Selesaikan kemelut kewangan MUSA antara fokus Presiden baharu

MELAKA: Isu tunggakan gaji pemain tidak berulang pada musim 2020, itu antara fokus utama yang akan diberi perhatian oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li yang baharu dilantik berkuat kuasa Jumaat.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan awal bersama Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan supaya menyediakan kertas cadangan untuk perbelanjaan pasukan Melaka United dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan mengikut kesesuaian peruntukan.

Katanya, kaedah itu turut diguna pakai pada semua peringkat lain termasuk Piala Presiden dan sebagainya supaya kemelut kewangan tidak berlaku lagi dan memastikan kebajikan semua pemain dapat dijaga.

“Kita ada pihak penaja daripada syarikat dan organisasi yang bersedia untuk memberi sumbangan kepada perkembangan bola sepak negeri ini, tetapi sudah tentu mereka mahu dana yang disalurkan ini diurus dengan baik dan ketelusan adalah amat penting dalam sistem pentadbiran dan pengurusan ini.

“Justeru, kita akan pastikan isu hutang dan tunggakan gaji pemain tidak berulang lagi di masa akan datang kerana ia boleh menjejas prestasi pasukan, selain ia akan menyuntik moral pemain untuk memberi komitmen tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hang Jebat, di sini, pada Sabtu.

Yeo berkata pihaknya percaya semua hutang dan tunggakan gaji para pemain Melaka United itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum 30 Nov.

Katanya, berhubung pelesenan kelab bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2020, pihak persatuan telah memenuhi serta melengkapkan keperluan yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan keputusan itu akan diketahui pada Isnin

“Jika Melaka United tidak berdepan dengan tindakan tersingkir daripada saingan Liga Super itu sudah memadai dan kita menaruh kepercayan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk membentuk skuad terbaik walaupun bajet untuk tahun depan tidak tinggi seperti pasukan lain selain optimis pasukan ini mampu memberikan saingan untuk kekal dalam saingan Liga Super dan layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan penyokong-penyokong bola sepak negeri ini dalam masa terdekat untuk mendapatkan idea dan pandangan mereka dalam menambah baik mutu pengurusan dan pentadbiran persatuan serta pasukan.

“Berdasarkan perlembagaan persatuan sebagai presiden saya juga akan melantik seorang wakil daripada kalangan mereka untuk membarisi exco MUSA bagi mendapatkan pandangan-pandangan sebelum menyediakan pelan-pelan pembangunan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya itu, Yeo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat) berkata beliau tidak menyangka namanya dicadang sebagai presiden persatuan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari untuk menggantikan beliau bagi menerajui tampuk kepimpinan MUSA.

Katanya, pada awalnya beliau hanya meminta Adly supaya diberi kuasa eksekutif untuk mengendalikan MUSA berikutan terpanggil untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi persatuan terbabit bagi pihak ketua menteri seterusnya membolehkan beliau (Adly) memberi perhatian penuh terhadap urusan pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan juga ketua menteri yang merupakan Penaung MUSA atas kepercayaan diberi bagi mengendali persatuan ini sebagai presiden,” katanya.

Yeo memegang jawatan itu berkuatkuasa 1 Nov, dilantik selaras dengan statut persatuan Artikel 40 iaitu yang menyatakan siapa saja yang dipilih sebagai Ketua Menteri secara automatik adalah Presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja dianggap sesuai sebagai presiden.

RWC 2019: All Blacks akhiri kempen piala dunia di tempat ketiga

NEW ZEALAND All Blacks menamatkan kempen Piala Dunia Ragbi 2019 di tempat ketiga selepas menewaskan Wales 40-17 pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tokyo, skuad bimbingan Steve Hansen meraih mata menerusi enam tries dan lima conversion.

Di sebalik kekecewaan di peringkat separuh akhir selepas dikejutkan England, All Blacks terus mempamerkan persembahan bertenaga dengan barisan 15 pemain terbaiknya.

All Blacks memperolehi tujuh mata pertama seawal minit kelima menerusi try dan conversion yang masing-masing disempurnakan Joe Moody dan Richie Mo’unga.

Sepanjang tempoh 40 minit pertama perlawanan, All Blacks memperolehi tambahan tiga try iaitu satu menerusi Beauden Barrett pada minit ke-13 dan dua disumbang Ben Smith minit ke-33 dan 41.

Enggan menyerah kalah, Wales merapatkan jurang dengan memperolehi 10 mata menerusi masing-masing satu try, conversion dan penalti.

Bagaimanapun, sebaik separuh masa kedua bermula, All Blacks terus menggandakan asakan dan memperolehi try kelima pada minit ke-42 menerusi Ryan Crotty.

Mo’unga yang menyumbang 10 mata menerusi tendangan conversion turut memperolehi satu try pada minit ke-76.

Wales hanya berjaya menambah tujuh mata sehingga wisel penamat ditiupkan bagi menjadikan keputusan 40-17.

Impian ketuai Liverpool motivasi Alexander-Arnold

TRENT Alexander-Arnold mengakui memasang impian untuk menjadi kapten Liverpool dan tidak dapat membayangkan dirinya beraksi bersama kelab lain.

Pemain berusia 21 tahun itu akan melakukan penampilannya yang ke-100 bersama kelab berkenaan dalam perlawanan menentang Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini — tiga tahun selepas melakukan penampilan pertama di peringkat senior.

Dia merupakan sebahagian watak penting sepanjang era Jurgen Klopp dan tersenarai pendek untuk bersama 30 calon yang akan merebut Anugerah Ballon d’Or 2019.

Bagaimanapun, menjelang penampilan penting bersama kelab kesayangannya sejak dari zaman kanak-kanak itu, Alexander-Arnold memasang satu lagi impian yang perlu dipenuhi.

“Saya tidak malu untuk mengakuinya (menjadi kapten Liverpool) sebagai impian saya,” katanya dalam BBC Radio 5 Live.

“Sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak, ia bukan terletak di tangan saya — bukan saya yang memilih kapten.

“Tetapi ia sesuatu yang mahu saya lakukan satu hari nanti.

“Mengetuai Liverpool sentiasa menjadi impian saya dan ia sesuatu yang memotivasikan saya.

“Saya sentiasa pemain Liverpool dan ia sentiasa menjadi rumah saya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bertukar kelab.

“Saya sentiasa fikirkan Liverpool ditakdirkan untuk menjadi kelab saya.

“Ketika saya membesar, impian saya adalah untuk beraksi bersama Liverpool.

“Sekarang, saya hidup dengan impian itu dan saya tidak nampak ia akan berubah,” katanya.

Alexander-Arnold menjadi pemain termuda untuk bermula dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut ketika Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 2-0, Jun lalu.

Pemain kebangsaan England itu turut berterima kasih kepada Klopp kerana menjadikannya pemain seperti hari ini.

“Dia seorang yang menjadikan saya seperti hari ini.

“Dia mendorong saya untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari.

“Dia telah memberikan saya terlalu banyak peluang, saya tidak akan dapat membalas jasanya,” tambahnya.

Piala Malaysia: Kedah mahu tebus kekecewaan final 2017

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga dan keazaman tinggi untuk mencapai kemenangan pada final Piala Malaysia edisi tahun ini seterusnya menebus kekecewaan yang dialami pasukan itu pada aksi sama dua tahun lalu.

Kedah akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini, lawan sama yang mengecewakan mereka pada final Piala Malaysia 2017 dengan kekalahan 0-2.

Aidil Sharin berkata peluang beraksi di pentas akhir bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, justeru setiap pemain skuad Lang Merah perlu memanfaatkan peluang kali ini dan menjulang piala berprestij tanah air itu.

“Insya-Allah, saya percaya kepada semua pemain, harapan saya agar keputusan di final nanti memberi keputusan terbaik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan Kedah sempena final Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Aidil Sharin berkata ketiadaan dua pemain pertahanan, Renan Alves dan Mohd Rizal Khazali, yang tidak dapat beraksi kerana digantung permainan tidak akan memberi masalah besar kerana ada pemain lain yang mampu menggalas tanggungjawab mengekang JDT.

Sementara itu, bekas pemain JDT yang kini bersama Lang Merah, Mohd Azamuddin Akil berharap Kedah dapat membuat kejutan Sabtu ini memandangkan bekas pasukannya itu memiliki barisan pemain hebat dan kuat.

“Semua orang tahu JDT ni pasukan yang kuat, kami datang ke Bukit Jalil bukan sebagai pasukan pilihan, tapi kena main macam biasa seperti berlawan dengan Pahang (di peringkat separuh akhir), semasa perlawanan di Pahang, kami tidak fikir apa dan kami enjoy bermain hingga layak ke peringkat akhir ini,” katanya.

Bagi pemain pertahanan Kedah, Muhammad Shakir Hamzah pula, tugas berat menanti pasukannya terutama bagi pemain yang dipilih menggantikan Renan dan Rizal yang bertanggungjawab menutup peluang JDT menjaringkan gol.

Beliau bagaimanapun optimis, jika Kedah mampu mempamerkan permainan berpasukan dan tekad yang tinggi keputusan positif mampu dicapai.

Turut berkongsi pandangan, penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kasim yang bertekad tidak mahu gawang Kedah dibolosi dengan mudah oleh JDT.

“Kami kena bagi tumpuan terutama rembatan luar kotak dan hantaran berbahaya mereka, namun ini Piala Malaysia tentunya saya akan buat yang terbaik dalam misi menjulang kejuaraan kali ini,” katanya yang melihat tiga pemain JDT iaitu Mohd Safawi Rashid, Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo sebagai ancaman utama Kedah.

Kedah yang sebelum ini menjulang Piala FA edisi tahun ini melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas mencatat keputusan agregat 8-8 menewaskan Pahang pada peringkat separuh akhir.

Subahan Kamal, S. Shamala sahkan akan bertanding pertahan jawatan MHC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Dr S. Shamala akan bertanding mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden Konfederasi Hoki Malaysia bagi penggal yang akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas mereka mendapat sokongan besar daripada ahli gabungan yang mahukan mereka mempertahankan jawatan masing-masing pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MHC ke-66 pada 16 Nov ini.

“Selepas mempertimbangkan beberapa faktor, terutamanya kepercayaan dan keyakinan ahli gabungan, kami membuat keputusan untuk menghormati seruan ini (untuk bertanding).

“Kami akan berusaha dan bekerja keras, jika dipilih, untuk membawa hoki Malaysia bersama-sama sekutu kami ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh empat tahun akan datang,” kata Subahan dan Shamala dalam kenyataan bersama MHC pada Selasa.

Mereka berkata mengkaji semula prestasi empat tahun yang lepas, ranking pasukan lelaki dan wanita telah bertambah baik.

Pasukan lelaki yang menduduki tangga ke-11 dunia selepas 15 tahun, bersedia untuk menghadapi tugas berat berdepan pemenang pingat emas sukan Olimpik tiga kali, Great Britain, mengetengahkan pemain daripada pasukan nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19) dalam dua perlawanan playoff di Lee Valley Hockey dan Tennis Centre, London pada 2 dan 3 Nov.

Subahan dan Shamala sebelum ini menegaskan mereka tidak akan bertanding andai skuad lelaki gagal ke saringan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tiger mengaum, Hamilton menderum: Kemenangan dicapai, rekod hampir digapai

DUNIA sukan semakin hampir menobat dua jaguh  – Tiger Woods dalam sukan golf dan Lewis Hamilton – Formula 1 GP sebagai G-O-A-T (greatest of all time); gelaran khusus bagi individu atau juara paling unggul di dunia.

Pada hujung minggu, Tiger Woods menyamai rekod Sam Snead meraih kejuaraan ke-82 kemenangan di padang Golf PGA (Professional Golf Association). Woods menjuarai Kejohanan Zozo – pertandingan jelalah PGA bertempat di Jepun, mengalahkan cabaran dari pemain seperti Rory McIlroy, Rio Ishikawa dan Sergio Garcia.

Woods, 43 tahun, baru sahaja menjalani pembedahan lutut yang kelima sembilan minggu lalu menyamai rekod Snead yang diciptanya pada tahun 1965.

Pada April lalu, Woods turut kembali menyambung kutipan kejuaraan Major, kali ini kejuaraan ke-15 bagi dirinya. Kejayaan itu menamatkan kemarau 11 tahun selepas kemenangannya di US Open pada 2008.

Kini hanya tinggal tiga lagi kejuaraan Major yang perlu dikejar Woods – Jack Nicklaus masih memegang rekod mengumpul sebanyak 18 Kejuaraan Major.

Sementara itu, juara lima kali Kejuaraan Formula 1 Grand Prix, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes semakin hampir dengan rekod Michael Schumacher setelah memenangi Grand Prix Formula One Mexico pada Ahad.

Bermula dari petak ketiga, Mercedes memilih strategi berhenti tukar tayar sekali (one-pit-stop) yang menyebabkan saingannya Charles Leclerc dan Sebastian Vettel tercicir dalam usaha mengejar Hamilton yang berjaya menjarakkan jenteranya dari semua pencabar hingga tamat perlumbaan.

Dengan kemenangan ini, Hamilton hanya perlu mengumpul 4 mata dari baki tiga perlumbaan (Austin Texas, Sao Paulo, Brazil dan Yas Marina di Abu Dhabi).

Sementara itu, England akan bertemu Afrika Selatan untuk menentukan juara Ragbi Piala Dunia 2019 (Rugby World Cup 2019) pada perlawanan akhir di Yokohama, Jepun Sabtu hadapan.

Dalam pertarungan separuh akhir pada Sabtu, England mematahkan cabaran All-Blacks dengan mencatat kemenangan 19-7.

Pada Ahad pula, Wales – Juara Piala Enam Negara 2019 (Six Nations) tewas kepada Afrika Selatan 16-19.

Dalam sejarah cabaran Ragi Piala Dunia, England muncul juara pada tahun 2003 manakala Afrika Selatan juara dua kali – pada 1995 dan 2007.

Untuk perlawanan akhir pada Sabtu hadapan, England akan disorak paling ramai penyokong. Statistik menunjukkan hampir 25 peratus dari 1.8 juta tiket untuk keseluruhan pelawanan sepanjang RWC 2019 telah dibeli secara atas talian oleh peminat dari England.

Harimau Selatan, Lang Merah tentukan kejuaraan Piala Malaysia

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah bakal membuat perhitungan menentukan pasukan mana yang layak menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2 November depan selepas mengatasi lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua malam tadi.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, JDT yang tampil dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Sabtu lalu meneruskan momentum cemerlang apabila menewaskan Selangor 3-0 untuk mara dengan agregat 5-1.

Pelawat kendalian Benjamin Mora bermula cemerlang apabila merobek gawang tuan rumah pada minit ke-25 hasil jaringan Safawi Rashid selepas menyempurnakan umpanan Afiq Fazail untuk kedudukan 1-0 babak pertama.

Bersambung babak kedua Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama melebarkan jurang apabila sekali lagi Safawi merobek gawang The Red Giants kendalian B Sathianathan itu beberapa saat perlawanan bermula.

Pada minit ke-51, Safawi melengkapkan hatriknya apabila dengan bijak menyudahkan lorongan Gonzalo Cabrera untuk kedudukan JDT mengatasi Selangor 3-0.

Sementara aksi di Stadium Darulmakmur, Kuantan pula Pahang terpaksa akur kebangkitan luar biasa Kedah apabila tewas berdasarkan peraturan gol tempat lawan setelah terikat 5-5 selepas seri 8-8 secara agregat.

Tuan rumah yang memiliki kelebihan gol di laman lawan selepas mengikat Kedah 3-3 pada aksi di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu terlebih dulu dikejutkan jaringan minit kelapan Fernando Rodriguez yang menyudahkan hantaran Baddrol Bakhtiar.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil rembatan cantik menewaskan Ifwat Akmal untuk kedudukan 1-1 babak pertama.

Bersambung babak kedua Lang Merah kembali di depan hasil jaringan Jonatan Bauman pada minit ke-54″ selepas menerima umpanan dari Zaquan Adha.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila skuad kendalian Dollah Salleh itu kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan minit ke-71 Lazarus Kaimbi untuk kelebihan kembali berpihak Tok Gajah.

Gol itu nyata tidak melemahkan semangat Lang Merah apabila Baddrol Bakhtiar kembali menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-85.

Gol penyamaan itu mengheret perlawanan ke masa tambahan nyata membarakan semangat pemain-pemain pelawat apabila Renan Alves memastikan Lang Merah kembali di depan selepas menyudahkan sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar pada minit ke-93′ untuk kedudukan 4-3.

Bersambung separuh kedua masa tambahan, tuan rumah diberikan sepakan penalti selepas Alves menjatuhkan Nwakaeme yang mudah disempurnakan Herold Goulon pada minit ke-114′ untuk kedudukan 4-4.

Belum sempat tuan rumah kembali mengatur serangan, Fernando Rodriguez kembali meletakkan Lang Merah di depan 5-4 dengan gol pada minit ke-118′

Sembilan gol itu nyata tidak cukup mengakhiri perlawanan di Kuantan apabila Dickson Nwakaeme kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-121 untuk kedudukan 5-5 sekali gus agregat 8-8.

Pahang terlepas tiket final, Kedah mara temu JDT

BIARPUN mencatatkan keputusan seri, 5-5 dalam aksi separuh akhir kedua, skuad Tok Gajah terpaksa berputih mata untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia 2019.

Dalam perlawanan yang penuh dramatik di Stadium Darul Makmur malam ini, Kedah mara ke perlawanan akhir dengan agregat 8-8 berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan untuk meranapkan impian skuad kendalian Dollah Salleh.

Kedah terlebih dahulu menggegarkan gawang rumah menerusi jaringan kapten pasukan, Fernando Rodriguez hasil umpanan Baddrol Bahktiar pada minit ke-8.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain tuan rumah menggandakan asakan namun beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan.

Pahang kembali menyamakan kedudukan menerusi dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada m-33.

Kedudukan kekal hingga tamat separuh babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Kedah kembali mengejutkan tuan rumah hasil jaringan penyerang importnya,Jonatan Bauman pada m-54.

Namun Pahang kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang kelahiran Namibia, Lazarus Kaimbi pada m-71 dan lima minit kemudian,dia sekali lagi menggegarkan gawang Kedah untuk membawa tuan rumah mendahului lawan.

Namun kegembiraan Pahang kembali tercalar selepas Baddrol menambahkan derita buat tuan rumah hasil sepakan percuma pada m-84.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan dan terpaksa mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memastikan mereka kembali ke depan hasil jaringan, Renan Alves pada m-92.

Pahang tidak berputus asa dan peluang kembali terbuka selepas sepakan penalti berjaya disempurnakan oleh pemain pertahanan,Herold Goulon untuk kembali terikat, 4-4 pada m-114.

Namun kealpaan pertahanan tuan rumah mengundang padah selepas Rodriguez membawa Kedah kembali mendahului pada m-117.

Jaringan penyerang Pahang Dickson Nwakaeme sebelum wisel penamat dibunyikan tidak membawa makna buat tuan rumah.

Kedah akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perlawanan akhir saingan piala tersebut di Stadium Bukit Jalil pada 2 November ini.

Stadium Kuala Lumpur dipilih venue final Piala AFC 2019

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur diumumkan sebagai venue perlawanan akhir Piala AFC di antara pasukan 4.25 SC Korea Utara dan Al Ahed Lebanon.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata keputusan itu berdasarkan pertimbangan ke atas stesen penyiaran dan promosi permainan supaya dapat dilihat di seluruh pelusuk Asia.

AFC, walau bagaimanapun, belum memberikan sebab dan alasan kenapa mereka memilih Stadium Kuala Lumpur sebagai lokasi bagi perlawanan akhir itu.

Perlawanan akhir itu bakal berlangsung pada 4 Nov, dua hari lewat daripada jadual asal.

“Kedua-dua persatuan dan kelab persatuan telah dimaklumkan dan AFC meminta maaf atas kesulitan yang tidak dapat dielakkan,” kata AFC dalam satu kenyataan.

Awal minggu lalu, badan pentadbir bola sepak Asia itu mengambil keputusan memindahkan venue perlawanan ke Shanghai dari Pyongyang disebabkan sekatan ekonomi antarabangsa yang mempengaruhi Korea Utara.

Setahun tidak beraksi, McGregor umum kembali bertarung Jan tahun depan

BEKAS juara berganda UFC, Conor McGregor mengumumkan akan kembali bertarung di gelanggang Octagon pada awal tahun depan.

Bercakap kepada sidang media di Moscow, Rusia pada Khamis, bintang MMA dari Ireland itu menyatakan hasrat ingin bertarung pada 18 Januari di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

“Tarikh tu dah dipersetujui. Saya tak kisah siapa lawan saya,” katanya.

Selain itu, McGregor turut memaklumkan dia ingin bertarung sebanyak tiga kali pada tahun yang sama dan ingin mencabar pemenang bagi pertarungan Nate Diaz dengan Jorge Masvidal.

Seterusnya, petarung berusia 31 tahun itu mahu bertarung pula dengan pemenang perlawanan Khabib Nurmagomedov dengan Tony Ferguson.

Dia juga inginkan pertarungan tersebut berlangsung di Moscow.

“Saya akan fokus kepada perlawanan. Saya tidak akan minum alkohol,” katanya lagi.

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi ‘submission’ pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.