Aidil Zafuan teruja kembali perkuat skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Pemain berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak menyifatkan kepulangan beliau dalam skuad Harimau Malaya merupakan satu pengiktirafan tertinggi untuk dirinya bagi terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 32 tahun itu yang dipanggil semula Tan Cheng Hoe dalam senarai 27 pemain bagi sesi latihan pusat skuad negara, bertekad membalas kepercayaan diberikan pengendali skuad Harimau Malaya itu dengan berusaha membantu Malaysia membenam Sri Lanka pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Perlawanan berkenaan merupakan persediaan yang dirangka Cheng Hoe sebelum Malaysia menghadapi Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Okt ini.

“Memang kecewa apabila tidak dapat bersama rakan sepasukan apabila berjuang di tengah padang, dan sebagai pemain, kita kena terima perkara itu dengan positif, dan perlu bekerja keras untuk meraih kembali tempat dalam skuad utama.

Perasaan apabila tengok rakan sepasukan beraksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas membuat saya teruja untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan, dan terima kasih kepada jurulatih (Cheng Hoe) yang memberi peluang kepada saya,” kata Aidil Zafuan pada sidang media praperlawanan Malaysia menentang Sri Lanka di venue berkenaan, hari ini.

Pada masa sama, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berharap kehadiran beliau dapat membantu barisan pertahanan Harimau Malaya mengekang serangan pantas yang bakal ditampilkan jentera serangan Vietnam pada aksi di Hanoi nanti.

Kali terakhir Aidil Zafuan beraksi bersama skuad kebangsaan adalah sewaktu Malaysia tewas dengan agregat 2-3 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh pada 15 Dis lalu.

Beliau juga telah mencatat 82 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sejak 2007.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menegaskan aksi pemanas badan menentang Sri Lanka menjadi medan terbaik untuk dirinya bagi mengenal pasti kesebelasan utama yang bakal diturunkan untuk aksi berdepan Vietnam.

Pengendali berusia 51 tahun itu turut memaklumkan beliau tidak akan memanggil pemain baharu dalam skuad 27 pemain, walaupun beberapa pemain utama dilaporkan masih bergelut dengan kecederaan yang dialami sewaktu membantu pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

“Bagi perlawanan menentang Sri Lanka, kita semestinya mengharapkan keputusan positif, di samping menjadi medan terbaik kepada pemain mendapatkan semula momentum cemerlang yang dipamerkan dalam aksi berdepan Indonesia dan UAE,” kata Cheng Hoe yang tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada beberapa pemain muda untuk aksi berdepan Sri Lanka, malam esok.

Sebagai rekod, Malaysia kini menduduki tangga ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setelah mengutip tiga mata daripada dua perlawanan setakat ini.

Pada perlawanan sulung berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Malaysia mencatat kemenangan 3-2 sebelum tumpas 1-2 kepada UAE dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.

RWC 2019: Fiji benamkan Georgia 45-10

HIGASHIOSAKA: Pasukan ranking ke-11 Fiji dengan mudah menundukkan Georgia 45 – 10 dalam perlawanan Piala Dunia Ragbi di Stadium Ragbi Hanazono, Higashiosaka pada Khamis.

Separuh masa pertama menyaksikan Fiji berjaya mendapatkan tujuh mata menerusi try dari Waisea Nayacalevu pada minit ke-19 diikuti conversion oleh Ben Volavola seminit kemudian.

Geogia hanya mampu mendapatkan tiga mata selepas Soso Matiashvili menyempurnakan sepakan.

Di babak separuh masa kedua, Fiji terus menjarakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi try dari Frank Lomani.

Berselang tiga minit, mata demi mata terus diraih pasukan Fiji menerusi try dari Josua Tuisova.

Georgia tidak mudah menyerah kalah apabila Marmuka Gorgodze dan Soso Matiashvili masing masing menyempurnakan satu try dan conversion.

Ia sama sekali tidak melemahkan lawan, apabila Fiji berjaya mendapatkan empat try dan conversion sehingga tamat wisel perlawanan.

Fiji kini menduduki tangga keempat dalam Pool D di bawah Australia dengan lima mata.

Liverpool nyaris seri menentang Salzburg, Salah jadi wira penyelamat

MOHAMAD Salah menjadi penyelamat kepada pasukan Liverpool apabila menjaringkan dua gol dalam aksi di peringkat Kumpulan E awal pagi tadi.

Ia menjadikan Liverpool menang tipis 4-3 menentang Red Bull Salzburg.

Bermain di laman sendiri, Liverpool berjaya membuka jaringan seawal minit ke-9 menerusi Sadio Mane.

Berselang 14 minit, satu lagi gol berjaya disumbat Andrew Robertson pada minit ke-25 dan minit ke-36 menerusi Salah.

Tidak senang dengan aksi hebat Liverpool itu, Red Bull Salzburg bangkit menyamakan kedudukan.

Tiga gol berjaya disumbat pasukan Austria itu, namun pada minit ke-69, Salah menjadi penyelamat menjaringkan gol keempat Liverpool.

Ia sekali gus menyelamatkan pasukan The Reds daripada terus menerima kekalahan setelah tewas kepada Napoli pada aksi pembukaan lalu.

RWC 2019: All Blacks belasah Kanada 63-0

NEW ZEALAND membelasah Kanada 63-0 dalam perlawanan Piala Dunia Ragbi Pool B yang berlangsung di Stadium Oita, pada Rabu.

Skuad kendalian Steve Hansen menang mudah ke atas kanada selepas memperoleh lapan try, lapan conversion dan satu penalti.

Babak pertama menyaksikan pasukan ranking nombor satu dunia itu jelas menguasai perlawanan apabila mendahului 28-0 sebelum rehat.

Tidak memberi peluang, All Blacks terus menjarakkan diri menerusi lima try dan lima conversion sepanjang tempoh babak kedua.

All Blacks ketika ini menghuni tangga kedua Pool B dengan mengumpul sembilan mata di belakang Itali yang memperolehi 10 mata.

New Zealand bakal berdepan Namibia dalam perlawanan ketiganya pada 6 Oktober ini.

Mei Yamaguchi plots another world title shot ahead of Japan

JAPAN’s Mei “V.V” Yamaguchi is preparing to dish out one of her best career performances against China’s Jenny “Lady GoGo” Huang at ONE: CENTURY PART II in Tokyo, Japan on Sunday, 13 October.

The DEEP Jewels Featherweight World Champion described her ONE Championship return at the biggest martial arts event in history inside the Ryogoku Kokugikan as an opportunity she never expected.

“It is amazing because I knew that a lot of Japanese fighters want to fight on that event, and I was assuming that I might not have the chance to fight this time because there are so many good fighters from Japan,” the 36-year-old said.

“There are also so many superstars on that card, but when I heard that my fight was on that event, I was so excited. I’m happy I can fight in front of the Japanese fans again.”

The hometown hero faces Huang in a rematch of their June 2017 encounter at ONE: LIGHT OF A NATION in Myanmar.

In their first battle, the Riki Gym standout put on a commanding performance as she submitted the Chinese warrior at the 4:00 mark of the second round.

“My strategy was to take her down, take her back and choke her out,” Yamaguchi said. “I was able to do what I needed to do in that cage. That was a good performance.”

Though much has changed since that meeting, “V.V” will be very cautious of any tricks Huang might have up her sleeve.

Yamaguchi is on a four-match win streak, and Huang has been on the losing end in her past four outings.

“I was okay with this choice,” the Japanese athlete said. “I think ONE Championship is telling me that I need to win this and I have to show the impact of how strong I am. That’s the mission for me this time.”

However, Yamaguchi knows she cannot leave the Circle in Tokyo with a decision. A dominant finish would give her the chance to plot her way toward the ONE Atomweight World Title.

“This win can’t be normal. It has to be very aggressive. It has to have an [big] impact so I can say I’m the challenger for the World Title,” she stressed.

“I need to finish her.”

ONE: CENTURY is the biggest World Championship martial arts event in history with 28 World Champions featured across various martial arts. No organization in history has ever promoted two full-scale World Championship events on the same day.

The Home Of Martial Arts will break new ground as it brings multiple World Title bouts, a trio of World Grand Prix Championship Finals, and several World Champion versus World Champion matches to the famous Ryogoku Kokugikan in Tokyo, Japan on 13 October.

Catch all the action of CENTURY PART I at 8:00am Malaysia Time (MYT) on Sunday, 13 October. The main card starts at 11:00am MYT.

Aubameyang buat Manchester United gigit jari

JARINGAN penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-58 membuatkan Manchester United gigit jari untuk meraih tiga mata penuh di Old Trafford selepas kedua-dua pasukan merekodkan keputusan seri 1-1 awal pagi tadi.

Dalam aksi ketujuh Liga Perdana Inggeris itu, The Gunners kelihatan tertekan selepas tuan rumah yang mendominasi perlawanan sehingga memperoleh gol pertama menerusi Scott McTominay pada minit ke-45.

Bagaimanapun ketika memasuki babak kedua perlawanan, anak buah Unai Emery kembali mendapat sentuhan dan memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan lawan untuk menyamakan kedudukan.

Biarpun gagal untuk meraih tiga mata penuh, Aubameyang yang dianggap sebagai wira menyifatkan satu mata itu amat bermakna kerana Manchester United beraksi baik di gelanggang sendiri.

“Saya rasa pasukan berjuang dengan sangat baik pada hari ini. Kaki meraih satu mata. Sukar untuk beraksi di Old Trafford jadi kami menerima keputusan ini.

“Tidak mudah juga ada ketinggalan sebelum waktu rehat tetapi kami bangkit pada babak kedua dengan penuh bersemangat,” katanya Sky Sports.

Arsenal pada ketika ini menghuni tangga keempat liga dengan 12 mata manakala United dikedudukan 10 dengan 9 mata.

Eain Yow, Rachel muncul cemerlang di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas johan junior dunia, Ng Eain Yow menampilkan prestasi cemerlang menentang pemain no 28 dunia, Nicholas Mueller dari Switzerland, untuk merangkul juara di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia ke-39 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Eain Yow, pemain pilihan keempat, mempamerkan salah satu prestasi terbaiknya di musim ini dengan meraih kemenangan sengit 11-7, 12-14, 11-9 dan 11-5 menentang pemain pilihan kedua Mueller dalam pertarungan memakan masa 55 minit di Nicol David Arena.

Eain Yow merupakan pemain ketiga Malaysia yang memenangi kejohanan itu selepas dua bekas pemain kebangsaan – Ong Beng Hee (2000 dan 2008), dan Mohd Azlan Iskandar (2004, 2007 dan 2010).

Terdahulu, pemain wanita kebangsaan, Rachel Arnold meraih kemenangan cemerlang 11-7, 11-13, 10-12, 11-8 dan 11-5 mengalahkan rakan sepasukan senior, Low Wee Wern di pertandingan akhir wanita yang berlangsung 61 minit.

Ini kemenangan ketiga Rachel di Professional Squash Association (PSA) Tour, setelah memenangi Malaysian Tour XI, sebanyak dua kali, masing-masing pada Dis 2015 dan Sept 2017.

Atas kejayaan itu, Eain Yow dan Rachel masing-masing membawa pulang US$30,000 dan US$20,000, pingat, serta trofi kejohanan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berkenan menyampaikan hadiah-hadiah.

JDT ke separuh akhir Piala Malaysia 2019

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, JDT yang memiliki kelebihan jaringan 1-0 di tempat lawan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddun Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu, membuka jaringan seawal minit ke-16 melalui sepakan penalti oleh Gonzalo Cabrera.

Sepakan penalti itu dihadiahkan oleh pengadil selepas Corbin Ong dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain lawan, Nasrullah Haniff Johan.

Pada minit ke-22, giliran Muhammad Safawi Rashid pula menambah jaringan buat JDT melalui sepakan percuma, sebelum merembat satu lagi gol pada minit ke-36 hasil umpanan cantik penyerang Brazil, Diogo Luis Santo.

Skuad Sang Penyu yang sudah cukup tertekan dengan jurang gol yang dijaringkan lawan terus dihukum pada minit ke-39 apabila Cabrera sekali lagi muncul wira meledakkan gol keempat buat pasukannya.

Masih tidak berputus asa, Terengganu kemudiannya berjaya menemui rentak apabila mencipta jaringan pertama mereka pada minit ke-45 menerusi kapten, Lee Andrew Tuck.

Bersambung babak kedua, JDT tampil dengan aksi lebih bertenaga dengan harapan dapat mencari lebih banyak gol manakala Terengganu pula berhasrat untuk mengurangkan defisit.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak membuahkan hasil apabila keputusan kekal 4-1 sehingga tamat perlawanan.

Megat Zulkarnain berang tindakan Filipina pindah venue pertandingan

KUALA LUMPUR: Keputusan tuan rumah Sukan SEA ke-30, Filipina yang bertindak memindahkan beberapa venue pertandingan ke Manila pada saat-saat akhir, jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau mendapat maklumat bahawa Filipina telah memindahkan beberapa venue pertandingan dari kluster Clark ke Manila, sekali gus bakal memberi kesan kepada pergerakan kontinjen negara bertanding, kerana ibu negara Filipina itu telah sedia sesak.

Pada masa yang sama, Megat Zulkarnain turut mendakwa Filipina masih belum mengedarkan buku panduan teknikal (technical handbook) dalam beberapa acara sukan yang sepatutnya sudah diedarkan kepada negara bertanding, sekali gus bakal mengundang masalah kepada atlet dan pegawai, membuat persediaan lebih awal sebelum hari pertandingan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila pada pertengahan bulan depan.

“Saya telah maklumkan kepada pengurus pasukan (kontinjen negara) untuk bersedia secara mental, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku (apabila berada di Filipina), dan saya masih ada kepercayaan tinggi, bahawa akan ada venue baharu yang mereka (Filipina) cuba cadangkan,” katanya selepas melawat skuad skuasy kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, atlet negara akan menikmati makanan yang sedia dimasak di sepanjang menyertai Sukan SEA ke-30, selepas Filipina gagal memberi jaminan penyediaan makanan halal untuk temasya sukan berkenaan.

Katanya perkara berkenaan telah dipersetujui Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, dan ia turut dimaklumkan kepada pengurus sukan yang akan terlibat pada Sukan SEA nanti.

“Saya tidak percaya mereka (Filipina) boleh menyelesaikan isu makanan halal dengan betul, dan sebab itu kita ambil keputusan untuk selesaikan sendiri, iaitu dengan membawa sendiri makanan halal dari negara ini.

“Di situ, saya fikir tidak ada masalah akan timbul terutamanya isu doping dan masalah lain,” tegas Megat Zulkarnain.

Untuk rekod, Filipina bakal mempertandingkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic dari 30 Nov sehingga 11 Dis.

Memperkasa wanita dalam e-sukan… ini Angel Bosskurr

KUALA LUMPUR: Industri e-sukan semakin mendapat perhatian termasuk dari golongan wanita yang dilihat makin hebat dalam pentas sukan maya ini.

Terbaharu, sebuah pasukan yang terdiri daripada lapan ‘bidarari’ yang dikenali sebagai Angel Bosskurr telah ditubuhkan.

Memetik laporan WTM Today, pengasas bersama pasukan tersebut, Sharina Richie berkata tujuannya ialah untuk memperkasakan serta memberi kesedaran kepada umum mengenai penglibatan wanita dalam industri e-sukan.

“Ketika ini memang banyak stigma mengenai pemain wanita apabila mereka bermain video atau melakukan penstriman langsung. Ada yang akan akan merendah-rendahkan kemampuan wanita.

“Kami di Angel Bosskurr ingin menunjukkan ada masa depan bagi kaum Hawa dalam industri e-sukan ini, sama ada dalam bidang kompetitif atau sebagai pempengaruh,” katanya sebagai dipetik portal e-sukan tersebut.

Jelas Sharina, Angel Bosskurr juga akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu, kompetitif dan pempengaruh (influencer).

Berikut adalah senarai ahli-ahli Angel Bosskurr:

Kompetitif (PUBG Mobile)
* Miss Farr
* Baybee
* Reen
* Queen

Pempengaruh (Influencer)
* Fiera Fendi
* Sharina Richie
* Miza Mazlan
* Susan Not

Tambahnya, antara program Angel Bosskurr termasuk menyebarkan ‘aura positif’ terutama menerusi program kembali kepada komuniti.

“Contohnya, sebelum ini saya juga pernah mengadakan program amal bersama kanak-kanak Down Syndrome dan autisme kerana adik saya, jadi saya juga mahu melakukan bersama Angel Bosskurr,” katanya.

Dalam pada itu, Sharina turut memaklumkan, penggunaan nama Bosskurr bukanlah kerana ia viral atau ada kaitan dengan mana-mana fahaman politik.

Katanya, mereka telah menggunakan perkataan Bosskurr sejak dahulu lagi dalam komunikasi harian antara pemain memandangkan kebanyakan mereka dari Sabah.

Malah, jelasnya penggunaan Bosskurr telah menjadi sebagai budaya tutur dalam kalangan pemain dan penggiat e-sukan terutama bagi penyokong Bosskurr Gaming, yang merupakan penaung skuad tersebut.

Sebelum ini, desas-desus mengenai penubuhan Angel Bosskurr telah pun didedahkan menerusi portal e-sukan tempatan, WTM Today pada 15 September lalu.

Menurut portal tersebut, sebuah akaun media sosial Instagram yang menggunakan nama ‘Angel Bosskurr’ telah dicipta dan dimuat naik logonya dengan kapsyen akan mendedahkan ahli-ahli pasukan tersebut.