UK minat anjur Piala Dunia 2030

London: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata ia masa yang sesuai untuk United Kingdom dan Ireland melancarkan bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 dan negara itu turut sedia menganjurkan perlawanan tambahan Euro 2020 jika memerlukan.

“Kami amat berminat membawa pulang bola sepak pada 2030. Saya fikir ini tempat yang sesuai,” kata Johnson kepada media tempatan. ”Ia tempat asal bola sepak, masa yang tepat dan sesuatu yang indah kepada negara ini.”

Media melaporkan Canselor Rishi Sunak menyediakan bajet £2.8 juta (RM15.75 juta) untuk mempromosikan bidaan Piala Dunia di samping £25 juta (RM140 juta) untuk dana perlawanan awal.

“Kami mahu menyaksikan bonanza bola sepak dalam tahun-tahun akan datang,” kata Johnson.

Piala Dunia yang berlangsung setiap empat tahun hanya sekali dianjurkan di Britain ketika England muncul juara di tempat sendiri pada 1966.

Johnson turut membuka pintu untuk perlawanan tambahan Euro 2020 selepas kerajaan minggu lalu sedia menamatkan semua sekatan pergerakan akibat Covid-19 menjelang 21 Jun.

“Kami menganjurkan Euro. Separuh akhir dan akhir,” katanya. ”Jika mereka mahu anjur perlawanan lain, kami tiada masalah tetapi buat masa sekarang kami bersama Uefa.”

Euro ditangguhkan setahun susulan Covid-19 dan kini bakal berlangsung di 12 buah bandar bermula 11 Jun hingga 11 Julai.

Selain Glasgow dan London, bandar lain termasuk Dublin, Bilbao, Amsterdam, Copenhagen, Munich, Rome, St Petersburg, Bucharest, Budapest dan Baku.

Murray bangkit benam Haase

Rotterdam: Andy Murray bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum meranapkan hasrat pemain tuan rumah, Robin Haase untuk kemenangan pertamanya tahun ini dalam jelajah ATP di Rotterdam awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu gagal melepasi pusingan pertama pada ATP sulungnya musim ini di Montpellier minggu lalu dan hampir pulang awal sekali lagi apabila tewas mudah set pertama di Belanda.

Tetapi juara tiga kali Grand Slam bangkit bertenaga sebelum menang 2-6, 7-6 (7/2), 6-3 dan mara ke saingan 16 terakhir menentang pemain kelayakan dari Amerika Syarikat, Marcos Giron atau pilihan keempat dari Russia, Andrey Rublev.

Pemain Britain itu yang kini menduduki ranking ke-123 dunia selepas bergelut dengan kecederaan pangkal paha menyelamatkan dua mata break pada ‘game’ ketujuh di set kedua sebelum menguasai tie-break.

Pemain berusia 33 tahun itu ketinggalan 0-3 pada set ketiga tetapi kembali temui momentum pada masa yang tepat untuk meraih kemenangan.

Murray yang terlepas Terbuka Australia selepas positif Covid-19 hanya beraksi Jelajah ATP keduanya sejak Oktober lalu.

Bintang Jepun, Kei Nishikori meraih kemenangan pertamanya tahun ini selepas mengatsi cabaran pilihan ketujuh dari Kanada, Felix Auger-Aliassime 7-6 (7/4), 6-1.

“Ia perlawanan yang sengit. Servisnya berkualiti terutama pada set pertama dan meraih banyak mata daripada servis pertama,” kata Nishikori.

Atletico bangkit benam Villarreal

Madrid: Atletico Madrid bangkit daripada kemerosotan prestasi sejak akhir-akhir ini dengan kemenangan 2-0 di Villarreal bagi membolehkan pendahulu La Liga itu mengukuhkan cengkaman dengan lima mata depan.

Jaringan sendiri Alfonso Pedraza dan rembatam Joao Felix memberikan kemenangan berharga Atletico selepas berdepan kekecewaan yang membolehkan Barcelona dan Real Madrid kembali memberikan cabaran dalam pemburuan gelaran liga.

Skuad Diego Simeone sebelum ini tewas kepada Chelsea dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selain prestasi buruk liga apabila hanya meraih lima mata daripada empat perlawanan terakhir.

Atletico cekal bertahan menangkis serangan bahaya Villarreal bagi memastikan mereka berkelebihan enam mata ke atas Real Madrid menjelang aksi ‘derby’ pada hujung minggu akan datang.

Madrid akan kembali merapatkan jurang kepada tiga mata apabila menerima kunjungan Real Sociedad awal pagi esok.

“Kami derita malah selepas gol kedua mereka mendapat banyak peluang. Tetapi akhirnya kami pulang dengan kemenangan sangat penting pada detik ini,” kata Simeone.

Medvedev jumpa Djokovic di final

Russia’s Daniil Medvedev reacts as he plays against Greece’s Stefanos Tsitsipas during their men’s singles semi-final match on day twelve of the Australian Open tennis tournament in Melbourne on February 19, 2021. (Photo by David Gray / AFP) / — IMAGE RESTRICTED TO EDITORIAL USE – STRICTLY NO COMMERCIAL USE —

Melbourne: Pemain Russia, Daniil Medvedev menewaskan Stefanos Tsitsipas untuk mara kali pertama ke final Terbuka Australia hari ini dengan misi menyekat pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic daripada meraih gelaran kesembilan.

Pilihan keempat itu terlalu kuat untuk pemain Greece, Tsitsipas apabila menang 6-4, 6-2, 7-5 di hadapan 7,000 penyokong di Rod Laver Arena sekaligus kemenangan ke-20 berturut-turut.

Selepas tewas pada final Terbuka AS 2019, Medvedev berpeluang menjadi pemain lelaki pertama Russia muncul juara utama sejak 2005 dan untuk itu dia perlu menewaskan Djokovic, yang menang semua lapan final yang disertainya di Melbourne Park.

Tetapi tiada siapa dalam jelajah yang mempunyai lebih momentum daripada Medvedev yang menewaskan setiap lawannya sejak November dan dia menang tiga daripada empat aksi terakhirnya menentang juara 17 kali Grand Slam itu.

“Ia sudah tentu tidak mudah,” kata Medvedev yang hanya pemain ketiga Russia selepas Yevgeny Kafelnikov dan Marat Safin mara ke final Terbuka Australia.

“Saya agak gementar dan sengit pada set ketiga kerana ia separuh akhir Slam tetapi saya berjaya kawal permainan.”

Khabib mahu bertarung di Camp Nou

London: Khabib Nurmagomedov menggesa Presiden UFC, Dana White menganjurkan pertarungan untuknya di Stadium Camp Nou, Barcelona selepas dia menyaksikan perlawanan PSG menewaskan Barca dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Bintang MMA Russia yang telah pun bersara itu menjadi tetamu di stadium yang boleh memuat 100,000 penonton dalam perlawanan yang menyaksikan Kylian Mbappe meledak hatrik untuk memberi kemenangan selesa buat skuad Mauricio Pochettino.

Khabib yang dikenali peminat setia musuh tradisi Barca, Real Madrid kemudiannya memuatnaik videonya di tempat duduk Camp Nou dan melaungkan nama White sambil menggesanya untuk mengatur perlawanan.

Jaguh berusia 32 tahun itu dalam Instagramnya secara langsung berkata:: ‘Hei Dana, anda ada di sana? Mari anjurkan pertarungan di sini, di hadapan 100,000 penonton, apa lagi!”

Selepas tamat perlawanan, Khabib menerima jersi yang ditandatangani Mbappe dan penjaga gol PSG, Keylor Navas yang kedua-duanya beraksi 90 minit perlawanan.

Semua aktiviti sukan, rekreasi tidak bersentuhan dibenarkan

Kuala Lumpur: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bermula hari ini.

Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton atau penyokong.

Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan.

KBS menegaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dari semasa ke semasa.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.

“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP tersebut boleh diperolehi di laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.

Berikut adalah butiran SOP terbaharu mengikut kawasan:

Semasa PKP

——————

(i) Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan;

(ii) Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1–3 meter;

(iii) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;

(iv) Pengoperasian fasiliti/ premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;

(v) Penganjuran kejohanan/ pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/ penyokong;

(vi) Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan- pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model Gelembung Sukan (Sports Bubble: Home Based Training atau Camp Based Training);

(vii) Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep “Camp Based Training”;

(viii) Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/ perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/ pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS;

(ix) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, maraton dan triathlon adalah dilarang.

Semasa PKPB

———————

(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan;

(ii) Penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model Gelembung Sukan (Sports Bubble) yang telah ditetapkan;

(iii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;

(iv) Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi;

(v) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;

(vi) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;

(vii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.

Semasa PKPP

———————

(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong;

(ii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;

(iii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, maraton dan triatlon tidak dibenarkan;

Lebih kelonggaran kepada industri sukan, rekreasi jika patuh SOP

Shah Alam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diyakini akan memberikan lebih kelonggaran jika pemain industri sukan dan rekreasi mengekalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, berdasarkan pematuhan yang ditunjukkan, MKN akan memberikan kelonggaran kepada industri berkenaan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hari ini, saya turun ke beberapa fasiliti sukan untuk melihat sendiri, seperti ke padang latihan skuad bola sepak Selangor, sebuah gimnasium dan Kelab Golf Kota Permai di Kota Kemuning… saya amat berpuas hati dengan pematuhan SOP di ketiga-tiga fasiliti sukan itu.

“Walaupun dalam tempoh PKP, sektor sukan masih disambut baik oleh peminat sukan seluruh negara.

“Jadi ini menunjukkan pemulihan sukan sedang berlangsung dan kita harap dengan pematuhan SOP di semua tempat di Selangor ini.., lama-kelamaan kelonggaran akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke fasiliti sukan bagi meninjau tahap pematuhan pembukaan sektor sukan dan rekreasi PKP di Kota Kemuning, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Selangor, Hasnata Hasan.

Mengulas mengenai pemantauan fasiliti sukan dan rekreasi pula, katanya, pihaknya akan menjalankan pemantauan SOP di seluruh negara melalui Rakan Muda – Sports Bubble Volunteers (SBV) yang dijangka akan memulakan kerja pemantauan awal bulan depan.

“Setakat ini belum ada jadual pemantauan yang khusus, sebab kita masih mengumpul data lengkap mengenai sukarelawan-sukarelawan yang berminat.

“Bermula pada awal Mac depan, pasukan ini akan mula memantau fasiliti sukan dan rekreasi di seluruh negara sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu terutamanya pada hujung minggu kerana kita jangka waktu itu kepadatan tinggi di fasiliti terbabit.

“Pemantauan ini amat penting sebab kita mahu SOP benar-benar dipatuhi kerana tidak mahu kluster timbul daripada mana-mana fasiliti sukan dan rekreasi yang mendapat kelonggaran daripada MKN,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan beberapa persatuan sukan untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama untuk pemain bola sepak dan pegawai yang terbabit dalam Liga Malaysia dan atlet yang akan menyertai kejohanan sukan antarabangsa.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Keutamaan pemberian vaksin Covid-19 pada masa kini adalah bagi petugas barisan hadapan serta atlet yang akan ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Pada masa ini, bagi atlet yang tidak menerima vaksin pada fasa pertama, pematuhan kepada SOP sudah mencukupi untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

GBX E-Sports Team julang imej negara

Kuala Lumpur: Bermula hobi, Muhammad Luqman Hajiman dan Ahmad Shahrin Shaharuddin kini di ambang mencipta sejarah dalam permainan video FIFA21 di peringkat global.

Dua pemain profesional sukan elektronik (e-sukan) negara yang mewakili GBX E-Sports Team itu giat menjalani persediaan membawa cabaran Malaysia yang buat julung kalinya layak ke pusingan akhir Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club yang akan berlangsung pada 25 hingga 28 Feb ini.

Bagi Muhammad Luqman, 24, atau dikenali sebagai ‘Fenrir’ di gelanggang maya, ia peluangnya untuk terus mengharumkan nama Malaysia setelah mencipta sejarah muncul pemain pertama Asia Tenggara mara ke pusingan kelayakan Piala DUnia FIFAe di Barcelona, Sepanyol dua tahun lepas.

“Saya tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini yang mana semuanya bermula sebagai hobi. Satu kebanggaan bagi saya untuk bawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan salah satu sasaran saya untuk membuktikan Malaysia mempunyai potensi besar dalam permainan FIFA.

“Pengalaman saya apabila beraksi di luar, mereka (pemain luar) masih tidak tahu tentang Malaysia namun tahu Singapura dan Filipina. Saya gembira dapat memperkenalkan Malaysia di pentas tertinggi,” kata penuntut Universiti Malaya (UM), hari ini.

Bersaing dalam Zon 2 Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club yang menggunakan format ’round robin’, GBX E-Sports Team bakal berdepan cabaran dua wakil dari Jepun Kashima Antlers dan Blu United serta satu lagi pasukan tempatan Wicked Esports.

Dua pasukan terbaik akan berentap bagi menentukan pemenang Zon 2 sekali gus dinobatkan sebagai juara bersama pusingan akhir Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club bersama lima lagi pasukan juara dalam zon masing-masing.

“Sangat teruja dapat bertanding sekali lagi di peringkat tertinggi dalam kejohanan kelolaan FIFA. Persiapan rapi telah dilakukan dan kini saya rasa sangat berkeyakinan serta berazam memberikan yang terbaik untuk memenangi pertandingan ini,” kata Muhammad Luqman.

Sementara itu, Ahmad Shahrin atau dikenali sebagai Ayen menyifatkan kejayaan GBX E-Sports Team mara ke pusingan akhir adalah landasan terbaik menaikkan nama Malaysia dalam komuniti dunia FIFA.

Malah pemain berusia 21 tahun itu percaya, keserasian yang dibentuk bersama Muhammad Luqman sejak dua tahun lepas menjadi kunci utama dalam merealisasikan impian tersebut.

“Bagi saya sekarang, apa-apa saya buat bukan demi karier e-sukan semata-mata tetapi juga untuk industri e-sukan di Malaysia,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

GBX E-Sports Team sebelum ini melaungkan keyakinan mampu merangkul gelaran juara Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club selepas FIFA memperkenalkan format baharu menyaksikan pusingan akhir bakal dipecahkan kepada enam zon.

Lazio dapat suntikan semangat

Milan: Luis Alberto meledakkan gol tunggal buat Lazio untuk membantu pasukannya menewaskan Sampdoria 1-0 seterusnya melonjak kedudukan ke tangga keempat Serie A sebelum turun berdepan Bayern Munich dalam aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara minggu depan.

Kemenangan enam perlawanan berturut-turut Lazio berakhir hujung minggu lalu dengan kekalahan 3-1 di tangan di Inter Milan.

Namun aksi pemain Sepanyol, Alberto yang melancarkan serangan selepas 24 minit beraksi di Rome hasil hantaran silang Sergej Milinkovic-Savic berjaya menyempurnakan gol ketujuhnya dalam liga musim ini.

Barisan Simone Inzaghi kini berjaya mengatasi Juventus untuk kembali menghidupkan peluang dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menyamai mata dengan Roma yang berada di tempat ketiga dengan kedua-dua pasukan itu akan beraksi hujung minggu ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan, ia bukan satu yang mudah memenangi perlawanan beberapa hari sebelum Liga Juara-Juara.

“Saya berada bangga dengan kemenangan ini.

“Sekarang saya mempunyai dua objektif, satu untuk melepasi pusingan ini di Liga Juara-Juara dan mempertahankan tempat kami di Eropah serta menjadikan kami antara pasukan berbahaya,” kata Inzaghi yang merekodkan kemenangan ke-100 dalam Serie A sebagai jurulatih.

Lazio kembali dalam aksi saingan terbaik Eropah musim ini selepas 13 tahun akan berdepan Bayern di Rome Selasa ini.

Motivasi diri cara Azizulhasni

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang hari ini berkongsi nasihat berguna mengenai kepentingan untuk sentiasa berada dalam keadaan tenang walaupun menghadapi dugaan besar.

Dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman, Mohd Azizulhasni berkongsi pengalaman ketika zaman kanak-kanaknya mengisahkan dirinya yang hampir lemas ketika mengikut abang dan beberapa rakan lain mandi di sungai berdekatan kampung mereka.

“Apa yang saya hendak kongsikan, waktu abang saya, Azrul Hafiz ajar berenang selepas beliau selamatkan saya daripada lemas itu. Beliau ajar saya untuk terapungkan badan dulu. Beliau cakap saya kena relaks kerana kalau tidak saya akan tenggelam.

“Apabila abang saya suruh saya bertenang, saya cakap apa kau cakap ni…nanti aku lemas balik dalam air. Mula-mula memang takut, tapi apabila saya cuba belajar tenangkan diri, relakskan otak, tiba-tiba saya terapung dan saya kata ehh… betul ke ni,” katanya.

Pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro itu mengaitkan dengan kehidupan yang diibaratkan sebagai sebuah lautan dunia.

“Kita umpama berada di sebuah lautan dunia. Kita hanya perlu terapung, jangan panik dan jangan lemas. Banyak daripada kita di luar sana lemas sebab mereka panik.

“Saya harap dan doakan semua supaya menjadi orang seperti itu (tidak mudah panik), menjadi insan yang meletakkan segala-galanya kepada Allah, Tawakal,” kata Azizulhasni dalam hantarannya di media sosial hari ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu kini sedang menjalani latihan intensif di Melbourne, Australia bersama ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, adalah sandaran utama kontinjen negara di Tokyo bagi menamatkan penantian pingat emas pertama pada temasya berprestij dunia itu.