Manchester City bermula garang di musim baharu

MANCHESTER City memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan bergaya ke atas pasukan tuan rumah West Ham United di Stadium London, sebentar tadi.

Penyerang City, Gabriel Jesus membuka jaringan pada minit ke-25 separuh masa pertama, menjadikan kedudukan 0-1.

Pemain sayap, Raheem Sterling menjaringkan gol kedua dan ketiga buat ‘Citizens’ pada minit ke-51 dan minit ke-75.

Gol keempat City pula dijaringkan oleh Sergio Aguero menerusi hasil sepakan penalti.

Sterling sekali lagi menjadi penjaring untuk gol kelima Manchester City sekaligus mencatat hat-trick yang pertama untuk beliau pada musim baru ini.

Keputusan penuh perlawanan menyaksikan City menumpaskan West Ham, 0-5.

Liverpool benam Norwich 4-1

PERLAWANAN pembuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2019/20 nyata tidak mengecewakan peminat Liverpool apabila naib juara musim lalu itu membenam pendatang baharu, Norwich City 4-1 di Anfield.

Jurgen Klopp memberi petunjuk awal kepada penyokong kenapa dia tidak berbelanja besar pada pintu perpindahan yang baru sahaja ditutup pada Khamis dengan meneruskan momentum permainan musim lepas yang menyaksikan pasukan itu berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Kesemua bintang pemain musim lepas, Divock Origi, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk beraksi cemerlang untuk memastikan the Reds memulakan kempen musim baharu ini dengan langkah kanan.

Liverpool bijak membuat hantaran pantas di ruang yang sempit tatkala pemain Norwich membanjiri kawasan gol mereka dalam usaha untuk mengecewakan barisan serangan pasukan tuan rumah.

Serangan bertali arus ke arah gawang Norwich membuahkan hasil seawal minit ke-7, apabila pertahanan the Canaries, Grant Hanley tersepak bola ke dalam gawang sendiri selepas cuba mengeluarkan hantaran silang Origi.

Salah kemudian menggandakan jaringan Liverpool pada minit ke-19 untuk memulakan kempen memburu kasut emas ketiganya dan gelaran pertama EPL buat pasukannya.

Van Dijk kemudian menanduk masuk hantaran sepakan sudut Salah pada minit ke-28 untuk mencipta suasana gemuruh di Anfield.

Namun, malang menimpa Liverpool pada minit ke-37 yang kehilangan penjaga gol utama mereka, Alisson  Becker yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan yang dialami selepas mengambil sepakan gol.

Keadaan itu menyaksikan Adrian yang baru sahaja menyertai Liverpool pada Isnin, menggantikan tempat Alisson.

Namun ia tidak mematahkan semangat Liverpool yang mendapat gol keempat selepas Origi menanduk masuk hantaran Trent Alexander-Arnold, 5 minit kemudian.

Kurang tiga minit selepas permainan bersambung di babak kedua, cubaan kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson ditampan penjaga gol Norwich, Tim Krul ke arah palang, sebelum Roberto Firmino gagal menyudahkan hantaran Alexander-Arnold.

Gawang Liverpool akhirnya dirobek selepas beberapa percubaan bahaya, menerusi pemain terbaik Norwich musim lalu, Teemu Pukki, yang menyudahkan lorongan bola daripada Emiliano Buendia.

Perlawanan tamat, Liverpool 4, Norwich 1.

10 perpindahan tumpuan musim baharu 2019/2020

SEPERTI biasa, musim panas menjadi waktu paling sibuk menyaksikan pemain keluar masuk menyahut cabaran baharu di sana dan sini hingga jendela perpindahan ditutup pada Khamis.

Setakat pagar perpindahan Liga Perdana Inggeris kembali dikunci pada Khamis, namun melihat kepada pentas global, perpindahan paling mahal untuk jendela musim panas kali ini adalah Joao Felix dari Benfica ke Atletico Madrid.

Dengan nilai 126 juta euro meletakkan perpindahan ini di tangga keempat selepas pembelian Neymar serta Kylian Mbappe ke PSG dan Philippe Coutinho ke Barcelona di tangga ketiga.

Jumlah 20 gol dalam 43 penampilan hanya pada usia 19 tahun, makanya tinggilah harapan seluruh warga Atletico untuk melihat sama ada bintang muda baharu ini dapat membuktikan nilainya atau sebaliknya.

Apapun jangkaan peminat dan penyokong terhadap masa depan persembahan pemain-pemain yang mengubah haluan, ini antara 10 lagi perpindahan melibatkan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang menjadi tumpuan bola sepak dunia pada musim panas 2019.

1) Harry Maguire – Leicester City ke Manchester United (80 juta Pound/87 juta Euro)

Nampaknya United betul-betul mahu bangkit untuk kembali menjadi gergasi England selepas tahun demi tahun mengecewakan.

Harry Maguire kini menjadi pemain pertahanan termahal dunia mengatasi rekod lalu yang dipegang Virgil van Dijk ketika berhijrah dari Southampton ke Liverpool pada musim panas 2017 (75 juta Pound).

Pertahanan berusia 26 tahun itu mengorak langkah di Leicester City untuk menjadi antara ‘centre-back’ England yang efisyen dan konsisten, sekali gus memikat pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer.

Ketibaan Maguire ke Old Trafford menambah rencah kepada ramuan Solskjaer untuk memperkukuh semula benteng United selepas menambat Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace dengan harga yang agak tinggi untuk ‘full-back’ berusia 21 tahun (50 juta Pound).

2) Nicolas Pepe – Lille ke Arsenal (70 juta Pound/76 juta Euro)

Apabila Arsenal berbelanja 70 juta Pound untuk seorang pemain, seluruh alam gempar!

Lebih 20 tahun Arsene Wenger memimpin The Gunners, mereka jarang berbelanja besar memandangkan pembangunan bakat muda menjadi prinsip pengendali dari Perancis itu.

Pemergian Wenger diambil alih Unai Emery yang membawa nafas baharu kepada gaya permainan Arsenal, tetapi ada beberapa pemain peninggalan Wenger yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara Emery.

Adakah Pepe kunci pertama untuk The Gunners keluar dari sumpahan nombor empat? Kita tunggu dan lihat.

3) Eden Hazard – Chelsea ke Real Madrid (100 juta Euro)

Akhirnya, impian pemuda Belgium ini untuk bermain dalam jersi serba putih tercapai jua.

Selepas tujuh musim menjadi penduduk London, Hazard berhijrah ke ibu kota Sepanyol untuk berada di bawah kendalian Zinedine Zidane yang kembali menggalas tugas untuk mengembalikan kegemilangan Los Blancos yang memudar sejak pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus.

Namun ia bukanlah permulaan yang diharapkan – gagal menjelmakan sentuhan emasnya ketika diturunkan dalam tiga perlawanan pra-musim termasuk ketika Madrid dibantai seteru tetangga, Atletico 7-3.

Ada laporan mengatakan Hazard naik berat badan sebanyak 7 kilogram semasa tiba di Madrid.

Mungkin perlu masa untuk Hazard panas. Kita tahu keupayaannya, cuma persoalannya: mampukah Hazard memainkan watak penting di bawah arahan Zizou?

4) Romelu Lukaku – Manchester United ke Inter Milan (74 juta Pound/80 juta Euro)

Mula-mula mahu ditukar dengan Paolo Dybala untuk ke Juventus, tetapi tak jadi pula.

Kerana samar dengan masa depannya, Lukaku tidak kembali ke Carrington sebaliknya menjalani latihan di kelab lamanya Anderlecht, mengakibatkannya didenda lembaga disiplin United.

Sebelum itu datang tawaran Inter untuk mendapatkan khidmat penyerang Belgium itu pada harga 54 juta Pound, tetapi ditolak United.

Kini Inter kembali dengan tawaran yang lebih lumayan, dan perpindahan Lukaku ke Itali akhirnya dipersetujui pada nilai 78 juta Euro selepas ejennya, Federico Pastorello memuat naik di Instagram gambar mereka berdua di dalam pesawat menuju ke Milan.

5) David Luiz – Chelsea ke Arsenal (8 juta Pound)

Biarpun nilai tidak besar, tetapi perpindahan seorang pemain dari satu kelab ke satu kelab yang menjadi seteru tetangga sentiasa mencuri tumpuan.

Ketika Chelsea digantung daripada membeli pemain untuk dua tahun, aneh melihat satu persatu pemain senior seperti David Luiz dan Gary Cahill meninggalkan Stamford Bridge.

Mungkin pengurus baharu, Frank Lampard mahu memulakan revolusi dengan membangunkan bakat muda sementara kelab berdepan dengan sekatan daripada FIFA itu.

Pertahanan Brazil berusia 32 tahun itu mengikat kontrak dua tahun bersama The Gunners, ketika Unai Emery memerlukan pemimpin baharu di barisan pertahanan selepas pemergian Laurent Koscielny.

Juga penyokong Gunners boleh sedikit lega apabila barisan pertahanan turut akan diperkuat dengan ‘centre-back’ muda dari Celtic, Kieran Tierny yang dibeli dengan harga 25 juta Pound.

6) Joao Cancelo – Juventus ke Manchester City (62.8 juta Pound/68 juta Euro + Danilo)

Walaupun boleh dikatakan sudah cukup ampuh pasukannya apabila mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dua musim berturut-turut, Pep Guardiola rancak membeli pemain pada jendela musim panas kali ini.

Dengan keupayaan kewangan yang diketahui seantero dunia, City membeli Joao Cancelo sebagai pemain ketiga yang akan menjadi muka baharu di Etihad untuk musim depan bersama Rodri dari Atletico Madrid dan Angelino yang kembali dari PSV Eindhoven.

Cancelo, 25, mengikat kontrak sehingga musim panas 2025 dengan harga yang cukup tinggi, dibayar City sebanyak 60 juta Pound bersama pertahanan kanannya, Danilo yang bernilai 34.i juta Pound kepada Juventus.

Kalau tak menang Liga Juara-Juara juga musim ini, tak tahulah nak kata apa.

7) Giovani lo Celso – Real Betis ke Tottenham Hotspurs (60 juta Pound/66 juta Euro)

Kali ini Mauricio Pochettino berbelanja juga untuk memperkasa skuadnya dengan membawa masuk junior senegara, lo Celso dari Real Betis.

Namun ia untuk sementara, hanya pinjaman satu musim. Bagaimanapun ada pilihan untuk menandatangani kontrak tetap pada musim panas yang akan datang atau tidak.

Pemain Argentina berusia 23 tahun tu diikuti termeterainya persetujuan daripada Olympique Lyon untuk Tanguy Ndombele dan Ryan Sessegnon dari Fulham untuk posisi tengah.

Kehadirannya juga dilihat sebagai persediaan Spurs untuk menghadapi kemungkinan arkitek mereka, Christian Eriksen yang dikhabarkan mahu meninggalkan White Hart Lane dan menukar angin ke luar England.

8) Alex Iwobi – Arsenal ke Everton (sekitar 40 juta Pound/43.4 juta Euro)

Kertas persetujuan telah pun dihantar ke pentadbiran Liga Perdana, bererti kedua-dua kelab ada sehingga jam 7 petang waktu England untuk melengkapkan perpindahan.

Pemain sayap Nigeria berusia 23 tahun ini membuat keputusan dramatik pada jam-jam akhir jendela perpindahan kali ini untuk berhijrah dari selatan ke utara, dari kota London ke kelab di bandar pesisir sungai Mersey, Everton.

Selepas tawaran pertama 30 juta Pound ditolak, Everton membuat percubaan kedua keesokan harinya dengan harga yang dipercayai boleh mencecah sekitar 40 juta Pound.

Ada-ada sahaja Everton ni!

9) Laurent Koscielny – Arsenal ke Bordeaux (Percuma)

Legenda The Gunners, Ian Wright dan penyokong Arsenal tidak gembira dengan cara bekas kapten mereka pergi.

Dalam video ringkas yang dimuat naik Bordeaux, pertahanan berusia 33 tahun itu menanggalkan jersi Arsenal dan memaparkan jersi Bordeaux yang dipakainya di dalam.

“Kau patutnya malu tinggalkan kelab itu macam itu lepas sembilan tahun. Apa yang kau nak kau dah dapat, lepas itu nak bual hal lagi? Harap berbaloilah untuk jangka masa panjang,” kata Wright.

Marah betul Wright, sejak Emery ambil alih dari Wenger rancak kau bersuara ya!

Bagaimanapun Koscielny menegaskan bahawa dia sentiasa menghormati Arsenal, tetapi enggan berbicara lanjut mengenai perpindahannya.

Katanya kini dia sudah berada di kelab baharu dan mahu fokus memandangkan perlawanan pembukaan liga sudah semakin hampir.

10) Ander Herrera – Manchester United ke PSG (Percuma)

Pemain berusia 29 tahun ini menyertai jagoan Ligue 1 secara percuma selepas lima tahun di Old Trafford.

Sepanjang berkhidmat bersama United, Hererra beraksi dalam 189 penampilan, memenangi Liga Europa, Piala FA, Piala Liga dan Perisai Komuniti.

Kesetiaannya kepada United membuatkan pemain tengah Sepanyol itu terbang keluar dari England untuk mencari cabaran baharu, dan gembira untuk menyertai PSG yang dianggap kelab terbesar di Perancis.

Malah, Herrera juga menyatakan “saya tahu bahawa ini salah satu kelab yang paling dibenci di Perancis, dan saya menyukainya.”

Macam Aiman Tino, rela dibenci.

Kembali jadi ‘burung hantu’ di malam-malam minggu

Ketika pengendali skuad juara bertahan dua tahun berturut-turut Liga Perdana Inggeris, Guardiola masih membawa lagi pemain baharu, pengurus pasukan yang baru menambah bintang keenam pada lencana mereka, Jurgen Klopp, nampak sudah berpuas hati dengan skuad sedia ada cuma ada satu-dua pembelian berstatus kecil.

Dan juga ketika kedua-duanya dengan rendah diri menyuarakan pendapat yang sama bahawa saingan musim depan akan lebih terbuka, Liverpool dan Manchester City tetap akan menjadi topik perbualan perbandingan para peminat bola sepak yang melihat ini sebagai satu perseteruan baharu antara Liverpool dengan Manchester. Cumanya Manchester ini yang berwarna biru.

Walau bagaimanapun, tuan-tuan dan puan-puan, bola itu bulat. Ke mana jalan ceritanya, kita tidak boleh jangka. Leicester boleh lakar sejarah menjuarai Liga Perdana pada ‘musim kisah dongeng’ 2016/2016, Liverpool tetap gagal menjulang gelaran itu dengan 97 mata musim lepas. Susah nak kata.

Jadi bersedialah untuk sekali lagi berjaga malam pada hujung minggu, kerana tirai gelanggang liga paling popular di dunia ini akan dibuka semula!

Manchester City sah ikat Cancelo

MANCHESTER City sah menandatangani pertahanan sayap Portugal, Joao Cancelo, daripada Juventus dengan perjanjian yang menyaksikan Danilo menuju ke arah bertentangan.

Cancelo, 25, menandatangani kontrak enam tahun di Stadium Etihad selepas beraksi selama semusim buat Juve.

Selepas menghabiskan musim 2017-18 selaku pemain pinjaman daripada Valencia kepada Inter Milan, Juve membawa pemain itu ke Turin dengan yuran perpindahan €40.4 juta (RM190.4 juta).

Dia kemudian menikmati musim yang cukup gemilang bersama skuad The Old Lady itu dengan memaparkan aksi cemerlangnya di posisi sayap kanan menerusi gerakan kaki dalan larian kencang yang mencuri perhatian.

“City merupakan pasukan yang hebat dengan pengurus yang cemerlang dan saya amat gembira untuk berada di sini,” katanya dalam laman web rasmi pasukan.

“Segala-galanya tentang mereka mengagumkan saya, daripada fasiliti hingga cara permainan.

“Saya sentiasa bersedia untuk mengembangkan permainan saya dan memenangi trofi dan saya percaya, saya mampu untuk melakukannya di sini.

“Jadi, saya tidak sabar untuk memulakan musim baru dan menguji diri saya dalam Liga Perdana,” katanya.

City telah dikaitkan untuk mendapatkan pemain itu sejak beberapa jendela perpindahan lalu dan usaha mereka pada awal jendela perpindahan kali ini turut ditolak.

Ketua jurulatih Juve, Maurizio Sarri, dikatakan telah meluluskan perpindahan Cancelo biarpun sebelum dia mengambil alih tugas Massimiliano Allegri itu Jun lalu.

Cancelo akan bersaing dengan Kyle Walker untuk merebut posisi sayap kanan melainkan Walker bersetuju untuk beralih ke posisi yang lebih ke tengah ataupun di bahagian pertahanan kiri.

Danilo pula akan menyertai Juve selepas melakukan 34 penampilan dalam Liga Perdana sepanjang dua musim bersama kelab Inggeris itu.

Pasukan hoki negara tumpas 6-4 kepada Belanda

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, Ahad, pasukan hoki lelaki negara mempamerkan persembahan cukup baik pada Selasa, namun tewas 6-4 kepada pasukan Belanda dalam perlawanan ujian di Breda, malam tadi.

Pasukan nombor tiga dunia, Belanda, memulakan pesta gol mereka seawal minit kedua menerusi Mirco Pruijser, namun pasukan nombor 12 dunia, Malaysia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11.

Pasukan Belanda kemudiannya mendahului sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti di minit ke-13 dan kemudiannya Marco menambah jaringan (minit ke-20), dan pasukan Malaysia mengurangkan defisit gol menerusi jaringan Faiz Helmi di minit ke-29.

Di separuh masa kedua, pasukan yang memenangi pingat perak dalam Piala Dunia 2018 itu menambah jaringan menerusi Jip (38′), Jelle Galema (49′) dan Thierry Brinkman (51′), manakala pasukan pemenang pingat perak Sukan Asia, Malaysia, menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim (43′) dan Faizal Saari (56′).

Mengulas perlawanan itu, Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berkata keputusan itu merupakan satu langkah kehadapan ke arah pembangunan hoki para pemainnya.

“Mereka menunjukkan serangan yang baik dan memiliki peluang untuk membuat lebih banyak jaringan, tapi sebaliknya pasukan negara dihukum untuk setiap kesilapan yang dilakukan.

“Namun ia persembahan yang baik, menunjukkan pasukan negara semakin bertambah kompetetif berhadapan dengan pasukan terbaik dunia. Kita masih perlu buat kajian semula persembahan, dan mencari pendekatan terbaik untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Pasukan negara akan meneruskan siri perlawanan ujian menentang juara dunia tiga kali, Belanda pada hari Khamis, diikuti dengan perlawanan menentang pasukan nombor dua dunia Belgium pada 10 dan 12 Ogos.

Malaysia, yang sedang membuat persiapan untuk peringkat akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Oktober dan November ini memulakan siri jelajah dengan menewaskan juara dunia dua kali dan pasukan ketujuh dunia Jerman 4-2 di Krefeld pada 26 Julai, diikuti dengan kekalahan tipis 0-1 kepada pasukan nombor satu dunia Sepanyol.

Malaysia kemudiannya muncul juara di Kejohanan Empat Negara selepas menewaskan Sepanyol 4-3 pada 1 Ogos, menumpaskan Ireland 2-1, Jumaat, dan seri dengan England 3-3 Ahad.

Perpindahan Harry Maguire ke Old Trafford cipta rekod dunia

PERPINDAHAN Harry Maguire dari Leicester ke Manchester United mencipta rekod baharu.

Man U telah membayar 80 juta pound untuk khidmat Maguire, sekali gus mencipta rekod dunia bagi pemain pertahanan.

Kontrak Maguire di Old Trafford adalah untuk enam tahun.

Dia yang juga beraksi untuk pasukan kebangsaan England sudah lama menjadi tumpuan pengurus Man U, Ole Gunnar Solskjaer.

Penyertaan Maguire adalah bagi memperkukuh barisan pertahanan Manchester United bagi musim baru liga.

Kenapa Man City pakai jersi stail lama? Ini jawapannya

JIKA anda menonton perlawanan Piala Perisai Komuniti di antara Manchester City dan Liverpool malam tadi, anda akan perasan sesuatu yang agak pelik.

Kalangan peminat pastinya tertanya-tanya kenapa jersi Manchester City malam semalam tidak mempunyai sebarang penaja di bahagian dada?

Sebenarnya, pasukan The Citizens telah mengenakan jersi khas bersempena sambutan 125 tahun kelab tersebut ditubuhkan.

Biarpun tanpa logo atau tulisan jenama, jersi 125 tahun ini mendapat sokongan penuh daripada penaja utama.
Dengan rekaan yang begitu ringkas, ia mengimbau kembali kenangan corak jersi pada era 70an yang hanya menggunakan dua warna iaitu biru muda dan putih.

Pasukan The Citizens dengan jersi khas bersempena sambutan 125 tahun kelab tersebut.
Biarpun tanpa logo atau tulisan jenama, jersi 125 tahun ini mendapat sokongan penuh daripada penaja utama pasukan Manchester City seperti Etihad dan juga Nexen Tire.

Pada perlawanan merebut Piala Perisai Komuniti malam tadi, Manchester City yang juga juara Liga Perdana Inggeris, menjulang Perisai Komuniti selepas menang menerusi penentuan penalti menewaskan Liverpool 5-4 di Stadium Wembley.

MMA: Eddie Alvarez lakar kemenangan pertama di ONE Championship

MANILA: Petarung MMA Amerika Syarikat, Eddie Alvarez mencatat kemenangan pertamanya di ONE Championship selepas menumpaskan bekas juara lightweight ONE, Eduard Folayang di acara ONE: Dawn Of Heroes di Manila, Jumaat malam.

‘The Underground King’ menewaskan petarung tuan rumah itu menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 2:16 pusingan pertama perlawanan separuh akhir kejohanan dunia ONE Lightweight Grand Prix.

Semasa awal pusingan, Folayang dilihat hampir menewaskan Alvarez apabila berjaya menjatuhkan lawannya itu menerusi tendangan padu pada bahagian kaki.

Dia kemudiannya melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Alvarez yang rebah akibat tendangan tersebut.

Bagaimanapun, Alvarez berjaya memusingkan badannya sambil mengunci Folayang dari belakang — memaksa petarung Filipina itu menyerah kalah.

Dengan kemenangan tersebut, Alvarez bakal bertemu dengan petarung dari Turki, Saygid Guseyn Arslanaliev dalam aksi final kejohanan ONE Lightweight GP pada acara ONE: Century di Tokyo, Jepun, 13 Oktober depan.

Kesakitan hantui kepulangan Super KIP di GP Republik Czech

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi akhirnya kembali semula selepas enam pusingan Kejuaraan MotoGP Dunia pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Automotodrom Brno, pada Jumaat.

Bagaimanapun, pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing Team berusia 20 tahun itu gagal memperagakan aksi memberangsangkan pada sesi latihan bebas selepas mengadu kesakitan pada jari kelingking kanannya.

Beliau hanya mampu menduduki tangga ke-27 daripada 31 pelumba pada sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa dua minit 04.497 saat (s) dan tempat ke-30 pada sesi kedua dengan catatan masa terpantas 2:04.746s.

Walaupun gembira apabila kembali semula selepas tiga bulan namun pelumba yang lebih dikenali sebagai Super KIP itu terpaksa bergelut dengan brek selepas terasa kesakitan pada jari kelingkingnya.

“Walaupun mengalami kesakitan pada jari tetapi masih boleh berlumba pada sesi latihan pertama tetapi pada sesi kedua, kesakitan bertambah teruk selepas terlanggar sebuah motosikal di litar…oleh itu saya terpaksa berhenti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya di sini, malam tadi.

“Saya lebih yakin dengan jentera tetapi tidak boleh melakukan dengan lebih baik kerana tidak selesa dengan kesakitan di jari. Saya akan jumpa doktor jika perlu mengambil ubat tahan sakit. Saya harap keadaan bertambah baik esok (Sabtu),” katanya.

Pelumba kelahiran Perak itu mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh pada sesi latihan bebas di GP Sepanyol di Litar Jerez pada 4 Mei lalu.

Berikutan kecederaan tersebut, pasukan tersebut terpaksa membawa masuk pelumba Itali, Mattia Pasini untuk menggantikan tempat Khairul Idham.

Bagaimanapun, Pasini hanya beraksi pada dua pusingan di GP Perancis di Litar Le Mans pada 19 Mei dan GP Itali di Litar Del Mugello pada 2 Jun sebelum mengalami kecederaan tulang selangka dalam perlumbaan motorcross selepas itu.

Tempat beliau kemudian diganti oleh pelumba gantian dari Jerman, Jonas Folger.

Tiga pemain utama negara layak ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Dua pemain wanita – Aifa Azman dan Chan Yiwen – dan seorang pemain lelaki negara – Siow Yee Xian – berjaya melangkah ke saingan suku akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini, pada Khamis.

Aifa, 17, selaku juara Terbuka Remaja British tiga kali, tidak menghadapi masalah apabila dengan mudah mengetepikan pemain Hong Kong, Kristie Wong, 11-2, 11-3, 11-2 untuk bertemu dengan pemain England, Elise Lazarus, hari ini (Jumaat).

Bagaimanapun, adiknya, Aira, 14, gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pemain Mesir, Farida Mohamed, 12-10, 12-10, 11-8 dalam pertarungan selama 27 minit.

Dalam pada itu, Yiwen, yang juga juara remaja Asia dua kali, terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan pemain Mesir, Sana Ibrahim 11-8, 8-11, 11-7, 11-7 untuk menentang Farida di saingan suku akhir.

Dalam pada itu, Yee Xian menjadi wakil tunggal lelaki negara dalam saingan suku akhir apabila mengalahkan pemain Amerika Syarika, Nicholas Spizzirri 11-6, 11-6, 11-7 sementara Adam Agan Aziz yang melakukan penampilan sulung terpaksa bertarung selama 70 minit sebelum tumpas kepada pemain Liechtenstein, David Maier 8-11,12-10, 8-11,11-6, 16-14.

Turut menerima nasib sama ialah Duncan Lee yang kalah kepada pemain Kanada, James Flynn 7-11, 2-11, 11-8, 2-11.