RWC 2019: Uruguay buat kejutan, menang tipis ke atas Fiji

KAMAISHI: Uruguay mengejutkan Fiji dengan kemenangan tipis 30-27 dalam Perlawanan Piala Dunia Ragbi 2019 bagi Pool D yang berlangsung di Stadium Kamaishi, Jepun pada petang Rabu.

Los Teros yang menduduki ranking ke-17 dunia itu berjaya mendahului Flying Fijians yang berada di ranking ke-12 dengan 24-12 pada separuh masa pertama.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan Uruguay memperolehi tiga try, tiga conversion dan satu penalti berbanding Fiji yang hanya berjaya menyempurnakan dua try dan satu conversion.

Sebaik babak kedua bermula, Fiji terus menggandakan asakan dan memperolehi tiga try pada minit ke 47, 66 dan 81.

Bagaimanapun dua sepakan penalti yang disempurnakan Felipe Berchesi pada babak kedua memberi kelebihan kepada Uruguay untuk mendahului perlawanan hingga ke wisel penamat.

Sepanjang 80 minit perlawanan Berchesi menyumbang 15 mata menerusi sepakan penalti dan conversion buat Uruguay dalam perlawanan pertama pasukan itu di peringkat kumpulan.

Ada adik Down Syndrome, bintang ragbi New Zealand bantu tingkat kesedaran awam

JIKA anda mengikuti perkembangan dunia ragbi, sudah tentu anda kenal dengan bintang ragbi New Zealand, Beauden Barrett, yang bermain untuk negara itu bersama adik-beradik lelakinya.

Dengan kehebatan menerusi aksi cantik yang ditunjukkan pemain itu, maka tidak hairanlah ramai yang menanti kehadiran beliau di padang setiap kali perlawanan.

Namun, baru-baru ini Barrett mendedahkan kepada orang ramai mengenai adik perempuannya yang mempunyai masalah Sindrom Down atau ‘Down Syndrome’.

Adik perempuannya, Zara Barrett atau lebih mesra dipanggil Zars, berusia 16 tahun, sering kali ke stadium bagi menonton setiap perlawanan abang-abangnya.

Menurut abang-abangnya, Zars seorang remaja yang “lucu” dan nakal, namun sangat jujur.

Mereka mempunyai lapan orang adik-beradik – lima lelaki (Beauden, Scott, Jordie, Kane, Blake) dan tiga perempuan (Zara, Ella, Jenna).

Mempunyai adik perempuan yang mengalami Sindrom Down, bintang ragbi itu mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keadaan penyakit itu.

“Mereka yang mengalami Sindrom Down juga perlukan kasih sayang.

“Dia sangat mengagumkan dan kami sangat sayang dia.

“Dia sangat mudah menghargai perkara yang berlaku, terutamanya dalam mengenali erti kehidupan,” kata Beauden.

UFC: Tony Ferguson mahukan Khabib… Disember ini

MESKIPUN sudah disahkan pertarungan mereka oleh UFC, Tony Ferguson mahu pertemuannya dengan Khabib Nurmagomedov diadakan seawal hujung tahun ini.

Ferguson dari Amerika Syarikat menyatakan hasrat untuk mencabar juara lightweight dunia itu pada 14 Disember ini, iaitu pada acara UFC 242.

‘El Cucuy’ menerusi posting di Twitternya pada Ahad meminta UFC dan presidennya Dana White menambah pertarungan mereka dalam senarai ‘fight card’ tersebut.

“Tentunya kita boleh adakan sedikit ruang untuk @TeamKhabib,” tulisnya.

Dalam posting tersebut, Ferguson turut memuat naik foto-foto petarung yang pernah ditewaskannya sebelum ini dalam keadaan berdarah — seolah-olah mahu menjadikan Khabib ‘mangsanya’ yang seterusnya.

Dia turut meletakkan hashtag #DefendorVacate (defend or vacate) yang bermaksud ‘pertahankan kejuaraan tersebut atau lepaskannya’, yang ditujukan kepada Khabib.

Ferguson yang memegang rekod profesional MMA sebanyak 25 kemenangan dan tiga kekalahan, kini menduduki ranking pertama dalam divisyen lightweight UFC.

Dia juga merupakan pencabar utama dalam divisyen lightweight UFC, menjadikannya ‘sangat layak’ untuk bertemu Khabib.

Untuk rekod, pertarungan antara Ferguson dan Khabib telah cuba dianjurkan sebanyak empat kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab kecederaan oleh kedua-dua petarung.

Khabib pada 7 September lalu berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas menewaskan Poirier dalam acara UFC 242 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod profesional Khabib kepada 28 kemenangan tanpa kalah.

UFC dikatakan sudah pun mengesahkan pertarungan antara Khabib dan Ferguson, namun belum menyatakan tarikh untuk perlawanan tersebut.

Lionel Messi dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2019

MILAN: Lionel Messi dinobat sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2019 dalam majlis anugerah gemilang sukan bola sepak dunia di Milan awal pagi tadi.

Kemenangan ini sekali gus melonjak nama penyerang utama Barcelona itu mengatasi pemain Juventus, Cristiano Ronaldo yang pernah merangkul anugerah sama.

Selain kedua-dua pemain itu, turut dicalonkan ialah pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk yang pada awalnya diramal memenangi anugerah ini.

Messi pernah memenangi gelaran Pemain Lelaki Terbaik FIFA pada 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015.

Kapten pasukan Barcelona dan Argentina ini telah menjaringkan 54 gol dalam 58 perlawanan pada musim 2018/19 mewakili kelab dan juga negara.

Messi turut membantu Barcelona menjuarai La Liga Sepanyol dan membawa kelab itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Jelajah Semenanjung: Tiada tekanan buat pelumba negara

JURULATIH skuad berbasikal lebuh raya negara, Yusof Abdul Nasir, tidak mahu meletakkan sebarang tekanan buat barisan pelumbanya dalam perlumbaan Jelajah Semenanjung bulan depan.

Baginya, perlumbaan itu hanya akan menjadi medan persediaan dan penilaian prestasi atlet sebelum Sukan SEA Filipina, November depan.

“Ia adalah untuk persiapan ke Sukan SEA.

“Jadi, dalam Jelajah Semenanjung itu, kami memang nak cari kekuatan, jarak perjalanan dan nak tengok tahap kami di peringkat Asia Tenggara.

“Dalam masa sama, kami akan cuba untuk memenangi perlumbaan dan menilai prestasi pelumba,” katanya.

Jelajah Semenanjung mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di bawah kategori UCI 2.1 dengan jarak keseluruhan sejauh 850.7 kilometer.

Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah pasukan kebangsaan Malaysia dan dua pasukan probenua negara, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

“Setiap perlumbaan yang kami sertai mesti kami akan meletakkan sasaran.

“Sasaran kami adalah untuk mendapatkan yang terbaik.

“Dalam masa sama, kami bukan hanya nak tengok pelumba daripada pasukan kebangsaan sahaja.

“Kami juga nak tengok prestasi pelumba daripada pasukan TSC dan TSG.

“Kami mahu menyenaraikan mereka dalam setiap acara yang ada dalam Sukan SEA nanti,” tambahnya.

Manchester United berputih mata, tewas 0-2 di tangan West Ham

WEST Ham United rekod kemenangan selesa 2-0 ke atas Manchester United.

Kemenangan di Stadium London itu membolehkan West Ham melonjak ke tangga ke-5 liga.

West Ham menjaringkan gol pertama pada minit ke-44, sementara gol kedua dihasilkan pada babak kedua. Keputusan meletakkan Manchester United di tangga ke-8 Liga Perdana Inggeris.

Piala Malaysia: Gol Diogo pisahkan TFC, JDT

TERENGGANU FC 0 JDT 1

“Pengadil itu anjing,” jerit kumpulan penyokong Terengganu FC (TFC) selepas sejam aksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memihak JDT 1-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kasar tetapi ia menceritakan kekecewaan tuan rumah apabila kekasaran Mauricio Nascimento terhadap Kipre Tchetche tidak mendapat ihsan pengadil, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim, pada minit ke-62.

Luahan itu, begitupun, sekadar menutup keseluruhan kelemahan TFC yang beraksi di bawah prestasi sebenar sejak wisel permulaan lagi.

Enam kad kuning — empat untuk JDT dan dua kepada TFC — menjadi rencah kepada pertemuan yang hanya dipisahkan jaringan penyerang Harimau Selatan, Diogo Luis.

Aksi kurang meyakinkan mula diserlahkan tuan rumah yang ditekan JDT pada awal permainan, sekali gus membenarkan pelawat menguasai babak pertama.

Bermula amaran awal anak Dungun, Safawi Rasid, pada minit kelapan, JDT tidak menoleh ke belakang untuk mengasak pintu gol tuan rumah yang dikawal Wan Muhd Azraei Wan Teh.

Kubu TFC terus cemas pada minit ke-16 yang menyaksikan percubaan Diogo hasil umpanan Safawi dari kawasan berbahaya melambung tinggi.

Pengadil meleraikan pertelingkahan kecil antara Corbin Ong (dua, kanan) dan Khairul Izuan (dua, kiri) pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 malam tadi. --fotoBERNAMA

Penantian JDT terlerai apabila Diogo berjaya melepasi kawalan Serhii Andrieiev sebelum rembatan kencangnya menewaskan Azraei pada minit ke-22.

Peluang terbaik TFC pula hanya dicipta Tchetche (m-34), namun voli penyerang dari Ivory Coast itu, yang berpunca daripada hantaran Ashari Samsudin, sekadar leret ke sebelah kiri Farizal Marlias.

Tanpa menilai keputusan pengadil, aksi yang panas itu semakin kecoh ekoran kekasaran Khairul Izuan Rosli ke atas bek kiri JDT, Corbin Ong, di depan bangku simpanan pelawat.

Selain kad kuning kepada Izuan, insiden itu turut mencetuskan konfrontasi melibatkan pegawai kedua-dua pasukan menuju ke penamat separuh masa.

Cerita babak kedua seakan-akan serupa apabila sepakan percuma Safawi pada minit ke-48 menggambarkan gol JDT seterusnya bakal muncul jua.

Safawi hampir menjaringkan gol di ‘rumah’ lamanya selepas menewaskan Wan Muhd Azraei, namun tolakannya dikeluarkan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-53.

Sorakan lebih 11,000 penyokong TFC pada minit ke-64 pula terlalu awal apabila Farizal cemerlang menepis rembatan lencong Sanjar Shaakhmedov sebelum JDT kembali dominan.

Tindakan Wan Muhd Azraei (m-72) keluar dari kotak penaltinya gagal menghalang larian Safawi hanya untuk sepakan pemain sayap negara itu mengenai tiang gol tuan rumah.

Tambahan masa empat minit diberikan sebelum Wan Mohd Tarmizi meniupkan wisel penamat tatkala TFC mendapat sepakan percuma, namun JDT lebih awal mengesahkan kemenangan untuk aksi timbal balik di Larkin minggu depan.

Penyerang muda sensasi Lukman Hakim bakal beraksi di Eropah

KUALA LUMPUR: Peluang penyerang Malaysia bawah 18 tahun (U18) Luqman Hakim Shamsuddin kini semakin cerah untuk beraksi di pentas Eropah.

Ia susulan kesediaan pemilik kelab England, Cardiff City, dan K.V. Kortrijk yang berpangkalan di Belgium, Tan Sri Vincent Tan untuk menyediakan peluang latihan kepada anak muda itu di dua kelab berkenaan.

Menurut Tan, Luqman Hakim, yang lahir dari Akademi Mokhtar Dahari di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan menjalani latihan di Cardiff City sehingga beliau mencapai umur 18 tahun, iaitu Mac tahun hadapan, sebelum menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab K.V. Kortrijk.

“Kita telah mengenal pasti bakat Luqman Hakim, selepas persembahan memberansangkan beliau dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini, menjaringkan banyak gol, dan konsisten dalam menjaringkan gol.

“Jadi di bawah peraturan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), kami tidak boleh mengambil pemain melainkan sudah berusia 18 tahun. Jadi Luqman Hakim akan berlatih di Cardiff dahulu, baru menyertai KVK, kelab Belgium yang dimiliki rakyat Malaysia,” katanya kepada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir di majlis bersejarah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut teruja dengan perkembangan itu, khususnya kesannya ke atas bola sepak tanah air.

Five years, memang pelaburan jangka panjang, ia tak akan dibuat, jika tak wujud keyakinan. Prestasinya, hatinya di tempat yang betul, paling kuat bekerja, Saya rasa apa pun rintangan, dia akan berjaya pecahkan tembok tersebut,” kata Syed Saddiq

Sementara itu, Luqman Hakim berkata, beliau sedar mengenai tekanan yang bakal dihadapi, khususnya harapan yang menggunung rakyat Malaysia ke atas pemain pelapis skuad kebangsaan.

“Pertama, saya berharap agar rakyat Malaysia berdoa terbaik untuk saya. Tapi saya berjanji saya akan buat terbaik memang cita-cita saya bermain di luar negara. Dah terhidang di depan mata, saya akan pegang dan simpan. Ini buat kedua dua ibu bapa saya,” kata anak muda itu lagi.

#Adrenalin kembali di Rancak TV

RANCANGAN aksi sukan lasak, Adrenalin kembali dan kali ini boleh ditonton di saluran YouTube, Rancak TV dan juga di Facebook Astro AWANI.

Kali ini, rancangan tersebut lebih fokus kepada sukan papan selaju ataupun skateboarding dan dalam episod yang pertama, ia memaparkan aksi di kejohanan Vans Park Series (VPS) di Singapura.

Penerbit, Ian Johan Ariff melihat kepada peningkatan ‘skate park’ (taman papan selaju) di peringkat Asia di mana ia masih dikuasai Jepun dan kita jauh ketinggalan.

Atlet dari negara matahari terbit itu menguasai podium seperti tahun-tahun sebelum ini dan wakil tunggal negara dalam kategori lelaki, Arina Rahman mendapat tempat keempat.

Ia merupakan kali kedua Arina mendapat tempat keempat, sejak kelayakan peringkat Asia VPS 2019 yang pertama pada 2017, namun membaiki pencapaian tahun 2018 di mana Arina mendapat tempat ke-6.

Ketiadaan juara 2017 dan 2018, Kensuke Sasaoka tidak bermakna Jepun ketandusan bakat untuk terus menguasai podium.

Seperti sukan lain, kita tiada pelapis untuk park skateboarding kerana Arina merupakan atlet yang tinggal aktif dalam disiplin itu dengan menyertai kejohanan di seluruh dunia.

Malah Arina bakal mewakili negara ke Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini dengan pingat sudah ada dalam genggamannya, melainkan dia gagal mempamerkan aksi konsisten di sana.

Arina setakat ini yang terbaik di Asia Tenggara dengan cabaran datang dari Indonesia yang mendapat sokongan padu dari kerajaan mereka untuk pembangunan papan selaju.

Namun, tuan rumah bakal menurunkan salah seorang peluncur mereka yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Jericho ‘Kiko’ Francisco Jr. untuk perebutan pingat emas.

Pengalaman Kiko lebih luas berbanding Arina memandangkan dia berpangkalan di pusat pembangunan papan selaju termaju di dunia.

Saksikan Adrenalin di saluran Rancak TV, jangan lupa untuk ‘subscribe’!

Perak, Selangor, Melaka tempah slot suku akhir Piala Malaysia

Juara bertahan, Perak akhirnya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Malaysia walaupun terikat 1-1 menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Rabu.

Dalam aksi Kumpulan C itu, skuad Bos Gaurus yang juga juara lapan kali, membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi rembatan leret penyerang import dari Brazil, Ronaldo Henrique, namun pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Maxsius Musa pada minit ke-48, hasil sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin.

Satu lagi aksi kumpulan itu menyaksikan juara empat kali, Pahang yang terlebih dahulu telah mengesahkan tempat di suku akhir, mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Skuad Tok Gajah membuka jaringan menerusi pemain import berasal dari Perancis, Herold Mark Goulon pada minit ke-52, sebelum A. Segar menjaringkan gol sendiri lima minit kemudian untuk membantu Pahang muncul juara kumpulan dengan 15 mata, diikuti oleh Perak (9), Pulau Pinang (5) dan empat mata oleh Sabah.

Sementara itu, pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia, Selangor, turut mara ke suku akhir selepas mencatatkan kemenangan 2-0 atas Felda United FC pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Juara sebanyak 33 kali itu, membuka jaringan menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-16, sebelum Mohd Khyril Mhymeen Zambri menggandakan jaringan buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-72.

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pengadil perlawanan mengarahkan pemain Felda United, Thiago Junio keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-87.

Keputusan itu juga membantu Melaka yang terikat 2-2 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, mara ke peringkat lapan terakhir.

Melaka yang turun selaku pasukan pelawat, bermula garang menerusi jaringan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic seawal minit kesembilan, tetapi skuad ‘The Cops’ menyamakan kedudukan dalam masa seminit sahaja menerusi Muhammad Fakrul Aiman Sidid.

PDRM kemudian mengejutkan Melaka dengan jaringan penyerang import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-31, namun Melaka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti bekas kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-54, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Selangor muncul juara kumpulan dengan 10 mata, diikuti Melaka (8), Felda United (7) dan PDRM (6).

Pada aksi suku akhir nanti, Pahang akan bertemu Melaka, Selangor akan berhadapan Perak, Terengganu FC mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala lawan bagi Kedah bakal ditentukan selepas perlawanan Kumpulan B di antara Petaling Jaya City FC dan PKNP FC, Jumaat ini.