Jaga kualiti tidur elak maut ketika bersukan – Sathianathan

SHAH ALAM: Orang ramai yang ingin melakukan senaman pada waktu malam dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, aktiviti bersukan pada waktu malam perlu dilakukan dengan kaedah yang betul untuk mengelak daripada sebarang komplikasi seperti sesak nafas dan sakit jantung.

“Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti bersukan pada waktu malam sewajarnya mendapatkan waktu rehat yang mencukupi kerana mereka menggunakan tenaga yang banyak.

“Seseorang yang ingin melakukan aktiviti bersukan pada waktu malam perlu menitikberatkan kualiti tidur dan menjaga pemakanan, sekaligus membantu daya ketahanan badan semasa bersukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad mendedahkan aktiviti bersukan pada waktu malam boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.

Ini kerana tanpa disedari individu berkenaan mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Aktiviti tersebut yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.

Dalam pada itu Sathianathan ketika mengulas perkara tersebut berkata, aktiviti bersukan pada waktu malam menjadi pilihan kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang sibuk bekerja pada waktu siang sehingga tidak mempunyai masa untuk bersukan.

“Bersukan pada waktu malam sangat bagus dan baik untuk kesihatan diri kita kerana sukan adalah sangat penting,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau menasihati golongan muda khususnya yang gemar bersukan pada waktu malam agar tidak memandang remeh terhadap penjagaan waktu tidur dan meminimumkan aktiviti luar yang kurang bermanfaat.

Atlet muda Orang Asli mampu harumkan nama negara

KUANTAN: Lebih ramai atlet muda dalam kalangan masyarakat Orang Asli diharap dapat menonjolkan bakat sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Tajuddin Mohd Yunus berkata perkara itu tidak mustahil kerana telah terdapat beberapa atlet Orang Asli yang berjaya mencatat kejayaan ketika mewakili negara.

“Antara yang paling dikenali ialah Norashikin Mohd Sayed yang terlibat dalam sukan perahu layar di mana beliau pernah memenangi pingat perak Sukan Asia di China pada 2010, pingat emas pada Kejohanan Kapal Layar Asia di China pada 2010 dan pingat emas Sukan SEA di Singapura pada 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penutup Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) 2019 yang turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Norashikin Shaharudin.

Kejohanan kali ke-12 yang bermula sejak Sabtu lepas itu disertai lebih 500 atlet dari tujuh negeri yang bertanding dalam tujuh acara sukan dengan negeri Pahang muncul juara keseluruhan.

Tajuddin berkata atlet Orang Asli lain yang boleh dicontohi ialah adik-beradik Zumika dan Shasha Azmi yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2017 dalam sukan kriket selain Lanida Dahlan, Veronica Mahdan dan Erni Shahira, yang masing-masing memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada kejohanan catur peringkat Asean pada 2017.

Sementara itu, Norashikin berkata Yayasan Bank Rakyat berhasrat untuk membantu mencari dan menggilap bakat atlet muda Orang Asli menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam penganjuran kejohanan itu.

“Selain itu, penglibatan mereka dalam bidang sukan juga boleh meningkatkan kehadiran ke sekolah sekali gus mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli,” katanya.

Dua atlet dari Perak, Mohamad Ary Arifin, 12, dan Ramzafida Ramdin,12, masing-masing diumum olahragawan dan olahragawati kejohanan itu.

Azizulhasni muncul Raja Pecut Asia, raih emas di Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia hari ini.

Beliau meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon hari ini, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekod masa 10.159 saat.

Dalam kategori junior pula, pelumba negara Ahmad Safwan Ahmad Nazeri terlepas pingat gangsa acara pecut individu apabila tewas 0-2 kepada pelumba India Rojit Singh Yanglem dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Terdahulu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560 sat dalam pusingan kelayakan. – BERNAMA

Liverpool masih belum tewas di Liga Perdana Inggeris

ADAM LALLANA menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk memastikan Liverpool seri 1-1 dengan musuh tradisi Manchester United di Old Trafford pada Ahad.

Jaringan pada minit ke-85 itu memastikan Liverpool kekal dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Beraksi di halaman sendiri, United terlebih dahulu di depan menerusi Marcus Rashford pada minit ke-35, selepas menerima hantaran Daniel James.

Gol tersebut tidak dibatalkan pengadil walaupun pasukan Liverpool memprotes keputusan tidak memberikan faul ke atas kekasaran Victor Lindelof terhadap Divock Origi sebelum jaringan itu.

Pengadil perlawanan, Martin Atkitson merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) namun keputusan untuk tidak memberikan faul kekal untuk tuan rumah mendahului 1-0.

Sadio Mane berjaya membolosi gawang United seminit sebelum babak pertama tamat namun VAR mendapati bola terkena tangan penyerang Senegal itu sebelum gol dijaringkan.

Babak kedua menyaksikan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memasukkan Alex Oxlade-Chamberlain dan Lallana yang menyaksikan rentak permainan lebih teratur selain menyaksikan hantaran lintang yang lebih berbahaya.

Penantian penyokong Liverpool untuk mendapatkan gol penyamaan berakhir selepas Lallana yang tidak dikawal mudah menolak bola ke dalam gawang United, selepas Andy Robertson membuat hantaran silang yang cantik melepasi kesemua pertahanan the Red Devils.

Liverpool kini mengumpul 25 mata daripada sembilan perlawanan, enam mata di hadapan juara bertahan Manchester City, manakala United jatuh ke tangga ke-13 dengan hanya 10 mata.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu hanya mencatat dua kemenangan sejak EPL bermula pada Ogos.

Quartararo dinobatkan pelumba muka baharu terbaik MotoGP 2019

KUALA LUMPUR: Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mengesahkan gelaran Pelumba Muka Baharu (rookie) Terbaik MotoGP 2019 menjadi miliknya setelah menduduki tempat kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Jepun, pada Ahad.

Ini ialah penyudah podium keenam buat Quartararo musim ini dan kemenangan di tempat kedua berturut-turut selepas pelumba muka baharu Perancis itu memenangi tempat kedua dalam GP Thailand di Buriram, Thailand, awal bulan ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu kini memperoleh 163 mata untuk memperoleh gelaran pelumba muka baharu terbaik, 97 mata di hadapan pelumba Sepanyol Joan Mir daripada pasukan Suzuki Ecstar.

Di litar Twin Ring Motegi hari ini, Quartararo menamatkan perlumbaan 0.870 saat (s) di belakang pelumba yang baharu dimahkotakan sebagai juara dunia, Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda yang mencatat masa 42 minit, 41.492s sementara pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali di tempat ketiga dengan masa 42:42.817s.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli dari Itali di tempat keenam dengan catatan masa 42:50.679s biarpun memulakan perlumbaan dari petak kedua.

“Dalam sesi ujian, kami menetapkan sasaran antara 50 hingga 90 mata dan menjadi Pelumba Muka Baharu Terbaik tahun ini. Saya gembira kerana mampu memberikan lebih daripada itu untuk pasukan.

Kepada Petronas Racing Team yang percayakan saya, Yamaha, saya berterima kasih kepada semua mereka yang memberikan kepercayaan kepada saya, sudah tentu saya akan memberikan semaksimum yang saya mampu supaya mereka terus mempercayai saya dan sejujurnya saya rasa kami melakukan tugas dengan menakjubkan. Kami akan cuba mengakhiri musim ini dengan cara yang baik,” kata Quartararo menerusi rakaman audio yang disediakan pasukannya hari ini.

Sementara itu, pelumba sulung MotoGP dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengakhiri perlumbaan di tempat ke-19 hari ini.

Atletico kehilangan Joao Felix akibat kecederaan

ATLETICO MADRID 1 VALENCIA 1

Joao Felix berdepan tempoh rehat yang lama selepas Atletico Madrid mengesahkan dia mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan ketika menentang Valencia.

Pemain antarabangsa Portugal itu, yang menyertai Atletico dalam perpindahan bernilai €126 juta (RM588.9) daripada Benfica dalam jendela lalu, terpaksa dikeluarkan ketika pasukannya mencatat seri 1-1 dalam aksi LaLiga ketika permainan berbaki 10 minit di Wanda Metropolitano itu.

Pergelangan kaki pemain berusia 19 tahun itu dilihat terkehel ketika diterjah Dani Parejo sehingga menyebabkan skuad bimbingan Diego Simeone itu terpaksa menamatkan sisa perlawanan dengan 10 pemain setelah menggunakan ketiga-tiga pemain gantian.

Pengurusnya, Simeone, dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan mengakui kecederaan anak buahnya itu “mungkin serius” dan ujian imbasan mengesahkan kecederaan itu di tahap dua.

“Joao Felix telah menjalani ujian x-ray dan imbasan di Clinica Universidad de Navarra menunjukkan dia terseliuh dua pertiga daripada ligamen luar pergelangan kaki kanannya,” kata Atleti di laman sesawang mereka.

Masih belum dapat dipastikan berapa lamakah pemain remaja itu akan tersisih, namun laporan mencadangkan dia mungkin terlepas aksi sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Justeru, Joao akan sekadar menjadi penonton ketika mereka menghadapi Bayer Leverkusen, Athletic Bilbao, Deportivo Alaves dan Sevilla.

Sejak pemain termahal kelab itu berpindah ke Sepanyol, dia telah menyumbat dua gol selain mencipta satu bantuan gol dalam saingan LaLiga.

SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan bertemu lagi untuk tempat ketiga, keempat

JOHOR BAHRU: Malaysia memperoleh tonik terbaik untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di kedudukan ketiga selepas berjaya menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan terakhir saingan liga di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam tadi.

Ia berikutan anak buah Nur Saiful Zaini Nasiruddin itu sekali lagi akan membuat perhitungan bertemu skuad muda Jepun itu hari ini, untuk penentuan tempat ketiga/keempat, selepas pasukan lawan menduduki tangga keempat dengan kelebihan jaringan berbanding New Zealand setelah masing-masing mengumpul enam mata.

Pada aksi malam tadi, Malaysia memperoleh gol sulung hasil jaringan padang Muhammad Hafizi Zainudin seawal minit kelima, namun Jepun bangkit meledak dua gol pada minit kelapan dan ke-12, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sota Ukai serta jaringan padang Ryuji Tamekuni.

Ketika skuad negara berdepan tekanan, Muhammad Amirul Hamizan muncul wira apabila menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dan jaringan padang pada minit ke-50.

Kejayaan menumpaskan Jepun itu juga sekali gus memberi peluang kepada skuad muda negara yang menghuni tempat ketiga selepas mengumpul tujuh mata untuk memperbaiki rekod edisi tahun lepas dengan menamatkan cabaran di kedudukan kelima.

Sementara itu, finalis tahun lepas, Great Britain dan India yang masing-masing mengumpul 10 mata setelah terikat 3-3 pada aksi di venue yang sama petang tadi, akan bertemu sekali lagi dalam aksi final, malam esok.

Pada aksi sengit itu, juara bertahan, Great Britain terlebih dahulu memperoleh gol pada minit ke-27 hasil pukulan sudut penalti Ioan Wall, sebelum Andrew McConnell menambah jaringan pada minit ke-32 menerusi gol padang.

Tidak berputus asa, India melakukan serangan balas dan berjaya menghasilkan gol padang pada minit-48 melalui Shilanand Lakra dan berjaya menyamakan kedudukanj dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 melalui Mandeep Mor sebelum menambah satu lagi gol, juga melalui pukulan sudut penalti Nand Tiwari Sharda pada minit ke-57.

Ketika India yang muncul naib juara tahun lepas berada di ambang kemenangan, Matthew Ramshaw menjadi pemusnah apabila meledak gol ketiga Great Britain seminit sebelum perlawanan berakhir, sekali gus mengikat India dengan keputusan 3-3.

Christian Lee unveils plan and possible next target

KUALA LUMPUR: Nothing can stop Christian “The Warrior” Lee at the moment.

In a matter of months, the Singaporean star has evolved from one of the brightest talents to possibly the most dominant athlete in ONE Championship.

Three world-class opponents attempted to disrupt his dominance, but Lee lived up to his moniker and exhibited traits of a true World Champion.

“Honestly, it was just me as a fighter, as a champion, showing up and going to work,” the 21-year-old Evolve MMA standout said.

“I’ve been saying it all week, ever since I got the fight. As the champion, I should be ready to face any opponent at any time, and that’s what I did. I took on a dangerous opponent and got the win after three rounds.”

What made his most recent win against Saygid “Dagi” Guseyn Arslanaliev at ONE: CENTURY PART I more incredible was the repertoire of his opponent – who finished the likes of Timofey Nastyukhin, Ev Ting, and Amir Khan all in the first round.

“I had 10 days to prepare for this bout. My game plan was there, we created a quick strategy for this opponent, but as you could see – the camera probably caught it, me throwing up after the fight – I left everything in there,” the Hawaii-based athlete said.

“‘Dagi’ is a tough opponent, I have all the respect in the world for him, and he pushed me very far.”

In May, “The Warrior” scored a technical knockout win in 51 seconds of the second round against Shinya “Tobikan Judan” Aoki to be crowned the ONE Lightweight World Champion.

His only target now is to be the athlete who leads ONE Championship’s charge into North America in 2020. And he names the perfect opponent for what could be another year of martial arts magic for the largest martial arts organization in the world.

“There are a lot of [lightweights] worthy of being the contender, but as we’re doing the first show live on TNT in the US, I’d love to see a show in New York City against Eddie Alvarez,” Lee said.

“I think that the fans would be very excited to see a match with Eddie Alvarez in the US, and I would love to be the first person to bring ONE Championship to the United States, so I could see that being next.”

Until then, ONE Championship travels to Jakarta, Indonesia for ONE: DAWN OF VALOR on Friday, 25 October.

Federer bakal beraksi dalam Olimpik Tokyo

ROGER Federer mengesahkan dia bakal beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020 sambil mendedahkan hatinya terbuka untuk kembali bersaing.

Pemain Switzerland itu menyasarkan pingat ketiga di Tokyo tahun depan selepas meraih emas bersama Stan Wawrinka dalam acara beregu lelaki ketika temasya Beijing 2008 sebelum mengutip perak bagi perseorangan di London empat tahun kemudian selepas tewas di pentas final di tangan pilihan utama, Andy Murray.

Federer, 38, yang turut mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik 2000, tewas di tangan pemenang gangsa, Arnaud Di Pasquale, serta 2004 tetapi terlepas Rio 2016 akibat kecederaan lutut.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu mengumumkan keputusannya untuk kembali beraksi selepas perlawanan pertunjukan menentang John Isner di Tokyo.

“Saya telah berbincang dengan rakan sepasukan selama beberapa minggu, bulan sebenarnya, mengenai apa yang perlu saya lakukan ketika musim panas selepas Wimbledon dan sebelum Terbuka Amerika Syarikat,” katanya.

“Akhirnya, hati saya terbuka untuk beraksi dalam Sukan Olimpik sekali lagi.

“Saya membawa bendera Switzerland dua kali di Athens dan Beijing, meraih satu emas dan satu perak. Kini saya sedia untuk beraksi semula, jadi saya gembira.”

Federer telah memenangi tiga gelaran Jelajah ATP musim ini sambil bergelar naib juara Wimbledon apabila tewas di tangan Novak Djokovic setelah melangkah ke kelompok empat terakhir dalam Terbuka Perancis.

Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6

JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara terus dirundung malang apabila dibelasah 0-6 berdepan dengan New Zealand dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin gagal melakar kemenangan pertama apabila sekadar seri 1-1 bertemu Australia dua hari lepas, dan tewas 2-4 bertemu India dalam aksi pembukaan Sabtu lalu.

Anak buah Bryce Collins yang berjaya melakar kemenangan pertama menerusi aksi malam tadi, bermula garang dan tidak teragak-agak mengkucar-kacirkan benteng pertahanan tuan rumah.

Sebaliknya, skuad muda negara jelas gagal menemui rentak permainan sepanjang perlawanan selain gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.

Gol pertama dan kedua New Zealand, masing-masing dijaringkan menerusi gol padang Moss Jackson pada minit ke-19 dan Maks Wyndham Smith (minit ke-23).

Benji Edwards kemudian menambah derita pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-26 dan 33.

Pasukan pelawat terus ghairah menambah jaringan apabila meledak gol kelima dan keenam, masing-masing melalui pukulan sudut penalti Dylan Thomas pada minit ke-45 dan Benji Edwards yang turut menyempurnakan jaringan hatrik pada minit-47.

Pada perlawanan petang tadi menyaksikan juara bertahan Great Britain semakin hampir mara ke pentas akhir apabila menundukkan Australia 1-0, sekali gus melakar kemenangan ketiga mereka.

Gol tunggal skuad kendalian Jon Bleby itu hadir seawal minit pertama menerusi gol padang Jamie Golden, dan anak buah Ben Bishop cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Dalam perlawanan lain, Jepun meraih tiga mata pertama apabila mengejutkan pasukan pilihan, India 4-3.

Skuad kendalian Kyoichi Mori yang sebelum ini tewas dua perlawanan kepada Australia dan Great Britain, berjaya merobek gawang lawan seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Wataru Matsumoto dan Kosei Kawabe pada minit ke-22, juga melalui jaringan sama.

Ketinggalan dua gol, anak buah B J Kariappa berjaya bangkit dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Gursahibjit Singh pada minit ke-31, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jepun menyumbat masuk gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Keita Watanabe pada minit ke-33.

Jepun memperoleh gol keempat pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Kosei Kawabe, manakala gol kedua dan ketiga India disempurnakan Nand Sharda Tiwari pada minit ke-38 dan Pratap Lakra pada minit ke-53, kedua-duanya menerus pukulan sudut penalti.

Pada aksi keempat esok, Malaysia akan bertemu Great Britain, India berdepan Australia, manakala New Zealand menentang Jepun.