Liga Juara-Juara Eropah: Liverpool tewas pada aksi pembukaan menentang Napoli

NAPLES: Liverpool catat kekalahan pada aksi pembukaan ketika menentang Napoli pada kejohanan Liga Juara-Juara Eropah.The Reds terpaksa akur tewas 0-2.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Namun dua gol pada saat akhir memastikan Napoli mengatasi The Reds.

Jaringan pertama Napoli dihasilkan menerusi sepakan penalti pada minit ke-82 oleh Dries Mertens.

Sementara satu lagi gol dijaringkan Llorente di minit akhir permainan.

Liverpool ialah juara bertahan pertama tewas aksi pembukaan sejak 1994.

Dublin, 14 Disember – Conor McGregor bakal kembali?

SELEPAS hampir setahun tidak beraksi, bekas juara berganda UFC, Conor McGregor kini memberi bayangan akan kembali ke gelanggang Octagon pada hujung tahun ini.

Menerusi kenyataan ringkas di laman Twitternya pada Isnin, petarung kontroversi dari Ireland itu seperti mengesahkan akan bertarung di kampung halamannya di Dublin, pada Disember nanti.

“Dublin, 14 Disember,” katanya dalam tweet tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir UFC menganjurkan perlawanan di Dublin ialah pada Oktober 2015 iaitu acara UFC Fight Night 76.

Terdapat spekulasi yang mengatakan jika pertarungan pada Disember ini menjadi kenyataan, McGregor bakal berdepan dengan bekas juara interim lightweight, Dustin Poirier dalam satu pertarungan ulangan (rematch).

Poirier yang telah membalas tweet seorang peminat di Twitter, seolah-olah mengiyakan pertarungan dengan McGregor itu.

Petarung Amerika Syarikat itu, baru-baru ini telah menyatakan hasrat ingin bertarung semula dengan McGregor, selepas kali terakhir bertarung dengannya lima tahun lalu.

Menurutnya, ‘rematch’ dengan McGregor sangat ‘masuk akal’ buat ketika ini.

Kedua-dua petarung itu pernah bertemu pada September 2014 dalam acara UFC 178 yang menyaksikan Poirier ditundukkan oleh McGregor menerusi TKO pada minit 1:46 pusingan pertama.

Ia juga merupakan kali terakhir Poirier berlawan dalam divisyen featherweight sebelum beralih ke divisyen lightweight.

Poirier, pada acara UFC 242 di Abu Dhabi, UAE, minggu lalu tewas kepada juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 2:06 pusingan ketiga.

UFC Vancouver: Cowboy rebah di tangan Justin Gaethje

ACARA utama UFC Fight Night 158 di Vancouver, Kanada pada Ahad berakhir dengan kemenangan kepada petarung Amerika Syarikat, Justin Gaethje.

Pertarungan itu menyaksikan ‘The Highlight’ menundukkan Donald ‘Cowboy’ Cerrone melalui keputusan knockout teknikal (TKO) pada minit 4:18 pusingan pertama.

Babak pertama bermula dengan kedua-dua petarung lightweight itu mempamerkan aksi ‘stand-up’ — saling bertukar tumbukan diselang-seli dengan tendangan.

Tiada langsung percubaan jatuhan dilakukan oleh Gaethje ataupun Cerrone.

Namun, pada minit keempat, Gaethje melepaskan tumbukan padu ke arah Cerrone, sekali gus merebahkan lawannya ke lantai Octagon.

Cerrone yang cuba bangun untuk meneruskan perlawanan, terus dihujani tumbukan sehingga pengadil mencelah untuk menamatkan pertarungan setelah dia gagal mempertahankan dirinya.

Gaethje yang sebelum ini berjaya menumpaskan lawannya sebanyak 17 kali menerusi KO dan TKO, terus melebarkan rekodnya kepada 21 kemenangan, dua kekalahan.

Sementara itu dalam aksi ‘co-main event’, petarung Brazil Glover Teixeira berjaya menewaskan petarung dari Ukraine, Nikita Krylov menerusi keputusan berbelah bagi juri.

Selepas tamat perlawanan tiga pusingan, juri membuat keputusan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Teixeira menerusi keputusan berbelah bagi.

Dengan kemenangan itu, dia kini memegang rekod profesional MMA, 30-7.

Jerebu bukan alasan – Oltmans

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin sedang menghadapi masalah jerebu, namun pasukan hoki negara tidak akan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berlatih di padang.

Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berkata, beliau sedar akan keadaan yang kini semakin buruk setiap hari, namun beliau dan pasukan telahpun mempunyai rancangan lain bagi memastikan persediaan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak terjejas.

“Anda sentiasa perlu memastikan anda mempunyai rancangan kedua. Sebaik sahaja keadaan menjadi sangat tidak sihat dan merbahaya, kita tidak akan berlatih di luar. Kita akan berlatih di dalam dan pada masa ini, kita akan menjalani beberapa sesi latihan di dalam dewan, kerana kita mempunyai program kecergasan di dalam ‘altitude chamber’.

“Sebaik keadaan menjadi kritikal, kami akan membuat beberapa perubahan dari apa yang kami lakukan sekarang ini. Namun pada masa ini, kami masih boleh lakukan apa yang kami mahukan. Kami berharap ia akan hujan lebih banyak dan pencemaran akan berkurangan,” katanya.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 10 pagi Jumaat, sebanyak 24 stesen mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala 43 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

Pasukan hoki lelaki negara akan bertemu Great Britain pada pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada 2 dan 3 Nov di Stadium Olimpik Lee Valley.

Malaysia akan menghadapi perlawanan yang sukar, apabila diundi bertemu pemenang pingat emas Olimpik tiga kali, yang terdiri daripada pemain campuran dari pasukan nombor tujuh dunia, England, Wales (18) dan Scotland (19).

Pasukan kebangsaan akan ke Korea Selatan pada 19 Sept sebelum ke Eropah dua minggu lebih awal daripada tarikh perlawanan, bagi mengadakan perlawanan pemanas badan dengan pasukan Perancis, Sepanyol, Jerman atau Belanda.

Olthman berkata, seorang pemain akan digugurkan selepas perlawanan menentang Korea Selatan dan untuk kelayakan Olimpik itu, beliau hanya akan memilih 18 pemain.

“Pada masa ini kami ada 21 daripada 27 pemain. Enam pemain tidak bersama pasukan buat sementara waktu. Ada yang bermain dengan pasukan hoki dalam dewan sebagai persediaan untuk Sukan Sea, dan ada yang bermain untuk Piala Sultan Johor. Mereka masih dalam latihan yang bagus dan mereka akan menyertai pasukan semula selepas kelayakan,” katanya.

SUKAN-HOKI (JEREBU) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Sementara itu, pemain tengah skuad hoki negara Fitri Saari dan penyerang negara, Faizal Saari percaya selain kekuatan fizikal, keadaan mental yang kuat, penting untuk memastikan pasukan dapat menepis serangan dari pihak lawan.

Katanya, pemain negara perlu berani ketika beraksi dan lawan secara habis-habisan dalam memburu impian negara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Bagi saya kalau kita bersatu hati dan bekerja keras kita boleh berjaya, tidak boleh lihat kepada rekod lepas. Kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal, tiada yang mustahil bagi saya.

“Biasanya pasukan Eropah, mereka main taktik ‘robbers’ (menggunakan badan untuk pertahanan), sebab itu mental kita kena kuat, jika mereka main keras kita kena lagi berani,” kata Fitri.

Maniam senarai beberapa muka baharu dalam skuad 23 pemain

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 15 (B-15) negara, P. Maniam menyenaraikan beberapa muka baharu dalam skuad 23 pemain ke pusingan kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, Vientiane, yang berlangsung dari 18-22 Sept ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara beberapa muka baharu yang disenaraikan Maniam ke Laos adalah penjaga gol skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-15, Muhammad Aizul Hakim Mohd Zabni; penyerang AMD B-14, Muhammad Akid Mohd Zamri; selain pemain tengah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Syafiq Haikal Bahtiar.

Mereka merupakan beberapa pemain yang tidak beraksi sewaktu Malaysia muncul juara, Kejuaraan B-15 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Chonburi, Thailand pada awal bulan lepas.

Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan FAM itu menyaksikan Maniam menyenaraikan 19 pemain AMD B-15, untuk memperkuatkan skuad muda negara itu bagi menghadapi kejohanan di Laos.

Untuk rekod, skuad B-15 negara meraih dua kemenangan selesa iaitu 10-0 dan 4-0 ke atas skuad B-15 Mongolia pada dua aksi pemanas di Shah Alam pada minggu lepas.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J, akan membuka kempen kelayakan menentang Kemboja pada 18 Sept, Laos (20 Sept), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Jepun pada 22 Sept ini.

Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Laos.

Berdasarkan format kejohanan, 11 pasukan terbaik dari Kumpulan A-K selain empat pasukan kedua terbaik, layak ke pusingan akhir.

AFC, bagaimanapun masih belum mengumumkan tuan rumah pusingan akhir kejohanan berkenaan.

SENARAI 23 PEMAIN:

Penjaga Gol: Zulhilmi Sharani, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Faizal, Muhammad Aizul Hakim Mohd Zabni

Pemain Pertahanan: Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar, Adam Daniel Mohamad, Muhammad Kholil Ahmad Azian, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhammad Alif Farhan Fauzi, Ahmad Rozaini Abu Bakar, Muhamad Azrul Iman Muhamad Yusof

Pemain Tengah: Mohamad Ashraf Ahmad, Muhammad Adam Uwais Mohd Armi, Danish Irfan Ezal, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin, Muhammad Izrin Ibrahim, Syafiq Haikal Bahtiar (SSTMI B-15), Radzilah Helmi Roizat (SMK Ibrahim Fikri)

Penyerang: Mohamad Khairil Mohd Zain, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Muhammad Shahril Sobri, Zubaidi Mohd Buang, Muhammad Akid Mohd Zamri (AMD B-14), Muhammad Harry Danish Mohd Haizon (SSTMI B-15).

Ada sinar buat sukan angkat berat – Syed Saddiq

SRI KEMBANGAN: Mungkin ada khabar gembira buat sukan angkat berat untuk dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, tahun depan.

Ini berikutan keputusan ujian doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Julai lalu didapati negatif.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sukan itu mempunyai peluang lebih baik untuk dipertandingkan di SUKMA selepas melihat usaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan atlet untuk memulihkan imej sukan itu yang sering dipalit isu doping.

“Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik. Atlet dan persatuan komited dalam membersihkan nama mereka. Kita akan bawa perkara ini ke Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 untuk diperhalusi pada 19 Sept ini.

“Saya lihat peluang mereka cerah tetapi kena berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas program Perjumpaan bersama Atlet Program Podium di sini, Khamis  malam.

Perjumpaan itu melibatkan atlet yang kini sedang menjalani latihan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 dan Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan masih mempertimbangkan sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada temasya itu dimana sukan itu berstatus ‘KIV’ (simpan dalam perhatian).

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata masih terlalu awal untuk pihaknya menetapkan sasaran buat kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina.

“Sasaran hanya akan diumumkan apabila berdekatan dengan temasya yang dijadualkan pada 30 Nov hingga 11 Dis ini. Saya tidak mahu beri tekanan kepada atlet semata-mata. Tekanan ini harus dikongsi bersama termasuk KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak terlibat dalam persediaan atlet,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Saddiq menggesa atlet untuk mencari peluang meningkatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang dicipta sebelum ini.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa atlet negara mampu mencipta detik kejayaan dalam mengharungi cabaran mendatang.

Ali Mabkhout, antagonis dari UAE

ITU amaran pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, sebelum aksi kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Malaysia tewas 2-1, semalam.

Sebelum pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, tumpuan peminat di Malaysia terhadap semi-finalis Piala Asia 2019 itu lebih terarah kepada perancang utama, Omar Abdulrahman.

Omar yang menyinar sewaktu membenam skuad negara 10-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 empat tahun lalu disebut bakal memberikan masalah besar buat Harimau Malaya meskipun dia baru pulih daripada kecederaan lutut yang panjang.

Bagaimanapun, jelas sekali tekaan Cheng Hoe mengenai Ali menjadi kenyataan.

Penggempur berusia 28 tahun itu terlebih dahulu mencuri tumpuan di Bukit Jalil, kira-kira selepas setengah jam beraksi susulan pertengkaran melibatkan dia dan tonggak tengah kebangsaan, Brendan Gan, akibat rempuhan ‘nakal’ yang disengajakan di atas padang sehingga mengakibatkannya dilayangkan kad kuning.

Sejak insiden itu, dia menerima ejekan setiap kali memegang bola, namun penyerang utama kelab Liga Gulf Arab, Al Jazira, itu membalas dengan jaringan penyamaan menerusi tandukan dan meraikannya dengan gaya memberi isyarat menutup mulut di depan penyokong negara, sekali gus memadamkan gol pendahuluan oleh Syafiq Ahmad.

Dia juga menyumbat gol kemenangan selepas bijak menghidu kesilapan Shahrul Saad serta Matthew Davies yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas dan sekali lagi, dia meraikannya di depan penonton di Bukit Jalil.

Dua gol yang dihasilkan itu juga membolehkan pemenang dua kali Liga Pro UAE itu mencatat jaringan peribadi ke-51 di pentas antarabangsa sambil Cheng Hoe dan anak buahnya terpaksa menelan kepahitan tewas buat kali ketiga tahun ini selepas tunduk di tangan Singapura dan Jordan, sebelum ini.

Apa yang pasti, kesudahan aksi di Bukit Jalil itu telah memahatkan satu nama baru dalam ingatan semua peminat Harimau Malaya.

Jika sebelum ini nama Omar menjadi igauan tetapi kini, mungkin Ali watak paling ‘dibenci’ dari UAE.

Namun, pujian harus diberikan buat Harimau Malaya kerana telah mempamerkan persembahan terbaik tahun ini sehingga sukar mencari perbezaan di antara Malaysia dan UAE biarpun lawan menduduki ranking ke-65 dunia berbanding Malaysia, 159.

Stadium Nasional terbaik, tapi padangnya menyedihkan – Marwijk

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya mengelakkan kejutan, dengan menang tipis 2-1 ke atas Malaysia, Ketua Jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Bert van Marwijk memulakan sidang media selepas perlawanan, dengan memuji Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu malam tadi, jurulatih dari Belanda yang membawa negaranya ke Piala Dunia 2010 berkata, stadium berkapasiti 87,000 orang itu merupakan antara yang paling cantik, yang beliau pernah kunjungi.

Bagaimanapun, kegembiraan media Malaysia atas pujian itu tidak lama, apabila jurulatih berusia 67 tahun itu mula menyebut mengenai keadaan padang yang tidak setaraf dengan kecantikan stadium.

“Mulanya, saya mahu mengucapkan tahniah atas stadium yang cantik, antara stadium yang paling cantik yang pernah saya jumpa di seluruh dunia.

“Namun sayang, kerana kamu ada padang seperti ini, anda tidak boleh bermain bola sepak dengan pantas, juga untuk Malaysia. Sayang sekali, tetapi ini sebuah stadium yang cantik,” katanya.

Kritikan pada keadaan padang bukanlah sesuatu yang baharu, kerana Tan Cheng Hoe dan beberapa pemain kebangsaan juga telah memberikan komen yang sama mengenai keadaan padang itu, pada perlawanan ‘playoff’ pertama menentang Timor Leste pada Jun.

Bagaimanapun komen terkini ini hadir selepas sebulan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Tan Sri Tony Fernandes berjanji, untuk memperbaiki keadaan padang sedia ada, dan menjadikannya kepada yang terbaik di Asia, dalam tempoh satu tahun.

Sementara itu bercakap mengenai perlawanan itu Marwijk berkata, selepas memulakan perlawanan dengan buruk, pemainnya yang menduduki tangga ke-65 dunia itu, telah membaiki prestasi mereka dan bangkit untuk mengatasi pasukan Malaysia yang berkedudukan ke-159 dunia, selepas menemui kecatatan dalam taktikal di bahagian kiri pertahanan.

“Bermula separuh masa kedua, kami mendapat masa terbaik dalam permainan. Saya nampak Malaysia masih lagi kepenatan daripada perlawanan dan perjalanan sebelum ini (menentang Indonesia), jadi inilah masanya yang kami ada untuk menjaringkan gol, kerana kami hanya ada beberapa peluang baik pada 15 minit pertama separuh masa kedua.

“Bagaimanapun, apabila jurulatih (Tan Chen Hoe) mula menukar pemainnya, mereka kembali bersemangat dan saya tidak menjangkakan yang mereka akan terus memberikan tekanan pada 15 minit terakhir perlawanan, namun kami bekerja keras dan akhirnya kami gembira untuk menang di sini.

“Ini kerana saya rasa tidak banyak negara yang boleh menang di sini. Kami mempunyai tujuh pemain muda dalam pasukan, tidak mudah untuk mereka, namun banyak yang mereka belajar daripada perlawanan ini,” katanya.

Malaysia memulakan perlawanan dengan medahului melalui tandukan Muhammad Syafiq Ahmad pada 30 saat pertama perlawanan dan mendominasi perlawanan untuk 30 minit, sebelum UAE memastikan kemenangan mereka melalui gol, Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-43 dan ke-74.

Harimau Malaysia lawan Great Britain untuk tiket Tokyo

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki Malaysia kini siap sedia menghadapi tugas berat dalam usaha untuk melayakkan diri menyertai Tokyo Olympics 2020, setelah diundi menentang pemenang tiga kali pingat emas, Great Britain.

Berdasarkan cabuatan undi dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Thierry Weil di Lausanne, Switzerland hari ini, Malaysia, pada ranking ke-11 di dunia, diletakkan pada pot 3, sementara Great Britain dalam pot 2.

Skuad Harimau Malaysia itu perlu bermain dalam dua perlawanan luar antara 1 hingga 3 Nov di London, untuk mendapatkan kemenangan agregat bagi menempah tiket Olimpik, selepas beraksi pada edisi Sydney 2000.

Pasukan Great Britain akan disertai pemain dari nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19).

Sekalipun menerima undian yang sukar, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yakin pasukan Malaysia punya peluang cerah.

“Untuk melayakkan diri ke Olimpik, kita perlu sanggup bermain. Ada sebulan setengah untuk persiapan, sekarang ini terpulang kepada para pemain dan jurulatih, untuk pastikan kita sampai ke Tokyo,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan acara cabutan undi di Facebook livestream, di ibu pejabat MHC di sini malam ini.

Pertandingan hoki Olimpik akan berlangsung dari 25 Julai hingga 7 Ogos di Oi Hockey Stadium yang baru dibina, melibatkan 12 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita.

Japan (lelaki dan wanita) telahpun mengesahkan tempat mereka selaku tuan rumah dan johan Sukan Asia, demikian juga Argentina (lelaki dan wanita), Afrika Selatan (lelaki dan wanita), Belgium (lelaki), Australia (lelaki), Belanda (wanita) dan New Zealand (wanita) yang melayakkan diri sebagai johan benua.

Undian penuh lelaki:

Jerman lwn Austria

India lwn Russia

Belanda lwn Pakistan

Sepanyol lwn Perancis

Kanada lwn Ireland

Great Britain lwn Malaysia

New Zealand lwn Korea Selatan

Perkara nombor satu dalam MMA ialah hormat – Khabib

SUNGGUH pun berjaya menumpaskan pesaingnya Dustin Poirier dalam aksi UFC 242 pada Ahad, Khabib Nurmagomedov berkata dia meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap pencabarnya itu.

Menurut Khabib, situasi itu berbeza dengan semasa dia bertemu Conor McGregor pada Oktober tahun lalu, di mana banyak kata-kata berbaur hinaan dikeluarkan oleh petarung dari Ireland itu.

Khabib berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas mengalahkan Poirier selaku juara interim lightweight menerusi ‘submission’ (kuncian) pada minit 2:06 pusingan ketiga.

Selepas perlawanan, Khabib dan Poirier dilihat saling berpelukan sebagai tanda hormat.

Mereka kemudiannya bertukar baju-t yang tertera nama masing-masing.

Jaguh dari Dagestan, Rusia itu juga berkata akan membuat kebajikan dengan menjual baju tersebut dan menyerahkan wang hasil jualan kepada Poirier.

“Kenapa saya memakai baju-t ini? Saya akan pastikan baju ini terjual dan wangnya akan diberikan kepada Dustin Poirier,” katanya ketika ditemubual selepas perlawanan.

Meskipun seteru di gelanggang, Khabib berkata dia dan Poirier mempunyai rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain.

“Ini yang saya mahukan, dan kenapa kami sangat menghormati antara satu sama lain berbanding pertarungan saya yang lepas?

“McGregor bukan orang yang baik, saya terpaksa lalui banyak perkara gila, tetapi saya mahu melupakan semuanya.

“Kita tunjukkan MMA yang sebenar. Perkata nombor satu dalam MMA ialah hormat. Bila anda datang ke gim, perkara pertama yang diajar ialah hormat… iaitu menghormati rakan sepasukan anda, jurulatih anda, semuanya mengenai rasa hormat,” katanya.

Pertarungan di antara Khabib dan McGregor pada UFC 229, Oktober tahun lalu berakhir dengan McGregor ditundukkan menerusi kuncian ‘neck crank’ pada minit 3.03 pusingan keempat.

Namun, selepas pertarungan, Khabib tiba-tiba naik angin dengan melompat keluar dari gelanggang dan menyerang pasukan McGregor.

Menurut Khabib, tindakan itu dilakukan selepas dia dihina berbulan-bulan oleh McGregor termasuk serangan bas di Brooklyn.

Insiden itu telah menyebabkan Khabib dan McGregor masing-masing digantung perlawanan selama sembilan dan enam bulan.

Khabib juga didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953), manakala McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355).