Badak sedia kekang jentera serangan Jordan

SHAH ALAM: Ketiadaan pemain senior, Aidil Zaquan Abdul Radzak tidak memberi masalah kepada Shahrul Mohd Saad yang bersedia mengetuai barisan pertahanan skuad Harimau Malaya untuk mengekang jentera serangan Jordan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Kapten pasukan Perak itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Badak’ dalam kalangan rakan sepasukan, menegaskan beliau bersedia memberikan aksi terbaik walaupun ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim itu yang tidak disenaraikan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam senarai 27 pemain pada sesi latihan pusat kali ini.

“Aidil merupakan seorang pemain yang baik, dan saya harap pengalaman bersama Aidil sebelum ini dapat membantu saya dan rakan-rakan lain pada perlawanan menentang Jordan dan perlawanan pusingan kelayakan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum bermulanya sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, di sini, pada Rabu.

Berbeza pula dengan misi pemain tengah kebangsaan, Muhammad Hadin Azman yang bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama selepas dibelenggu kecederaan yang menyaksikan beliau digugurkan dari skuad negara.

“Saya agak terkejut juga mendapat panggilan daripada penolong jurulatih (M. Balachandran) tempoh hari bahawa saya terpilih pada kali ini.

“Mungkin disebabkan prestasi semasa saya bersama Felda United menyebabkan saya dipanggil bersama skuad kebangsaan pada kali ini,” jelas kapten Felda United itu.

Pada masa yang sama, Muhammad Hadin bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam usaha membantu skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Untuk rekod, kali terakhir pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 pada Mac lepas yang menyaksikan Malaysia menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Afghanistan 2-1 pada penentuan ketiga/keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aksi pemanas badan menentang Jordan merupakan persediaan skuad Harimau Malaya sebelum berhadapan dengan Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 Sept ini.

Azizulhasni bawa Bahasa Malaysia ke Melbourne

KUALA LUMPUR: Menerapkan unsur kemerdekaan dalam diri anak muda bukan satu perkara mudah memandangkan generasi kini sering dipengaruhi dengan budaya barat terutama bagi mereka yang dibesarkan di luar Malaysia.

Tidak ketinggalan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berusaha memupuk nilai-nilai ketimuran dalam diri anak-anaknya yang kini menetap di Melbourne, Australia.

Seiring dengan 62 tahun sambutan kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi, Azizulhasni turut berkongsi cerita pahit manis serta kesukaran memberi didikan dan memupuk semangat sayangkan Malaysia dalam diri dua puterinya.

Meskipun telah merantau di negara orang hampir 12 tahun atas tuntutan kerjaya namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu mengakui ia bukan penghalang buat dirinya dan isteri Athiah Ilyana Abd Samat untuk memastikan Amna Mariyam, 7 dan Amna Khadeeja, 4 tidak melupakan asal usul mereka yang berasal dari Malaysia.

“Saya di rumah memang akan sentiasa bercakap dalam Bahasa Malaysia dengan mereka sebab kami duduk di Australia sudah lama, anak-anak semua sekolah di sana. Jadi, kami suami isteri akan cuba untuk terapkan nilai-nilai Malaysia dalam diri mereka agar tidak lupa asal usul walaupun berada di perantauan.

“Saya juga selalu ajar mereka tentang geografi dan sejarah Malaysia, buat aktiviti mewarna bendera dan tampal di dinding rumah. Saya tunjuk iklan atau cerita berkisar tentang kemerdekaan untuk beri mereka lebih kefahaman walaupun mereka masih kecil,” katanya kepada Bernama.

Azizulhasni sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang sains sukan di Victoria University di Melbourne dan beliau atlet bukan warganegara Australia pertama menerima Blue Award daripada universiti itu pada 2015.

Isterinya, Athiah Ilyana pula merupakan lulusan Deakin, Geelong University dalam bidang seni bina, merupakan suri rumah, menemani Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne sejak 2007.

Menceritakan detik paling bermakna buat dirinya selaku atlet kebangsaan, bekas juara dunia keirin itu berbangga apabila mampu menghadiahkan kejayaan meraih pingat emas acara pecut individu bersempena Hari Kebangsaan yang ke-61 di Sukan Asia, Jakarta-Palembang tahun lalu.

Beliau yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu mengakui sukan menjadi medium terbaik dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau sendiri gemar bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan kaum dan agama, seperti kehidupan yang diamalkan di negara ini sejak sekian lamanya.

“Atlet kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, jadi saya memang suka duduk satu meja dengan mereka semua namun ada sesetengah atlet duduk mengikut kaum atau sukan tertentu, tapi saya tidak. Saya akan pergi ke meja atlet lain untuk mewujudkan suasana sukan yang lebih harmoni,” katanya.

Atlet berasal dari Dungun, Terengganu itu berharap seluruh rakyat Malaysia mampu mengekalkan konsep hidup aman damai dan bersatu padu seperti yang telah diamalkan sejak bertahun lamanya agar keharmonian sejagat dapat dicapai tanpa perlu ada perbalahan kaum.

“Sebenarnya tiada sebab untuk kita berpecah belah. Kita duduk dalam satu negara, pelbagai kaum dan bangsa jadi kita kena hidup saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Jangan disebabkan ada sesetengah individu yang mencucuh api cakap itu ini (isu perkauman), kita senang sahaja ikut.

“Kita perlu tahu hala tuju hidup dan negara kita kerana Malaysia memang dari dulu hidup tiada masalah. Saya masih ingat datuk saya cerita, dulu satu kampung ada Melayu, Cina dan India semua boleh duduk sekali minum di kedai kopi. Malah, saya sendiri pernah dijaga oleh keluarga Cina sewaktu kecil apabila ibu dan opah saya meniaga di kedai makan dulu,” katanya menutup bicara.

MFL bantu selesaikan tunggakan gaji KAFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini boleh menarik nafas lega apabila sebahagian bebanan tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih terdahulu telah dilangsaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melalui pemotongan hak penyiaran pada musim 2019.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata sebanyak RM500,000 yang diterima daripada MFL pada 15 Julai lalu telah digunakan untuk membayar hutang dan pihaknya menanti pembayaran bagi fasa kedua hak penyiaran.

Melalui kenyataan media oleh MFL, Wan Abdul Rahim berkata baki tunggakan selebihnya akan dibayar oleh MQ Technology Berhad berdasarkan pakej kewangan yang telah dipersetujui bersama dengan KAFA.

“Sebahagian daripada isu ini sudah ada cara penyelesaian dan ia akan dikemukakan oleh FAM pada pertengahan September nanti bagi permohonan pelesenan kelab.

“KAFA mahu ucapkan terima kasih kepada MFL yang sanggup membantu KAFA memandangkan banyak kes tunggakan gaji ini sudah libatkan FIFA dan sudah tidak ada peluang lagi bagi kami untuk membuat sebarang rayuan, ” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, satu pertemuan antara KAFA dan MFL telah diadakan bagi membincangkan isu membabitkan pelesenan kelab di mana mulai tahun hadapan semua pasukan dari Liga Premier diwajibkan mempunyai pelesenan kelab walaupun tidak seketat pasukan yang bersaing di Liga Super.

Kelantan yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji dilihat perlu segera menyelesaikan perkara berkenaan jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab terutama pada aspek pengurusan kewangan.

“Perjumpaan dengan MFL juga turut membabitkan wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pandangan yang mendalam mengenai pelesenan kelab memandangkan kami baharu sahaja mengambil alih KAFA.

“Kami mempunyai susunan pakej bagi selamatkan bola sepak Kelantan dan bertuah kerana adanya perjanjian persefahaman (MoU) dengan MQ Techology, untuk memastikan faktor kewangan Kelantan berjalan lancar pada musim akan datang,” katanya.

MMA: Agilan bakal beraksi dalam acara ONE di Tokyo Oktober ini

ATLET seni bela diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani sah akan beraksi dalam acara ONE: Century di Tokyo, Jepun pada Oktober nanti.

Agilan, 23 tahun bakal bertemu dengan petarung berpengalaman dari Jepun, Yushin Okami.

Untuk rekod, ONE: Century merupakan acara yang ke-100 dianjurkan oleh ONE Championship, selaku organisasi seni bela diri terbesar di Asia.

Bergelar ‘Alligator’, Agilan merupakan antara atlet MMA yang terbaik pernah dihasilkan oleh Malaysia.

Bekas juara Malaysian Invasion musim ke-2 (MIMMA 2) itu pernah mencabar jaguh Amerika Syarikat Ben Askren untuk gelaran juara dunia welterweight ONE.

Kali terakhir dia bertarung ialah dengan Yoshihiro Akiyama dari Jepun di acara ONE: Legendary Quest di Shanghai, China pada Jun lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Agilan menang menerusi keputusan sebulat suara.

Agilan melalui sesi latihannya di Monarchy MMA di bawah bimbingan jurulatih dari Belgium, Samir Mrabet dan juga jurulatih jiu-jitsu dari Brazil, Bruninho Barbosa.

Selain itu, dia juga sering berulang-alik ke Amerika untuk mengasah skilnya di gim terkemuka dunia, Team Quest dan di Bali MMA, di Indonesia.

Agilan kini memegang rekod MMA dengan 10 kemenangan dan tiga kekalahan.

Selain pertarungan Agilan dengan Okami, acara tersebut turut menyaksikan pertarungan kejuaraan MMA atomweight wanita di antara Angela Lee dan Xiong Jing Nan.

Dua lagi pertarungan kejuaraan MMA turut diadakan iaitu kejuaraan light heavyweight di antara Aung La N Sang dan Brandon Vera, dan kejuaraan bantamweight di antara Bibiano Fernandes dan Kevin Belingon.

Sementara itu, bagi dua bintang MMA dunia Demetrious Johnson dan Eddie Alvarez pula, masing-masing akan beraksi dalam acara final Grand Prix Flyweight Dunia dan Grand Prix Lightweight Dunia.

Acara final Grand Prix Kickboxing Featherweight pula bakal menyaksikan pertembungan Giorgio Petrosyan dengan Samy Sana.

Red Devils tewas disambar helang

MANCHESTER UNITED 1-2 CRYSTAL PALACE

CRYSTAL PALACE mengejutkan Manchester United di kubu kuat pasukan the Red Devils itu dengan kemenangan 2-1 di Old Trafford pada Sabtu.

Jaringan pertahanan Palace, Patrick van Aanholt, pada minit ketiga masa kecederaan memastikan the Eagles membawa pulang tiga mata berharga pulang ke London.

Perlawanan itu turut menyaksikan Marcus Rashford gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-70.

Di sebalik penguasaan permainan United pada babak pertama, Palace mendahului perlawanan menerusi Jordan Ayew pada minit ke-32, selepas menerima hantaran yang ditanduk Jeffrey Schlupp.

United mendapat penalti selepas Scott McTominay dijatuhkan dalam kotak penalti, namun Rashford tendangannya terkena tiang.

Ini merupakan penalti kedua berturut-turut dimenangi United, namun gagal dimanfaatkan selepas Paul Pogba gagal menyempurnakan penalti menentang Wolverhampton pada Isnin.

Akibat kegagalan itu, United seri 1-1 dengan Wolves, namun lebih malang kali ini, the Reds Devils tumbang di halaman sendiri.

Pemain baru the Red Devils, Daniel James berjaya menjaringkan gol penyamaan seminit sebelum masa sebenar permainan tamat.

Namun hasrat United untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata dihampakan Van Aanholt, yang meledak gol kemenangan pada minit ke-93.

Azizulhasni tidak tertekan gagal raih emas acara keirin

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mengakui tidak terkesan dengan kekalahannya kepada pelumba Taiwan, Kang Shih Feng dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional, di sini, pada Jumaat.

Malah bekas juara dunia itu akur dengan pingat perak yang diraihnya dan menjelaskan perlumbaan pada Jumaat adalah sebagai sebahagian daripada latihan serta persiapan sebelum ke Piala Dunia.

“Bagi saya tiada apa (kerisauan) sebab semalam (Khamis) acara pecut untuk mengumpul mata ke Piala Dunia. Jadi sebab itu saya datang untuk keirin hari ini sebagai persediaan dan juga latihan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Azizulhasni atau lebih mesra dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ bagaimanapun tetap mengakui pusingan akhir itu berlangsung sengit dan terpaksa akur apabila pelumba Taiwan itu mampu mencuri peluang.

“Saya ingat tiada orang di belakang saya sampai separuh pusingan, baru saya dapat rasa ada orang hendak potong. Saya ingat itu rakan sepasukan Shariz Efendi, tapi bila orang itu sudah di sebelah dan saya intai tengok, dia pelumba dari Taiwan.

“Saya sudah tidak sempat hendak kejar kelajuannya sehingga dia boleh memintas saya dan akhirnya saya di tempat kedua,” katanya.

Dalam kategori wanita pula menyaksikan pelumba muda meningkat naik, Anis Amira Rosidi menyumbang pingat perak manakala nasib tidak menyebelahi pelumba senior Fatehah Mustapa yang gagal menempatkan diri ke pusingan akhir dan sekadar menduduki tempat kelapan.

Pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri berjaya meraih emas di acara utamanya itu, manakala tempat ketiga disandang Yeung Cho Yiu dari Hong Kong.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley, berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya di kejohanan berkenaan.

“Saya gembira dengan Azizulhasni, Muhammad Fadhil dan Mohamad Shariz Efendi kerana layak ke final. Kami mahu menang tetapi hari ini bukan harinya,” katanya.

Mari boikot media sosial – Neville

PENGURUS skuad wanita kebangsaan England, Phil Neville, menyeru seluruh komuniti bola sepak supaya memboikot media sosial selepas pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menjadi mangsa berprofil tinggi terbaru berdepan serangan perkauman.

Pogba menjadi sasaran perkauman selepas sepakan penaltinya diselamatkan ketika The Red Devils terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Wolverhampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Penyerang Chelsea, Tammy Abraham, dan pemain Reading, Yakou Meite, turut menerima layanan yang sama sejak beberapa minggu lalu susulan gagal menyempurnakan sepakan penalti.

United telah mengeluarkan kenyataan dengan melabel cemuhan ke arah Pogba sebagai “menjijikkan” dan menasihatkan syarikat media sosial berkenaan mengambil tindakan sementara mereka juga berusaha untuk mengenal pasti pelaku dalam hal itu.

Bagaimanapun, Neville tidak melihat impak yang boleh dilakukan oleh Twitter dan Instagram, sebaliknya menggesa setiap individu yang tergolong dalam komuniti bola sepak bersatu membanteras masalah itu.

“Saya sudah hilang kepercayaan kepada sesiapa saja yang mengendalikan media sosial, jadi ayuh kita menghantar mesej yang berkuasa, keluar daripada media sosial selama enam bulan.

“Ayuh kita lihat apa kesannya terhadap syarikat media sosial ini,” katanya.

Pertahanan United dan rakan sepasukan Pogba, Harry Maguire, menyeru setiap akaun media sosial harus mendapatkan pengesahan dan Neville bersetuju dengan pendekatan itu.

“Maguire berkata sebelum ini bahawa akauan media sosial harus mendapatkan pengesahan, memberikan butiran yang lengkap untuk dikenal pasti supaya mengelak perkara-perkara sebegini berulang,” ujarnya.

Kecaman terhadap Pogba, Twitter bakal jumpa Man U

Wakil Twitter bersetuju untuk berjumpa dengan Manchester United dan badan anti-diskriminasi Britain,  Kick It Out, dalam usaha rangkaian media sosial itu menyekat lebih banyak kecaman berbaur perkauman.

Menurut laporan agensi media asing, Pegawai Eksekutif United bersedia bertemu dengan Twitter selepas pemain tengah dari Perancis, Paul Pogba, menjadi mangsa kecaman susulan kegagalan menjaringkan penalti ketika seri 1-1 dengan Wolverhampton, awal pagi Selasa.

Rakan sepasukan, Harry Maguire turut menggesa Twitter dan Instagram supaya mengambil langkah proaktif dalam menyekat kecaman sedemikian.

Turut mengulas, Pengurus Pasukan Bola Sepak Wanita England, Phil Neville, yang berkata, pemain bola sepak patut memboikot media sosial.

Pogba menjadi pemain bola sepak ketiga menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman dalam tempoh seminggu kerana mensia siakan sepakan penalti.

Sebelum ini nasib sama menimpa penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pemain Pasukan Divisyen Dua, Yakou Meite dari Reading.

Menurut satu kajian oleh Kick It Out, ia menerima sejumlah 159 laporan berhubung diskriminasi melalui media sosial pada perlawanan musim lalu.

Kejohanan Berbasikal Para: Malaysia raih tiga emas

SKUAD negara mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan menuai sebanyak mungkin pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Para Malaysia 2019 sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN 2020, Januari depan.

Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Para Malaysia 2019 membuka tirai hari ini dengan skuad negara menurunkan barisan terbaik untuk mengutip jumlah maksimum emas.

Selain menjadi medan persiapan bagi menghadapi Sukan Para ASEAN 2020, kejohanan itu berupaya membantu atlet kebangsaan dalam usaha mendapatkan mata kelayakan ke Sukan Paralimpik 2020.

Setakat ini, Malaysia sudah meraih tiga emas menerusi Najib Turano bagi acara C4 lelaki dengan catatan 28 minit 37.204 saat manakala Yusof Hafizi Shaharuddin mengungguli saingan C1 lelaki dengan masa 19:35.011s.

Emas ketiga pula diraih menerusi Nur Faizah Aziz bagi acara C3 wanita selepas mencatat masa 29:11.804s.

WCT KIDSS 2019 pupuk semangat kesukanan bagi anak muda

PETALING JAYA: Selain mengisi masa yang terluang pada cuti sekolah, program WCT KIDSS 2019, anjuran WCT Holdings Berhad mengumpulkan 40 kanak-kanak untuk mencungkil bakat dalam sukan bola keranjang.

Program berkonsep klinik sukan bola keranjang itu dilihat sebagai satu inisiatif dalam memupuk semangat kesukanan dan mencungkil bakat terpendam dalam diri kanak kanak.

Selepas empat hari sesi latihan bersama jurulatih professional, program yang disertai kanak-kanak berusia antara 9 hingga 12 tahun ini juga membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal pasti hobi dan minat baharu.

Kanak-kanak ini melalui program latihan selama empat hari dan satu hari perlawanan persahabatan 3 lawan 3 dibawah bimbingan jurulatih professional negara daripada All Star Basketball Academy.

Menurut Pengarah Korporat Strategi WCT Holdings Berhad, Ng Chee Kiet, aktiviti seperti ini dapat memberi pengalaman kepada peserta yang mungkin sebelum ini belum mencuba sukan bola keranjang.

“Kita telah memulakan sesi latihan sejak Rabu dan jurulatih dari All Star Basketball Academy telah melakukan tugas yang baik, kanak-kanak ini sungguh gembira.

“Mereka telah mempelajari beberapa asas untuk bermain bola keranjang dan hari ini dapat dilihatkan bahawa golongan kanak-kanak ini sememangnya berseronok,” katanya.

Ini merupakan program edisi kelima WCT Holdings Berhad yang telah menganjurkan banyak liga sebelum ini dan ini adalah kali pertama dianjurkan di dalam pusat membeli-belah.

Dalam masa sama, pihaknya berharap dapat melakukan aktiviti seperti ini lagi dalam masa akan datang.

Chee Kiet juga menekankan bahawa sukan adalah satu langkah berkesan untuk mendekatkan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini disertai oleh 30 atlet muda bola keranjang yang menetap di komuniti setempat dan 10 kanak-kanak daripada Yayasan Sunbeams Home.

Kanak-kanak ini telah melalui program latihan selama empat hari dan satu hari perlawanan persahabatan 3 lawan 3 di bawah bimbingan jurulatih yang layak dan terkenal dalam negara daripada All Star Basketball Academy.