Pasukan FootGolf pertama Malaysia bakal berentap di Piala Asia 2019

PERTAMA kali dalam sejarah, Malaysia akan menghantar wakil ke Piala Asia FootGolf Yamaha 2019, yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 November di Horizons Golf Resort di New South Wales, Australia.

FootGolf Malaysia (FGM) dalam satu kenyataan media mensasarkan untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik.

Kenyataan itu disuarakan ketua pasukan lelaki Malaysia, Jeffrey Dean Abdul Daud @ Cottam.

“Ini merupakan saat yang membanggakan bagi kami. Semasa kami bermula tidak lama dahulu, matlamat kami untuk menyertai Piala Dunia FootGolf.”

“Oleh itu, Piala Asia ini satu permulaan dan batu loncatan bagi kami untuk mencapai matlamat tersebut.” kata Jeffrey.

Penyertaan bersejarah FGM ke Piala Asia FootGolf 2019 turut dikuasakan oleh Rhino (Asia Tenggara) sebagai rakan rasmi.

Sebagai sebuah jenama antarabangsa, Rhino (Asia Tenggara) komited untuk membawa FGM selangkah ke peringkat terbaik dengan sokongan padu dari luar lapang hijau.

Sukan FootGolf yang semakin popular di negara ini, adalah kombinasi dua sukan berbeza, iaitu bola sepak dan golf.

Peraturan FootGolf adalah sama seperti golf. Objektifnya adalah untuk memastikan bola bersaiz 5 masuk ke dalam lubang (21 inci) dalam jumlah sepakan terendah.

FGM, berpangkalan di Pusat Golf Bukit Jelutong, Selangor merupakan badan pentadbir untuk sukan FootGolf di Malaysia dan juga merupakan ahli eksklusif Persekutuan Antarabangsa FootGolf (FIFG).

FGM berusaha untuk mempromosi dan membangunkan sukan tersebut di Malaysia dengan menggalakkan penyertaan di peringkat sosial, akar umbi dan juga kompetitif.

FootGolf merupakan sebuah sukan antarabangsa yang dikawal selia oleh FIFG.

Kejohanan serantau (Piala Asia) dan dunia (Piala Dunia) diadakan secara dwitahunan sejak 2012.

Piala Dunia FIFG 2020 yang mendatang bakal berlangsung di Jepun.

Selepas 26 tahun dan lumpuh, Wayne Rainey kembali ke litar

SIAPA yang meminati sukan permotoran paling elit di dunia MotoGP sekitar era awal 90an pastinya akan ingat nama-nama jaguh zaman itu seperti Wayne Rainey, Kevin Schwantz, Luca Cadalora dan Mike Doohan.Selepas era penguasaan Eddie Lawson, nama Wayne Rainey pastinya sentiasa segar di ingatan.

Mana tidaknya, itulah satu-satunya juara dunia MotoGP bagi kategori 500cc waktu itu yang mengakhiri kariernya di atas kerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan ketika berlumba di atas litar.

Peristiwa itu berlaku ketika berlangsungnya saingan Grand Prix di Misano, Itali pada 1993 setelah merangkul kejuaraan dunia sebanyak tiga kali.

Ketika mendahului perlumbaan jentera Yamaha dinaikinya kemalangan dan menyebabkan Rainey tercampak ke perangkap keselamatan batu pada kelajuan tinggi.

Impak daripada hentakan tersebut telah menyebabkan tulang belakangnya patah hingga menyebabkan beliau lumpuh dari paras dada ke bawah sekali gus mengakhiri perjalanannya dalam dunia MotoGP.

Sejak itu, Rainey tidak lagi mampu merasai kenikmatan menunggang motosikal sepertimana pernah dikecapinya sebelum ini.

Hampir keseluruhan hidupnya dihabiskan di atas kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari.

Namun selepas 26 tahun, legenda MotoGP itu akhirnya diberi peluang oleh Yamaha Moto USA untuk merasai kembali tunggangan yang dirinduinya apabila berjaya mengubahsuai YZF-R1 untuk Rainey.

Malah gear jentera itu juga diubahsuai di mana ia membolehkan Rainey menukar kelajuan gear menggunakan tangan.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Rainey di Twitternya dan MotoAmerika, bekas juara itu mengakui berasa sedikit janggal sebaik menaiki jentera itu namun berjaya menyesuaikan diri selepas beberapa pusingan.

“Saya rasa berdebar-debar dan tak tahu apa yang nak dijangka. Pada awal ia agak janggal untuk mengendalikan motosikal.

“Beberapa pusingan awal ia (rasa) agak ganjil, tetapi selepas beberapa pusingan dan selepas berehat dan masuk ke litar balik, ia dapat dikendalikan.

“Selepas 26 tahun tidak menunggang dan tiba-tiba dapat naik R1, saya seakan muda kembali!” katanya.

Ketika insiden kemalangan pada 1993 itu, Rainey sedang mengejar kejuaraan keempat dunianya dan sedang mendahului perlumbaan tatkala dikejar oleh musuh utamanya ketika itu Kevin Schwantz daripada pasukan Suzuki.

Tenis ATP Final: Tsitsipas, Nadal ke separuh akhir

LONDON: Stefanos Tsitsipas menundukkan pemain Jerman Alexander Zverez untuk menjadi empat pemain akhir bagi ATP Final.

Pemain yang mewakili Greece itu menang straight set dengan 6-3 dan 6-2.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod kemenangan ke atas Zverez dengan 4-1.

Selain Zverez, seorang lagi pemain mengesahkan tempat di separuh akhir adalah Rafael Nadal.

Reaksi Rafael Nadal ketika perlawanan final ATP menentang Daniil Medvedev di The O2, London, Britain, 13 Nov, 2019. REUTERS

Nadal bangkit dari ketinggalan untuk menghidupkan semula peluang ke pusingan akhir ATP Final dengan menundukkan Daniil Medvedev.

Kemenangan membolehkan Nadal menempah slot ke separuh akhir.

Dia kini dalam misi berganda untuk menamatkan musim dengan gelaran juara ATP buat pertama kalinya.

Nadal juga mahu meraih ranking pertama pemain.

Ini soalan serius atau jenaka? – Nadal berang kekalahan dikaitkan dengan isteri

LONDON: Pemain tenis No.1 dunia, Rafael Nadal hilang sabar selepas kekalahannya pada pusingan akhir Kejohanan ATP di London dikaitkan dengan perkahwinannya.

Nadal tewas kepada Alexander Zverev selepas pemain berusia 22 tahun dari Jerman itu menang 6-2 dan 6-4, lapor CNN.

Pada sidang media, pemain Sepanyol itu nyata berang apabila wartawan mengaitkan punca kekalahan disebabkan perkahwinannya dengan Xisca Perello.

“Awak bertanyakan saya soalan ini? Adakah ini soalan serius atau jenaka?

“Saya sungguh tidak sangka anda tanya saya soalan sebegini selepas saya bersama dengan wanita yang sama sejak 15 tahun lalu.

“Selama tempoh itu, saya berada dalam keadaan yang stabil dan normal,” katanya.

Terdahulu, Nadal dan Perello berkahwin di Mallorca, Sepanyol bulan lalu selepas menjalinkan hubungan selama 15 tahun.

Kemarahan Nadal memuncak sebelum mengajukan soalan kepada wartawan dari Itali itu.

“Berapa lama anda sudah bersama dengan pasangan anda? Kami berpindah ke Sepanyol kerana semua yang berlaku ini sangat tidak masuk akal.

“Terima kasih,” kata Nadal sebelum menamatkan sidang media berkenaan.

Eki digugurkan dalam perlawanan Malaysia berdepan Thailand dan Indonesia

PETALING JAYA: Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi antara tiga pemain digugurkan Ketua Jurulatih Kebangsaan Tan Cheng Hoe menjelang dua aksi getir di Stadium Nasional Bukit Jalil berdepan Thailand dan Indonesia dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Senarai 23 pemain skuad kebangsaan itu diumumkan Cheng Hoe dalam satu kenyataan media dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Muhammad Shahrel Fikri atau lebih dikenali dengan panggilan Eki, 25, yang meledak hatrik pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika menewaskan Timor Leste 5-1 pada aksi kedua ‘playoff’ kelayakan Jun lepas, digugurkan bersama pemain sayap Muhammad Farhan Roslan dan Nazirul Naim Che Hashim (pertahanan).

Pengguguran Muhammad Shahrel itu menyaksikan Cheng Hoe mempertaruhkan penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha dan Muhammad Syafiq Ahmad dalam misi meraih enam mata penuh dalam dua pertembungan pada 14 dan 19 Nov ini.

“Eki (Muhammad Shahrel) mengalami kecederaan agak lama dan kita perlukan pemain yang mempunyai tahap kecergasan 100 peratus jadi sebab itu beliau tidak disenaraikan dan Nazirul pula kerana kita ada Syazwan (Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak) di posisi itu.

Farhan mempunyai potensi dan masa depan yang cerah bersama skuad kebangsaan tetapi dalam masa singkat bukan mudah untuk dia sesuaikan diri dengan corak permainan pasukan,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini, pada Isnin.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu Thailand yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Malaysia melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta pada September lepas, sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lepas.

Berikut adalah senarai 23 pemain dipilih Cheng Hoe bagi dua aksi berdepan Thailand dan Indonesia:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias; Muhammad Haziq Nadzli; Mohd Khairulazhan Mohd Khalid

Pertahanan: Adam Nor Azlin; Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak; La’vere Corbin-Ong; Matthew Davies; Shahrul Mohd Saad; Muhammad Syahmi Safari; Dominic Tan Jun Jin

Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba; Mohd Afiq Fazail; Muhamad Nor Azam Abdul Azih; Brendan Gan; Baddrol Bakhtiar; Muhammad Danial Amier Norhisham; Mohd Azzizan Nordin

Sayap: Muhammad Safawi Rasid; Muhammad Akhyar Abdul Rashid; Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak; Mohamadou Sumareh

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad; Norshahrul Idlan Talaha;

KHA keluarkan hanya satu borang rasmi – Presiden

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Mohd Asmirul Anuar berkata hanya satu sahaja borang pencalonan untuk pemilihan ahli jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dikeluarkan secara rasmi oleh persatuan itu.

Berikutan kontroversi mengenai dua borang pencalonan dari KHA, Mohd Asmirul menegaskan bahawa beliau tidak pernah menurunkan kuasa kepada mana-mana pihak untuk mewakilinya dalam urusan surat-menyurat persatuan.

Menerusi surat yang dihantar kepada KHM dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Ahad, Mohd Asmirul menzahirkan rasa dukacita dengan tuduhan palsu yang dilemparkan kepada pihaknya selepas KHM memaklumkan senarai calon yang layak bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM, Sabtu ini.

“Saya bagi pihak KHA, mengesahkan sekali lagi bahawa hanya satu borang pencalonan adalah sah, iaitu yang dihantar pada 24 Okt. Selepas pihak KHM memohon pengesahan daripada kami pada 4 Nov, barulah saya mengetahui terdapat penghantaran borang lain yang palsu pada 1 Nov.

“Saya tidak pernah menurun kuasa atau memberi kebenaran kepada mana-mana ahli jawatankuasa saya untuk mewakili KHA dalam urusan surat-menyurat ataupun pengeluaran kenyataan media.

“Ini amat salah dari segi perwakilan sesebuah organisasi, saya akan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada semua pihak yang telah memburukkan nama KHA serta negeri Kedah secara keseluruhan,” menurut surat itu.

Pada sidang media pagi semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra Bipin Chandra berkata pihaknya menerima dua borang pencalonan, iaitu yang pertama ditandatangani oleh Mohd Asmirul (24 Okt) yang mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal untuk jawatan presiden dan Prof Datuk Dr S Shamala bagi jawatan timbalan presiden wanita.

Borang kedua pula diterima pada 1 Nov yang ditandatangani oleh setiausahanya, Sandra Gesan yang mencadangkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun untuk jawatan presiden dan K Maheswari untuk timbalan presiden wanita.

Kamarudin gagal mencabar penyandang, Subahan, bagi jawatan nombor satu kerana kurang satu pencalonan daripada minimum tiga pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden, sekaligus Subahan yang menerima 13 pencalonan mengekalkan jawatannya dengan menang tanpa bertanding.

Terkini, KHM menerusi kenyataan di laman web rasminya memaklumkan bahawa Jadadish telah mengemukakan surat tuntutan ke atas sebuah akhbar tempatan kerana menerbitkan artikel yang tidak benar pada Jumaat lalu, bertajuk “Tangan Ghaib Padam Dua Nama.”

Surat tuntutan juga dikeluarkan kepada wartawan yang menulis artikel itu dan Timbalan Presiden KHA, S Satish Kumar yang memberikan komen di dalam artikel yang sama kerana membuat pertuduhan wujudnya “tangan ghaib” telah menukar borang pencalonan itu.

Dalam pada itu, Subahan turut kesal dengan terbitan artikel berkenaan kerana menggunakan nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang dikatakan salah seorang mangsa, apabila namanya ditukar dalam pencalonan pemilihan ahli jawatankuasa KHM bagi penggal 2019-2023.

“Saya begitu kesal dan terkilan kerana ada pihak tidak bertanggungjawab turut menggunakan nama Tengku Hassanal kerana kami di KHM memberikan sokongan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal untuk menyertai keluarga KHM sebagai timbalan presiden.

Risau cuaca panas, acara maraton Olimpik Tokyo dipindahkan ke Sapporo

TOKYO: Bagi mengelak atlet dan penonton terdedah dengan cuaca panas melampau dan kelembapan musim panas di Tokyo, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, pada minggu lalu membuat keputusan memindahkan acara perlumbaan maraton di Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke Sapporo.

Ia juga adalah berikutan daripada apa yang berlaku di Doha, Qatar pada bulan lalu apabila hampir 40 peratus pelari maraton wanita yang menyertai Kejohanan Olahraga Dunia gagal menghabiskan perlumbaan kerana cuaca terlalu panas.

Ini bermakna, dengan kurang daripada sembilan bulan sebelum Sukan Olimpik 2020 bermula, penganjur perlu mengaturkan maraton lelaki dan wanita untuk diadakan di Sapporo iaitu bandar terbesar di kepulauan utara Hokkaido, Jepun.

Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur Sukan 2020 Tokyo bersetuju dengan Sapporo dan Hokkaido bahawa kedua-dua kerajaan tempatan tidak akan membiayai kos berkaitan dengan maraton Olimpik dan acara berjalan kaki yang akan diadakan di bandar.

Perjanjian itu dibuat pada mesyuarat tiga hala di Sapporo di mana ketiga-tiga pihak mengesahkan bahawa kerajaan tempatan tidak akan menanggung sebarang kos perbelanjaan sebaliknya hanya akan menanggung kos yang berkaitan dengan pembaikan jalan dan kerja pentadbiran lain.

Pada awalnya, kerajaan Tokyo tidak bersetuju dengan pemindahan tempat acara maraton tersebut namun atas beberapa pertimbangan yang dilakukan, mereka menerima keputusan tersebut dengan syarat tidak perlu menanggung kos yang berkaitan dengan perubahan tempat.

Bagaimanapun, Professor Shige Nakajima, pengajar di Japan College of Foreign Language yang juga merupakan wakil sukarelawan Tokyo Olimpik 2020 berkata pemindahan tersebut tidak menjadi satu isu yang besar kerana di mana sekalipun acara tersebut, ia turut membawa imej negara Jepun.

Namun, ia mungkin menjadi masalah kepada sukarelawan yang perlu bertugas di Sapporo kerana mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan kemudahan hotel, pengangkutan dan sebagainya.

“Ia akan menjadi perubahan besar kerana pastinya sudah ada pihak yang terlibat seperti penonton, media dan sebagainya bagi acara berprestij tersebut sudah menempah hotel di Tokyo dan kini mereka perlu menukar semua kelengkapan penginapan mereka ke Sapporo pula,” katanya semasa ditemu bual oleh wartawan Malaysia di Tokyo.

Dalam pada itu, laluan bagi maraton Olimpik dan acara lumba jalan kaki serta titik permulaan dan penghabisan bagi kedua-dua perlumbaan akan ditentukan oleh pihak Maraton Hokkaido.

Jika ingin diikutkan, suhu di ibu negara Jepun, Tokyo pada bulan Julai dan Ogos seringkali melebihi 30 darjah celsius, dengan kelembapan tinggi dijangka memberi kebimbangan dan dapat mengganggu prestasi atlet.

Manakala di Sapporo, dalam tempoh musim panas yang mana bakal berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sebanyak enam darjah sejuk pada siang hari berbanding di Tokyo.

Malaysia kalahkan Thailand 1-0, layak ke Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 selepas mengalahkan Thailand 1-0 di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Kemenangan tipis itu membolehkan skuad B-18 negara berjaya mengekalkan rekod bersih untuk muncul juara Kumpulan G dengan mengutip maksimum 12 mata dalam empat perlawanan.

Malaysia hanya memerlukan keputusan seri ke atas Thailand, namun jaringan Muhammad Umar Hakim Suhar Redzuan pada minit ke-84 memberi tiket automatik kepada anak buah Brad Maloney ke pusingan akhir di Uzbekistan, Oktober tahun depan.

Selepas kedua-dua pasukan gagal menyudahkan banyak peluang walaupun sering melancarkan serangan berbalas tetapi Muhammad Umar akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan dengan menyudahkan hantaran lintang Muhammad Azman Murad.

“Saya berasa amat hebat untuk melakukan jaringan…namun ia adalah usaha pasukan. Setiap pemain memberi usaha 100 peratus. Kami teruja untuk layak dan Malaysia adalah pasukan yang hebat,” katanya.

Malaysia memulakan kempen dengan mengalahkan tuan rumah Kemboja 5-4 pada 2 Nov lalu, membenam Brunei 11-0, Rabu lalu dan Kepulauan Mariana Utara 10-0, Jumaat lalu manakala Thailand menewaskan Brunei 9-0 dan membelasah Kepulauan Mariana Utara 21-0 sebelum kalah mengejut 2-1 kepada Kemboja.

Sementara itu, Maloney berkata mereka tidak mengambil mudah untuk mengharapkan keputusan seri malah mahu meneruskan rentak permainan seperti dirancang dan memburu kemenangan ke atas Thailand.

“Saya amt gembira untuk layak serta pemain telah membuktikan kemampuan masing-masing. Jika pemain meneruskan seperti ini, maka masa depan bola sepak negara nampak cerah,” kata jurulatih dari Australia itu pada sidang media selepas perlawanan itu.

Rakaman sidang media itu diperoleh Bernama daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam saingan kelayakan 48 pasukan itu, hanya 16 pasukan layak ke pada pusingan akhir iaitu tuan rumah, Uzbekistan, 11 juara kumpuan dan empat pasukan naib juara terbaik atau lima jika Uzbekistan muncul juara kumpulan.

Kane contoh terbaik buat Abraham – Lampard

Frank Lampard mahu Tammy Abraham memandang rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England, Harry Kane, sebagai contoh selepas penyerang Chelsea itu terus memberi tekanan buat Jamie Vardy dalam carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

Abraham membuka jaringan ketika Chelsea menewaskan Crystal Palace 2-0 di Stamford Bridge malam tadi apabila menolak masuk golnya yang ke-10 dalam liga musim ini.

Gol pembukaan pemain berusia 22 tahun itu disusuli dengan jaringan tandukan Christian Pulisic dalam babak kedua untuk skuad The Blues itu melonjak ke tangga ketiga.

Ditanya sama ada Abraham berpotensi untuk menjadi pesaing Kane dalam skuad kebangsaan England, Lampard berkata penyerang muda itu masih mempunyai perjalanan yang panjang, namun percaya bintang Tottenham Hotspur itu telah menunjukkan contoh terbaik.

“Harry Kane pemain yang luar biasa,” katanya kepada BBC Sport.

“Apa yang telah dilakukannya dalam beberapa tahun ini dan dalam kariernya amat luar biasa.

“Jadi, Tammy perlu melihat kepadanya dan menjaringkan gol dalam setiap peringkat.

“Itulah tahap seterusnya buat Tammy.

“Apa yang telah ditunjukkannya sepanjang bulan ini adalah terlalu banyak perkara dalam permainannya.

“Dia tidak memiliki banyak ruang hari ini disebabkan cara permainan Palace tetapi saya memberitahunya pada waktu rehat supaya dia meneruskannya.

“Ia adalah perlawanan di mana penyerang tidak dapat apa yang mereka usahakan tetapi mungkin menjaringkan gol dan dia melakukannya,” katanya.

Lampard membariskan skuad Liga Perdana termuda Chelsea dalam perlawanan itu dan memanjangkan rekod kemenangan kepada enam perlawanan berturut-turut.

Dan pengurus itu mahu mengekalkan kecemerlangan Chelsea sepanjang musim ini.

“Kami amat layak untuk memenangi perlawanan ini.

“Babak pertama agak mengecewakan kerana kami menguasai perlawanan, memperoleh beberapa peluang tetapi tidak dapat menyudahkannya dan membenarkan rentak permainan menurun sedikit.

“Sebaik babak kedua bersambung, saya fikir kami layak menang dengan dua jaringan yang kemas dan tidak dibolosi.

“Mereka amat tekal kerana kami berada dalam pretasi terbaik dan dengan adanya pemain yang lebih tua, keseimbangan itu agak baik.

“Pemain yang lebih tua menolong yang lebih muda.

“Pemain muda pula cepat menyedari tahap ini dan kesukarannya.

“Tetapi mereka berusaha dengan amat keras dan meningkat.

“Ia masih terlalu awal, jadi kami boleh meneruskannya untuk lebih lama dan dalam perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Syahmi menang anugerah jaringan terbaik AFF

KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Muhammad Syahmi Safari menerima suntikan semnagat dalam karier bola sepak apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018 pada malam Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Hanoi, Vietnam, malam tadi.

Selain itu, pemain Selangor berusia 21 tahun itu turut terpilih dalam Kesebelasan Utama (XI) Piala AFF Suzuki 2018 bersama-sama dengan dua pemain negara, Mohamed Syamer Kutty Abba dan Norshahrul Idlan Talaha.

Jaringan unik Mugammad Syahmi dihasilkan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran mengelirukan dari rakan sepasukan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis tahun lalu.

Skuad Harimau Malaya mara ke pentas akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan menerusi agregat 3-3.

Menurut entri terbaru dalam Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerima anugerah tersebut bagi pihak Muhammad Syahmi.

Jaringan tersebut turut dicalonkan oleh FAM untuk Anugerah Puskas FIFA bagi tahun ini namun ia tidak tersenarai dalam 10 jaringan yang dipilih oleh panel pemilihan badan induk berkenaan.

PEMENANG ANUGERAH AFF:

Pemain Terbaik:

Lelaki: Nguyen Quang Hai (Vietnam)

Wanita: Pitsamai Sornsai (Thailand)

Pemain Belia Terbaik: Suphanat Mueanta (Thailand)

Pasukan Terbaik: Thailand (Lelaki); Vietnam (Wanita)

Jurulatih Terbaik:

Lelaki: Park Hang Seo (Ketua Jurulatih Vietnam)

Wanita: Nuengrutai Srathongvian (Ketua Jurulatih Ratchaburi Mitr Phol)

Pasukan Futsal Terbaik: Thailand (Lelaki)

Pemain Futsal Terbaik: Tran Van Vu (Vietnam)

Persatuan Terbaik: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI)

Gol Terbaik: MUHAMMAD SYAHMI SAFARI (Malaysia) – Piala AFF Suzuki 2018

Pengadil Terbaik: Lelaki: Sivakorn Pu-Udom (Thailand); Wanita: Katherine Margaret Jacewicz (Australia)

Pembantu Pengadil Terbaik: Lelaki: Ronnie Koh Min Kiat (Singapura); Wanita: Supawan Hinthong (Thailand)

Kesebelasan Utama Piala AFF Suzuki 2018:

Dang Van Lam, Que Ngoc Hai, Nguyen Quang Hai (Vietnam); Korrakot Wiriya-Udomsiri, Sanrawat Dechmitr (Thailand), Riko Simanjuntak (Indonesia), Muhammad Safuwan Baharuddin (Singapura), Stephan Shrock (Filipina), Muhammad Syahmi Safari, Mohamed Syamer Kutty Abba, Norshahrul Idlan Talaha (Malaysia).