Terbuka Wimbledon: Nadal akui Federer berhak ke final

RAFAEL NADAL menyatakan kesedihannya selepas disingkirkan Roger Federer dalam separuh akhir Grand Slam Terbuka Wimbledon sambil mengakui seterunya itu sememangnya berhak untuk menang.

Federer akan menghadapi Novak Djokovic dalam final ke-12 peribadinya di Kelab All England susulan kemenangan 7-6 (7-3), 1-6, 6-3, 6-4, awal pagi tadi.

Nadal menewaskan juara grand slam 20 kali itu dalam final epik di SW19 pada 2008, namun dia gagal mengulangi kejayaan 11 tahun lalu itu.

Pemain Sepanyol itu memburu kejuaraan ketiga di atas gelanggang berkenaan tetapi terpaksa akur dengan keunggulan lawannya dari Switzerland itu.

“Saya sedih kerana tewas. Ini merupakan satu lagi peluang buat saya,” kata juara grand slam sebanyak 18 kali itu.

“Saya mencipta satu lagi peluang untuk mara ke satu lagi perlawanan akhir. Saya hanya perlu terima hakikat bahawa ini bukanlah hari saya. Saya telah mengharungi kempen yang hebat, jadi saya perlu mengambilnya secara positif.”

Tambahnya: “Pada masa yang sama, saya turut berasa sedih kerana menyedari peluang tidak selamanya akan terhidang. Saya juga berpeluang tahun lalu dan sekali lagi saya gagal menghadirkan kemenangan.

“Ia satu perlawanan yang sukar, dia bermain lebih baik sedikit daripada saya.

“Saya fikir saya tidak beraksi seperti dalam pusingan sebelum ini manakala dia pula bermain dengan baik, jadi dia seharusnya layak.”

Federer akan bertemu pemain nombor satu dunia, Djokovic di final pada Ahad.

Kejadian kluster influenza JDT terkawal, tiada yang luar biasa

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan terdapat kejadian kluster influenza di kalangan pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada kejadian melampaui biasa dilaporkan, menurut Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din, hari ini.

“Kejadian kluster ini selari dengan peningkatan kes influenza yang dijangka berlaku di musim hujan dan penularan berlaku kerana hubungan rapat sesama pemain.

“Walau bagaimanapun, tiada wabak atau kejadian melampaui tahap biasa kejadian dan keadaan masih terkawal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dr Shaharom berkata, terdapat sembilan kes influenza dilaporkan pada 2 Julai lalu, lapan daripadanya disahkan menghidap Influenza B manakala seorang lagi Influenza A.

“Kesemua pemain ini telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru dan kini dalam keadaan stabil,” tambahnya.

Menurutnya, tindakan awal telah diambil bagi mencegah penularan antaranya disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam.

Pembersihan dari semasa ke semasa perlu dijalankan sebagai langkah pencegahan dan kawalan.

Katanya pemberian suntikan vaksin prophylaxis – Influenza PFS juga diberikan kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih.

“Pihak jabatan juga memberi promosi kesihatan mengenai tatacara kebersihan diri yang betul dan penggunaan pencuci tangan beralkohol kepada kontak pesakit.

“Malah pembekalan pencuci tangan beralkohol juga dibekalkan di bilik rawatan pemain,” tambahnya.

Dr Shaharom berkata, influenza adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan.

Gejala dan tanda-tanda jangkitan adalah berbeza mengikut kategori umur mereka yang dijangkiti.

“Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes),” jelasnya.

Russel dan Muhammad Aqil dilarang bertanding dalam acara 200m di Universiade

KUALA LUMPUR: Dua atlet negara, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Aqil Yasmin tidak dibenarkan bertanding pada acara 200 meter (m) pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali, tanpa alasan yang tidak dketahui, pada Rabu.

Russel, pemegang rekod 200m negara, beralih ke media sosial Facebook untuk memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan peminatnya, selepas tidak dibenarkan masuk ke bilik panggilan kerana namanya tidak dalam senarai permulaan.

“Saya tidak dapat menjelaskan alasan teknikal di sebalik insiden ini kerana masih tidak jelas mengenai keputusan itu. Oleh itu saya akan menahan diri daripada membuat kenyataan yang salah tetapi boleh mengatakan kedua-dua nama saya dan rakan senegara saya tiada dalam senarai mula untuk acara saringan 200m.

“Sejak jam 8 malam tadi (2 pagi waktu Malaysia), saya cuba mencari sebab nama saya tidak dalam senarai mula dan cuba membetulkan sebarang kesilapan yang telah dibuat. Bagaimanapun, ketika masuk ke bilik panggil pagi ini, saya dilarang masuk ke trek utama untuk bertanding kerana nama saya tidak tersenarai.

“Nota: Saya tidak membuat sebarang andaian buat masa ini mengenai siapa yang buat silap,” katanya dalan hantaran di Facebooknya.
Katanya, beliau berusaha keras untuk ke pertandingan tersebut dan apabila insiden ini berlaku, ia amat mengecewakan.

“Saya memohon maaf kepada pihak yang membantu untuk saya ke pertandingan ini (keluarga, kumpulan latihan dan jurulatih) kerana tidak dapat mewakili mereka serta negara dan mengecewakan penyokong olahraga Malaysia,” katanya.

“Saya menyasarkan pertandingan ini lebih 12 bulan dengan memperbaiki catatan masa terbaik semusim 22.0 saat (s) pada awal 2018 sehingga catatan kini 20.77s untuk acara ini (masa kelayakan 20.97s),” katanya atlet berusia 21 tahun itu.

Berikutan kejadian itu, Russel dan Muhammad Aqil kini berlatih untuk acara 4x100m bersama juara 100m Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa, Jumaat ini.

Russel, pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2015 yang kini berpangkalan di Queensland, Australia, mencatat rekod kebangsaan 200m selepas melakukan catatan 20.77s ketika meraih pingat perak kejohanan Trek Klasik Queensland, Australia, 23 Mac lalu.

Masa tersebut memadam rekod milik Khairul Hafiz Jantan, 20.90s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia 2017.

KO 5 saat: Petarung negara Jihin, Jordan Boy terkejut dengan kekalahan Ben Askren

KUALA LUMPUR: Bekas juara welterweight ONE Championship, Ben Askren pada Ahad menerima kekalahan pertamanya sebagai petarung seni bela diri campuran (MMA) profesional.

Dia tewas ditangan Jorge Masvidal secara ‘knockout’ seawal saat kelima dipusingan pertama menerusi ‘tendangan lutut terbang’ ketika acara UFC 239.

Rata-rata peminat MMA terperanjat dengan kekalahan mengejut Askren kerana sebelum ini dia dilihat sebagai petarung yang dominan dalam kesemua 19 pertarungan MMA-nya.

Turut terkejut dengan kekalahan itu ialah petarung MMA negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan.

Jihin kekita ditemui di acara ‘ONE: Masters of Destiny Open Workout’ di ibu negara pada Selasa, mengakui skill gusti Askren memang berapa pada tahap yang tinggi. Namun lawannya Masvidal boleh membaca strategi tersebut.

“Pada pertarungan kali ini, kita boleh lihat lawannya (Masvidal) memang sudah berlatih gerak tersebut (tendangan lutut),” katanya.

“Gerakan ‘lutut terbang’ memang susah nak buat jika tidak berlatih dengan betul. Jadi dia (Masvidal) memang bertungkus-lumus berlatih untuk pertarungan ini.

“Dia memang sudah membaca gerakkan Ben Askren, dia tengok semua pertarungan Askren sebelum ini dan kesemuanya ada cubaan ‘take down’. Jadi kali ni Masvidal ambil risiko (dengan tendangan lutut) dan dia berjaya,” kata Jihin lagi.

Tidak ketinggalan jaguh Muay Thai negara, Mohammed ‘Jordan Boy’ Mahmoud juga terkejut ketika menyaksikan pertarungan tersebut.

“Saya memang terkejut sebab dia tidak pernah kalah. Dia seorang petarung yang hebat dan penggusti yang sangat bagus,” kata Mohammed.

“Ben Askren tahu lawannya (Masvidal) tidak berapa mahir dengan ‘ground game’ jadi Askren memilih untuk terus membuat percubaan ‘take down’.

“Lawannya pula seakan boleh membaca gerakan Askren jadi dia terus buka pertarungan dengan tendangan lutut yang kena tepat pada kepala. Jadi dia memang bernasib baik,” tambah Mohammed lagi.

Kedua-dua jaguh sukan tempur negara ini sekali lagi akan beraksi di pentas antarabangsa di acara ONE: Master of Destiny yang akan berlangsung pada 12 Julai ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selain Jihin dan Mohammed, dua lagi petarung negara iaitu Ev Ting dan Saiful Merican bakal turut serta bertarung pada acara yang sama.

Tingkatkan penglibatan wanita dalam persatuan sukan – Mumtaz

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggalakkan persatuan sukan kebangsaan mengambil kira penyertaan golongan wanita dalam struktur pentadbiran persatuan.

Naib presiden MOM Datuk Mumtaz Jaafar berkata persatuan diminta mempertimbangkan sekurang-kurangnya seorang wakil wanita diberi peranan dalam persatuan tanpa mengira jawatan yang disandang.

“Kita bukan hendak lawan kaum lelaki. Niat saya hanya hendak bantu dan matlamat saya mahukan kesaksamaan gender dalam persatuan sukan.

“Kerajaan sekarang pun sudah percaya pada kaum wanita,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Wanita dan Sukan MOM di sini pada Isnin.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Wanita MOM berkata faktor bukan atlet tidak boleh menjadi penghalang kepada individu yang ingin menyumbang bakti dalam persatuan sukan.

Katanya, cukup sekiranya seseorang itu mempunyai minat untuk memajukan persatuan serta sukan negara.

“Prestasi kerja yang bagus dapat mengubah persepsi terhadap wanita. Lepas kita sudah lantik, kenalah buat kerja tidak kira dengan siapa pun kita bekerja.

“Saya harap seminar ini dapat memberi keyakinan kepada kaum wanita untuk berada dalam persatuan dan maju ke depan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr Waitchalla R R Suppiah yang merasmikan seminar itu berkata penglibatan wanita masih kurang sebagai pembuat keputusan dan sebagai pemimpin dalam organisasi sukan.

Waitchalla mencadangkan agar MOM membangunkan pangkalan data wanita untuk membantu organisasi sukan yang mencari wanita untuk mengisi kedudukan kepimpinan.

Buat masa ini, KBS sedang dalam usaha membangunkan inisiatif baharu untuk wanita dalam sukan, katanya.

Brazil julang piala kesembilan Copa America

RIO DE JANEIRO: Pasukan Brazil berjaya menjulang Piala Copa America buat kali kesembilannya selepas menundukkan Peru 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

Ia juga merupakan kejuaraan utama pertama Brazil sejak memenangi Copa America pada 2007.

Gol Brazil dijaringkan Everton Soares, Gabriel Jesus dan Richarlison masing-masing pada minit ke-15, 45 dan 90.

Manakala gol saguhati Peru dijaringkan Paolo Guerrero pada minit ke-44.

Ia merupakan kejuaraan utama pertama Brazil sejak memenangi Copa America pada 2007.- Foto AP

Bagaimanapun perlawanan akhir ini dicemari satu layangan kad merah ke atas Jesus yang sebelum ini turut membantu mencipta jaringan selain menjaringkan satu gol.

Kejuaraan itu juga merupakan yang pertama buat jurulatih Adenor Leonardo Bacchi atau Tite selepas mengemudi Brazil sejak tiga tahun lalu.

JDT kekal rekod kemenangan Liga Super

IPOH: Juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod kemenangan setelah menang bergaya 3-0 ke atas Perak pada aksi di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu malam.

JDT yang mengesahkan kejuaraan keenam liga berturut-turut minggu lepas, mengutip 49 mata setelah beraksi 19 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Ipoh, Leandro Velasquez meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-36, hasil kesilapan pertahanan Perak, sebelum beliau meledak gol peribadi kedua pada minit ke-47 menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti.

Pemain gantian, Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengesahkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, hasil umpanan Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Pahang pula kembali meraih rentak kemenangan setelah menewaskan pasukan bawahan, Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Herold Goulon menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 dan gol padang Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Terdahulu, Pahang terlepas peluang untuk berada di hadapan setelah sepakan penalti Lazarus Kaimbi pada minit ke-27 berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Dalam pada itu, nasib malang terus menimpa Petaling Jaya City FC (PJ City FC) setelah tewas 1-2 kepada Melaka pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

PJ City FC terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan Pedro Henrique pada minit ke-12 sebelum Melaka bangkit meledak dua gol menerusi Luka Milunovic pada minit ke-36 dan Jang Suk-Won pada minit ke-45.

Dalam saingan Liga Premier, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraih tiga mata berharga setelah menang tipis 2-1 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

UiTM FC terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Maycon Rogerio Calijuri pada minit ke-16 sebelum PDRM bangkit meraih dua gol hasil sentuhan penyudah Uche Agba pada minit ke-42 dan minit ke-50.

Terengganu FC II pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Sarawak pula menghampiri zon penyingkiran setelah tewas 2-4 kepada Negeri Sembilan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching.

Dua gol Sarawak dijaringkan oleh Mohamad Alif Hassan pada minit ke-17 dan Hudson Dias De Jesusu pada masa tambahan babak pertama perlawanan.

Empat gol pasukan pelawat disumbangkan oleh Jose Almir Barros pada minit kelima dan ke-78, serta Igor Carneiro Luiz pada minit ke-25 dan ke-62.

Pengayuh basikal warga emas berjaya cipta rekod kelima MBOR

KOTA BHARU: Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 73, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan misi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali kelima pada Jumaat.

Lebih membanggakan figura yang lebih mesra dipanggil Pak Wan itu, berjaya menamatkan kayuhan sejauh 2,200 kilometer (km) lebih awal iaitu dalam tempoh 14 hari, berbanding 15 hari yang ditetapkan sebelum ini dan mencatatkan rekod kelimanya dalam Malaysia Books Of Record (MBOR) kelimanya

“Hanya satu perkataan yang mampu Pak Wan luahkan ketika ini ialah syukur dan lega, kerana berjaya mengharungi semua cabaran sepanjang kayuhan,” katanya dalam nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telipot di sini, pada Jumaat.

Ketibaan beliau kira-kira pukul lima petang selepas menamatkan kayuhan terakhir dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dengan jarak 160 km itu disambut oleh isteri, ahli keluarga serta Kelab Media Kelantan Datul Naim (Kemudi).

Menceritakan pengalaman sepanjang kayuhan kelimanya, Pak Wan berkata misinya kali ini paling mencabar keupayaannya, kerana perlu membuat kayuhan sehingga ke tengah malam dan awal pagi, malah ada kayuhannya sehingga pukul 3 pagi, bagi menamatkan misinya itu dalam tempoh dua minggu.

“Paling saya ingat ketika kayuhan dari Kota Tinggi ke Endau, Rompin, kerana kawasan kelapa sawit tersebut agak gelap dan tidak ramai orang. Memang ada rasa takut dan lapar, tapi saya buang ketepi semua perasaan itu dan fokus untuk sampai ke destinasi seperti yang dirancang,” katanya.

Datuk kepada 23 cucu dan seorang cicit itu berkata beliau juga terpaksa berhati-hati dengan lori yang melalui jalan tersebut yang kebanyakannya dipandu secara laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.

Pak Wan juga memilih untuk tidur di tepi jalan di atas kepingan kotak terbuang, ketika tiba di Pantai Batu Buruk 11 malam semalam, berbanding menginap di hotel bagi memastikan beliau bangun lebih awal untuk meneruskan kayuhan terakhir pada Jumaat.

“Pak Wan juga suka mencabar kemampuan diri untuk melakukan apa yang difikirkan mustahil oleh orang lain. Hari ini Pak Wan berjaya buktikan, setakat ini Pak Wan lah satu-satunya warga emas yang berjaya mengeliligi negara dalam tempoh tidak sampai 15 hari,” katanya dengan nada puas.

Ketika ditanya tentang rancangan kayuhan seterusnya Pak Wan dalam nada berseloroh berkata semua itu memang telah ada dalam fikirannya.

Pak Wan memulakan kayuhan solo kelimanya pada 22 Jun lepas, dan dijadualkan disempurnakan dalam tempoh 15 hari, bagi mencipta Malaysia Books Of Record (MBOR) kelimanya.

Beliau sebelum ini telah mencipta empat MBOR bermula kayuhan berbasikal secara solo pertamanya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200km pada 28 Feb 2014.

Rekod MBOR keduanya diperolehi pada Januari 2015, apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia sejauh 5,319 km.

Sementara itu, dalam misi kayuhan kali ketiganya, Pak Wan disertai jurugambar sambilan Bernama Kelantan, Shahuri Awang, 33, sejauh 3,000km mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand selama 43 hari, sebelum meraih MBOR kali keempat pada tahun lepas dengan mengelilingi negara ini secara solo.

Kayuhan kali ini juga Pak Wan membawa mesej daripada Kemudi iaitu ‘Percaya Berita Benar’, bagi mengelak rakyat membaca berita yang tidak sahih dan fitnah.

Frank Lampard kembali ke Chelsea sebagai pengurus

CHELSEA mengumumkan Frank Lampard, sebagai pengurus baru kelab itu, selepas dia menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab itu.

Lampard, 41 tahun meninggalkan kelab Championship, Derby County untuk kembali semula ke Stamford Bridge, dimana dia berkhidmat selama 13 tahun sebagai pemain.

“Saya amat bangga untuk kembali ke Chelsea sebagai ketua jurulatih. Semua orang tahu saya sayangkan kelab ini dan pelbagai sejarah kami kongsi bersama.

“Bagaimanapun fokus saya adalah kepada tanggungjawab dan persediaan untuk musim akan datang.

“Saya di sini untuk bekerja keras, membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas,” kata Lampard kepada Chelsea TV.

Lampard menggantikan Maurizio Sarri yang meninggalkan Stamford Bridge pada Jun, untuk menjadi pengendali kelab juara Itali, Juventus.

Cabaran Lampard kini ialah menguruskan kelab yang digantung selama dua musim daripada membeli pemain baru, satu perkara yang gemar dilakukan kelab itu sejak dibawah pemilikan Roman Abramovich 16 tahun lalu.

Chelsea bagaimanapun sudahpun mendaftarkan pemain yang dipinjam dari Real Madrid, Mateo Kovacic dari Real Madrid musim lepas sebelum digantung FIFA pada Februari.

Selain itu, the Blues juga menandatangani pemain Borussia Dortmund, Christian Pulisic pada Januari 2019, yang dipinjamkan semula selama enam bulan kepada kelab Jerman itu.

Pelantikan ini adalah sembilan hari selepas Derby membenarkan Lampard untuk mengadakan perbincangan dengan Chelsea.

Pembantu Lampard di Derby, Jody Morris dan jurulatih pasukan utama, Chris Jones turut menyertai Lampard di Stamford Bridge, sementara bekas rakan pasukan, Petr Cech sudahpun dilantik sebagai penasihat teknikal bulan lepas.

Kerjaya Lampard sebagai pemain bola sepak profesional

Frank Lampard menyertai Chelsea dari West Ham dengan bayaran perpindahan £11 juta pada 2001.

Bekas pemain antarabangsa England ini membuat 648 penampilan untuk Chelsea, memenangi 11 trofi utama bersama the Blues.

Lampard memainkan peranan yang besar menamatkan kemarau 50 tahun tanpa gelaran utama liga Inggeris pada musim 2004/05 dengan menjaringkan 13 gol termasuk dua gol menentang Bolton yang mengesahkan gelaran milik the Blues.

Dia memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), empat Piala FA, dua Piala Liga, satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa.

Lampard meninggalkan Stamford Bridge pada Jun 2014 dan membuat penampilan singkat unutk Manchester City, di mana dia menjaringkan enam gol dalam 32 permainan.

Dia kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi dengan New York City dalam Major League Soccer (MLS) pada 2015, sebelum menamatkan kerjaya sebagai pemain profesional pada 2017.

Bagi skuad kebangsaan England, Lampard memenangi 106 caps selepas membuat penampilan pertama pada 1999 dengan 29 gol untuk skuad the Three Lions.

Risiko untuk Chelsea?

Penganalisis berpendapat pemilihan Lampard satu risiko tinggi yang diambil kelab itu kerana kurang pengalaman.

Namun risiko itu adalah rendah kerana pada masa sama, Chelsea digantung daripada membeli pemain baru selama dua musim.

Rekod Lampard di Derby tidak begitu memberangsangkan memandangkan hanya mendapat 42.9% kemenangan daripada 49 perlawanan.

Secara keseluruhan, Derby di bawah kendalian Lampard hanya mencatat 42.1% kemenangan daripada 57 perlawanan, dengan 70 gol membolosi gawang.

Piala Dunia Wanita: Belanda akan bertemu Amerika Syarikat di final

BELANDA melangkah ke final Piala Dunia Wanita FIFA buat kali pertama dalam sejarah kejohanan itu selepas menewaskan Sweden 1-0 di Lyon, awal pagi tadi.

Gol kemenangan perlawanan dijaringkan pemain tengah Manchester United, Jackie Groenen dalam masa tambahan.

Penjaga gol Belanda, Sari van Veenendaal menjadi penyelamat juara Eropah itu apabila berjaya menyelamatkan tiga percubaan bahaya Sweden dalam babak pertama dan kedua permainan.

Peluang terbaik Belanda untuk mendahului dalam babak kedua pula dinafikan penjaga gol Sweden, Hedvig Lindahl yang menepis tandukan Vivianne Miedema sebelum ia mengenai palang.

Lindahl turut menyelamatkan percubaan Shanice van de Sanden di penghujung babak pertama untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Groenen memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-99 menerusi satu rembatan leret dari luar kotak penalti.

Belanda akan bertemu juara bertahan, Amerika Syarikat di final pada Ahad, di Lyon.