyumbat gol penting di minit ke-69.

Fabian dan Carlos Soler hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring tatkala jaringan di penghujung perlawanan daripada Nadiem Amiri gagal menafikan Sepanyol kejayaan kelima dalam kejohanan itu sekali gus berkongsi jumlah terbanyak dengan Itali.

Mikel Oyarzabal melakukan hantaran daripada tengah untuk Fabian dan pemain Napoli itu diberi ruang sebelum melepaskan rembatan dari jarak 23 meter menewaskan Alexander Nubel.

Skuad La Roja seharusnya beraksi dengan 10 orang pemain selepas Vallejo hanya dilayangkan kad kuning susulan aksi mengangkat tinggu lutut terhadap Gian-Luca Waldschmidt.

Namun, pertahanan Real Madrid itu masih di atas padang dan menghalang percubaan Levin Oztunali ke arah pintu gol sebelum rehat.

Vallejo sekali lagi berada di posisi tepat pada waktu diperlukan dalam babak kedua selepas penjaga gol Sepanyol, Antonio Sivera, membenarkan Amiri melakukan percubaan dan Waldschmidt cuba untuk menyambut bola muntah.

Sedar pasukannya memerlukan keajaiban untuk bangkit menambah penguasaan, Ceballos muncul dengan aksi cemerlang dalam babak kedua buat Sepanyol.

Vallejo melakukan halangan dan melancarkan serangan balas, di mana Ceballos mempamerkan skil tinggi untuk membolehkan Fabian melepaskan satu lagi rembatan.

Nubel gagal menampan percubaan itu dengan kemas dan Olmo pantas meluru bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Fabian hanya menyaksikan percubaannya itu mengenai tiang dan pemain gantian, Soler, turut kecewa selepas usahanya singgah ke palang gawang lawan sebelum Amiri merapatkan jurang buat Jerman ketika permainan berbaki dua minit.

Mara final Piala FA, pasukan Perak dapat bonus RM150,000

IPOH: Kerajaan negeri mengumumkan bonus berjumlah RM150,000 kepada pasukan bola sepak negeri itu kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2019.

Sambil mengucapkan terima kasih dan rasa bangga terhadap skuad ‘The Bos Gaurus’, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak pengurusan diberikan mandat untuk mengagihkan bonus itu kepada semua yang terlibat.

“Sekiranya skuad ‘The Bos Gaurus’ mampu untuk menjulang Piala FA, InsyaAllah akan ada lagi bonus yang menanti mereka selepas ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerima kunjungan pemain dan pengurusan ‘The Bos Gaurus’ di kediaman rasmi menteri besar di sini kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Perak mengesahkan tempat ke final Piala FA 2019 dengan agregat 4-3 ke atas Pahang setelah menundukkan skuad Tok Gajah itu 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Ahmad Faizal dalam pada itu turut menzahirkan rasa gembira melihat suasana di Stadium Perak berubah dengan sorakan padu daripada para penyokong yang disifatkan beliau sebagai ‘pemain ke-12’.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmed Durakovic dalam ucapan ringkasnya pada pertemuan tersebut menyifatkan prestasi ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan malam tadi sebagai sesuatu yang amat menakjubkan.

“Jika tahun lalu kita berjaya menamatkan badi 18 tahun tidak memenangi Piala Malaysia, tahun ini kita mahu tamatkan badi 15 tahun Piala FA pula. Semua yang berada dalam pasukan ini telah melaksanakan tugas dengan cukup fantastik.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua. Semua kita adalah keluarga, kita menang bersama, kalah bersama,” katanya.

Kami akan tetap tuntut gaji – Safee Sali

“Ini hak kami dan kami tetap akan tuntut.”

Itu ketegasan yang disuarakan bekas pemain Perlis, Safee Sali, yang mengetuai 14 bekas pemain skuad Singa Utara itu menuntut tunggakan gaji selama tiga bulan meskipun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) telah dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Perlis memahat sejarah hitam bola sepak negara apabila menjadi pasukan negeri pertama disingkirkan daripada Liga-M, Februari lalu, ekoran kegagalan pucuk pimpinannya menyelesaikan kemelut kewangan pasukan.

Meskipun begitu, Safee dan rakan-rakannya tetap menuntut hak mereka kerana mahukan pengurusan setiap pasukan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani bersama pemain.

Safee dan lapan bekas pemain Perlis membuat tuntutan berkenaan melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), kelmarin.

“Jangan memandang ringan kepada pemain dan kontrak yang telah ditandatangani setiap pemain.

“Ini hak kami dan ini kerjaya kami, jadi kalau kita hendak maju ke depan, saya berharap perkara-perkara seperti ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, mengesahkan 14 bekas pemain Perlis itu sudah membuat tuntutan dan laporan kepada pihaknya, namun bilangan itu dijangka bertambah.

“Kes tunggakan gaji Perlis bukan berlaku pada tahun ini sahaja.

“Ia sudah berlaku sejak 2016.

“Kes ini masih lagi berlarutan dan jumlah tunggakan ini kami jangkakan melebihi RM1 juta.

“Kami berharap FAM dapat membantu pemain untuk mendapatkan hak mereka,” katanya.

Colleen berpotensi jadi juara dunia MMA pertama Malaysia – MASMMAA

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) Rashid Salleh yakin bahawa Malaysia mampu memperoleh juara dunianya yang pertama dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) pada November ini.

Menurut beliau, atlet negara, Colleen Augustine mempunyai potensi yang besar untuk muncul sebagai juara pada kejohanan dunia yang bakal diadakan pada 9 hingga 17 November di Manama, Bahrain.

“Saya harap pada November ini, bila Colleen menang, kita akan lihat juara dunia (dari Malaysia).

“Dia sangat bagus. Saya berani katakan dia adalah ‘Nicol David’ yang seterusnya untuk sukan MMA. Dia memang berdisiplin, ada pakej, berdedikasi, sangat cergas, sangat fokus, rendah diri, sentiasa belajar dari kesilapan, dan dia berlatih setiap hari dan dia juga seorang vegan,” katanya ketika ditemui pada acara ‘Malam Media ONE Championship’ di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya mereka masih sedang mengumpul dana bagi menghantar Colleen ke sana dan kutipan sedang dibuat menerusi laman sesawang GoGetFunding.com.

Jelas Rashid, perbelanjaan yang diperlukan untuk Colleen dan jurulatihnya adalah sebanyak AS$3,000 (RM12,433) dan setakat mereka telah berjaya mengumpul kira-kira AS$1,000 (RM4,144).

“Saya harap dapat lihat seorang juara dunia pada November. Bukan hendak letakkan sebarang tekanan tetapi potensi dia sangat tinggi. Dia cuma perlu fokus,” katanya lagi.

Colleen pada 5 Mei lalu berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand.

Petarung berusia 21 tahun itu menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk pertarungan divisyen strawweight menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.

KP MSN nafi dakwaan bersekongkol dengan Presiden MBM luluskan pencalonan KJ

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan dakwaan bersekongkol dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasiruddin SM Nasimuddin menjelang pemilihan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, Sabtu ini.

Dalam kenyataan media semalam, Ahmad Shapawi menjelaskan beliau tidak pernah terlibat dalam mengarahkan pegawainya untuk mengesahkan kelayakan pencalonan mantan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk bertanding sebagai Presiden MPM seperti dilaporkan sebuah portal tempatan.

Ahmad Shapawi berkata beliau juga tidak pernah mencampuri urusan pemilihan AGM badan induk sukan para itu seperti yang dinyatakan dalam laporan bertarikh 25 Jun.

“Demi menjaga nama baik saya sebagai penjawat awam dan pihak MSN, saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan.

“Saya menegaskan saya sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dalam menjalankan tugas saya sebagai Ketua Pengarah MSN,” katanya.

Khairy, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin merebut jawatan nombor satu persatuan pada 29 Jun ini.

Pencalonan Khairy sebelum ini dipertikai kerana beliau dikatakan hanya menghantar borang pencalonan selepas tamat tempoh yang sah bagi kerusi nombor satu MPM, apabila penyandangnya, SM Nasarudin tidak mahu mempertahankan jawatan itu.

Megat D Shahriman pada Sabtu lalu berkata campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) perlu sekiranya MPM tidak dapat menangani isu tersebut.

Selamat tinggal Newcastle United

PENGURUS Newcastle United, Rafael Benitez akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya tamat pada 30 Jun.

Benitez mengambil alih kelab tersebut daripada Steve McClaren yang dipecat pada Mac 2016 namun gagal menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke liga bawahan, ketika musim berbaki 10 perlawanan.

Bagaimana beliau berjaya mengembalikan kelab itu ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh semusim selepas menjuarai Liga Championship 2016/17.

Musim lepas, Newcastle di bawah Rafa menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-13, namun pengurusan the Magpies gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak pengurus dari Sepanyol itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab itu, usaha untuk melanjutkan kontrak Benitez menemui jalan buntu apabila gagal mencapai persetujuan selepas perbincangan diadakan bersama-sama dengan wakilnya.

Kenyataan itu juga memberitahu usaha mencari pengganti Benitez dimulakan sekarang.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Benitez bakal berhijrah ke Liga Super China, dengan kelab Dalian Yifang menawarkan kontrak bernilai £12 juta (RM63.3 juta) setahun.

Barisan jurulatih bekas pengendali Valencia, Liverpool dan Real Madrid itu, Paco de Miguel Moreno, Antonio Gomez Perez dan Mikel Antia turut meninggalkan kelab itu pada 30 Jun ini.

Terdapat juga khabar angin bahawa pemilik kelab, Mike Ashley sedang mengadakan perbincangan untuk menjual kelab itu kepada jutawan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalid bin Zayed Al Nahyan.

Nabil Fiqri kembali sertai skuad hoki kebangsaan

KUALA LUMPUR: Pemain tengah negara, Nabil Fiqri Mohd Noor dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan bagi persediaan untuk Siri Jelajah Eropah.

Nabil Fiqri, 33 tahun, yang kali terakhir beraksi bersama pasukan kebangsaan pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India – dipanggil jurulatih Roelant Oltmans untuk memulakan sesi latihan sejak minggu lepas.

“Apabila saya dipanggil balik ke kem kebangsaan saya ambil ia sebagai satu tanggungjawab kepada negara di mana kita ada misi penting untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Ya, boleh dikatakan saya terkejut apabila dipanggil semula tetapi ini tanggungjawab untuk saya buktikan saya boleh beraksi dengan pasukan kebangsaan,” katanya yang memiliki 298 kap bersama skuad kebangsaan.

Nabil Fiqri yang sudah memasuki hari kelima bersama kem kebangsaan mengakui beliau sudah mula rasa selesa dengan pasukan walaupun terdapat perubahan taktikal yang dilakukan Roelant.

Beliau berpendapat kehadirannya dalam pasukan kebangsaan memberi satu persaingan sihat untuk mereka bersungguh-sungguh merebut tempat ke Siri Jelajah Eropah.

Tiga puluh pelatih dipanggil oleh jurulatih untuk kem kebangsaan namun hanya 20 pemain akan disenarai pendek beraksi ke Siri Jelajah Eropah yang akan bertolak pada 21 Julai ini.

Sementara itu, Roelant berkata Nabil Fiqri dipanggil ke skuad kebangsaan selepas beberapa pemain seperti Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Haziq Samsul dan terkini, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran mengalami kecederaan.

“Malangnya, ada beberapa pemain yang cedera, Haziq dan Firhan, juga Luqman pada masa ini tidak dapat bermain. Nabil Fiqri bukan sebahagian daripada pasukan Mac lepas, saya minta dia bersedia jika sebarang perkara luar jangkaan yang memerlukan beliau kembali menyertai pasukan. Beliau sedia untuk kembali. Jelas, beliau masih boleh membantu kami untuk layak ke Olimpik.

“Beliau perlu hadir di sini untuk latihan dan sekurang-kurangnya dalam satu perlawanan siri jelajah kerana beberapa pemain akan bermain sama ada di Eropah atau Jepun dan dari sana, kami akan membuat keputusan terakhir ke atas pemain yang berdaya saing untuk fasa terakhir persiapan kami untuk kelayakan Olimpik,” katanya.

Mengenai keadaan penjaga gol negara S.Kuhan, Roelant berkata Kumar berada dalam keadaan baik dan gembira beliau kembali menjalani latihan.

“Jelajah Eropah bukan satu kejohanan rasmi, ia adalah untuk kami membangunkan pasukan negara untuk acara yang paling utama … kelayakan ke Sukan Olimpik. Kami harus memastikan Kumar dalam dalam keadaan terbaik,” katanya.