Bianca Andreescu cipta sejarah, gagalkan misi Serena Williams

NEW YORK: Bintang tenis muda, Bianca Andreescu, cipta sejarah baharu Kanada apabila muncul sebagai atlet pertama negara itu yang menjuarai kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2019.

Andreescu, 19 tahun, sekali gus mencipta sejarah menjadi atlet pertama Kanada menjuarai siri jelajah kejohanan terbesar dalam sukan tenis itu.

Menerusi aksi yang berlangsung di Arthur Ashe di sini, Andreescu menang straight set dengan 6-3 dan 7-5 mengalahkan Serena Williams dari Amerika Syarikat.

Williams bagaimanapun membuktikan kekalahannya sebagai satu kekalahan bermaruah.

Ini dapat disaksikan menerusi pusingan kedua apabila Andresscu berjaya mendahului perlawanan dengan 5-1 namun Williams berjaya bangkit menyamakan kedudukan beberapa minit selepas itu.

Namun kemenangan nyata tidak berpihak kepada adik Venus Williams ini untuk kali ini.

Kekalahan ini merupakan rekod dua kali berturut-turut Williams tewas dalam pusingan akhir Terbuka Amerika Syarikat dan merupakan kekalahan keduanya dalam siri jelajah Grand Slam untuk tahun 2019.

Pasangan profesional negara mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu profesional negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan 2019 pada Jumaat.

Pasangan yang menduduki ranking ke-15 dunia ini dengan bergaya menundukkan bekas pasangan nombor satu dunia Lee Yong Dae-Kim Gi Jung dari Korea Selatan 21-18, 21-19 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 37 minit.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu seterusnya akan menentang pasangan dari Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen pada pertembungan separuh akhir hari ini.

Terdahulu, beregu Denmark itu bergelut di rubber set getah sebelum menang 21-16, 19-21, 21-17 ke atas pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga mara ke separuh akhir beregu campuran selepas menewaskan beregu Indonesia, Rinov Rinaldy-Pitha Mentari 18-21, 21-14, 21-14.

Pasangan beregu ranking kelima dunia itu dijangka berdepan pasangan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada separuh akhir.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasangan beregu pilihan ketiga negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tumpas kepada pasangan dari Korea Selatan Choi Solgyu-Seo Seung Jae 18-21, 14-21.

Dalam pada itu, pemain perseorangan negara, Cheam June Wei turut tersingkir apabila tewas kepada Chou Tien Chen 11-21, 21-15, 17-21.

Provokasi melampau, Syed Saddiq janji tuntut bela

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nyata kecewa dengan insiden yang melanda penyokong Malaysia di Gelora Bung Karno ketika perlawanan menentang Indonesia bagi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menerusi muat naik Twitternya, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau akan menuntut bela dengan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatnya di sana.

Tegasnya, gangsterisme tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk, melihat kepada tindakan ganas penyokong pasukan Garuda yang membaling objek berbahaya termasuk botol, besi dan suar.

Beliau juga menyampai maklum bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan rasmi kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA ekoran insiden memalukan ini.

Katanya, bola sepak sepatutnya menjadi medan penyatuan dan apa yang berlaku pada malam Khamis adalah sangat menyedihkan.

Ketibaan penyokong Malaysia atau dipanggil Ekor Harimau disambut dengan dingin oleh penyokong tuan rumah termasuk dibaling dengan batu. Pasukan negara juga berdepan ancaman sama dan dibawa masuk ke stadium dengan kenderaan tentera Barracuda.

Perlawanan juga tergendala sementara sekitar minit 75 apabila dipercayai kawasan penyokong Malaysia dibaling objek berbahaya termasuk suar.

Perlawanan berakhir memihak Malaysia dengan keputusan 2-3, melakar sejarah menang di Gelora Bung Karno selepas 15 tahun.

Roelant rangka strategi selepas undian kelayakan Sukan Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara Roelant Oltmans akan menunggu keputusan undian Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebelum merangka strategi untuk pasukannya.

Walaupun mempunyai beberapa idea bagi persediaan pasukannya selepas siri ujian empat perlawanan menentang Korea Selatan dari 19-29 Sept, jurulatih dari Belanda itu berkata keputusan undian kelayakan yang diketahui pada Isnin ini akan menentukan laluan Malaysian Tigers ke Olimpik, kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik pada temasya Sydney 2000.

Malaysia bakal berdepan sama ada Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand atau Kanada.

Apa yang membimbangkan Roelant adalah keadaan cuaca memandangkan kedua-dua perlawanan akan dijalankan di tempat lawan, dijadual pada 25-27 Okt dan 1-3 Nov.

“Menentang mana-mana pasukan ini adalah sukar kerana harus bermain dua perlawanan di tempat lawan – sebagai pasukan bukan pilihan dan bermain di tempat yang asing. Ada beberapa perkara yang perlu kami pertimbangkan dan mempersiapkan diri sebaik mungkin.

“Ia juga adalah sesuatu yang sangat berbeza, bermain di utara Kanada (musim sejuk yang boleh mencecah sehingga lima darjah Celsius) atau di selatan, New Zealand (musim panas), kerana kedua-duanya mungkin. Sekiranya kita bermain di Eropah, cuaca adalah sejuk manakala hujan di England, tetapi di Valencia, Sepanyol, cuaca adalah sangat baik.

“Terpulang kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sedemikian,” katanya apabila ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan di sini pada Rabu selepas rehat seminggu.

Bekas jurulatih pasukan Belanda dan India itu menjangkakan prestasi terbaik dari anak buahnya di Korea Selatan, untuk memastikan mereka layak berada dalam senarai akhir 18 pemain.

Selepas menggugurkan sembilan pemain daripada senarai awal 30 orang, bagi sesi semasa, Roelant dijangka mengeluarkan beberapa pemain lagi sebelum berlepas ke Korea Selatan.

“…bulan lepas, bulan yang sangat sukar. Saya faham pemain sangat letih (selepas Jelajah Eropah),” katanya, merujuk kepada prestasi buruk dalam siri ujian Ready Steady Tokyo.

“…Jelas, kami mahu memenangi kelayakan ini. Apa yang telah kami lakukan dalam beberapa minggu terakhir adalah memastikan kami mendapat banyak maklumat daripada kumpulan kami. Pertandingan menentang Korea sangat penting sebelum kelayakan,” katanya.

Roelant juga mengesahkan tiga pemain yang cedera — penjaga gol Mohd Hairi Abdul Rahman (lutut), penyerang Muhammad Firhan Ashari (lutut) dan pemain tengah Haziq Samsul (hamstring) — terlepas kelayakan walaupun mereka kini boleh menjalani latihan ringan.

Pengalaman Mat Yo ditagih berdepan Indonesia – Cheng Hoe

JAKARTA: Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha merupakan satu-satunya pemain dalam skuad negara terkini yang pernah merasai detik cemas menaiki kereta perisai sewaktu Malaysia menjulang Piala AFF menewaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di sini, pada 2010.

Pengalaman dikepung penyokong tuan rumah dan diba­ling objek keras yang dilalui Norshahrul ketika beraksi pada final berintensiti tinggi itu, amat ditagih ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe dalam aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, malam esok.

Cheng Hoe mengakui kelebihan dimiliki penyerang Pahang berusia 33 tahun itu atau turut dikenali sebagai Mat Yo mampu membantu pemain muda negara untuk menyerap tekanan yang bakal diberikan puluhan ribu penyokong skuad Garuda.

“Skuad 2010 dan 2019 sangat berbeza dan hanya tinggal Mat Yo (Norshahrul) seorang sahaja kini. Sudah tentu dengan pengalamannya, saya harap beliau dapat memimpin pasukan terutama di bahagian jentera serangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Cheng Hoe, bagaimanapun menjelaskan tanggungjawab meraih tiga mata berharga tidak terletak pada bahu Norshahrul seorang sahaja, sebaliknya seluruh barisan pemain negara.

Pengendali berusia 51 tahun itu menuntut setiap pemain bakal diturunkan pada perlawanan esok menampilkan semangat juang tinggi selain menggunakan pendekatan bermain secara berpasukan sebagai kunci utama untuk meraih kemenangan.

“Bukan kita nak letak tekanan terhadap beliau (Norshahrul), tetapi sebagai satu pasukan kita perlu saling memberi sokongan dan pada masa sama saya optimis kita mampu bermain sebagai satu pasukan dengan semangat yang tinggi,” jelas bekas ketua jurulatih Kedah itu.

Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Indonesia pada final Piala AFF 2010 dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum tumpas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua.

Kedua-dua pasukan telah merekodkan 95 pertemuan dengan kali terakhir pada 2016 menyaksikan Indonesia menang 3-0 ketika melayani kunjungan Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa.

De Roo bayangkan mahu lanjutkan kontrak dengan FAM

SHAH ALAM: Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter de Roo, membayangkan beliau mahu melanjutkan kontrak semasanya dengan badan itu yang akan tamat pada penghujung bulan ini.

Warga Belanda berusia 49 tahun itu yang dilantik pada 1 Sept 2017 itu berkata beliau berharap untuk meneruskan kerjanya, terutama untuk terus mempertingkatkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

“Terdapat minat dari beberapa negara terhadap saya kira-kira enam atau tujuh bulan lepas, tetapi saya fikir niat saya ialah meneruskan tugas saya kerana saya baharu bermula dan banyak benda perlu dibuat.

“Saya menikmati kehidupan saya sepanjang dua tahun di sini dan saya tidak mahu pergi ke tempat lain, ” katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat di kediaman Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pada Isnin.

Majlis doa selamat itu dianjurkan Hamidin untuk memohon kepada Allah keselamatan pemain skuad Harimau Malaya yang bakal berhadapan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis ini.

De Roo juga gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukan remaja kebangsaan, terutamanya bawah 15 tahun dan 18 tahun dalam beberapa kejohanan serantau, baru-baru ini.

Beliau juga berkata pembangunan bola sepak remaja di dalam negara ini tidak sepatutnya berdasarkan hasil tetapi ke arah menyokong pembangunan pemain remaja ke peringkat senior.

“Bagus bagi kita mendapat hasil (positif), tetapi kami perlu selalu bersikap kritikal terhadap prestasi kerana ia akan membawa kepada pembentukan pemain yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata persatuan itu masih lagi berbincang mengenai kontrak baharu itu bersama De Roo dan mereka akan mengumumkannya setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan sebulat suara.

“Saya rasa tidak perlu kami bercakap mengenai perkara yang peribadi dan sulit di tengah-tengah rundingan, tetapi jika sesuatu persetujuan dicapai, kami akan membenarkannya,” katanya.

Sukan SEA penanda aras terdekat skuad badminton sebelum Tokyo

PETALING JAYA: Sukan SEA Filipina pada akhir tahun ini bakal menjadi penanda aras terdekat kem badminton negara sebelum menyiapkan diri untuk cabaran getir pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun temasya dwitahunan itu hanya melibatkan pemain dari negara Asia Tenggara, tetapi ia bakal menentukan di mana tahap pemain muda dan pelapis kebangsaan berbanding pemain dari negara jiran.

Ia berikutan prestasi hambar pemain di bawah naungan BAM pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland pada bulan lepas berbanding pemain pelapis dari negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura yang menggerunkan.

“Sebab itu saya rasa para pemain dan jurulatih tak patut bersikap ‘berurusan seperti biasa’, perlu ada kesesuaian matlamat (dengan BAM). Mereka tak patut ambil mudah cabaran Sukan SEA sekiranya betul-betul mahu memberikan saingan yang menggerunkan di Tokyo.

“Semua pihak mesti memahami bahawa apa yang peminat badminton mahu melihat ketika ini ialah satu perubahan dari segi pendekatan pemain dan jurulatih.

“Bagi saya ia suatu yang mendesak, tiada lagi urusan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan eRacing Grand Prix Sea di sini, pada Ahad.

Mohamad Norza berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA seperti yang diumumkan oleh Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

“Bagi saya, saya lebih suka pengarah Choong Hann untuk membuat justifikasi untuk menetapkan sasaran itu. Sebagaimana yang saya katakan selepas Basel, kita harus bersabar dan memahami sejauh manakah jurang kita dengan kuasa-kuasa besar badminton yang lain,” jelasnya.

Skuad kebangsaan terpaksa pulang dengan tangan kosong dari Basel apabila hanya pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir, manakala pemain lain tersingkir pada pusingan awal (pusingan pertama, kedua dan ketiga).

Mohamad Norza turut berkata bekas Pengurus Besar BAM (sehingga 2015), Datuk Kenny Goh yang bakal memulakan tugas selaku Setiausaha Agung BAM pada esok secara sepenuh masa, adalah satu lagi pendekatan dalam memantapkan prestasi pemain kebangsaan.

“Hari ini semua dah ada, iaitu Pengurus Besar, Setiausaha Agung, Pengawal Kewangan dan Pengarah Kejurulatihan sepenuh masa. Jadi kita dah ada semua sokongan yang menjadi resipi pembangunan yang lebih besar, sebab itu saya mengharap perubahan yang lebih besar dari segi prestasi pemain,” katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia meraih sebutir emas, lima perak dan dua gangsa daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan. — Bernama

FAM, MFL bayar lebih RM2 juta selesaikan tunggakan gaji enam pasukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi enam pasukan Liga Malaysia berjumlah RM2,458,970.20 melalui pembayaran pada Khamis dan Jumaat lalu.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada tiga pasukan Liga Super iaitu Melaka, Felda United dan Kuala Lumpur, serta tiga pasukan Liga Premier iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan Sarawak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata, sumber kewangan untuk menjelaskan tunggakan berkenaan adalah daripada wang hak penyiaran MFL dan baki deposit dalam simpanan FAM daripada enam pasukan berkenaan.

“Bagaimanapun, pembayaran hanya dibuat kepada pemain dan pegawai yang kes tunggakan gaji atau tuntutan lain itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM dan juga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi kes melibatkan pemain import,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ramalingam menjelaskan, inisiatif untuk memotong wang hak penyiaran dan mengunakan wang deposit daripada pasukan terlibat bagi menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai ini adalah kali kedua.

Pada Mac lepas, FAM telah menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan terlibat berjumlah RM2,517,959.40 yang dipegang oleh FAM bagi menyelesaikan isu yang sama.

KAFA jangka selesai hutang RM6.2 juta pertengahan 2020

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan hutang lapuk persatuan berkenaan berjumlah RM6.2 juta dapat diselesaikan menjelang pertengahan tahun depan.

Jaminan itu disuarakan presiden baharu KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menggantikan pemimpin tertinggi persatuan berkenaan, Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas majlis menandatangani satu memorandum perjanjian dengan syarikat swasta, MQ Technology Berhad, pada Jumaat.

Wan Abdul Rahim berkata melalui perjanjian itu, KAFA akan membuat pembayaran secara berperingkat bagi melancarkan proses pelesenan kelab yang perlu diselesaikan sebelum 31 Oktober ini.

“Bayaran pertama akan diselesaikan pada 15 Sept. Kita tidak perlu bayar semua sekali gus dan kita akan lakukan pembayaran seterusnya secara berjadual pada setiap bulan. Kebanyakan pemain dan jurulatih bersetuju dengan proses pembayaran ini,” katanya.

Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga bersetuju untuk membenarkan KAFA membuat pembayaran awal berjumlah RM113,000, dan seterusnya pembayaran berjadual secara bulanan.

Menurut Wan Abdul Rahim, jumlah keseluruhan RM6.2 juta itu melibatkan hutang dan tunggakan terkumpul sejak 1998 melibatkan gaji pemain dan jurulatih serta badan kerajaan seperti LHDN, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Mengenai perancangan skuad Kelantan, Wan Abdul Rahim berkata KAFA berhasrat untuk mencari pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu.

“Kita mengharapkan musim 2020 kita masih boleh bermain dalam Liga Premier dan tahun seterusnya kembali ke Liga Super.

“Kelantan mempunyai pemain yang bagus namun kita kekurangan pemain import. Kita berhasrat untuk cari pemain dari Cameroon memandangkan kebanyakan mereka berpengalaman beraksi pada Piala Dunia dan Liga Eropah,” katanya.

Sementara itu, sebuah syarikat bagi menguruskan pasukan Kelantan pada musim depan, The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd telah ditubuhkan melalui perjanjian berkenaan, di mana KAFA akan memegang 30 peratus saham syarikat manakala MQ Technology Berhad sebanyak 70 peratus.

Melalui perjanjian dan penubuhan syarikat berkenaan, MQ Technology Berhad akan membuat bayaran sebanyak RM3 juta sebagai modal berbayar kepada TRW Sdn Bhd dan 30 peratus daripada jumlah itu diberikan kepada KAFA sebagai sumbangan ihsan.

Pentingnya falsafah dan prinsip asas penubuhan kelab – Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui penting bagi sesebuah kelab bola sepak mempunyai falsafah yang selari dengan misi dan visi badan induk.

Beliau berkata demikian selepas delegasi FAM didedahkan kepada falsafah, tradisi dan prinsip asas kewujudan Tokyo FC, pendahulu Divisyen Satu Liga J, serta kaedah kerjasama dengan komuniti dan sekolah dalam memastikan pembangunan bola sepak kekal mekar ibu kota Jepun itu.

“Lawatan ke Tokyo FC ini menunjukkan betapa pentingnya kelab mempunyai falsafah tersendiri yang selari dengan misi dan visi badan induk.

“Tokyo FC mempunyai identiti, tradisi, prinsip asas penubuhan dan falsafah pembangunan pemain serta DNA yang jelas untuk dikongsi bersama semua pemegang taruh. Ini yang harus ada dengan ahli gabungan FAM serta program pembangunan belia seperti NFDP,” kata Hamidin dalam entri terkini laman Facebook rasmi FAM.

Selepas taklimat hampir dua jam oleh Pengurus Strategi Belia dan Jabatan Pembangunan Tokyo FC, Takashi Okuhara dan Pengurus Jabatan Perakaunan dan Perancangannya, Nobuki Kobayashi semasa lawatan itu, delegasi FAM dibawa melawat Stadium Ajinomoto yang juga gelanggang Tokyo FC dikongsi bersama Tokyo Verdy, kelab divisyen dua.

Tokyo FC yang ditubuhkan pada 1935 dengan nama Tokyo Gas Soccer Club, kini mendahului divisyen satu Liga J dan dibimbing oleh Kenta Hasegawa.

Antara nama besar yang pernah menyarung jersi Tokyo FC ialah Yuto Nagatomo dan Yuichi Doi.

Okuhara berkata pembangunan pemain mereka bermula pada peringkat pertumbuhan iaitu di sekolah, seterusnya ke peringkat pembangunan pada usia bawah 15 tahun (B-15).

“Pemain B-18 tahun kami pula ada seramai 45 pemain, dibahagikan kepada dua pasukan, satu pasukan bertanding dalam Liga nasional, satu lagi di Liga Tokyo.

“Kami juga mempunyai pusat latihan sendiri yang sedia lengkap dan dengan ini kelab dapat membantu Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dalam membentuk pembangunan pasukan kebangsaan,” katanya.

Delegasi FAM kemudian turut dibawa melawat Stadium Ajinomoto yang dibuka secara rasmi pada 10 Mac 2001 dengan kapasiti 49,970 penyokong. Ia adalah stadium pertama menggunakan hak nama jenama di Jepun.