Piala Malaysia: TFC, Pahang kekal momentum kemenangan

KUALA LUMPUR: Jaringan hatrik pemain import, Tchetche Hermann Kipre memastikan Terengganu FC mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan, pada aksi ketiga Kumpulan A, di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mahammad Zain mengekalkan rekod tanpa kalah, untuk selesa mengungguli saingan kumpulan A dengan sembilan mata dan hanya memerlukan satu kemenangan dalam baki tiga aksi untuk mengesahkan tempat di peringkat suku akhir.

Kipre, penyerang kelahiran Ivory Coast itu meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-42, selepas kedua-dua pasukan buntu dalam usaha memburu gol pembukaan sejak permainan bermula.

Kerakusan memburu gol pemain berusia 31 tahun itu diteruskan pada babak kedua permainan, menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 84′, sekali gus melengkapkan hatrik peribadi dan menafikan semangat juang Negeri Sembilan yang berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-67 menerusi Igor Luiz.

Juara sebanyak empat kali, Pahang meneruskan momentum kemenangan selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam aksi Kumpulan C di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol dijaringkan seawal minit kedua oleh penyerang sensasi Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi (minit ke-35), sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat skuad Tok Gajah, meskipun tuan rumah cuba bangkit menerusi gol tunggal bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-54.

Pada masa sama, Perak gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila seri 1-1 ketika berhadapan Pulau Pinang dalam satu lagi aksi Kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu, seakan ketandusan idea dalam memburu gol selepas gagal menemui jaringan kemenangan, selepas keputusan terikat 1-1 hasil jaringan Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-11 sebelum, Anselmo Casagrande menyamakan kedudukan buat Pulau Pinang pada minit ke-63.

Dalam pada itu, Melaka merampas kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D daripada pencabar terdekat, Selangor, selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Felda United, di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dua gol menerusi penyerang S. Deevan pada minit ke-12 dan 62′, selain satu gol disumbangkan Luka Milunovic pada minit ke-31, sudah memadai buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan untuk menafikan jaringan lewat penyerang Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-74, bagi mengutip tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Melaka kini mengumpul enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan sementara Selangor yang kurang satu satu perlawanan mengutip empat mata di kedudukan kedua.

Minggu Dua: Liverpool dahului carta, setakat ini, terima kasih kepada VAR

LIVERPOOL menerajui carta pada minggu kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu selepas Manchester City terikat dua sama dengan Tottenham Hotspurs di Stadium Etihad.

Anak buah Jurgen Klopp mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan tuan rumah Southampton 2-1 hasil jaringan Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Bermain di laman sendiri, Soton sering kali juga menguji keutuhan barisan pertahanan The Reds pimpinan Virgil van Dijk dan terutamanya penjaga gol baharu yang menggantikan Alisson Becker, Adrian dari Wes Ham.

Seminit sebelum separuh masa pertama selesai, gerakan pantas Mane melepaskan rembatan lengkung di antara kawalan tiga pertahanan The Saints, berjaya menewaskan penjaga gol Angus Gunn.

Kemudian Bobby Firmino menggandakan pendahuluan pada minit ke-71, menebus kegagalan meledak peluang keemasan daripada gerakan cantik beberapa minit sebelum itu dengan rembatan leret menerjang jaring lawan.

Namun seperti dikhuatiri susulan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama, Adrian sekali lagi cuai dan kali ini dihukum bekas pemain Liverpool, Danny Ings yang membuka akaun jaringannya untuk musim ini.

Masa tamat dengan keputusan tidak berganjak, meletakkan The Reds di persada liga sementara menunggu kesudahan pertemuan City dengan Spurs di Manchester.

Penyerang sensasi England, Raheem Sterling sekali lagi meledak untuk membuka tirai jaringan dengan tandukan daripada hantaran lintang selepas 20 minit sepak mula, namun rembatan luar petak penalti Erik Lamela menyamakan kedudukan hanya tiga minit selepas itu.

Kemudian pada minit ke-35, Sergio Aguero meletakkan kembali City di depan tetapi sekali lagi kelebihan City dirampas kali ini oleh Lucas Moura tidak lama selepas masuk menggantikan Tanguy Ndombele pada minit ke-56.

Gabriel Jesus menggegarkan Stadium Etihad pada minit ke-92 perlawanan apabila rembatannya merobek gawang Spurs, bagaimanapun dibatalkan oleh pengadilan bantuan video (VAR), yang pertama kali diperkenalkan dalam saingan EPL musim ini, selepas bola disahkan mengenai tangan Aymeric Laporte daripada tendangan sudut.

Mata terikat, mata dikongsi sekali gus meletakkan anak buat Pep Guardiola di tangga ketiga di belakang Arsenal yang kekurangan perbezaan dua gol berbanding Liverpool di tangga teratas buat setakat ini.

Manchester United boleh memintas Liverpool sekiranya menang dengan kelebihan satu gol sahaja menentang Wolverhampton pada Selasa depan.

Keanu Subbas nightmare injury motivated him to a higher point

KEANU Subba might have not experienced the comeback he was looking for in May, but the Malaysian featherweight martial artist learned that it was the perfect timing to build his character.

A cruel shin injury left Subba with a fractured tibia and fibula in Jakarta at ONE: FOR HONOR on 3 May. And despite the tough ordeal he has had to endure, the former MIMMA Champion knew that it was no time to back out from one of his biggest career setbacks.

“I saw this as a chance of the universe giving me a way out. If I wanted to quit, that would have been a perfect time. I’ve got a broken leg, and that would be the perfect excuse,” the 25-year-old Subba uttered in a soft tone.

“But that gave me motivation to prove that I’m a much tougher person outside the cage. It gave me a hunger to get back to what I love doing the most.

“I love this sport, and I’ve invested eight years in mixed martial arts. I told myself that I love every part of it, and that got me working hard at rehab in the hope of a fast recovery.”

Days became months, and the Malaysian grappling sensation still could not return to any form of martial arts. But that did not deter him from forming a packed recovery schedule that consisted of rehabilitation exercises, strength and conditioning workouts, and swimming.

That spirit did not come easily as Subba had to fend off memories of what unfolded in that very night in the Indonesian capital city.

But Subba’s close circle, which includes his father, mother, fiancé, and brother Gianni Subba, ensured that their boy was not going to let this situation get the better of him.

“All I ever hoped for was to wake up one day, and feel like this was a bad dream,” he said.

“It was a downtime for me, but I had my family around who was always there for me. They advised me to never quit and made everything else so much better. They took care of me well, and I’m very grateful to have them around me at all times.”

With an appetite to be the very best, the Bali MMA/Monarchy MMA representative is aware that he will be “waking up” from this nightmare in no time at all.

Federer disingkirkan Rublev di Cincinnati

ROGER Federer tersingkir daripada saingan Masters Cincinnati ATP selepas pemain nombor tiga dunia itu dikejutkan dengan kekalahan 3-6, 4-6 di tangan pemain daripada pusingan kelayakan, Andrey Rublev.

Tewas di final dalam saingan di Cincinnati tahun lalu, Federer melepasi halangan Juan Ignacio Londero dalam pusingan sebelum itu tetapi pemain berusia 38 tahun itu beraksi di bawah tahap sebenar, semalam.

Rublev yang menyingkirkan Stan Wawrinka sebelum ini tampil cemerlang apabila dua kali mendahului juara tujuh kali Cincinnati itu dalam set pertama sehingga memastikan pemenang 20 grand slam itu gagal mendapatkan rentak permainan.

Federer bangkit dalam set kedua tetapi Rublev yang menyinar dengan pendahuluan 4-3 terus mengutip mata sebelum mengesahkan kemenangan.

“Terdahulu, saya bergelut dengan servis saya. Break pada servis pertama dan seterusnya itulah yang terjadi. Perkara itu seakan mempengaruhi sedikit permainan selepas itu,” kata Federer.

“Tetapi keseluruhannya adalah sukar, dia bermain sangat baik. Saya pula mungkin bergelut terutama sekali ketika serangan. Saya tak rasa saya bermain teruk tetapi kadang kala kita tak boleh mengharapkan servis itu dapat melakukan segala-galanya.”

Federer bermula buruk apabila terlepas servis permulaan dan apabila dia menyempurnakan mata break ketiga untuk menyamakan kedudukan, Rublev mengulangi teknik untuk mendahului 3-1.

Federer cuba bertahan dengan servis tetapi tidak mampu menyaingi kekuatan Rublev dan pemain dari Russia itu menamatkan set pertama dalam tempoh 29 minit.

Sedar dia perlu kembali ke tahap sebenar, Federer tampak lebih tajam ketika servis di permulaan set kedua walaupun dia gagal menggunakan kesempatan ke atas lawannya.

Pemain nombor 70 dunia, Rublev, menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk kembali meletakkan diri di depan menerusi mata 4-3.

Federer cuba mengheret lawannya ke set seterusnya tetapi Rublev tidak memberikan ruang untuk membolehkan lawannya meraih sebarang peluang apabila mengesahkan kemenangan 6-3, 6-4 sebelum menitiskan air mata kegembiraan di atas gelanggang.

Ia adalah perasaan yang mengagumkan apabila bermain dengan seorang legenda seperti Federer. Sekurang-kurangnya 99 peratus penonton menyokongnya.

“Hari ini saya cuma lakukan yang terbaik. Saya beritahu diri sendiri saya perlu bermain setiap mata hingga ke akhirnya. Biar apa pun keadaan, saya terus berjuang,” ujar Rublev.

Neymar sembuh, tidak disingkirkan daripada skuad PSG

NEYMAR tidak disingkirkan daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) dan kini telah sembuh sepenuhnya, kata pengarah sukan kelab, Leonardo.

Pemain Brazil itu – yang terlepas Copa America akibat kecederaan – tidak beraksi dalam aksi pembukaan Ligue 1 minggu lalu menentang Nimes sehingga membuatkan peminat melakukan protes terhadapnya.

Neymar dilaporkan lewat menyertai sesi latihan pramusim dan Leonardo sebelum ini mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu mahu meninggalkan Paris, dua tahun selepas berhijrah daripada Barcelona menerusi rekod yuran perpindahan termahal dunia bernilai EUR222 juta (RM1.02 bilion).

Dia dikaitkan dengan jalan pulang ke Camp Nou walaupun pengendali Barca, Ernesto Valverde, tidak mahu bercakap mengenai kemungkinan itu dalam sidang media semalam.

Dan Leonardo menafikan Neymar masih cedera serta disingkirkan daripada skuad utama kendalian Thomas Tuchel itu.

“Ia perkara mudah,” katanya.

“Neymar dipantau oleh beberapa doktor dan pakar bedah hebat pada awal musim. Tulangnya pada bahagian metatarsal kelima telah bercantum dengan sempurna. Kecederaannya telah sembuh sepenuhnya.

“Ia tidak benar. Dia tidak disingkirkan daripada pasukan. Dia mengikuti program pemulihan secara bersendirian.”

Masa depan Neymar masih belum menemui jalan penyelesaian sambil Barca dan Real Madrid dilaporkan gagal dalam bidaan sambil Leonardo menyatakan bahawa penggempur itu mungkin terlepas kunjungan ke Rennes, Ahad ini.

“Dia adalah pemain PSG. Masih ada tiga tahun kontrak untuknya di sini, kami tidak boleh lupakannya,” tambah Leonardo.

“Kami perlu kenal pasti segalanya, memperbaikinya sebelum dia dapat beraksi semula.

“Neymar melakukan kesilapan. Saya tidak mengenalinya tetapi sejak beberapa hari lalu, saya mula mengambil tahu tentangnya.

“Sejujurnya, dia seorang individu yang baik dengan latar belakang yang bagus. Di atas padang, dia pemain hebat.

“Terdapat perbincangan mengenai masa depannya seperti yang anda tahu tetapi masih belum ada perkembangan.”

Piala Super UEFA: Hampir mustahil ganti Hazard – Lampard

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard, percaya adalah mustahil untuk menggantikan Eden Hazard dengan individu lain.

Hazard beraksi di Stamford Bridge selama tujuh musim sebelum berkelana ke Real Madrid dengan perjanjian bernilai sekitar €100 juta (RM467.4j).

Pemain Belgium itu terlibat secara langsung dalam 31 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu  dengan menghasilkan 16 gol dan 15 bantuan gol dan pemergiannya meninggalkan jurang besar buat Chelsea untuk dipenuhi.

Lampard berkata pemain lincah yang memenangi dua gelaran liga dan dua mahkota Liga Europa dengan The Blues tidak boleh digantikan dengan hanya seorang pemain.

“Saya merupakan peminat Eden Hazard dan sebagai peminat Chelsea, saya pernah beraksi di sampingnya,” katanya dalam sidang media menjelang pertembungan Piala Super UEFA menentang Liverpool, awal pagi esok.

“Bagi saya, musim lalu dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia. Bukan setakat musim lalu, malah sepanjang di Chelsea. Secara umumnya dia muncul sebagai pemain paling produktif untuk pasukan daripada segi bantuan jaringan dan gol, termasuk kepimpinannya.

“Anda tidak boleh menggantikannya dengan seorang pemain, saya fikir ia adalah mustahil kerana tahap tinggi yang dipamerkan dalam kerjayanya.”

Tambahnya: “Namun, berita baik dan positifnya, kami perlu bersikap tenang dan sabar dengan kumpulan pemain yang kami miliki.

“Beberapa pemain muda dan berpengalaman kini berpeluang untuk membuktikan kemampuan secara sepasukan dan individu, mereka boleh meningkat memandangkan kami kehilangan sejumlah besar sumber bantuan gol dan jaringan.

“Jawapannya, sebagai sebuah pasukan, kami perlu mencari jalan untuk meneruskan cabaran kerana kelab bola sepak seperti Chelsea akan terus memberikan saingan.

“Eden Hazard, John Terry dan Didier Drogba merupakan pemain yang menunjukkan peningkatan dan kini tiba giliran untuk pemain (generasi) seterusnya dan ia turut bergantung kepada pengurus.

“Itulah cabaran besar yang kami hadapi sekarang. Kami perlu mengucapkan selamat berjaya kepada Eden Hazard manakala kami perlu meneruskan cabaran sebagai Chelsea.”

Sentuhan pertama bekas pemain tengah England itu tidak memberangsangkan apabila dibelasah 0-4 oleh Manchester United di Old Trafford, kelmarin.

Namun, bekas pengendali Derby County itu memiliki keyakinan terhadap pasukannya menjelang pertemuan dengan pemenang Liga Juara-Juara (UCL) itu di Istanbul, Turki, awal pagi esok.

“Saya optimis kerana saya menaruh kepercayaan kepada pemain dan saya percaya pada hakikatnya, kami di sini kerana kami sememangnya berhak,” katanya.

“Itulah pencapaian pemain dan kelab musim lalu, bukan saya. Tetapi saya bangga untuk menguruskan pasukan ini di sini.

“Saya faham kualiti yang dimiliki Liverpool. Mereka memang layak memenangi UCL. Mereka mempunyai pengurus (Jurgen Klopp) dan sekumpulan pemain yang hebat.

“Jadi, kami tahu ia akan menjadi ujian getir tetapi saya percaya kepada barisan pemain dan jika kami beraksi dengan prestasi maksimum, kami boleh memenangi perlawanan ini.”

Akhirnya! Wanita jadi pengadil final Piala Super UEFA 2019

SEJARAH tercipta pada pertembungan antara Liverpool dengan Chelsea di pentas final Piala Super UEFA awal pagi Khamis apabila ia akan diadili oleh seorang wanita.

Stephanie Frappart dipilih sebagai pengadil wanita pertama mengadili perlawanan besar UEFA melibatkan pemain lelaki, dan ia disambut dengan begitu baik oleh pengurus kedua-dua pasukan.

Jurgen Klopp percaya, akhirnya sudah tiba masa wanita mengadili perlawanan berprofil tinggi, memandangkan kaum Hawa sudahpun terlebih dahulu diketengahkan dalam bola sepak di Jerman.

“Saya ada banyak pengalaman dengan pengadil wanita di Jerman. Ia mengambil masa untuk dia (Frappart) dipilih – bukan daripada kelompok profesional (lembaga pengarah UEFA), tetapi lebih daripada para pengadil – untuk dia bersedia.

“Saya pasti, dengan segala emosi yang terlibat, kita akan permudahkan kerjanya. Saya akan pamerkan wajah terbaik saya, kalau tidak ibu saya mesti akan marah,” katanya.

Tambah Klopp yang gembira untuk menjadi sebahagian daripada sejarah baharu, berharap ia menjadi malam yang istimewa dan bukan yang pertama dan yang terakhir.

Frappart, 35, adalah pengadil kelahiran Perancis yang ditugaskan mengadili final Piala Dunia Wanita FIFA 2019 antara Amerika Syarikat dengan Belanda sebelum dilantik sebagai pengadil wanita pertama Ligue 1.
Sementara itu, Frank Lampard berkata sukan bola sepak telah mengorak pelbagai langkah bersejarah, mengambil contoh Piala Dunia Wanita yang semakin diikuti ramai, membuktikan wanita perlu lebih kerap dilibatkan dalam perlawanan besar.

“Kita lambat dalam banyak perkara berhubung hal ini dan kini mereka semakin mendapat perhatian.

“Kami amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada ini dan kita melakukan sesuatu yang besar dalam perkembangannya. Ia satu detik bersejarah dan selangkah lagi ke haluan yang benar,” ujar Lampard.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea yang kini menggalas tugas mengendali kelab London itu akan memimpin barisan muda berdepan juara Eropah, Liverpool yang kembali ke tanah keramat mereka, Istanbul di mana The Reds menjulang gelaran Liga Juara-Juara kelima pada 2005.

FAM sasar tiket separuh akhir untuk skuad wanita negara

PETALING JAYA: Skuad wanita negara disasarkan untuk merebut slot separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand, bermula 15 hingga 27 Ogos ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata walaupun skuad negara berdepan cabaran sengit daripada beberapa pasukan dalam Kumpulan A, beliau yakin skuad kendalian Jacob Joseph mampu melakar kejutan untuk ke separuh akhir.

“Penting untuk kita mempunyai keyakinan tinggi untuk melakar kejayaan, namun ingin saya ingatkan tiada jalan mudah untuk berjaya,” katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama skuad wanita negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hamidin menjelaskan, keputusan yang diraih skuad wanita negara menjadi kayu pengukur oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sama ada diletakkan dalam kategori A atau B ke Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini berkata keputusan sama ada skuad bola sepak wanita diletakkan dalam kategori A atau B ke Sukan SEA 2019 bergantung kepada keputusan pada kejohanan AFF itu.

Penyertaan dalam kategori A ditanggung sepenuhnya oleh MOM manakala persatuan sukan kebangsaan perlu mendahulukan wang perjalanan untuk kategori B. MOM akan membayar wang perjalanan berkenaan sekiranya atlet di bawah persatuan sukan berkenaan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara empat kali, Thailand selain Singapura, Filipina dan Timor Leste.

Juara dua kali, Vietnam dan Myanmar pula diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Kemboja.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Filipina pada 15 Ogos, Singapura (19 Ogos), Timor Leste (21 Ogos), sebelum melengkapkan pusingan awal menentang Thailand, pada 23 Ogos ini.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B mara ke peringkat separuh akhir.

Tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga di belakang Thailand, selaku juara kumpulan dan Australia di tangga kedua.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berkenaan adalah tempat keempat pada edisi 2007 setelah kalah 0-6 kepada Vietnam pada aksi penentuan ketiga/keempat.

KIP berjaya jalani surgeri jari di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 kebangsaan, Khairul Idham Pawi berjaya menjalani surgeri tangan kanannya di Hospital Universitari Dexeus di Barcelona, Sepanyol pada Selasa.

Surgeri selama dua jam itu bertujuan menstabilkan kecederaan pelumba Petronas Sprinta Racing itu di Spanish Grand Prix pada Mei.

ICATME Department of Traumatology, Dr Xavier Mir dan pasukannya melakukan surgeri itu dengan memasukkan skru pada tulang jari anak KIP yang disusun semula.

“KIP menjalani potongan kecil di jari anaknya tiga bulan lepas, dan kini keadaan sudah pulih,” Dr Mir disebut sebagai berkata dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pasukan Petronas Sprinta Racing.

“Kini, surgeri kedua membantu pembinaan semula tulang itu dengan memasukkan ‘phalange’ di tempatnya,” kata Dr Mir.

Sementara itu, Khairul Idham mengucapkan terima kasih kepada Dr Mir dan pasukannya kerana melakukan surgeri dengan jayanya, dan menambah beliau kini akan pulang ke tanah air untuk menjalani proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi.

MotoGP: Fabio, John naik podium

PELUMBA pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo berjaya menamatkan perlumbaan di podium buat kali ketiga musim ini, selepas menduduki tempat ketiga di Grand Prix (GP) Austria, pada Ahad.

Pelumba baharu berasal dari Perancis berusia 20 tahun ini mengutip 16 mata, selepas menamatkan perlumbaan 6.117 saat di belakang pemenang perlumbaan Andrea Doviziosodari Ducati, yang memenangi perlumbaan 28 pusingan itu di litar Red Bull dalam masa 39 minit 34.771 saat.

Juara dunia dan pendahulu kejuaraan, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda di tempat kedua selepas mencatatkan masa 39:34.984 saat.

Teman sepasukan Fabio, Franco Morbidelli dari Itali juga berjaya mendapat enam mata kejohanan selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, 20.510 saat di belakang Dovi.

Selepas menamatkan perlumbaan di Catalunya (Sepanyol) dan ketiga di Assen (Belanda), Fabio kini berkedudukan ketujuh keseluruhan dengan 92 mata, manakala Franco di tempat ke-12 dengan 58 mata.

Sementara itu, pelumba Moto3, pasukan Petronas Sprinta Racing, John McPhee naik podium kali kedua musim ini, selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 37:51.240 saat, selepas memenangi GP Perancis pada awal musim.

Pasukan VNE Sniper menguasai perlumbaan dengan berkedudukan dua tempat teratas dengan pelumba dari Itali Romano Fenati (37:50.135 saat) dan Tony Arbolino (+1.907 saat) menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.