Pandelela fokus terjunan baharu

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong bakal mempertaruhkan gaya terjunan baharu dalam Kejohanan Terjun Piala Asia di Kuala Lumpur pada September ini.

Katanya, selepas sekadar meraih tempat kelima dalam acara 10 meter (m) platform individu di Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Korea Selatan, beliau mahu memberi saingan lebih sengit kepada pencabar dari negara lain.

“Peluang lebih besar dengan terjunan baharu sebab beberapa penerjun muda ketika ini guna darjah kesukaran yang tinggi, jadi saya tidak mahu lagi berada di zon selesa.

“China juga sudah tukar pasangan baharu yang lebih muda dan bertenaga jadi skuad Malaysia perlu berusaha lebih keras,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, pada Ahad.

Kejohanan itu menyaksikan Malaysia meraih dua slot ke Sukan Olimpik Tokyo apabila gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee meraih tiket pertama ke Olimpik menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Pandelela kemudian meraih tiket kedua Sukan Olimpik melalui acara 10m platform individu.

Pada masa sama, penerjun veteran Leong Mun Yee berharap selepas empat kali bertanding di Olimpik, satu pingat sekurang-kurangnya dapat berada dalam genggamannya nanti.

“Kelayakan kali ini agak susah tapi saya gembira dapat layak ke Olimpik lebih awal. Olimpik Tokyo bakal jadi pentas kelima untuk saya dan apa yang penting adalah jaga diri supaya tidak mengalami kecederaan sebab selepas layak, langkah seterusnya adalah meraih pingat,” katanya.

Wendy Ng Yan Yee yang layak ke Olimpik Tokyo selepas meraih tempat kesembilan dalam pusingan akhir acara 3m papan anjal individu wanita menganggap cabaran akan menjadi lebih sukar selepas ini dan fokusnya adalah untuk meningkatkan prestasi pada kejohanan akan datang.

Dalam pada itu, jurulatih terjun negara Li Rui berkata beberapa prestasi penerjun negara semakin meningkat terutamanya Leong Mun Yee yang dilihat sudah berlatih bersungguh-sungguh, dan pencapaian yang diraih dianggap sebagai satu pulangan yang berbaloi.

Skuad terjun negara akan memulakan sesi latihan selama tiga minggu di Sichuan, China pada Ogos ini sebelum menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia.

Al-Ikhsan makin rapat dengan penyokong Liverpool

PETALING JAYA: Jenama barangan sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd memeterai persetujuan dengan dua kelab penyokong Liverpool FC di Malaysia, All Reds dan KL Kopites.

Persepakatan itu membolehkan ahli-ahli dua kelab penyokong itu menikmati pelbagai kelebihan antaranya potongan harga 20 peratus setiap pembelian di cawangan Football Republic yang bernaung di bawah jenama Al-Ikhsan.

Presiden KL Kopites, B. Sashidaran berkata, langkah ini akan memperkukuh pengaruh Liverpool FC di Malaysia dengan pembelian barangan tulen bagi menyokong kelab yang berpangkalan di barat laut England itu.

“Membeli daripada Football Republic selaku pengedar rasmi barangan Liverpool FC akan menguatkan kepercayaan kelab bola sepak itu kepada kita di Malaysia sekaligus bersama membantu Liverpool menjadi kelab yang lebih besar,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak itu di sini pada Sabtu.

KL Kopites dan All Reds Malaysia adalah hanya dua kelab penyokong rasmi yang diiktiraf entiti bola sepak yang merangkul gelaran Raja Eropah buat kali keenam selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

All Reds yang diiktiraf sebagai kelab penyokong rasmi Liverpool sejak Februari 2013 mencatatkan lebih 300 keahlian baharu pada jendela pendaftaran musim baharu tempoh hari, menjadikan mereka kini dianggotai lebih 800 penyokong setia The Reds dari seluruh negara.

Presiden All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa pula melihat usaha tersebut mengeratkan lagi hubungan baik All Reds dengan Al-Ikhsan yang telah terjalin lebih awal.

“Kami sudah menyokong Al-Ikhsan dan Football Republic sejak Januari 2018, malah sebelum Al-Ikhsan menjadi pengedar rasmi Liverpool FC. Jadi ini diharap dapat memberikan manfaat kepada kesemua pihak,” ujarnya.

Majlis tandatangan MoU itu dibuat sempena pelancaran serentak seluruh dunia jersi ketiga Liverpool FC untuk musim 2019/2020 di Football Republic, Sunway Pyramid.

Bonus menarik menanti pemain Perak

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan bonus menarik bakal menanti skuad ‘The Bos Gaurus’ sekiranya mereka berjaya mengatasi Kedah pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 27 Julai ini.

Tanpa mendedahkan jenis bonus, Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia merupakan penghargaan PAFA ke atas pemain Perak yang bekerja keras sehingga mara ke aksi final, katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak memaklumkan, beberapa kelab penyokong Perak dan Kedah telah mencapai persetujuan untuk berkonvoi dari Stadium Perak di Ipoh ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari perlawanan sebagai lambang perpaduan di antara penyokong kedua-dua pasukan berkenaan.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan, kerajaan negeri turut bersetuju untuk memasang skrin gergasi di 10 kawasan di negeri berkenaan bagi membolehkan penyokong yang gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan aksi final nanti.

Ditanya mengenai kaedah penjualan tiket, Ahmad Faizal menjelaskan, setiap penyokong hanya dibenarkan membeli dua keping tiket apabila proses jualan tiket bermula pada 23 Julai ini, sambil memaklumkan pemegang kad bermusim PAFA dan penyokong yang hadir pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak pada 29 Jun lalu, hanya dibenarkan untuk membeli sekeping tiket seorang.

“Kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat pemantauan di kesemua tempat penjualan tiket,” katanya.

PAFA menerusi kenyataan media dalam laman Facebooknya beberapa hari lepas memaklumkan, mereka akan menjual 15,000 keping tiket dewasa dan 750 keping tiket kanak-kanak di kaunter Stadium Perak, 12,000 keping tiket di tujuh kawasan lain di negeri berkenaan pada 22 Julai, bermula jam 10.30 pagi sehingga pukul 3.30 petang, selain baki 3,000 keping tiket akan diberikan kepada penaja PAFA dan jabatan-jabatan kerajaan negeri.

Tiket-tiket yang tidak habis dijual di tujuh kawasan berkenaan akan dijual di kaunter Stadium Perak pada keesokan hari (24 Julai).

Tujuh kawasan berkenaan adalah Stadium Sintetik Parit Buntar, Kerian; Pejabat Kemas Kampung Gajah, kaunter pandu lalu pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan; pejabat daerah Tanjung Malim, pejabat daerah dan tanah Lenggong, Dewan Jubilee Perak, Kuala Kangsar dan Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menetapkan harga tiket dewasa berharga RM50 sekeping, manakala tiket kanak-kanak bawah 12 tahun berharga RM5 sekeping.

Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3..

Kesesakan trafik di Manila bimbangkan kontinjen negara

KUALA LUMPUR: Selain penyediaan makanan halal, isu kesesakan lalu lintas yang teruk di Manila, juga menjadi kebimbangan kontinjen Malaysia yang akan bertanding di Sukan SEA 2019 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, perkara tersebut merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan pada mesyuarat ketiga, bersama Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) Oktober depan.

“Kita bimbang kesesakan itu akan menjejaskan kelancaran pergerakan atlet ke venue pertandingan, memandangkan terdapat perubahan drastik di mana 21 acara akan dipertandingkan di bandar itu, berbanding hanya dua acara saja pada awalnya.

“Banyak kemungkinan akan berlaku, kerana ketika berlangsungnya temasya tersebut (November), ia sudah menghampiri musim perayaan Krismas dan dijangka bandar Manila akan sibuk dan sesak,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), antara UPSI dan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd ( UFL) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Faedzal berkata, PHISGOC turut memberi jaminan perkampungan sukan di Clark akan siap sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

“Itu jaminan yang diberikan dan pada masa sama, PHISGOC memang perlu memastikan perkampungan sukan itu siap sepenuhnya pada 31 Ogos depan. Malah, semasa kunjungan yang dilakukan awal bulan ini juga, kami diberitahu dan melihat sendiri lebih 8,000 pekerja sedang bertungkus lumus menyiapkan tempat tersebut,” katanya.

Pada 1-7 Julai, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama dua timbalannya, Ahmad Faedzal dan Nurul Huda Abdullah menghadiri mesyuarat kedua dengan PHISGOC, bagi membincangkan progres persediaan Filipina dalam menganjurkan kejohanan dwitahunan tersebut.

Sebanyak 15 sukan akan dipertandingkan di Subic manakala 19 sukan bakal dilangsungkan di Clark manakala 21 di Manila dan sembilan lagi di Luzon dan lain-lain tempat.

Jordan Boy credits new training method for win in KL

KUALA LUMPUR: There were no shortcuts in Mohammed ‘Jordan Boy’ Mahmoud’s training camp ahead of his Muay Thai clash against Saiful ‘The Vampire’ Merican.

Before his bout with “The Vampire,” the 23-year-old martial artist knew that his stamina was the sole thing missing from his skill set. Fearing it could cost him another win, the athlete took it upon himself to search for a new gym to work on his conditioning.

It did pay off for the Kedah native, as he registered a unanimous decision win over his compatriot at ONE: Masters Of Destiny on Friday, 12 July.

“For this match, I prepared at two gyms,” Mohammed pointed out. “One was at my regular gym in Sampuri Muay Thai Gym Ampang, while the other was at Selendang Kuning Muay Thai Studio in Bukit Jalil.”

Mohammed faced some new challenges while training at two separate gyms.

“I knew my stamina was lacking, and I needed another way to go about it. My coach agreed, and he worked on a lot of strength and conditioning techniques, which helped in my fight. It was something new to me, and not the usual jogging or running.”

Back in December, the “art of eight limbs” practitioner stunned his Malaysian supporters in his debut when he dropped Stergos “Greek Dynamite” Mikkios to the canvas in the opening round.

It was a different tale a month later, though, as “Jordan Boy” suffered a TKO defeat at the hands of Hiroaki Suzuki. Two more losses followed, but it was clear that with a better gas tank, Mohammed was going to be a dangerous opponent.

“Round three was where I believe it showed my true advantage [my stamina] over Saiful Merican,” he explained. “I had a lot left in my tank, and even if it went on for another round, I’m confident I would have come out of my corner with the same energy.”

With his 32nd career win under his belt and some new-found stamina, Mohammed’s confidence is starting to grow.

Will this win be the start of many more to come for the talented Mohammed at The Home of Martial Arts?

Saya nak beri yang terbaik sebelum tinggalkan KTM – Hafizh

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih belum memutuskan mengenai hala tujunya, selepas hampir pasti tidak akan beraksi pada saingan Kelas Perdana itu musim depan.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu menjelaskan sehingga kini beliau tidak dihubungi ataupun berhubung dengan mana-mana pasukan sebagai menghormati kontrak bersama pasukannya.

“Saya hanya fokus dengan pasukan saya…saya masih ada kontrak bersama KTM dan saya belum putuskan ke mana saya akan pergi dan tak ada berhubung dengan mana-mana pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Grand Prix Malaysia 2019 di sini, pada Selasa.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 berusia 25 tahun itu mengakui fokus utamanya adalah menampilkan aksi terbaik dalam menamatkan baki saingan perlumbaan musim ini.

Hafizh, bagaimanapun mengakui perlumbaan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), November ini bakal jadi satu perlumbaan yang sukar buatnya, namun tetap berazam menceriakan penyokongnya terutama rakyat Malaysia.

“Harapan saya di Sepang bersama jentera KTM saya cuba buat yang terbaik, saya tak berani nak janji sebab keadaan jentera yang bagi saya agak kurang memuaskan.

“Saya perlu bekerja keras sebelum sampai perlumbaan GP Malaysia dan saya harap kalau boleh dapat meraih mata pada perlumbaan itu nanti,” tambah beliau.

Bercakap mengenai motivasinya selepas pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder sah menggantikan posisi beliau meskipun musim belum tamat, Hafizh berkata semangatnya kekal membara dan ingin menikmati baki perlumbaan musim ini.

“Buat masa sekarang motivasi saya masih tinggi, saya masih bersemangat untuk berlumba dan saya masih bersemangat nak berikan terbaik untuk semua. Saya mahu berikan yang terbaik kepada pasukan sebelum saya berangkat ke tempat lain,” tambah beliau.

Untuk rekod, Hafizh berjaya meraih tiga mata selepas mengharungi sembilan perlumbaan dan akan menamatkan baki 10 perlumbaan, dengan GP Malaysia merupakan destinasi kedua terakhir dalam kalendar perlumbaan musim ini.

CAS tolak rayuan Zulfadli dan Chun Seang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah menolak rayuan dua pemain profesional negara, Zulfadli Zukifli dan Tan Chun Seang terhadap hukuman dikenakan oleh Panel Pendengaran Etika BWF tahun lalu atas kesalahan mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dalam kenyataan pada Isnin, mengesahkan rayuan yang dikemukakan oleh pemain berkenaan bagi mencabar keputusan panel tersebut ditolak oleh CAS, sekali gus mengekalkan hukuman yang dikenakan ke atas pemain berkenaan.

“BWF berpuas hati bahawa CAS membuat kesimpulan sama dengan Panel Pendengaran Etika BWF berhubung keputusan yang dibuat,” menurut kenyataan itu.

Pada April 27 tahun lalu, Zulfadli dan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang pertandingan, selama 20 dan 15 tahun kerana melanggar Kod Tatatertib BWF membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan.

Panel pendengaran itu juga mengenakan denda sebanyak US$25,000 (RM102,596) kepada Zulfadli manakala Chun Seang didenda US$15,000 (RM61,558).

Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Menurut laporan penuh tiga ahli bebas yang dilantik BWF untuk mengadili sesi pendengaran di Singapura pada Februari tahun lalu,  kedua-duanya terbabit mengatur perlawanan dalam enam kejohanan iaitu Grand Prix Emas Terbuka London 2013, GP Terbuka Belanda 2013, GP Emas Terbuka Korea, GP Terbuka Macau 2014, GP Terbuka Amerika Syarikat 2014 dan GP Emas Terbuka Brazil 2016.

Laporan itu juga menyebut Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 pertaruhan dan mengatur perlawanan manakala Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012.

Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini iaitu tarikh di mana kedua-dua pemain dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.

Djokovic tewaskan Federer, pertahan kejuaraan Wimbledon

NOVAK Djokovic berjaya mempertahankan kejuaraan tenis Wimbledon yang disandangnya selepas menewaskan Roger Federer dalam aksi final pada Ahad.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu menundukkan Federer menerusi keputusan 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3).

Perlawanan antara kedua-dua jaguh handalan itu berlangsung sengit pada set akhir, hinggalah Djokovic berjaya memecahkan ‘tie break’ dan muncul sebagai pemenang.

Djokovic mara ke final susulan kemenangannya ke atas Roberto Bautista Agut dari Sepanyol, 6−2, 4−6, 6−3, 6−2 pada Jumaat.

Ini merupakan kejuaraan Wimbledon yang kelima untuk Djokovic dan yang kedua berturut-turut untuknya.

Perlawanan di antara Djokovic dengan Federer ini juga direkod sebagai perlawanan final Wimbledon paling lama dalam sejarah pada 4 jam 57 minit.

Selepas KO-kan Askren 5 saat, Masvidal kini mahukan McGregor

SEBAGAI petarung seni bela diri (MMA) di UFC, ‘saham’ Jorge Masvidal melonjak naik selepas berjaya memenangi dua pertarungan terakhirnya menerusi ‘knockout’ (KO) yang begitu bergaya.

Masvidal berjaya menewaskan petarung muda dari England, Darren Till dan petarung berpengalaman, Ben Askren yang juga bekas juara di Bellator MMA dan ONE Championship.

Sejak kemenangan tersebut, Masvidal sememangnya tidak menyembunyikan hasrat untuk bertarung bagi mendapatkan kejuaraan bagi divisyen welterweight.

Namun kecederaan penyandang kejuaraan, Kamaru Usman dan juga persaingan antara petarung lain yang juga sedang melobi untuk mendapatkan pertarungan kejuaraan seperti Colby Covington dan Tyron Woodley, membuatkan Masvidal terfikir untuk pertarungan yang lain terlebih dahulu.

“Ada petarung lain yang saya minat untuk bertarung,” kata Masvidal ketika menjadi tetamu di rancangan radio ‘The Dan Le Batard Show’.

“Pertarungan itu kalau dapat dibuat, memang akan terjual dengan banyak sekali dan saya akan dibayar dengan jumlah wang yang banyak dan layak saya menerimanya.

“Jika pertarungan itu menjadi kenyataan, saya akan betul-betul bertarung dan akan menghiburkan semua peminat, kerana saya tidak pernah menarik diri dari apa-apa pertarungan,” katanya.

Tanpa berselindung, Masvidal ternyata mahukan pertarungan antara dirinya dengan jaguh MMA dari Ireland, Conor McGregor menjadi kenyataan.

“Saya mahu (Conor) McGregor. Saya mahu pecahkan mukanya. Saya akan mendapat gaji yang banyak bagi pertarungan yang mudah.

“Dia seperti ada simbol wang tunai tertulis pada mukanya. Secara jujurnya, saya tidak melihat dia boleh menang pertarungan ini,” kata Masvidal lagi.

Sejak kelahan McGregor ditangan Khabib Nurmagomedov pada Oktober tahun lepas, ramai petarung yang mencabar McGregor untuk bertarung.

Antara faktornya adalah daya tarikan ‘superstar’ yang ada pada McGregor yang sudah semestinya akan menarik minat ramai penonton sekali gus menjana keuntungan berjuta-juta.

Zul Ariffin, Aman RA iringi Jihin ke gelanggang kemenangan

KUALA LUMPUR: Seluruh negara pastinya sudah tahu mengenai kemenangan atlet muda MMA wanita negara, Jihin Radzuan pada acara ONE: Masters Of Destiny di ibu negara pada Jumaat yang telah menundukkan Jomary Torres dari Filipina.

Namun, mungkin ada yang tidak perasan bahawa Jihin telah diiringi dua artis popular tempatan semasa membuat ‘walkout’ ke gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Zul Ariffin, yang merupakan pelakon utama filem ‘Sangkar’ – sebuah filem berkisarkan sukan seni bela diri campuran (MMA), mengiringi Jihin bersama pasukannya.

Selain Zul, mereka juga disertai penyanyi Aman RA, yang turut menyanyikan lagu ‘Fighter’ untuk soundtrack filem tersebut.

Jihin ketika ditemui Astro AWANI mengakui, gimik tersebut merupakan sebahagian dari promosi filem Sangkar yang akan ditayangkan di pawagam mulai 29 Ogos ini.

Selain itu, Jihin berkata dia turut membuat penampilan dalam filem tersebut.

“Kalau tengok Sangkar nanti boleh la nampak saya jadi extra (pelakon tambahan) dalam ring,” katanya sambil ketawa.

“Sebenarnya saya tidak sangka mereka (Zul dan Aman) akan mengiringi saya. Saya masa tu tak pakai kanta lekap jadi tak saya perasan, tapi bila dah dekat barulah saya sedar,” kata Jihin lagi.

Filem Sangkar merupakan filem aksi sukan MMA yang pertama di Malaysia.

Antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Remy Ishak, Mira Filza, Ray Johara dan Adam Mika.