FAM gesa persatuan negeri wujud Liga B-21 dan B-19 bermula 2020

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa setiap persatuan bola sepak negeri mewujudkan saingan liga bagi peringkat umur Bawah 21 Tahun (B-21) dan Bawah 19 Tahun (B-19) bermula tahun 2020.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ia bertujuan memperkasakan sistem pembangunan bola sepak remaja yang akan memanfaatkan pasukan Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) di setiap negeri apabila jumlah pemain muda beraksi secara kompetitif bertambah.

Mohd Yusoff menjelaskan usaha itu boleh menjadi platform buat pemain muda yang tidak terpilih bersama skuad Piala Belia dan Piala Presiden negeri masing-masing untuk membuktikan kemampuan.

“Kalau dulu bakat muda di negeri kita hanya nampak dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden, jadi dengan wujudnya liga peringat umur di setiap negeri ini akan ramai pemain berbakat dapat dilahirkan walaupun tidak bersaing dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden.

“Kita juga tidak mahu terlepas pandang akan bakat pemain-pemain muda ini atau peluang mereka tersekat kerana gagal menempatkan diri dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali ke-9 Bagi Penggal 2017-2021 di Wisma FAM di Kelana Jaya, pada Sabtu.

FAM turut menyasarkan saingan liga negeri bagi peringkat umur Bawah 17 Tahun (B-17) dan Bawah 15 Tahun (B-15) turut akan dilaksanakan masing-masing menjelang 2022 dan 2024.

Menurut Mohd Yusoff, satu taklimat terperinci kepada semua persatuan negeri mengenai mekanisme perjalanan liga akan diadakan pada Januari depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata tempoh jendela perpindahan pemain turut akan dilaksanakan bagi membolehkan pemain di liga negeri berkenaan diserap ke dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden dan sebaliknya.

“Adanya format jendela perpindahan pemain antara pasukan Belia serta Presiden dengan pasukan liga negeri ia memberi ruang kepada proses naik dan turun pemain ke dalam sesuatu pasukan.

“Ia akan memastikan lebih banyak bakat di negeri boleh turut serta dan secara tidak langsung akan memberi motivasi dan tekanan kepada pemain dalam skuad Belia dan Presiden untuk bekerja keras,” jelas Stuart.

Dalam perkembangan berasingan, Stuart mengesahkan format pertandingan Piala Belia dan Presiden akan berubah bermula musim hadapan dengan memisahkan saingan liga kepada dua zon; Utara dan Selatan tanpa mengurangkan jumlah perlawanan yang perlu ditempuhi setiap pasukan.

Katanya pasukan Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor akan bersaing dalam zon Selatan manakala Terengganu dan Kelantan bersaing dalam zon Utara.

“Ini telah dimuktamadkan demi mengurangkan kos perjalanan serta kos penginapan setiap pasukan bertanding,” katanya.

Mayweather umum keluar persaraan tahun depan, sedang bekerjasama dengan UFC

BINTANG tinju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather mengumumkan akan keluar dari persaraannya pada tahun 2020.

Bekas juara lima kategori itu membuat pengumuman tersebut di akaun Instagramnya selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UFC, Dana White.

Dalam dua posting berbeza, Mayweather, 42, berkata dia dengan White kini dalam usaha menganjurkan sebuah acara besar pada tahun hadapan.

“Saya dan White bekerjasama sekali lagi untuk membawakan satu lagi acara yang hebat pada 2020,” katanya dalam kapsyen tersebut.

Sejam selepas itu, dia memuat naik satu lagi posting yang bertulis “akan keluar dari persaraan pada 2020.”
Bagaimanapun tidak diketahui sama ada Mayweather mahu menyertai UFC atau pun bertarung di Zuffa Boxing iaitu promosi tinju yang diumumkan White baru-baru ini di bawah syarikat penaung UFC, Zuffa.

Mayweather, pada Ogos 2017 lalu, pernah keluar dari persaraan untuk menewaskan bintang UFC Conor Mcgregor menerusi keputusan TKO pada pusingan ke-10.

Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 50-0.

Pada November tahun lepas pula, Mayweather sekali lagi kembali ke gelanggang untuk menentang atlet ‘kickboxing’ dari Jepun, Tenshin Nasukawa dalam satu perlawanan pertunjukan di Tokyo.

Perlawanan itu menyaksikan Nasukawa ditumbangkan dalam hanya 140 saat.

Terima kasih coach!

HERO Harimau Malaya, Safawi Rasid berterima kasih kepada pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee kerana menggugurkan namanya daripada senarai pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina hujung bulan ini.

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui dia berasa penat untuk beraksi selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tahun ini, baik ketika menyarung jersi kelabnya mahupun skuad negara.

“Tahun ini saya banyak game (perlawanan), dari awal tahun sampai sekarang baru break (rehat). Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih (Kim Swee) bagi saya rehat,” katanya ketika ditemui di Dungun hari ini.

Safawi berkata, meskipun tanpa kehadirannya dalam skuad B-22 negara, dia percaya masih ramai pemain muda berbakat yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan meraih kejayaan pada Sukan SEA kali ini.

“Saya percaya rakan-rakan yang dipanggil menyertai skuad B-22 negara mampu menggalas tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Ini perluang terbaik buat mereka membuktikan kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Terdahulu, Kim Swee dengan berat hati terpaksa menggugurkan Safawi yang baru dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 demi kebaikan pemain sayap lincah JDT itu.

Safawi bukan pertama kali diketepikan Kim Swee

Pengguguran Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan, namun sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain berusia 22 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.

“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha barisan jurulatih tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan dia yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.

“Dalam sesi latihan, dia fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya yang mana dia mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari selepas tamat latihan.

“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ dalam setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.

Kim Swee tak senaraikan Safawi ke Sukan SEA

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah-22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Muhammad Safawi Rasid untuk saingan Sukan SEA kali ini.

Beliau berkata keputusan berat merehatkan penyerang muda itu dibuat, demi kebaikan pemain itu sendiri, yang telah mengharungi begitu banyak perlawanan tahun ini bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad Harimau Malaya.

“Satu keputusan yang amat berat dan sukar untuk saya lakukan, tetapi demi kebaikan Safawi, di mana kita tahu beliau telah bermain begitu banyak perlawanan dengan kelab dan juga pasukan kebangsaan, termasuk mewakili pasukan B-22 pada awal tahun.

“Jadi untuk kebaikan semua, saya terpaksa memutuskan supaya Safawi berehat, di mana kita mempunyai jadual yang amat penting pada tahun hadapan. Saya berharap semua faham dengan apa yang saya lakukan, adalah untuk kepentingan semua pihak,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan itu di Arena MPSJ, Subang Jaya di sini, hari ini.

Berikutan itu, Kim Swee percaya ia akan membuka ruang kepada pemain lain untuk menonjolkan kebolehan mereka, untuk mengisi ruang yang ditinggalkan pemain berusia 22 tahun itu.

Dalam tempoh 11 hari yang ini sahaja, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu, telah beraksi dalam tiga perlawanan bersama skuad senior negara, di mana tiga jaringan Safawi membantu Malaysia menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan pada 9 Nov dan Indonesia 2-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, semalam.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam aksi menentang Thailand, di mana skuad Harimau Malaya menewaskan kuasa bola sepak Asia Tenggara itu 2-1 pada Khamis, lalu.

Sementara itu, seramai tujuh pemain – Adam Nor Azlin, Muhammad Syahmi Safari, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Rashid, Muhammad Daniel Amier Norhisham dan Muhammad Haziq Nadzli, telah menyertai latihan pasukan B-22 itu pada hari ini, selepas menyelesaikan tugas bersama skuad kebangsaan.

Kim Swee seterusnya mempunyai tugas berat untuk menilai prestasi semua pemain dan mencari kombinasi pemain yang terbaik, sebelum mengugurkan 12 pemain, untuk menamakan senarai 20 pemain terakhir, sebelum bertolak ke Manila, Sabtu ini.

Mengenai pemilihan Adam sebagai pemain lebih umur bersama-sama dengan Muhammad Irfan Zakaria, beliau berkata ia untuk mendapatkan kombinasi yang serasi, dengan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, sebelum membuka kempen Kumpulan A, menentang Myanmar pada Isnin.

“Dalam waktu yang amat singkat, agak sukar bagi saya untuk membentuk kombinasi, tetapi dengan kemasukan Adam, Irfan, Doominic dan Haziq, kita dapat kombinasi yang kita biasa lakukan, sejak dua tahun yang lalu.

“Dah tentu dalam masa dua tiga hari ini takkan sempurna, sudah tentu selepas perlawanan persahabatan esok (menentang kelab Australia) dan beberapa hari latihan, saya percaya mereka mampu mencapai keserasian terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Adam, 23, yang bakal membuat penampilan ketiga di Sukan SEA sejak 2015 di Singapura, bertekad membawa pulang pingat emas temasya dwitahunan itu, selepas terpaksa berpuas hati dengan perak, pada edisi 2017 di Malaysia.

“Saya sedia bagi sepenuh komitmen saya dan membentuk kombinasi terbaik bersama pasukan ini, walaupun lebih 70 peratus pemain baharu. Ini merupakan peluang kedua bagi saya dan Irfan, untuk beraksi bersama pasukan ini, dan tak mustahil kita capai misi kita,” katanya.

Terima kasih Harimau Malaya – Penyokong Malaysia

KUALA LUMPUR: Di sebalik provokasi yang berlaku pada perlawanan antara Malaysia dan Indonesia malam tadi, penyokong skuad negara bagaimanapun memaklumkan ia tidak menjejaskan prestasi yang dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe.

Rata-rata mereka yang ditemui selepas tamat aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyifatkan perlawanan tersebut sebagai cukup menarik, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemain negara.

Mohd Zaimi Zainal, 25 tahun, berkata, skuad Harimau Malaya perlu mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan kejayaan berpihak kepada pasukan negara dalam pertemuan dengan Vietnam, yang dijadual pada Mac 2020.

“Saya memang seronok malam ini (Selasa), sememangnya permainan malam ini cukup menarik, tambahan pula apabila dua jaringan gol berjaya diperolehi skuad negara.

“Kita memang puas hati walaupun stadium digamatkan (dengan insiden provokasi) namun perlawanan memang menyeronokkan,” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara Mohd Faizal Amin, 30 tahun, berkata beberapa pemain Malaysia dilihat kurang menyerlah pada perlawanan tersebut, namun mujurlah perkara itu tidak memberi kesan kepada keseluruhan aksi skuad negara.

“Kalau yang terbaik pada malam ini memang (Muhammad) Safawi Rashid. Tetapi aksi seperti (Muhammad) Akhyar Rashid dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kurang menjadi sedikit,” katanya.

Mohd Naqiuddin Ahmad, 31 tahun, pula berkata: “Perlawanan yang sangat menarik walaupun ada tekanan daripada pihak lawan.

“Indonesia nampak agak tertekan dengan permainan taktikal pada malam ini. Terima kasih untuk para pemain dan jurulatih,” tambahnya.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia berjaya menumpaskan Indonesia 2-0.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan kutipan selepas menamatkan lima perlawanan.

Keputusan ini juga mencerahkan peluang ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadual berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.

41 penyokong Harimau Malaya, Garuda ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 41 penyokong yang menghadiri perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia malam tadi ditahan polis selepas disyaki terlibat insiden kekecohan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, pihaknya menahan 27 penyokong Malaysia dan 14 penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan.

“Kesemua mereka ditahan untuk tujuan dokumentasi dan telah dibebaskan selepas selesai proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dicemari insiden kekecohan sejurus tamat perlawanan selepas berlaku provokasi antara dua kedua penyokong Malaysia dan Indonesia.

Difahamkan, kekecohan berlaku di hadapan Pintu Masuk E, memaksa Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di kawasan tersebut.

Insiden tersebut dipercayai rentetan daripada tindakan penyokong dari Indonesia yang bertindak membaling suar di dalam stadium ketika Malaysia berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-30.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya berjaya menumpaskan Garuda, 2-0.

Sukan SEA: Wan Kuzain akhirnya sertai latihan skuad Kim Swee

PETALING JAYA: Pemain yang ditunggu-tunggu, Wan Kuzain Wan Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, akhirnya menyertai latihan pasukan Bawah 22 (B-22) kebangsaan, pada Isnin.

Pemain 21 tahun yang lahir di Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu, sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah dokumentasi dan juga pasportnya.

Bagaimanapun pemain tengah setinggi 178 sentimeter yang bermain untuk Sporting Kansas City di Liga Bola Sepak Utama Amerika (MLS), tiba di Malaysia untuk menyertai persiapan menghadapi Sukan Sea 2019.

“Ini sesuatu yang amat bermakna … Setiap kali anda bermain untuk pasukan kebangsaan, anda bukan sahaja mewakili diri ataupun keluarga, anda mewakili seluruh negara. Harapannya saya akan dapat tunjukkan dan pakai jersi ini dengan bangganya.

“Tidak sabar untuk memulakan latihan dan lihat bagaimana. Saya akan lakukan yang terbaik, kerja keras, bersaing, dan lakukan apa yang saya boleh dan akan lihat apa yang akan terjadi,” katanya kepada wartawan ketika sesi latihan di Arena MPSJ, Subang Jaya di sini pada Isnin.

Wan Kuzain berhasrat membantu pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee, untuk memenangi semula pingat emas Sukan SEA, selepas tewas kepada Thailand pada edisi 2017.

“Saya rasa setiap kali kita bermain bola sepak dan mana-mana pasukan pun mahu untuk menang, saya tidak lihat sebab kenapa kita tidak boleh (menang). Semua (dalam pasukan) baik dan mesra, saya telah memperkenalkan diri kepada semua, sehingga kini semuanya baik.

“Saya mahu tunjukkan diri saya sebagai seorang pemain yang tenang, pengatur di bahagian tengah… saya boleh bermain pada mana-mana posisi, sama ada bertahan, tengah ataupun serangan, boleh menentukan pergerakan permainan dan memulakan gerakan. Boleh menentukan gerakan akhir, mencipta peluang dan yang paling penting sekali, seorang yang akan menjadi rakan sepasukan yang baik dan bekerja keras,” katanya mengambarkan dirinya.

Sementara itu Kim Swee percaya pengalaman Wan Kuzain akan dapat dimanfaatkan pasukan kebangsaan dalam masa panjang.

“Kita perlu berikan beliau masa kerana dia baru tiba. Pertamanya, tentu sekali kita mahu lihat bagaimana dia boleh berkombinasi dengan pemain lain atas padang dan kita tahu yang pemain tengah dari pasukan kebangsaan akan sertai kita selepas perlawanan menentang Indonesia (pada Selasa), apabila pemain ini sertai kita, kombinasi antara mereka amat penting sekali.

“Pada masa yang sama, di luar padang di mana beliau perlu bergaul dengan masyarakat tempatan atau bersama pemain dan ini amat penting untuk pembinaan pasukan dalam padang,” katanya.

Kim Swee kini mempunyai 25 pemain, manakala tujuh lagi akan menyertai pasukan selepas tamat tugas mereka bersama pasukan kebangsaan pada Rabu, dijangka menamakan senarai terakhir 20 pemain hujung minggu ini sebelum berlepas ke Manila.

“Jadi semua akan bekerja keras, di mana anda tahu hanya 20 pemain yang akan terpilih ke Manila. Saya tidak boleh bawa semua orang, dan saya tidak mahu mempunyai kumpulan pemain yang besar, di mana ia tentunya akan berikan saya sedikit masalah dalam latihan dan menumpukan kepada semua pemain.

“Pada minggu terakhir persediaan, saya perlu lihat beberapa posisi, di mana perlu pastikan yang kita perlu ada pemain yang stabil, di satu atau dua posisi,” katanya.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar pada Isnin, diikuti Filipina (29 Nov), Timur Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Menjelang perlawanan Malaysia-Indonesia, Ultras Malaya seru sokongan paling padu

TINGGAL lebih kurang 12 jam pertemuan epik di antara Malaysia dan Indonesia, ‘ekor Harimau Malaya’ terus menyeru penyokong bola sepak tanah air agar memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Harimau Malaya dijadual bertembung dengan musuh tradisi Indonesia pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam nanti.

Perlawanan tersebut dijangka dihadiri lebih 80,000 penyokong bola sepak negara.

Menang atas Indonesia kuatkan semangat pemain untuk menentang UAE – Brendan Gan

Ia merupakan pertembungan ke-97 antara pasukan negara dengan skuad Garuda sejak pertemuan pertama pada 1957.

Pada perlawanan pusingan pertama September lalu, Malaysia mengejutkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta.

Ahmad Afif juara keseluruhan CP150 Cub Prix Malaysia 2019

JEMPOL: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing Ahmad Afif Amran, sah mempertahankan gelaran selaku ‘Raja Litar’ bagi kategori CP150, selepas berakhir pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019, di Dataran Seri Jempol di sini, pada Ahad.

Pelumba berusia 24 tahun itu berjaya mengekalkan gelaran tersebut, selepas menduduki tempat kedua dalam saingan pada Ahad dan mengumpul keseluruhan 147 mata, sekali gus kedudukannya itu tidak dapat digugat pelumba lain dengan berbaki satu perlumbaan musim ini di Litar Sepang pada 7 dan 8 Disember depan.

Saingan pusingan ke-10 di Sepang itu bakal menyaksikan perebutan bagi kedudukan di tempat kedua antara bekas juara kategori CP115 musim 2017, Md Akid Aziz daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mengutip 112 mata, dan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar, yang mengumpul 102 mata.

Ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan, Ahmad Afif amat berpuas hati dengan kejayaan itu, kerana tidak membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim ini.

“Sebenarnya, saya tidak membuat persiapan yang sebaiknya musim ini, namun hasil kerja keras semua dalam pasukan, saya berjaya meraih kejuaraan ini,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pada pusingan kesembilan yang berlangsung perlumbaan 20 pusingan itu, Ahmad Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 15 minit 06.511 saat, di belakang Md Akid yang mencatat masa 15:05.564s.

Rakan sepasukan Ahmad Afif, Md Aiman Thiruddin di kedudukan ketiga dengan catatan masa 15:07.494s. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pendahulu Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, mempamerkan tunggangan cemerlang, apabila menjarakkan saingan dengan pelumba lain sehingga ke garisan penamat.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan 11:59.248s, menewaskan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor Md Syafiq Rosli (12:00.230s), manakala pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing Md Adib Rosley, di tempat ketiga dengan masa 12:01.476s.

Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) pula mengungguli perlumbaan 12 pusingan kategori WIRA KBS selepas mencatat masa 9:44.355s, diikuti Awal M Al Fikri Yusni daripada Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing di tempat kedua (9:44.574s), dan pelumba WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing, Akif Hakimi Zainuddin di kedudukan ketiga (9:45.393s)

June Wei tepati ramalan mara ke final Cabaran Antarabangsa 2019

KANGAR: Pemain badminton perseorangan negara, Cheam June Wei menepati ramalan mara ke pusingan akhir kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 selepas mengenepikan Kodai Naraoka dari Jepun, pada Sabtu.

June Wei mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan pemain pilihan keempat itu dalam pertarungan sengit, 21-18, 12-21, 21-17, pada pusingan separuh akhir di Dewan 2020 di sini.

Menanti June Wei di final adalah Ren Peng Bo dari China yang terpaksa berhempas pulas menewaskan seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao 15-21, 21-17, 21-9, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

June Wei berusia 22 tahun itu berkata perlawanan menentang pencabarnya Kodai adalah sukar, namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang habis-habisan, bagi meraih slot ke final.

“Pada set pertama saya menang, tapi masuk set kedua dia dah tukar strategi lawan. Saya sedikit penat, namun bangkit semula di set ketiga. Bersyukur, boleh ke final,” kata June Wei kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad badminton lelaki negara, Datuk Misbun Sidek ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu yang semakin meningkat dan bijak dalam menyusun strategi perlawanan.

“Persembahan yang dipamerkan June Wei begitu bagus dan baik sekali. Maka sebab itu dia boleh pergi sejauh ini (masuk final). Walaupun dia merupakan ‘seasoned player’ namun dia dapat susun strategi untuk kalahkan lawan dia (Kodai).

“Kecergasan juga memainkan peranan penting. Satu tahap yang bagus buat June Wei,” katanya.

Turut mara ke final adalah pasangan beregu campuran negara, Man Wei Chong-Tan Pearly Koong Le yang akan menentang Dong Wei Jie-Chen Xio Fei dari China, pada Ahad.

Pada aksi separuh akhir Man Wei-Tan Pearly mempamerkan aksi cemerlang apabila mengalahkan pasangan Jepun Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-18, 21-19.