Azizul pejuang sejati – Beasley

Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley menganggap anak buahnya, Azizulhasni Awang seorang pejuang sejati dalam sukan berkenaan selepas menempuh pelbagai dugaan sebelum sampai pada tahap sekarang.

Beasley melalui status di laman sosial, Facebook mengakui itulah lumrah kehidupan atlet elit ketika mengimbau kembali detik Azizulhasni mengalami kecederaan mengerikan apabila betisnya tertusuk serpihan kayu trek di Siri Piala Dunia Klasik pada 2011 di Manchester.

“Dia (Azizulhasni) adalah pejuang dalam sukan kami. Satu ketika berada di puncak dunia dan pernah tergelincir ke bawah,” kata Beasley yang bukan saja menjadi jurulatih tapi sebagai bapa angkat Azizulhasni di Melbourne.

Beasley juga mengakui ketika kejadian berkenaan dia langsung tidak memikirkan apa yang berlaku itu mencuit hati.

“Saya tidak rasa untuk ketawa ketika itu, tapi jika melihat semula video berkenaan sekarang ia sangat kelakar. Saat kami berdua menaiki ambulans selepas kejadian juga saya tidak akan lupakan dan selepas saya tidak lagi melatih, semua ini akan dibukukan,” kata Beasley.

Dalam Arena Metro hari ini, Azizulhasni mendedahkan betapa dia sanggup berbohong demi mahu menamatkan perlumbaan ketika insiden itu.

Dia yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman berkata, beberapa saat selepas terjatuh, dia gagahkan diri untuk membuka mata dan mahu meneruskan perlumbaan.

Jelas Azizul, Beasley seolah-olah tidak percaya memandangkan keadaannya ketika itu amat teruk dengan pakaian yang koyak rabak, helmet retak dan visor pecah.

Mourinho dapat RM196 juta jika dipecat

London: Tottenham perlu membayar Jose Mourinho hampir £35 juta (RM196 juta) jika mahu memecat dia sekarang.

Pengurus dari Portugal itu mempunyai baki kontrak dua tahun empat bulan yang menyaksikan dia meraih £15 juta (RM84 juta) setahun.

Menurut The Athletic, kontrak pengendali itu yang berakhir pada musim panas 2023 tidak mempunyai pilihan keluar bagi kedua-dua pihak.

Ini bermakna pengerusi Spurs, Daniel Levy perlu membayar baki kontrak jika dia mahu menamatkan tugas Mourinho walaupun tiada perancangan ke arah itu buat masa sekarang.

Jurulatih berusia 58 tahun itu mengikat kontrak tiga setengah tahun bagi menggantikan Mauricio Pochettino yang sama nilainya ketika dia mengendalikan Manchester United.

Mourinho turut mendapat sokongan ketika jendela perpindahan dan diberi kepercayaan untuk mengubah nasib Tottenham.

Tetapi menduduki tangga kesembilan dalam carta Liga Perdana serta prestasi tak konsisten mencetuskan persoalan mengenai tempoh perkhidmatannya di kelab.

Spurs tewas empat daripada lima aksi terakhir Liga Perdana dengan yang terkini dibelasah 3-0 oleh pendahulu Manchester City selain tersingkir daripada Piala FA di tangan Everton.

MailOnline melaporkan kedudukannya sebagai pengurus kini dalam bahaya dan prestasi Spurs mendapat perhatian serius pengurusan kelab.

Tetapi sebarang perubahan hanya boleh berlaku pada penghujung musim tetapi masih memerlukan Spurs mengeluarkan £30 juta (RM168 juta).

Pemain hoki sedia patuhi SOP

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti akhirnya pemain dan jurulatih hoki menghela nafas lega apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bakal bermula dari 11 Mac sehingga 3 April depan.

Peraturan ketat konsep gelembung sukan untuk saingan MHL bukan menjadi masalah buat mereka dan rata-rata yakin mampu mematuhi perkara yang sudah ditetapkan itu asalkan ‘industri hoki’ tidak berlalu sepi begitu saja tahun ini.

Menurut jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Megat Azrafiq Termizi, beliau berasa puas hati dan sangat lega dengan pengumuman dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh semalam.

“Dapat beraksi bulan depan satu berita yang menggembirakan, walaupun kami sudah melakukan persiapan sejak awal tahun ini. Kalau ‘berehat’ terlalu lama juga memang tidak seronok, dapat beraksi bulan depan bagi saya masih relevan tatkala persiapan masih berjalan dengan sempurna.

“Mengenai prosedur operasi standard (SOP), kalau kita tengok itu yang sudah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jadi saya rasa pemain pun sudah sedia maklum dan mereka mampu untuk menyesuaikan diri walaupun ada kekangan,” katanya.

Ditanya mengenai pemain yang melanggar peraturan gelembung sukan ditetapkan MHC akan terus disenarai hitam sekali gus tidak boleh menyertai MHL, bekas pemain kebangsaan itu yakin semua pemain sudah cukup matang untuk memahami situasi berkenaan.

“Mereka perlu tahu akan impak jika melakukan perkara berkenaan, walaupun saingan MHL kali ini berbeza saya rasa tiada isu selain memikirkan ke arah kebaikan bersama,” katanya. Sementara itu, penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari, berasa tidak sabar dan teruja apabila MHL mendapat lampu hijau walaupun ia sepatutnya dilangsungkan Januari lalu.

“Saya rasa buat masa sekarang inilah yang terbaik (walaupun perlu berdepan SOP) sebagai pemain kita perlu mematuhinya. Tidak ada masalah buat pemain ikut setiap peraturan ditetapkan, kita perlu jaga kita, demi kebaikan sukan hoki ini sendiri.

“Selepas berlatih secara individu, minggu depan kami akan berlatih bersama-sama di Kuala Lumpur untuk menerapkan semangat berpasukan. Jadi walaupun sudah lama ditangguhkan saya rasa sasaran meraih satu trofi musim ini tidak mustahil dicapai,” katanya.

Kira-kira 600 pemain dan pegawai akan berkumpul di satu lokasi serta diwajibkan melakukan ujian calitan.

Sebaik saja memasuki konsep gelembung sukan bermula 10 Mac, semua mereka berada di bawah tanggungjawab dan tanggungan MHC.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

Liverpool lelong koleksi Melwood

London: Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool kini bersiap sedia melelong sejumlah barangan yang diambil daripada pusat latihan terkenal mereka sebelum ini di Melwood sekali gus memberi peluang kepada peminat memiliki sebahagian daripada koleksi bernilai itu.

Jurgen Klopp dan pemainnya berpindah ke pusat latihan baharu di Kirkby pada November lalu dengan meninggalkan beberapa barangan seperti perabot dan peralatan di pusat latihan mereka.

Lebih daripada 360 barang akan dilelong termasuk yang berharga ribuan pound sehinggalah cenderamata kecil yang anda tidak dapat lihat dijual di kedai setiap hari.

Acara lelong yang akan diadakan pada 2 Mac itu bertujuan mendapatkan dana untuk LFC Foundation bagi membantu masyarakat setempat khususnya ketika pandemik Covid-19.

Antara barangan yang dijual seperti:

‘Champions Wall’

Dengan anggaran harga jualan antara £7,500 (RM42,000) ke £15,000 (RM84,190) ‘Champions Wall’ adalah harta paling mahal yang bakal menjadi tumpuan. Ia tergantung di sebelah meja penyambut tetamu di Melwood sebagai tanda ingatan kepada pelawat mengenai kejayaan Liverpool. Peminat tegar sudah pasti tak kisah melaburkan sejumlah besar wang untuk memilikinya.

Papan tanda Melwood

Barangan kedua mahal dalam senarai ialah papan tanda ‘Melwood Training Facility’ yang terletak di luar bekas ibu pejabat Reds dengan harga jualan antara £5,000 (RM28,000) hingga £10,000 (RM56,000).

Meja sidang akhbar

Sesuai untuk penyokong Liverpool yang mahu mengadakan ‘sidang media’ sendiri di dalam rumah mereka dengan anggaran harga antara £1,000 (RM5,612) ke £2,000 (RM11,225).

SOFA milik Klopp. FOTO Agensi
SOFA milik Klopp. FOTO Agensi

Sofa Klopp

Sofa kulit dengan bantal kusyen warna merah pada asalnya terletak dalam pejabat Klopp.

Pintu almari Klopp

Satu lagi barang milik Klopp yang peminat boleh miliki ialah pintu almari berwarna merah yang sebelum ini digunakan pengendali Liverpool itu untuk menyimpan barangan peribadi seperti jaket kegemarannya dan cermin mata ketika masa bekerja.

Selain itu terdapat barang-barang lain yang sedia dilelong seperti peta besar UK, papan dart, sarung tangan tinju ditandatangani Mike Tyson dan meja ping pong.

MEJA sidang akhbar Liverpool.
MEJA sidang akhbar Liverpool.

‘Followers’ CR7 cecah 500 juta

London: Cristiano Ronaldo mencatat satu lagi rekod apabila muncul atlet sukan pertama mempunyai setengah bilion pengikut atau ‘followers’ di media sosial dan Juventus sudah pasti mahu memanfaatkan situasi ini ketika mengadakan rundingan lanjutan kontrak dengan bintang Portugal itu demi membantu kelab menerusi pemasaran.

Dia mempunyai 261 juta pengikut di Instagram dan salah seorang yang paling ramai ‘diikuti’ di dunia. Di Facebook, hantarannya mempunyai 125 juta tanda like dan 147 juta pengikut manakala di Twitter, terdapat 91 juta pengikut.

Malah di YouTube, pengikutnya melebihi sejuta orang.

Teman wanitanya, Georgina turut mempunyai peminat yang ramai dengan 24 juta pengikut, dia salah satu akaun online yang paling laju berkembang.

Pendapatan keseluruhan Ronaldo menerusi penajaan lebih tinggi daripada pendapatan atlet profesional dan kepentingannya dapat dilihat pada setiap sektor perkhidmatan dan penjagaan diri seperti tiga pusat penanaman rambut yang besar dimilikinya di Portugal dan Sepanyol.

Juventus pula berunding dengan ejen Ronaldo, Jorge Mendes untuk memujuk Ronaldo menyambung kontrak 12 bulan lagi.

Kontraknya sekarang berakhir Jun 2022 dan gergasi Itali itu sedia membayar gaji lebih tinggi untuk mengekalkannya.

Jumlah pengikut CR7 di media sosial:

Instagram: 261 juta

Facebook: 147 juta

Twitter: 91 juta

YouTube: 1.7 juta

Messi bayar cukai RM1.81 bilion

Barcelona: Lionel Messi didedahkan sebagai pembayar cukai terbesar di Sepanyol sejak empat tahun lalu.

Superstar Barcelona itu membayar sejumlah £324 juta (RM1.81 bilion)sepanjang tempoh itu seperti yang tertera dalam kontraknya yang bocor ke pengetahuan umum.

Messi mengikat kontrak terakhirnya di Nou Camp pada November 2017 yang tamat penghujung musim ini.

Tetapi dengan kontrak lumayan sehingga £492j (RM2.75b) yang juga kontrak terbesar dalam sejarah sukan bermakna bintang Argentina itu perlu turut membayar cukai pendapatan yang tinggi berdasarkan gajinya.

Menurut laporan El Periodico, Messi adalah penyumbang terbesar individu kepada perbendaharaan Sepanyol malah jumlah dibayarnya melebihi banyak syarikat besar.

Daripada pendapatan tahunan £121j (RM676j), £58j (RM324j) difahamkan untuk cukai – hanya kurang 50 peratus. Messi turut meraih bonus sampingan yang lumayan seperti yuran baharui kontrak £120j (RM670j) yang hanya dia perlu menurunkan tandatangan ringkas dan £69j (RM385j) lagi bonus kesetiaan apabila kekal di Barca.

Cukai pendapatan Messi menyamai purata sumbangan 120,000 penduduk Sepanyol yang digabungkan dan dia turut membayar cukai kekayaannya yang lain seperti hasil periklanan dan bisnes lain.

Messi dilaporkan mahu menyaman Barcelona susulan kebocoran dokumen 30 muka surat yang diperolehi akhbar El Mundo tetapi kelab dan bekas presidennya menafikan terbabit dengan pembocoran itu.

Peluang masih terbentang luas

Kuala Lumpur: Segala-galanya bukanlah sudah berakhir bagi lima pemain yang digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin, sebaliknya peluang masih luas di dunia luar.

Demikian pandangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem yang menganggap kelima-lima pemain itu masih mempunyai potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa meskipun jika memilih bergerak secara profesional.

Lima pemain yang dimaksudkan itu ialah perseorangan wanita, Soniia Cheah; tiga pemain beregu campuran, Goh Soon Huat, Shevon Lai Jemie, Lai Pei Jing dan beregu wanita, Vivian Hoo.

V Shem yang sudah memulakan langkah itu bersama gandingannya, Tan Wee Kiong bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan kehidupan seorang pemain yang bernaung di bawah BAM dengan berstatus profesional.

“Contohnya sebagai pemain profesional, semua perkara perlu dilakukan sendiri seperti menempah tiket penerbangan dan hotel. Tapi saya percaya mereka semua boleh menyesuaikan diri dengan situasi ini.

“Soal menjalani latihan pula saya rasa tidak ada masalah kerana ramai pemain yang sudah bergerak secara profesional. Kemudian kami semua berlatih bersama-sama,” katanya yang bergerak secara profesional sejak awal 2019.

V Shem yang kini menduduki ranking ke-11 dunia bersama Wee Kiong berkata, jika kelima-lima pemain itu memilih menjadi pemain profesional, ia akan meningkatkan lagi kualiti rakan sepelatih buat kelompok pemain bebas.

“Kami boleh saling membantu antara satu sama lain. Ini juga akan memberikan kami lebih ramai rakan sepelatih dan ia sesuatu yang positif untuk kami sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan,” katanya.

Stadium Shah Alam dah lama ‘sakit’

Kuala Lumpur: Kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam bukan hanya membabitkan masalah bumbung, malah sistem pendawaian dan lampu.

Berikutan itu, stadium keramat skuad Merah Kuning sejak tahun 1994 yang juga adalah aset kerajaan negeri itu sedang melalui proses pembaikan sepenuhnya.

Oleh itu, Selangor FC terpaksa memilih Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk tempoh dua hingga tiga tahun mulai musim ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pihaknya sudah lama memohon Stadium MBPJ untuk dijadikan gelanggang baharu pasukan.

Malah, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sudah dimaklumkan dan beliau percaya ‘rumah baharu’ Red Giants itu amat sesuai untuk digunakan oleh pasukan itu musim ini.

“Masalah Stadium Shah Alam yang utamanya pasal bumbung, tetapi ada juga masalah sistem pendawaian dan juga lampu. Sebelum ini masalah itu memang dah wujud, tapi kos operasi cukup tinggi…nak kena sewa generator dan ditambah ketiadaan penyokong, jadi ia memang tak sesuai untuk main di Stadium Shah Alam buat masa sekarang.

“Kita dah lama mohon untuk guna Stadium MBPJ dan sudah dimaklumkan kepada MFL dan pihak MBPJ. Insya-Allah kita akan main di sana dan tak masalah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini pada 9 Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan kos baik pulih Stadium Shah Alam membabitkan penggantian bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan adalah RM250 juta.

Pada tahun 2013 dan 2014, Stadium Shah Alam pernah ditutup lebih sembilan bulan untuk kerja baik pulih yang membabitkan kos sekitar RM140 juta.

Untuk rekod, sejak musim lalu Selangor FC terpaksa menyewa stadium luar selepas MFL tidak meluluskan permohonan Red Giants untuk beraksi di Stadium Shah Alam, dan kemudiannya memilih Stadium Mini UiTM sebagai gelanggang rasmi pasukan.

Pogba cuti sakit, United perit

London: Paul Pogba tidak dapat beraksi beberapa minggu selepas berdepan kecederaan paha ketika Manchester United seri 3-3 menentang Everton, menurut Ole Gunnar Solskjaer hari ini.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada akhir babak pertama semalam, hanya beberapa hari selepas dipilih pemain terbaik kelab bulan Januari.

Kehilangan Pogba bakal menyukarkan misi United yang mahu bersaing dengan pendahulu Liga Perdana, Manchester City selain mengharungi Piala FA dan Liga Europa selepas ini.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu kembali berada di kemuncak prestasi tetapi Solskjaer berkata dia tidak mahu menanggung sebarang risiko.

“Kecederaan itu memerlukan beberapa minggu untuk pulih,” katanya kepada MUTV.

“Dia baru sahaja memulakan proses pemulihan, bekerjasama dengan petugas perubatan dan kami berharap dia kembali secepat yang boleh.

“Sudah tentu, Paul pemain sangat penting kepada kami tetapi kami tidak mahu tanggung risiko, jadi sudah tentu beberapa minggu.”

Perlawanan pertama United tanpa Pogba ialah aksi pusingan kelima Piala FA menentang West Ham pada awal pagi Rabu ini.

Harrif teroka bisnes guna wang i-Lestari

Kuala Terengganu: Pelumba basikal negara, Harrif Saleh memanfaatkan wang pengeluaran akaun i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneroka perniagaan baharu dengan menghasilkan produk mencuci rantai basikal dan motosikal yang semakin mendapat permintaan ramai.

Harrif, 32, yang terkenal dengan gelaran Raja Pecut acara lebuh raya itu berkata inisiatif untuk memperoleh pendapatan tambahan itu tercetus susulan pandemik Covid-19 selepas pendapatannya terjejas serta minat orang ramai terhadap sukan berbasikal.

“Apabila kerajaan benarkan pengeluaran wang KWSP pada Mei tahun lepas, saya kumpul sebab pengeluaran secara berperingkat iaitu bermula RM500 dan cukup sahaja RM2,000 saya mula cari idea, dapatkan nasihat beberapa rakan dan akhirnya lahirlah dua produk saya sendiri untuk mencuci rantai basikal/motosikal serta syampu jenama HS Sprint ini,” katanya.

HS Sprint yang dilancarkan bulan lepas, menyasarkan 100 botol jualan pada awalnya, namun jumlahnya terus meningkat mencecah 1,000 botol dalam masa sebulan berikutan permintaan yang tinggi.

Katanya produk itu yang mampu mencuci kotoran degil seperti minyak dan karat, dijual pada harga RM33 bagi setiap 500ml manakala produk syampu berharga RM15 sebotol (500ml).

“Sejak kecil, basikal adalah ‘kawan’ rapat saya…bukan sahaja berkayuh tetapi juga memahami masalah tiub, tayar hinggalah rantai basikal.Sebab itu saya pilih bidang ini, rugi jika tidak dimanfaatkan. Sebelum ini saya buka restoran, jual stokin serta jersi, tetapi kali ini mahu lebih serius.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga, rakan dan peminat memberi sokongan serta impak promosi dalam talian banyak membantu. Mungkin juga mereka memahami kemahiran saya dalam dunia basikal,” katanya yang merupakan kapten baharu pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).

Harrif berkata produknya kini dipasarkan di Kuantan dan Kuala Lumpur dan beliau menyasarkan melantik ejen di seluruh negara dalam tempoh setahun.

“Kalau ada masa terluang, saya mahu menyertai mana-mana kursus berkaitan perniagaan supaya apa yang diusahakan ini tidak tersasar. Apa yang penting saya mahu wujudkan pekerjaan untuk anak muda yang lain.

“Bagi saya, sekarang ini masa sesuai untuk mulakan bidang lain, apatah lagi keadaan semasa yang tidak banyak memberi peluang kepada atlet menyertai mana-mana kejohanan. Kalau dulu boleh juga dapat duit tambahan hasil kemenangan,” katanya.